
Pengorbanan dan kasih sayang seorang mak tu memang tak berbalas dan tak ternilai. Kita akan benar-benar tahu bagaimana sayangnya mak pada anaknya apabila, kita sendiri menjadi mak.Selagi ‘syurga’ kita ada di dunia ini, hargailah dia. Sayangilah mak sementara dia masih ada kerana apabila seorang mak itu telah kembali kepada pencipta Nya, maka akan hilanglah satu RAHMAT yang ada.
Nukilan oleh Puan Farizal Radzali ini ada benarnya.
Mak tu, Walau mulutnya marah, tapi hatinya tidak.
Mak tu, Walau dia kata lantaklah kamu, tapi otaknya masih fikirkan hal kamu.
Mak tu, Walau dia kata taknak makan sudah, tapi sedar-sedar lauk kegemaran kamu ada kat atas meja.
Mak tu, Walau dia kata kamu buat salah kamu tanggung sendiri, tapi dia yang tak tidur malam fikirkan masalah kamu, tahu-tahu dia yang bagi jalan untuk kamu selesaikan masalah kamu.
Mak tu, Walau dia kata kamu jahat, degil, sampai dia penat bagi nasihat, tapi dalam setiap solatnya ada doa untuk kamu.
Mak tu, Walau kamu dah ada keluarga sendiri, tapi dia masih risaukan kesihatan kamu.
Mak tu, Walau kamu dah besar panjang dan tinggal jauh darinya, tapi dia masih gembira jika dapat masakkan dan sendukkan nasi ke pinggan anak-anaknya.
Mak tu, Walau katanya dia dah tua nak rehat taknak masak dah, tapi dialah paling sibuk memasak bila tahu anaknya nak balik makan.
Mak tu, Walau nampak dia letih, tapi hatinya paling gembira bila lihat anaknya makan masakannya dgn penuh selera.
Mak tu, Walau mulutnya kata dia ok, tapi hatinya Allah je yang tahu.
Mak tu,Walau dia makin tua makin lupa, tapi dia tak pernah lupa janji anak-anaknya.
Mak tu, Walau dia kelihatan tenang dikala kamu sedang susah, tapi dialah yang sebenarnya paling sedih.
Mak tu,Walau dia kelihatan kuat, tapi dialah paling lemah bila anaknya susah.

Mak tu,Walau dia cakap dia tak suka apa yang kamu buat, tapi dalam diamnya dia cuba mengikut apa yang kamu mahu.
Mak tu, tiada gantinya walau berapa harta yg kita ada. Tiada gantinya walau dia buruk atau miskin. Tiada gantinya walau siapapun kamu. Tiada gantinya walau kau dapat mak angkat, mak mertua atau mak apapun yang dilihat jauh lebih sempurna, namun Mak kita takkan pernah sama dengan sesiapa. Sebab dia mak kita. DIA MAK KITA.
Sayangilah mak sementara dia masih ada. Kerana doanya tiada hijab. Hilanglah satu rahmat bila Mak kembali kepada Pencipta-Nya.
Nukilan seorang anak & mak
Farizal Radzali
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Kata-kata daripada seorang mak adalah ‘keramat’, doanya pada anak tiada hijab. Sayangilah ‘syurga’ kita di dunia sementara masih ada. Buat yang telah tiada mak, selalulah doakan kesejahteraannya di alam sana.
Sumber: Farizal Radzali
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selesaikan Dulu Punca Kemalangan Maut, Barulah Cerita Pasal Car Seat

Isi Kandungan
TogglePejam celik, lagi sebulan lebih penguatkuasaan pemasangan car seat dalam kenderaan persendirian akan bermula, iaitu pada Januari 2020. Ini salah satu langkah kerajaan untuk melindungi keselamatan bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan.
Di pihak mak ayah pula, bagaimana? Kata Ustaz Khairul Anuar Basri, isu yang lebih besar bukanlah semata pemasangan car seat. Tetapi sikap dan kelalaian pemandu itu yang perlu diperhatikan. Kerana itulah punca utama kemalangan maut atas jalan raya.
Ketahui Punca Kemalangan Itu Sendiri
Sekarang, sampailah masanya saya menulis tentang penguatkuasaan penggunaan car seat bagi kanak-kanak bermula 1 Januari 2020.
1 fakta yang tak boleh kita nak nafi ialah; sebab kematian kanak-kanak paling utama selepas lemas dan tercekik ialah kemalangan.
Hakikat ni kita semua setuju. In fact, penggunaan car seat bagi kanak-kanak patut dialu-alukan oleh semua pihak sebab ia boleh mengatasi punca kematian kanak-kanak akibat kemalangan.
Fakta yang saya nak bincang jugak secara objektif kali ni ialah; kita ada 1 lagi masalah besar selain daripada punca kematian kanak-kanak (tak guna car seat) iaitu PUNCA KEMALANGAN itu sendiri.
Yes, kalau kita nak selesai punca kematian kanak-kanak dalam kemalangan iaitu tak guna car seat, maka bila guna car seat, harapnya boleh berkuranglah kematian kanak-kanak.
Saya pun setuju.
Tapi, ia tetap tak menyelesaikan ibu lagi besar punya masalah iaitu kemalangan itu sendiri.
Sikap Dan Kelalaian Itulah Punca Kemalangan Maut
Saya rasa semua orang setuju, kalau kita selesai punca kemalangan, maka dengan sendirinya punca kematian akan dapat diselesaikan.
Kalau kita selesai punca kematian akibat kemalangan sahaja, tanpa kita selesaikan punca kemalangan, maka kemalangan tetap akan berlaku dengan banyaknya sampai bila-bila.
Ini masalah sebenar yang jauh lebih besar dan patut kita ambil berat. Jangan buat tak nampak, atau pandang sebelah mata.
Saya rasa, semua orang setuju, kemalangan banyak berlaku (dan banyak juga kemalangan maut) di negara ini ialah berpunca daripada SIKAP dan KELALAIAN.
Betul tak?
Pemandu Yang pernah Terbuat Ini.. Insaflah
Selesaikan masalah ni dulu sebelum pergi jauh sampai ke car seat.
- Bawak kereta laju macam pelesit : ini sikap yang mengakibatkan kemalangan.
- Langgar lampu kuning traffic light : ini sikap yang mengakibatkan kemalangan.
- Main handphone masa bawa kereta : ini sikap yang mengakibatkan kemalangan.
- Masuk simpang tak bagi signal : ini sikap yang mengakibatkan kemalangan.
- Bawa kereta terhegeh-hegeh, sekejap brek, sekejap brek : ini sikap yang mengakibatkan kemalangan.
- Bawa kereta macam kura-kura tanpa rasa bersalah di lorong paling kanan : ini sikap yang mengakibatkan kemalangan.
- Bawa kereta tanpa rehat, mengantuk dan letih : ini sikap yang mengakibatkan kemalangan.
- Dan banyak lagi la kalau nak cari punca berlaku kemalangan. Dan semuanya berkait dengan sikap. Kena ubah sikap. Kena fikir dan buat sesuatu supaya sikap ni boleh diubah.
Kuat Kuasa Hukuman Kaw Kaw
Saya pernah terfikir, banyak benda boleh dibuat oleh pihak kerajaan atau penguatkuasa macam JPJ dan Polis Trafik. Salah satunya, beratkan lagi hukuman. Biar kow-kow punya.
- Saman bagi lagi tinggi.
- Bagi hukuman penjara pulak.
- Batalkan dan haramkan terus lesen memandu untuk kesalahan yang berulang.
- Buat kerja kemasyarakatan dan sebagainya.
Penguatkuasa Pun Buat Kerja Biar Ikhlas
Semua ni akan menyebabkan (sedikit kalau tak banyak) sikap masyarakat akan berubah. Dengan syarat, pihak penguatkuasa pun buat kerja biar ikhlas.
- Jangan buat road block tempat terpilih pada masa terpilih. Atau bila dah cukup target, angkat kon, cabut balik. Nampak sangat macam dah meet target berapa saman keluar, maka selesai kerja.
- Jangan kasi can dan bagi ruang pesalah kow tim dengan duit kopi. Yang ni tak payah ulas panjang. Nanti kecoh pulak. Ramai ada pengalaman ni termasuk saya sendiri.
- Jangan la letak kamera speed trap di tempat yang orang tahu. Ini memang kartun tahap gaban la. Ada kamera kat highway PLUS dari Bangi menuju Kajang, sampai kat kamera tu, semua kereta bawa kereta macam siput. Lepas je kamera, semua pecut macam babi!
Tak ke kerja sia-sia tu wahai yang cerdik pandai?
Dan saya pernah terfikir, kadang-kadang, nak bagi pemandu behave ni (slowkan speed dan sebagainya), letak kon oren tu tengah jalan pun orang dah slow dah. Tak payah pacak roadblock pun.
Kan? Kan? Kan?
Saya pun pelik, kenapa bila kita berada di luar negara, kita boleh behave macam malaikat? Bawa kereta ikut peraturan jalanraya. Nak jalan kaki pun solan santun. Nak buang sampah pu cari tong sampah.
Tapi balik sini, perangai macam setan! Serba serbi langgar.

Baguslah Ada Car Seat, Tapi..
Macam lampu isyarat kan.. lagi kuning lagi dia pecut. Itu yang kalau eksiden, terus mati tu.
So, balik semula kepada car seat tadi.
Ye, baguslah ada car seat. Tapi, praktikalkah dari segala segi?
- Kos – saya baru tulis 2, 3 hari lepas pasal kos belajar bila nak masuk sekolah awal tahun yang bikin mak bapak sakit jiwa. Lagi nak tambah dengan car seat pulak? Kalau 1 berapa? Kalau 2? Kalau 3?
- Pratikal – tak semua orang pakai kereta besar. Ada yang kereta kecil, anak pulak ramai. Dah elok-elok boleh sumbat 5 orang anak kat belakang, terus tinggal 2 orang je sebab dah isi dengan car seat.
- Penguatkuasaan – macamana nak buat tu? Polis dan JPJ diorang guna tak car seat tu untuk kereta diorang? Saya pernah tengok, geng-geng ni pun kalau bawa kereta seat belt pun tak pakai.. oppsss… maaf Tuan..
Dan lain-lain lagilah ye.. tapi yang paling besar masalah kewangan tu la.
So, kesimpulan yang saya nak bagi ialah :
- Cari benda lebih penting untuk selesai. Kemudian selesaikan dulu.
- Peringatan : jangan lepas ni bila dah orang semua habis duit beli car seat, kerajaan nak kaji balik semula pulak. Macam tak biasa kan? Dah banyak kali jadi sebelum ni.
Okbai..
Selamat berbincang dengan aman.
Saya tulis pendapat saya je. Kalau tak setuju, gi buat status dekat wall sendiri. Tak payah tulis panjang-panjang kat sini.
Ngeh ngeh ngeh…
#KAB
– Cikgu Mohd Fadli Salleh kata, kalau hati tak kering, jangan coba-coba nak tulis macam ni
Sumber/Foto : Khairul Anuar Basri
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Impian Mak Ayah Nak Anak Belajar Bidang Kejuruteraan, Anak Minat Kulinari

Isi Kandungan
ToggleImpian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Impian Anak Turut Jejak Langkah
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Suasana Kerja
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
– Ummi risau –
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Impian Diri Sendiri
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Lagi artikel menarik di sini:
Akidah Anak Perlu Dipasak Dari Awal, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!
Mak Ayah Nak Kahwin Lagi, Anak Tak Patut Halang Tapi TOLONG Bincang
Ikuti MW di instagram kami:
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Impian Tertangguh
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Mungkin Bukan Terbaik Untuk Anak
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Buat Kajian
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.

Adakan Perbincangan
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Ukuran Kejayaan
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
13 Perkara Yang Wanita Islam Harus Tahu, Agar Mencapai Redha Allah

Isi Kandungan
ToggleWanita Islam yang beriman kepada Allah harus ambil tahu 13 perkara ini. Agar mereka faham konsep menutup aurat itu bagaimana syaratnya. Ini perkongsian daripada Puan Monalita Mansor yang dihimpunkan menerusi dakwah yang disampaikan oleh Ustaz Jamnul Azazi Mulkan.

1. Bulu Kening
Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.(Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.)
2. Kaki
Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – (Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.) Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur di zaman jahiliyah.
3. Wangian
Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong.(Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.)
4. Dada
Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka. (Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.)
5. Gigi
Rasullulah SAW melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – (Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani) Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah.(Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)
6. Muka Dan Leher
Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.
7. Pakaian Yang Nipis (Jarang)
Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah SAW dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja (Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.)
8. Tangan
Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.(Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.)
9. Mata
Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya. (Petikan dari Surah An Nur Ayat 31)Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram.(Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.)
10. Mulut (Suara)
Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik (Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.) Sabda SAW yang bermaksud: Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi. (Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.)

11. Kemaluan
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. (Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.) Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya. (Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.) Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah. (Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.)
12. Pakaian
Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti. (Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah.) Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya. (Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
13. Rambut
Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya. (Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.) Riwayat Imran bin Hushain ra.: Bahwa Rasulullah SAW. bersabda yang mafhumnya: Sesungguhnya penghuni syurga yang paling sedikit adalah kaum wanita. (Shahih Muslim No.4921)
Ya Allah aku telah menyampaikan 13 perkara ini kepada umat Islam, dan terimalah amalanku ini sebagai ibadah yang Engkau redha. Amin!
Sumber: Monalita Mansor via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI