Bayi besar hingga susah meneran, ibu kongsi detik kejutan wajah anak lebam kebiruan lepas bersalin. Saat bertarung melahirkan anak adalah saat paling genting bagi seorang ibu. Ini kerana ia antara hidup dan mati. Saat selamat bersalin, ia adalah nikmat bergelar seorang ibu.
Setiap orang mempunyai pelbagai cerita ketika di wad bersalin. Satu perkongsian dari ibu muda, Farah Adibah Amirah Kunyeen menarik perhatian ramai apabila berkongsi wajah anaknya yang kebiruan (seperti lebam) akibat hampir lemas ketika proses melahirkan.
Memetik laporan Harian Metro, Farah berkongsi wajah bayinya yang menjadi biru kegelapan selepas dilahirkan menjentik hati suami isteri ini yang sama sekali tidak menyangka anak mereka ‘berbeza’.
Bayi Besar Hingga Susah Meneran
Jelas ibu beruia 22 tahun ini ketika melahirkan anak kedua, Muhammad Aryan Qusyairy pada 14 Februari lalu, anaknya itu hampir lemas dalam perut dan mengakui sebak apabila melihat wajahnya yang jelas lebam.
Bagaimanapun Farah Adibah Amirah dan suami, Mohamad Afiq Zulkiflee, 30, tetap mensyukuri kehadiran Muhammad Aryan Qusyairy dan menyifatkan dia sangat istimewa.
Selepas tiga bulan berlalu, wajah Muhammad Aryan Qusyairy semakin berubah dan kembali normal, berkulit cerah seperti bayi lain.
Kisah bayi comel itu mendapat perhatian di TikTok apabila Farah Adibah Amirah berkongsi video dan gambar Muhammad Aryan Qusyairy, baru-baru ini.
Ibu Kongsi Detik Kejutan Wajah Anak Lebam Kebiruan Lepas Bersalin
Menurut ibu muda itu, dia melahirkan anak secara normal namun proses kelahiran agak mencabar apabila bayinya tidak keluar biarpun dia sudah meneran sebanyak lima kali.
Ads
“Kejadian itu berlaku mungkin kerana bayi besar iaitu seberat 3.34 kilogram dan saya pula berbadan kecil. Ketika melahirkan, bahu kiri Muhammad Aryan Qusyairy tersangkut kira-kira seminit.
“Apabila dia sudah selamat keluar, doktor beritahu muka anak sudah membiru dan hampir lemas dalam perut. Saya anggap biasa saja dan ketika doktor tunjuk anak untuk saya cium memang saya tak perasan lagi wajahnya,” katanya.
Katanya, selepas itu, doktor membawa anaknya ke bilik lain untuk pemeriksaan lanjut kerana jangkitan kuman dan bahu yang tersangkut, namun Muhammad Aryan Qusyairy tidak cedera.
“Keesokannya saya dan suami ke wad anak dan ternampak seorang bayi yang wajahnya gelap, sempat juga terdetik di hati, anak siapa itu dan turut berasa kasihan melihatnya.
“Apabila tanya doktor di mana anak, terus saya terkejut apabila doktor tunjukkan bayi pertama yang saya jumpa tadi. Kami terfikir mungkin ada buat salah pada orang tetapi saya fikir positif dan anggap ini ujian,” katanya yang bersalin di hospital kerajaan di Johor Bharu.
Farah Adibah Amirah berkata, dia dimaklumkan doktor yang lebam di kulit muka anak akan beransur hilang, malah ibunya juga berkongsi kisah adik ketiganya yang berkeadaan sama selepas terlilit tali pusat ketika proses kelahiran.
“Muka anak saya berwarna biru tetapi bahagian badan lain seperti bayi lain dan selepas lebih dua minggu, mula nampak perubahan apabila muka anak kembali normal.
Ads
“Daripada biru gelap berubah ungu kemudian merah-merah sebelum hilang sepenuhnya. Alhamdulillah,” katanya.
Berkongsi detik pertama kali menatap sepenuhnya wajah anaknya, Farah Adibah berkata, walau terkejut, rasa sayangnya terhadap Muhammad Aryan Qusyairy tidak berbelah bahagi.
“Saya terima anak saya dengan ikhlas walau apa saja keadaannya kerana dia anak saya, malah kalau ditakdirkan warna kulit wajahnya tidak berubah pun kami tetap menyayangi.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pasukan perubatan di hospital kerajaan yang banyak membantu ketika di dewan bersalin,” katanya.
Tular pengasuh kasari anak orang di taska. Luluh hati ibu-bapa melihat video anak ditepuk di kepala dan dihembus nafasnya di hadapan muka ketika anak sedang menangis. Persoalannya, salah siapa?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kes anak tertelan syiling ini bukan sekali dua mak-mak dengar. Biarpun beribu kali membacanya, kisahnya sebegini tetap mengundang rasa seram dalam diri mak-mak. Anak lelaki wanita ini telah tertelan syiling pada 22 Jun lalu dan sampai ke hari ini, masuk hari ke-8 syiling itu belum lagi keluar.
Inilah yang dialami oleh Puan Anys Sofyan apabila anak lelakinya mengakui yang dia telah tertelan syiling. Kongsi agar mempercayai kata-kata anak. Percaya dengan apa yang anak telah akui mereka buat. Dan disebabkan tindakan percaya itulah, dia tahu yang anaknya, Haqeef telah tertelan syiling.
“Please trust our child whenever they tell us what they do. Haqeef dah 2 hari tertelan syiling. Dah tunggu few days ni masih belum keluar dari najisnya. So we decided to do the X-ray. Ya Allah memang betul ada, so memang our child won’t lie.”
“I’m sorry Haqeff untill mummy didn’t realise Haqeef telan syiling. Tadi dah jumpa pakar bedah, doc cakap kalau mummy risau biar duduk ward today untill monday. Tapi seems Haqeef really active kita bagitau doc nak monitor dari rumah. So nasib lah dulu mummy Haqeef ni kerja dengan doc ENT, dia pun sependapat better monitor di rumah.
“Doc HTAR cakap monday datang balik do the X-ray again. If belum keluar dari najis kena refer to HKL and ready for operation. Kawan-kawan di Fb doakan Mohamad Haqeef and maaf mana yang di whatsapp tak sempat nak jawab.”
“Harap faham terkejar kat HTAR. Ramai yang tanya macam mana nak keluarkan syiling tu, saya pun tak ada jawapan. Itu kerja doc, semoga Allah permudahkan nanti. Kalau keluar syiling tu before Monday, alhamdulil lah bersyukur sangat-sangat.
“Maafkan mummy and daddy Haqeef, cuai sampai Haqeef kena macam ni. Parents out there please monitor setiap apa yang anak kita buat ok.” Ini luah ibu Haqeef pada 22 Jun yang lalu.
Doktor Kata Beri Saja Dia Nak Makan Apa
Sampai ke hari ini syiling itu masih lagi berada dalam perut Haqeef. Berganjak sikit dari yang X-ray pertama. Doa ibunya semoga syiling itu dapat dikeluarkan sebelum 2 Julai ini. Kalau tidak memang kena refer ke HKL lah jawabnya.
“Saya bagi saja apa yang dia nak makan. Doktor pun pesan bagi je apa dia nak makan. Pada 2 Julai nanti X-ray kali ketiga. Kalau belum keluar kemungkinan refer ke HKL untuk pembedahan.” maklum ibunya ketika dihubungi Mingguan Wanita.
Selain menyebarkan ilmu, segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada para pelajar. Ikuti kisah personaliti guru Bahasa Inggeris yang bernama Norhasyikin Abdul Wahab, 40 yang kini sedang menaburkan bakti di Sekolah Kebangsaan Seri Indah.
Guru yang berkhidmat selama 10 tahun ini pernah mengajar di Sekolah Menengah Chocrane Perkasa (2008-2009) sebagai guru sandaran dan dari tahun 2011 hingga kini setia mengajar muris-murid di Sekolah Kebangsaan Seri Indah.
“Selepas tamat mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Tun Abdul Razak dalam bidang Pengurusan Perniagaan saya melanjutkan pelajaran pula peringkat Diploma Pendidikan (KPLI) TESL di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa.
“Selepas itu saya menjadi guru sandaran selama setahun dan bermula tahun 2011 hingga kini saya menjadi tenaga pengajar di SK Seri Indah. Saya mengajar subjek bahasa Inggeris. Sememangnya banyak kenangan indah yang saya perolehi. Paling istimewa apabila ada murid yang pada mulanya tak boleh membaca dan memahami bahasa Inggeris, akhirnya di tahun akhir semasa Tahun 6, mereka lulus dengan baik. Detik itu cukup indah pada saya,” ungkap Norhasyikin memulakan bicara.
Ketika mengadakan aktiviti luar bersama murid-muridnya.
Memegang prinsip menjalankan tugas dengan penuh dedikasi di dalam bilik darjah Norhasyikin juga cukup gembira sebagai penyelaras program kecemerlangan sekolah, pada tahun 2015, dirinya berjaya membantu sekolah mendapat tempat ketiga dalam Zon Bangsar Pudu menerusi keputusan UPSR.
“Alhamdulillah dengan mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan teknikyang berkesan pada tahun tahun 2017, kami guru-guru berjaya membantu sekolah mendapatkan keputusan murid menguasai 100 peratus dalam semua mata pelajaran UPSR. Bukan itu saja, malah kami juga mengekalkan peratus murid menguasai Bahasa Inggeris dalam 90 peratus.
“Menjadi kebanggaan kami apabila ada murid-murid yang berjaya memasuki sekolah yang baik selepas UPSR seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar,Victoria Institution, Sekolah Berasrama Penuh dan lain-lain,” ungkap Norhasyikin.
Bersama anak murid.
Ubah Ke Arah Yang Lebih Baik
Sebagai seorang pendidik sudah pasti ada pengalaman pahit yang tersendiri. Namun Norhasyikin sangat positif dan berusaha untuk mengubah yang pahit menjadi positif.
“Pada saya yang pahit tu asam garam dalam dunia pendidikan tapi saya ambil sebagai motivasi untuk berubah ke arah yang lebih baik,” ujar Norhasyikin ringkas.
Sering mendapat kad ucapan yang menyentuh hati daripada murid-murid. Guru ini berasa dirinya amat dihargai.
“Saya selalu dapat kad ucapan yang menyentuh hati daripada murid-murid. Rasa dihargai kerana kanak-kanak sangat jujur dalam meluahkan perasaan mereka.
“Saya juga sangat bersyukur kerana anak-anak murid saya sangat baik. Mereka memang sangat rajin membantu guru-guru. Kadang siap tawarkn diri untuk tolong cikgu. Apabila sambutan hari guru, pada saya yang paling seronok apabila kami guru-guru akan menyanyi lagu Kami Guru Malaysia.
“Saya sangat suka liriknya dan begitu bersemangat semasa nyanyikan lagu itu. Kami juga akan buat persembahan untuk murid-murid dan mereka sangat suka. Selain itu, kami juga terima banyak hadiah dari mereka. Dikesempatan ini saya ingin ucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang sangat-sangat berusaha untuk memberikan pelbagai hadiah tersebut melalui anak-anak,” kata Norhasyikin yang cukup terharu.
Bersama rakan setugas.Guru-guru yang banyak membantu mendidik anak bangsa.
Tiada Istilah Terpaksa
Norhasyikin juga menerangkan dia sangat menyintai kerjaya ini dan tiada istilah terpaksa.
“Sebenarnya, dulu saya tak pernah terfikir untuk jadi cikgu. Tapi selepas bekerja sebagai guru sandaran, minat untuk mengajar tumbuh mekar dalam hati. Ibu bapa saya bukan guru. Arwah mak cuma seorang suri rumah dan arwah abah pula pesara kerajaan. Namun galakan paling besar datang dari pakcik yang merupakan adik arwah emak, Hamzah bin Abu Osman. Pakcik saya tak pernah pernh putus asa dalam menggalakkan saya untuk terus menjadi guru.
Setiap kerjaya punya cabaran yang tersendiri termasuklah bergelar guru, ungkap Norhasyikin, “Cabaran utama bergelar cikgu adalah untuk memastikan murid dapat menguasai pembelajaran. Dengan kekangan masa dan tugasan sampingan yang kian bertambah menjadi proses untuk memastikan murid berjaya kuasai pembelajaran agak sukar. Kerjasama yang kurang daripada penjaga murid dalam membangunkan murid di rumah juga antara cabaran yang agak mencabar.”
Tempoh lebih setengah abad atau anggaran tepat 51 tahun menetap di Terengganu, membuatkan wanita Perancis ini cukup sebati dengan kebudayaan, kesenian dan kehidupan masyarakat setempat di sana.
Menariknya, walaupun sudah menjangkau usia emas, seorang wanita kelahiran Paris, Perancis masih gigih untuk menyiapkan kertas kajian berhubung kebudayaan dan perubahan masa di peringkat doktor falsafah (PhD).
Christine Longuet atau nama Islamnya, Rohani Abdullah, 79, berkata, dia sudah menetap di Kampung Pulau Duyung, di sini, selama 51 tahun, sekali gus amat sebati dengan kehidupan dan budaya masyarakat setempat di situ.
Tertarik Kehidupan & Kesenian Masyarakat
Menurutnya, kali pertama menjejakkan kaki ke kampung itu, hatinya sudah tertarik dengan kehidupan masyarakat tempatan selain kagum dengan kesenian terutama tradisi membuat bot dan perahu layar.
“Sudah lapan tahun saya berusaha untuk menyiapkan kertas kerja di peringkat PhD dan insya-Allah hanya berbaki lima peratus yang belum siap.
“Kekangan waktu membuatkan kertas kajian ini masih belum siap dan saya berharap dengan usaha gigih saya mampu menyiapkannya dalam waktu terdekat,” katanya yang melanjutkan pengajian dalam jurusan Etnobotani di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Sebelum ini, Rohani melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Manakala, ketika berada di negara kelahirannya, dia memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sorbonne, Paris sebelum berhijrah ke negara ini.
Rohani berkata, Kampung Pulau Duyung, satu ketika dahulu amat terkenal dalam pembuatan bot dan kapal layar sehingga ramai individu dari benua Eropah datang untuk menempah kapal layar buatan tukang-tukang tempatan yang berkemahiran tinggi.
Ambil Masa 5 Tahun Pandai Berbahasa Melayu
Menurutnya, disebabkan seni dan budaya kerana sudah lama menetap di kampung berkenaan, dia amat sukar untuk meninggalkan negeri ini.
Katanya, ketika mula-mula tiba di Malaysia, dia belajar bertutur Bahasa Melayu dengan tukang-tukang yang membuatkan bot dan perahu layar di tebing Sungai Terengganu.
“Saya mengambil masa hampir lima tahun untuk pandai berbahasa Melayu dan saya berkahwin dengan suami (Allahyarham) Wan Osman Wan Abdullah yang juga anak imam di kampung ini ketika berusia 34 tahun pada 1977.
“Hasil perkongsian hidup dengan arwah, saya dikurniakan empat cahaya mata berusia 37 hingga 45 tahun.
“Budaya masyarakat Melayu amat menarik dengan kehalusan seni bina, kehidupan bermasyarakat yang utuh membuatkan saya tertarik untuk terus menetap di negeri ini,” katanya.
Pernah Miliki Kapal Layar
Katanya, suatu ketika dahulu dia memiliki kapal layar bernama Ganti Rampai dan pernah membuat pelayaran dengan membawa anak-anak belayar di Laut China Selatan.
“Kapal layar milik suami masih ada, tetapi kini berada di bengkel bagi kerja baik pulih dengan reka bentuk ‘pinis gobel’ itu menjadi kenangan buat kami sekeluarga.
“Itu kisah dulu, namun kini dalam usia emas saya ingin menyiapkan kertas kajian di peringkat PhD dan banyak perubahan sudah saya lihat sejak era 70-an hingga kini yang berlaku di kampung ini.
“Dahulu suasananya lain kini ianya sudah lain. Ada juga tradisi yang kian ditelan zaman dan apa yang dapat dilihat iaitu industri pembuatan kapal layar dan bot juga semakin suram,” katanya.
Menurutnya, walaupun pembangunan semakin pesat, dia masih berharap tradisi di kawasan sekitar kampung itu tetap terjaga.
Katanya, dia juga menulis buku antaranya Puisi Duyung Pulau Rakyat, koleksi puisi tempatan dan Amanah: Journey An Architect iaitu buku mengenai hasil arkitek tempatan, Nik Mohamed Mahmood.
Mingguan Wanita: Kagum dengan kegigihan wanita Perancis ini, walaupun telah meniti usia emas tetap berusaha untuk menyiapkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD).Apatah lagi berkaitan kebudayaan, kesenian dan kehidupan masyarakat setempat. Semoga menjadi inspirasi buat kita dalam menuntut ilmu dan menghargai nilai budaya dan kesenian yang ada dalam negara.