Iya, mak ayah kita tak pernah minta pun huluran duit dari anak-anaknya. Sebab dia pun tahu, anak-anak ada komitmen lain yang banyak. Keluarga, hutang dan sebagainya.
Bila mak ayah bahagia hatinya, mereka mendoakan. Doa itulah jadi keberkatan rezeki anak-anak makin berganda. Perkongsian sedekah untuk mak ayah, catatan Farrawati Sabli begitu menjentik emosi.
Cukup dekat untuk mengingatkan kita, agar jangan bernanti-nanti dalam membuat amal kebaikan dekat orang tua sendiri mahupun siapa saja.
Barangkali Dia Belum Gaji Lagi..
Saya masuk ke bank di Tuaran, ada seorang makcik menegur saya.
“Boleh tolong cek, manatau masuk sudah duit saya.”
“Oo, boleh makcik.”
Tiba giliran, selesaikan dulu urusan saya, baru bantu makcik tu.
Beliau hulurkan kad ATM beserta IC.
Bila dicek.
Ads
“Baki duit RM18 makcik.”
“Oh, belum masuk lagi.” Kami keluar bersama-sama dari bank itu. Walau hampa, beliau masih tersenyum.
“Makcik dari mana?”
“Dari Kg Kindu.”
“Sekarang makcik mahu ke mana?”
“Balik ke kampung, saya turun Tuaran cek duit saja, ingatkan anak saya sudah kasi masuk.”
“Anak makcik di mana?”
“Kerja di Sandakan. Barangkali dia belum gaji lagi.”
Allahuakbar, mungkin juga makcik turun ke Tuaran mahu beli barang-barang rumah, untuk keperluan berbuka puasa. Tetapi hampa kerana duitnya belum masuk lagi.
Ads
Jangan Bertangguh Memberi Pada Ayah Ibu
Pertemuan singkat dengan makcik ini memberi peringatan pada saya, jangan bertangguh memberi pada ayah ibu. Adakala mereka tidak pernah meminta, namun mereka tetap menunggu. Kudrat mereka untuk bekerja semakin berkurangan dari hari ke hari.
Kita bersangka baik, sudah pasti anaknya juga tengah berusaha keras menafkahkan ibunya yang tersayang.
Ads
Semoga dipermudahkan urusan makcik ini dan dimurahkan rezeki anaknya mencari rezeki diperantauan.
Terima kasih Ya Allah, beri peluang sedekah buat makcik yang memerlukan ini.
Nak ajar anak dah kahwin, mak ayah kena tegas. Tak boleh asyik wujudkan rasa kasihan dalam diri. Semua nak tolong, semua nak kita keluarkan duit. Akhirnya anak terdidik jadi pasangan yang tak reti bertanggungjawab sebab dah biasa sangat ada orang bantu.
Nak-nak pula kalau anak lelaki. Tolonglah tegas dan biarkan dia belajar hidup susah dulu. Nak lagi faham konsep bagi anak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga, ikut cara yang dikongsi saudara Firdaus Shakirin. Kejam tetapi mesti ada hasilnya!
Bila anak lelaki kita dah berkahwin, suruh dia keluar dari rumah kita, duduk asing.
Perkahwinan merupakan satu alam baru bagi mereka yang memilih untuk menamatkan zaman bujang. Perkahwinan datang dgn tanggungjawab yang perlu dipenuhi dan dilaksanakan oleh si suami dan juga si isteri.
Sebagai ibubapa, kita perlu biar anak dan pasangannya hidup sendiri, biar anak dan pasangannya bina kehidupan mereka, biar anak dan pasangannya bersusah-susah dahulu, biar mereka atur kehidupan mereka sendiri, satu persatu.
Bagaimana mereka inginkan rumahtangga mereka jadi…
Jangan sebab alasan kos hidup tinggi, gaji anak sikit, dia tak pernah berenggang dengan kita, semua serba serbi kita yang sediakan kat dia, kita jadi kasihan kat anak, kita “simpan” dia dalam rumah kita, kita tanggung dia dan pasangannya… sampai bila kita mampu buat macam tu?
He need to face the facts that now he is on his own…
Itu adalah cabaran yang dia perlu tempuhi dan hadapi bila dia memilih untuk mendirikan rumahtangga. Dia perlu fikir akan semua itu dahulu sebelum dia berkahwin, dia perlu ada perancangan akan bagaimana dia ingin hidup bersama pasangannya selepas berkahwin.
Dia bakal menjadi seorang ketua keluarga, seorang suami, seorang ayah dan dia perlu plan masa depannya. Perkahwinan bukannya satu perkara yang boleh dibuat main-main atau suka-suka.
Dia kena bertanggungjawab terhadap orang yang dikahwininya.
Biar dia tinggal dalam rumah sewa yang kecil, biar dia naik motor dengan pasangannya ke tempat kerja, biar dia tak ada kereta, biar dia kena hujan, biar dia makan dan pakai apa yang ada, biar dia rasa apa itu pokai, apa itu “tengah bulan”, biar dia “ikat perut”, biar dia susah bersama pasangannya supaya dia tahu, bukan senang untuk melayari hidup berumahtangga, supaya dia tahu untuk bersyukur akan apa yang dia dah ada dan dapat selama ini, supaya dia tahu untuk lebih menghargai siapa yang ada bersamanya ketika dia susah, ketika dia baru nak membina kehidupannya.
Dia perlu belajar berdikari dan bertanggungjawab agar dia mampu membina keluarga yang bahagia dan mengatur masa depannya dengan lebih baik.
Kita sebagai ibubapa dah membesarkannya selama 20 tahun, 30 tahun dengan cukup-cukup baik. Maka sekarang, masa untuk melihat hasilnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Godaan nafsu itu amat menakutkan sekali. Lagi-lagi untuk para suami yang sering jauh dari isteri. Sekali kau gagal tepis, selamanya menyesal.
Sama ada lelaki biasa, ulama mahupun pemimpin negara, ‘godaan’ hati lagi-lagi untuk memiliki wanita selain isteri akan tetap pernah mereka lalui.
Penulis dan ulama terkenal Indonesia, Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang lebih dikenali dengan nama Hamka ini pun tak lari dari godaan ketika bermusafir ke Amerika.
Perkongsian indah dari Puan Normujaidah Osman, menerangkan apakah ciri keistimewaan yang ada dalam solat sehingga mampu menjadi benteng keimanan yang utuh dan lindungi diri dari godaan nafsu.
Saya terpaku apabila membaca pengalaman Prof. Dr. HAMKA di Amerika pada tahun 1952.
Ketika menjadi tetamu Kerajaan Amerika dan dibawa ke Denver, seorang pekerja hotel telah bertanya kalau – kalau beliau mahu ditemani tidur oleh seorang gadis muda.
Pada waktu itu, beliau sudah bermusafir selama dua bulan tanpa ditemani anak dan isteri.
Lelaki berusia 44 tahun dan masih sihat.
Masakan hatinya tidak bergetar apabila menerima tawaran sebegitu.
Namun, tahukah tuan dan cik puan apa yang beliau fikirkan?
Pada saat pelayan hotel itu masih tersenyum-senyum simpul, yang terlintas di fikirannya adalah – SOLAT!
Ketika itu beliau baru saja selesai solat jamak qasar Maghrib dan Isyak.
Malahan bekas air wudhuk juga belum hilang.
Lalu, beliau berkata kepada dirinya :
‘Kalau aku telah tidur pada malam ini dengan perempuan yang lain, meskipun isteriku tidak melihat dan tidak tahu, bagaimana esok pagi, aku akan sembahyang subuh?
Tidak ada sekutu bagiNya dan inilah diperintahkan kepadaku dan aku adalah salah seorang daripada mereka yang telah menyerahkan diri kepada Tuhan.’
Bisik Prof HAMKA lagi,
‘Bagaimana aku akan mengucapkan bacaan itu pagi-pagi?
Tentu aku akan malu mengucapkannya.
Tentu pagi-pagi aku akan malu untuk mengerjakan sembahyang dan kesilapan ini akan menyebabkan aku terus menerus silap, akan malu meneruskan solat kerana berdosa!’
Lalu, beliau dengan tegasnya berkata :
“No, thank you.” Lantas, menutup pintu kamarnya.
Keesokan harinya, setelah beliau mendirikan solat subuh, beliau merasakan solatnya kali ini, lebih khusyuk daripada biasa!
Suatu hal yang jarang beliau rasakan dalam solat- solat sebelumnya.
Ini kisah yang saya baca dalam tafsir Al- Azhar yang menerangkan tentang
mafhum Surah Al-Ankabut : Ayat 45 :
Bacalah daripada apa yang telah diwahyukan kepada engkau daripada al-Kitab dan dirikanlah sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari yang keji dan yang mungkar. Dan sesungguhnya ingat akan Allah itu lebih besar. Dan Allah mengetahui apapun yang kamu perbuat.
Prof Dr. HAMKA, ketika mentafsirkan ayat ini menerangkan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) diberi bimbingan oleh Allah tentang cara bagaimana memperkuatkan jiwa dalam menghadapi tugasan dakwah kepada manusia yang sangat berat itu.
Perkara pertama yang baginda perlu lakukan ialah selalu membaca- baca, merenungkan serta memahami wahyu – wahyu yang diturunkan kepada baginda.
Kedua, hendaklah baginda mendirikan sembahyang kerana sembahyang itu akan mencegah daripada perkara yang keji dan mungkar.
Allah ya Allah.
Sungguh Allah mahu saya menangis keranaNya.
Ditemukan saya dengan ayat – ayat indahNya dan tafsiran-tafsiran serta kisah – kisah yang membuatkan tubir mata saya basah dengan air mata.
Prof. HAMKA membawakan pendapat Abu Aliyah yang mengatakan bahawa solat itu hendaklah dilatih mendirikan tiga keistimewaan.
Sekiranya tiga keistimewaan itu tiada, maka tidaklah bererti solat itu.
Keistimewaan-keistimewaan itu adalah :
1. AL – IKHLAS – yang bererti semata – mata satu tujuan , iaitu semata- mata kerana Allah.
2. KHASSYAH – yang bermaksud takut kalau – kalau Allah tidak memerima solat itu.
3. ZIKRULLAH – ingat kepada Tuhan dalam hati disertai dengan sebutan mulut.
Kata Abu Aliyah lagi :
a. Ikhlas itu mendorong kita untuk berbuat sesuatu yang makruf.
b. Khassyah pula akan mencegah kita daripada melakukan perkara – perkara yang mungkar.
C. Zikrullah pula ialah seluruh ayat Al- Quran dan bacaan yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk dibaca. Zikir akan menyuruh kita yang baik dan melarang kita perkara yang mungkar.
Penerangan Prof. Dr. HAMKA ini benar- benar menjentik jiwa saya.
Apakah selama ini, ketika solat, saya benar-benar mendirikan ketiga-tiga keistimewaan ini – ikhlas, khassyah dan zikrullah?
Kerana jika tidak, solat saya itu tidak akan bisa mencegah saya daripada berbuat perkara yang keji dan mungkar.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Kisah Buya Hamka menjadi bukti begitu hebatnya kualiti solat alim ulama terdahulu sehingga solat itu benar-benar mencegah mereka daripada perkara yang keji dan mungkar.
Aduhai diri,
Renung-renungkan lah.
Adakah solat kamu benar-benar diterima Tuhan?
Apakah hati kamu telah sepenuhnya kamu serahkan?
Apakah sudah kamu bawa ikhlas dan khassyah bersama-sama zikrullah yang kamu sebut-sebutkan ?
Duhai diri,
Solat itu – perbaiki!
Duhai diri,
Hadirkan lah hati!
Hanya semata-mata kerana Ilahi.
Moga- moga dengan mengingati Ilahi, di dalam solatmu nanti, akan menjadikan solatmu lebih bererti kepada amalan- amalanmu yang lain-lain lagi sehingga setiap denyut nadi kehidupanmu akan menjadi ibadah kepada Rabbul Izzati.
Allahumma aiinna ala zikrika wasyukrika wa husni ibadatik.
Ya Allah,
Bantu kami dalam mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan memperelokkan ibadah kami kepadaMu.
Buntu golongan lelaki kalau ingatkan bab wang hantaran yang diletakkan terlalu tinggi jumlahnya oleh belah pihak keluarga perempuan. Yang senang tetiba jadi susah.
Akhirnya majlis perkahwinan terpaksa ditangguhkan semata-mata nak cukupkan dulu nilai yang diminta oleh pihak bakal pengantin perempuan.
Ini yang jadi rumit dan dilema bagi golongan lelaki yang dah lama nak halalkan pilihan hatinya. Sepatutnya cerita wang hantaran itu jadi mudah seperti yang Puan Farizal Radzalijelaskan ini.
Bila sebut pasal wang hantaran, banyak cerita mengenainya. Ada yang kata wang hantaran tak wajib, wang hantaran tinggi penyebab kesukaran pasangan berkahwin, wang hantaran kena ikut tahap bakal pengantin lelaki atau bakal pengantin perempuan, begitulah beginilah.
Ada juga ibu ayah sebelah perempuan, bila letak hantaran, mulalah mengira harga barangan untuk kenduri. Harga barang dah mahal la, nak sembelih lembu untuk kenduri la, saudara mara ramai la, belanja banyak nak pakai. Tahap paling mengarut saya pernah dengar, yang nak kahwin ni anak sulung, rumah kami dah teruk, kena betulkan bahagian dapur untuk buat kenduri. Haaa??? Saya garu kepala sekejap. Kenapa semua ni kena guna wang hantaran? Apa kena mengenanya? Kenapa pihak lelaki kena tanggung semua tu?
Sebenarnya kan…
Dulu-dulu, pihak lelaki perlu bayar hantaran kepada pihak perempuan kerana bila rumahtangga dibina, isteri adalah bendahari dalam keluarga. Maka simboliknya, si suami akan beri wang belanja kepada isteri untuk keperluan keluarga mereka (selain nafkah khas untuk isteri). Dari sini perlu difahami, wang hantaran adalah milik bakal isteri untuk membina hidup selepas berkahwin, bukannya sebagai belanja kenduri di sebelah perempuan.
Sebab itu, wang hantaran perlu mengikut kemampuan bakal pengantin lelaki, bukan ditetapkan ikut gred perempuan. Kalau nak ikut gred perempuan, kerja kilang ke kerja doktor ke, harga barang tetap sama. Bukannya doktor beli harga lain, pekerja kilang beli harga lain pun.
Sebab tu wang hantaran telah jadi pemberat sebuah perkahwinan masa kini, kerana disalah erti dan sikap ambil kesempatan di pihak perempuan.
Jenuhlah kat pihak lelaki, dia perlu sediakan belanja untuk wang hantaran yang digunakan untuk kenduri sebelah perempuan, belanja untuk kenduri sebelah lelaki lagi, nanti nak mulakan hidup lepas kahwin, kena cari belanja lagi. Itu yang buat perkahwinan nampak sukar.
Kenduri perempuan, sebelah perempuan yang tanggung. Kenduri lelaki, sebelah lelaki yang tanggung. Janganlah pulak bila rombongan pihak keluarga sebelah lelaki datang ke majlis sebelah perempuan, ada yang berbunyi “Aiii… hantaran sampai beribu riban, lauknya macam ni je????” Ingat, wang hantaran bukan untuk kenduri, tapi adalah untuk pasangan pengantin baru ni mulakan hidup lepas berkahwin.
Melainkanlah pihak lelaki berkemampuan, bolehlah dia tanggung semua. Besar pahala dia. Dan pihak lelaki pun, bila pihak perempuan bertolak ansur, janganlah sampai wang hantaran dinafikan pemberiannya pula.
Tak mampu kenduri besar, buat ala kadar. Jangan ikut trend masa kini sangat. Rukun nikah tak pernah berubah, sama je dari dulu.
Yang paling penting adalah hidup lepas berkahwin sebab masih panjang yang perlu dilalui. Bukan pada hari majlis perkahwinan semata-mata. Memang benar, berkahwin sekali seumur hidup, perlu ada kenangan. Kenangan yang paling indah ialah bila segala urusan kita dipermudahkan dan diredhai Allah swt.
Wallahu’alam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pelakon Wanita, Syida Melvin dilaporkan telah memfailkan cerai terhadap suaminya, Syafiq Azim di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Disember tahun lalu.