Tak dinafikan sekarang ini, ramai perempuan sudah pandai cari duit poket. Baik yang belum kahwin mahupun sudah berkahwin. Mereka pencari nafkah untuk membantu pasangan atau keluarga sendiri.
Boleh dikatakan banyak cara untuk perempuan pencari nafkah ini. Lebih-lebih lagi jualan melalui media sosial seperti produk kosmetik, makanan, pakaian dan sebagainya.
Cuma, ada segelintir pencari nafkfkah ini menggunakan cara yang salah dengan mengambil jalan singkat untuk lariskan produk sehingga sanggup lakukan perkara yang memalukan diri sendiri.
Teguran Siti Nur Madihah dala perkongsiannya tentang perempuan pencari nafkah agar menjaga adab. Jangan sanggup melakukan keletah atau aksi yang memalukan sendiri demi untuk lariskan jualan.
Kehidupan ini tidak seringkas yang orang lihat, bukan? Kau, wanita cekal yang membesarkan anak sendirian. Kau, gadis bujang yang berjuang meneruskan kelangsungan hidup di kota metropolitan. Kau, perempuan pencari nafkah di penghujung zaman.
Tulisan ini untuk kau; yang saban malam dan siang, bergelut dengan ombak dan badai yang tak mengenal kasihan.
Kalau dulu, para lelaki segan membiar wanita-wanitanya berhempas pulas membanting tulang. Hari ini, banyak keadaan yang telah serba terbalik dan sengaja dibuat songsang.
Ads
Hari ini, para wanita harus memaksa diri ke depan. Kadangkala, bukanlah kerana kesanggupan, tetapi lebih kepada kerana ranjau hidup yang mencengkam. Dan tidak ada yang cuba meringan beban, meskipun di kelilingnya, masih punya wali-wali lelaki yang seharusnya menjaga keperluan.
Tetapi dunia sudah semakin pekak dan kabur pandangan. Apa lagi yang boleh diharapkan dari kejahilan manusia dalam memahami aturan Tuhan?
Jaga Kehormatan DIri
Bahawa kita, para perempuan perlu memelihara kehormatan dan melindungi rahim yang mengandungkan zuriat keturunan. Namun, keadaan yang mendesak telah memaksa seorang ibu dan bakal ibu berjuang di jalanan. Tidak peduli lagi soal keselamatan, tidak mampu lagi memikirkan soal maruah dan kesopanan.
Tuhan melihat setiap kesukaran yang kau pendam.
Pun begitu, setiap perkara yang kita lakukan ada adab dan garis panduan. Sebab kita bukan ternakan tanpa akal dan pertimbangan.
Walau apa pun alasan, jangan gadaikan harga diri dan kemuliaan yang diberikan oleh Tuhan.
Jangan tewas oleh kehendak pasaran. Demi melariskan jualan, kau sampai sanggup mempertayang diri dengan aksi dan keletah mencuit hati dan emosi para pelanggan.
Ads
Demi menaikkan tontonan, kau sampai sanggup hasilkan konten-konten sampah yang sia-sia asalkan menghiburkan. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara, teman.
Demi Mencari Rezeki
Bertahanlah, di medan mencari nafkah ini, dengan cara yang terpuji dan terpelihara dari sebarang bentuk aktiviti yang dicela oleh Tuhan. Kerana Tuhanlah yang mencukupkan rezeki, terutamanya ketika semua orang meninggalkan atau buat-buat tidak perasan.
Peganglah kisah dua orang anak perempuan Nabi Syuaib ‘alaihissalam, yang keluar berdua untuk mendapatkan air di tempat awam. Belajarlah bagaimana mereka teguh menjaga kesucian dalam proses memenuhi keperluan.
Lalu Tuhan mentakdirkan Nabi Musa a.s untuk menyaksikan dan menghulur pertolongan. Nabi Musa a.s, pemuda perkasa lagi jujur, Al-Qawiy Al-Amin, berkredibiliti dan berintegriti, akhirnya menjadi sebahagian dari keluarga mereka.
Kita barangkali tidak akan bertemu lelaki era kini yang berusaha mencontohi Nabi Musa, tetapi jangan berhenti berusaha mencontohi dua anak perempuan Nabi Syuaib.
Sebab tujuan kita adalah Akhirat yang abadi, bukan dunia yang tak pasti.
Ads
Dan untuk para lelaki yang sewajarnya melindungi, sebelum gigih menuding jari dan ketawa mengeji apabila melihat para perempuan melakukan perkara-perkara bodoh bagi mencari rezeki, tanya diri dahulu, apa yang dah kau lakukan untuk memberdaya sesama sendiri?
Menjawablah para suami, bapa, abang, adik lelaki, bapa saudara, di mahkamah Tuhan kelak, apabila ada dalam kalangan wanita mereka yang sampai terpaksa melakukan apa sahaja demi sesuap nasi.
Selepas empat tahun, akhirnya Yem bakal ada adik.. kawan bermain. Kongsi pelakon, Nad Zainal anak pertamanya itu bakal menjadi abang Long. Serentak mengumumkan berita gembira, hamil anak kedua yang sudah pun berusia empat bulan.
Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 30 yang semakin berseri-seri juga memohon doa. Agar kehamilannya kali ini semudah sewaktu mengandungkan Yem atau nama penuhnya, Fahad Ibrahim Muhammad Faliq.
Doakan Kali Kedua Ini, Semudah Yang Pertama
“Alhamdulillah.. doakan perjalanan kali kedua ini semudah yang pertama.. Yem nak jadi abang.”
Bagaimana pun, Nad menolak kemungkinan cakap-cakap orang yang kandungan keduanya itu adalah ‘baby PKP’
“Semua orang cakap baby PKP (Perintah Kawalan Pergerakan, BUKAN. Masa PKP tak ada masa ‘buat’ (seloroh).”
Sememangnya Nad, dah ada perancangan nak tambah anak sama ada tahun ini atau tahun depan. Lagipun, Yem dah besar. Dan, berita kehamilannya pun cuma diketahui selepas dua minggu dia menjalani pengambaran dengan Remy Ishak dan Mimi Lana untuk drama Hati Yang Tersakiti.
Akui Nad, kehamilannya ini tak memberi sebarang alahan padanya. Elok saja dia menjalani kehidupan macam hari normal.
Malah, Nad masih menjalani pengambaran drama bersiri dan sebaik selesai drama lakonannnya kali ini, Nad masih berhasrat untuk mengambil kerja-kerja yang mudah.
Soal jantina anak pun tak jadi masalah buat Nad. “Jauh di sudut hati saya mahukan anak perempuan.” Apa pun, doanya tetap mahukan bayi dalam kandungannya ini sihat.
“Kalau lelaki pun tak apa.”
Moga doa Nad dan suami mahukan anak perempuan Allah makbulkan.
Untuk rekod, Nad dan suami, Muhammad Faliq Amiruddin mendirikan rumah tangga pada 18 Disember 2015.
Memang ada benarnya kadangkala terdetik rasa ‘cemburu’ di hati apabila melihat kawan-kawan seronok dan bahagia melancong ke serata dunia, tanpa perlu ‘bergelut’ melunaskan tanggungjawab dan komitmen yang menanti. Namun sebenarnya, rezeki untuk melancong itu bukanlah titik bahagia semata-mata, tuhan kurniakan nikmat buat setiap hambanya dalam pelbagai cara.
Ada kawan aku hubungi semalam. Dia cerita betapa cemburunya dia melihat kawan-kawan dapat travel sebebasnya.Dia rasa tertekan sebab tengok kawan-kawan update post travel ke sana sini. Bila ada tiket flight terus beli. Tahu-tahu sahaja sudah ada gambar bercuti di luar negara. Mudahnya.
Sedangkan dia pula sibuk uruskan anak enam orang yang masih kecil. Masih sibuk mengurus baju sekolah, mengatur kerja rumah dalam masa yang sama masih bekerja menambah rezeki untuk keperluan rumah.
Sesekali bawa anak ke Langkawi. Itu pun, kena berkira-kira supaya bajet bulan itu tidak lari. Setiap sen pun kena kira, supaya perut dapat terisi. Kena fikir supaya komitmen bulan-bulan terus terpenuhi.
Aku faham sangat, sebab selalu fikir benda yang sama.
Bersabarlah
Bagi yang mengharapkan travel, aku cuma boleh kata bersabarlah. Orang yang travel ini, kita selalu lihat apa yang ada di FB atau IG, sedangkan kita tidak tahu apa keadaan dan situasi.
Orang yang travel ini mungkin jodohnya belum kunjung tiba.
Orang yang travel ini mungkin zuriatnya belum datang masa.
Orang yang travel ini mungkin baru diberhentikan kerja.
Sedangkan kita bergembira dengan anak-anak, suami sentiasa disisi. Suami dan anak-anak suatu nikmat. Kita ada satu ikatan yang tidak semua rasa.
Sementara kita beri rezeki dan peluang untuk berseronok dengan keluarga, nikmati dan syukuri. Sebab bila anak sudah besar nanti, maka tinggalkan kita sendiri lagi.
Masa membesarkan mereka tidak boleh diulang semula. Sehingga satu masa kita terasa anak-anak sudah besar, tanpa kita sedar.
‘Travel’ Bukan Titik Bahagia Semata-Mata
Jangan letak travel itu sebagai titik bahagia semata-mata. Memang benar, travel boleh membuatkan seseorang itu gembira, tapi Tuhan kurniakan nikmat itu dengan pelbagai cara.
Kita uruskan rezeki yang ada untuk selesaikan tanggungjawab pada anak dahulu. Itu adalah bahagian mereka.
Kita percaya setiap perkara akan berlaku mengikut zon masa. Masa kita belum tiba. Masa orang lain mungkin cepat pula.
Mungkin Tuhan tahu sukat rezeki yang mencukupi, supaya kita tidak susah untuk travel nanti. Supaya kita benar-benar dapat nikmati travel yang memberi makna dan ingatan sepanjang masa.
Mungkin satu masa nanti Tuhan himpunkan kita dan anak-anak bersama. Sesungguhnya travel dengan anak-anak dan keluarga adalah satu nikmat yang tidak terperi.
Kalau bukan di dunia, di akhirat kelak nanti.
Catatan kembara #277
Irwan Dahnil
Tour Leader Anak Tiga
Glasgow, Scotland
Mingguan Wanita:Setuju sangat, ada benarnya tak perlu rasa ‘cemburu’ dengan orang yang berpeluang melancong merata dunia. Rezeki setiap orang tak sama,jangan letakkan ‘travel’ satu-satunya cara untuk capai bahagia.Ini kerana Tuhan kurniakan nikmat itu dengan pelbagai cara.
Dah macam satu habit orang perempuan, kalau boleh semua nak disumbat dalam beg tangan. Dari sekecil-kecil barang sampailah yang semahal-mahal barang. Tanpa sedar, bila jadi kehilangan. Dia boleh hilang semua sekali serentak! Memang gigit jari sajalah nanti.
Ambil pengajaran dari kisah ibu anak 7 ini, Zaila Mohamad (Mekla) yang akui dirinya cuai kerana membiarkan semua barang berharga disimpan dalam satu beg tangan. Sehingga berlaku satu kejadian yang memberi kesan kepada wanita ini, terutama dalam menyimpan barangan berharga ketika pulang ke kampung halaman waktu cuti Hari Raya.
Sehari Sebelum Raya, Rumah Mentua Dimasuki Pencuri
Tergerak hati nak kongsi kisah henbeg Mekla ni. Panjang betul jodoh beliau untuk berkhidmat buat Mekla. Henbeg ni hadiah dari en suami yang dibeli sewaktu en suami ke Dubai beberapa tahun yang lepas. Masa bulan puasa 2014 Mekla melahirkan Aaliyah dalam bulan puasa, anak masih “merah” lagi sudah balik ke kampung untuk berhari raya.
Nak dijadikan cerita, sehari sebelum raya rumah mak Mekla dimasuki pencuri. Kisah ini memang tersemat dalam hati setiap tahun pun akan ingat sebab antara ujian Allah buat kami laki bini juga.
Pagi waktu sahur, ketika kami di dapur, pencuri masuk ke bilik kami yang berada di depan. Memang habis semua diorang sapu termasuklah henbeg ini. Dalam tu ada duit raya yang sudah ditukar, duit RM800 untuk akikah baby Aaliyah, cincin kahwin, cincin beli masa bonus waktu kerja dulu dan duit niaga Mekla.
Henset toksah cerita lah, henset Mekla waktu tu baru je dibelikan en suami, henset lama lagi dan henset en suami pun sekali diorang sebat. Memang beraya sakanlah penyangak tu.
Ya Allah.. Tak Tahu Nak Cakap Apa
Mekla sedar pun bila en suami tanya mana henset dia. Ya Allah masa tu tak tahu nak cakap apa, yang pasti takut sangat en suami marah kat Mekla. Mujurlah en suami ni bertenang, solat sunat dulu dan lepas tu kami ke balai polis untuk membuat laporan.
Balik dari balai polis, en suami tergerak hati nak cari di kawasan semak sekitar radius rumah kami. Syukurlah, bak kata orang kalau sudah rezeki Mekla, en suami jumpa henbeg ini bersama wallet yang masih penuh dengan IC dan kad insuran anak-anak tapi duit habis dikebas dulu di dalam semak tersebut.
Allah juga Maha besar, kami dapat petunjuk lagi bilamana nak keluar untuk selesaikan urusan pemotongan bil telefon, kami terserempak dengan pencuri (tapi waktu tu tak terlintas pula di hati), masa tu mereka sedang kelek pemotong mesin rumput untuk ke tempat semak samun tersebut. Apabila polis datang, memang diceritakan kisah henbeg ini dan kejadian terserempak dengan mereka.
Sampai Sekarang Cincin Kahwin Belum Berganti..
Waktu tu memang redha sahaja dengan jumlah barang yang hilang. Sampai sekarang masih belum berganti lagi cincin kahwin tapi Allah dah ganti dengan banyak benda yang indah-indah dalam hidup Mekla. Balik kampung memang menjadi ketakutan buat kami sebab pencuri suka pecah masuk rumah. Maklumlah budak dadah ni bilalah nak mati.
Khabarnya tak lama selepas itu budak yang pecah masuk rumah mak Mekla sudah kena tangkap dan masuk lokap tapi lepas keluar mencuri lagi. Entah bila nak insaf pun tak tahu, yang sedihnya keluarga tahu tapi seakan merelakan sahaja anak buat kerja jahat begitu. Insya Allah dapatlah bahagian mereka nanti di akhirat sana.
Buat semua, jangan jadi macam Mekla yang lalai sangat waktu itu. Bayangkan perjalanan balik kampung memang memenatkan. Tidur tak cukup lepas tu sampai memang tak ingat apa dah.
Kesilapan kedua apabila menyimpan semua barangan berharga di dalam henbeg. Patutnya simpan di tempat yang susah dituju (macam bakul susu anak ke, beg baju ke atau mana-mana lah). Mudim raya ni memang ramai manusia jahat yang suka mengambil kesempatan atas kepenatan orang lain.
Selain itu, tawakal pada Allah.
Kalau sudah masih rezeki kita insya Allah walau sudah jatuh ke tangan penyangak pun masih boleh kembali kepada empunya. Buat penyangak sekalian, mohon bertaubatlah sebelum terlambat.
Ibu hilang ingatan akibat komplikasi bersalin anak ke-18, "semua benda tak ingat kecuali Qurannya...". Insiden seorang lelaki kurang upaya dibelasah di Terengganu cukup mendatangkan...