Gadis Cekal Berperahu Rentas Sungai Rajang Ke Sekolah Kini Berjaya Bergelar Peguam! Hasil kesungguhan dan kecekalan dalam menuntut ilmu, menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Meskipun terpaksa bersusah payah dan melipatgandakan usaha dalam menimba ilmu.
‘Basak Budouk Basak Tenguk’. Itu pepatah dalam dialek Melanau Dalat yang membawa maksud asalkan rajin berusaha akan memperoleh hasil yang lumayan.
Pepatah itu juga mengambarkan usaha kental Jacquelyn Juliet Suching, 25, wanita asal Kampung Kebuaw, di sini, sebuah perkampungan pendalaman di Sarawak mengejar impian ke menara gading sehingga berjaya bergelar peguam.
Ubah Nasib Keluarga
Wanita Melanau Iban yang berasal daripada keluarga petani itu bersemangat mahu mengubah nasib keluarganya dengan pendidikan biarpun perlu merentas Sungai Rajang dengan menaiki perahu dihantar ibu setiap hari untuk ke sekolah.
Kisah Jacquelyn Juliet mendapat perhatian di TikTok selepas peguam muda itu berkongsi video yang dimulai dengan dirinya ketika berusia 11 tahun pulang dari sekolah ditunggu ibu di perahu, bergraduasi dan ditauliahkan sebagai peguam.
Berkongsi kisahnya, Jacquelyn Juliet berkata, kampungnya terletak di bahagian hilir Sungai Rajang dan selama enam tahun dia menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama ke sekolah di persisiran Sungai Rajang, Batang Igan.
Ads
Ibu Bapa Utamakan Pendidikan
Menurutnya, setiap hari dia akan dihantar dan diambil ibu, Catherine Stin, 48, yang mengemudi perahu sendirian, sementara bapa, Suching Jugei, 58, mengambil upah berkerja di kebun rumbia milik orang.
“Sebagai anak pedalaman saya sudah biasa merentasi Sungai Rajang, malah tak berasa takut menyeberanginya biarpun ada buaya kerana perahu satu-satunya kenderaan kami di kampung untuk ke sekolah. Lagipun saya tahu hanya dengan pendidikan dapat mengubah nasib kita.
“Malah saya beruntung mempunyai ibu bapa yang sangat mengutamakan pendidikan, malah pendapatan tidak menentu sebagai petani dan mengambil upah mengerjakan kebun rumbia tetap diutamakan untuk persekolahan kami,” katanya.
Cuti Sekolah Bantu Mak Ayah Di Kebun Rumbia
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ketika berusia 13 tahun dia belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Miri dan setiap kali cuti sekolah dia akan membantu ibu bapa di kebun rumbia untuk mencari pendapatan lebih, manakala waktu makan dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran.
“Kehidupan sederhana tanpa kemewahan di kampung yang tiada kemudahan Internet yang baik, jalan raya dan air bersih mendidik saya untuk tekad mengejar impian sekali gus membuktikan anak pendalaman juga boleh mencapai cita-cita.
Ads
“Sehingga belajar di universiti saya dan adik-beradik masih membantu mak dan ayah di kebun rumbia. Itu juga menaikkan semangat saya untuk memberi kesenangan kepada mereka yang banyak mengorbankan masa serta tenaga untuk kami,” katanya yang berkerja di sebuah firma guaman di Bintulu.
Kerja Keras Ibu Bapa
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah itu berkata, kejayaan yang diperolehinya disifatkan bukan usahanya semata-mata sebaliknya ia adalah kerja keras ibu bapanya yang membanting tulang empat kerat.
“Saya masih baru dalam bidang perundangan kira-kira setahun tujuh bulan termasuk tempoh chambering dan apabila sudah tamat belajar saya melihat apa diperolehi ini hasil usaha pahit manis sejak kecil menjadikan saya sebak.
“Walaupun mak ayah hanya petani tetapi mampu membentuk masa depan kami dengan pendidikan. Tiga adik saya juga masing-masing bergraduasi dan masih belajar di universiti tempatan dan seorang di Australia, manakala dua abang saya sudah berkeluarga dan berkerja,” katanya yang masih bujang.
Berhubung video TikToknya, Jacquelyn Juliet berkata, video itu dirakam guru matematiknya, Cikgu Ermi pada 2009 dan ketika itu dia adalah pelajar terakhir yang pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
Katanya, Cikgu Ermi memberikan video itu kepadanya pada 2018, namun dia tidak pernah berkongsi video berkenaan di media sosialnya sebelum tergerak hati untuk memuat naik di TikTok, baru-baru ini sebagai kenangan selain penghargaan buat ibu bapa dan guru serta pensyarahnya.
Mingguan Wanita: Tahniah atas kejayan mencapai cita-cita bergelar peguam. Meskipun laluannya tak mudah, terpaksa meredah sungai yang ada buaya dengan perahu ketika pergi ke sekolah, namun tetap cekal untuk rajin belajar. Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak yang lain.
“Harap dikurniakan anak kembar” selepas 3 tahun kahwin, Nadiyah Shahab sedia bergelar ibu. Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga sudah pasti inginkan zuriat.
Begitu juga dengan pasangan pelakon yang juga pemilik nama sebenar Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab atau Nadiyah Shahab dan suami Ben Ali.
Sebaik mendirikan rumah tangga pada tahun 2018 wanita ini sibuk dengan karier seni dan menyempurnakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Singapura.
“Harap Dikurniakan Anak Kembar”
Selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, Nadiyah merasakan ini masa yang sesuai untuk mempunyai anak.
Nadiyah juga sudah bersedia untuk melangkah ke satu fasa baharu dalam hidupnya iaitu bergelar ibu.
“Ketika awal perkahwinan, kami merasakan hanya bersedia untuk bergelar ibu bapa selepas kerja selesai.
“Tetapi kami belajar bahawa tidak ada kerja yang akan selesai kerana akan sentiasa ada perancangan baharu.
“Saya tak mahu mengandung, kemudian bersalin dan selepas itu tinggalkan anak dengan pembantu. Atas sebab itu saya tangguhkan dulu hasrat untuk memiliki cahaya mata.
“Memandangkan kami dah buang masa tiga tahun, jadi saya harap dikurniakan anak kembar sebab keluarga saya ada banyak sejarah anak kembar,” ujarnya.
Jadi ‘Suri Rumah’ & Tumpu Pada Anak
Pelakon cantik ini juga menambah sudah bersedia untuk menjadi ‘suri rumah’ apabila bertukar status kelak dan memberi tumpuan kepada anak.
“Sejak beberapa tahun lalu saya dah puas bekerja, belajar. Jadi saya beritahu Ben, kalau ada rezeki saya mahu beri tumpuan kepada anak.
“Saya nak menikmati perjalanan sebagai ibu dan pengalaman membesarkan anak,” jelasnya yang juga menguruskan perniagaan Absolut Chocolat dan beberapa cabang lain perniagaan menerusi pengurusan acara dan artis.
Kehangatan Musim Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) semakin terasa, dimana hari pengundian bakal berlangsung pada minggu depan. Calon wanita bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Jo-Anna Sue Henley Rampas,28 yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berjaya mencuri tumpuan masyarakat dengan rupa parasnya yang menawan.
Merupakan wanita berdarah Pan Asian, ramai yang tidak percaya bahawa wanita cantik ini berasal dari Kiulu, sebuah pekan kecil yang terletak tidak jauh dari Kota Kinabalu, Sabah. Jo-Anna berdarah kacukan dimana ibunya berketurunan Kadazan dan bapanya warga British.
Namun bukan sekadar bersandarkan pada paras rupa untuk memancing undi, penglibatan wanita ini dalam bidang politik bermula apabila Parti Warisan Sabah mencari ikon belia untuk mewakili Gen Y dan Gen Z di Sabah. Sewaktu itu, Jo-Anna yang sedang berkhidmat sebagai wakil rakyat di pekannya, mengambil peluang itu untuk meneruskan khidmatnya untuk rakyat Sabah.
Anak kelahiran Sabah ini digelar sebagai ‘beauty with brains’ dan miliki pakej lengkap sebagai pemimpin muda, berikut adalah lima fakta mengenai Jo-Anna:
1. Jo-Anna merupakan seorang graduan ijazah Sarjana dalam Undang-undang Antarabangsa dan Tanggungjawab Sosial Korporat dari University of West England.
Semasa di London, beliau bekerja dengan sebuah syarikat pengiklanan yang menguruskan perkhidmatan penstriman muzik Samsung, Milk Music, untuk Malaysia dan Indonesia. Beliau mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dua tahun lalu.
2. Ikon Belia Parti Warisan Sabah itu aktif dalam bidang seni dan hiburan sebelum terlibat dalam politik. Beliau merupakan seorang penyanyi dan pernah menyertai pertandingan Bintang RTM 2009, sekaligus merangkul tempat kedua.
3. Jo-Anna juga merupakan bekas Ratu Cantik Unduk Ngadau pada tahun 2007. Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik sempena Pesta Keaamatan di Sabah.
4. Keluarganya turut mempunyai latar belakang politik. Ibunya, Sullah Rampas adalah calon Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) pada tahun 1994 dan bapa saudaranya, Datuk Louis Rampas, pernah menjadi ADUN Kiulu selama tiga penggal.
5. Bukan itu sahaja, Jo-Anna juga merupakan seorang jurulatih kecergasan bertauliah. Beliau mengambil keputusan untuk memulakan kehidupan yang sihat apabila doktor mengesahkan tahap kolestrol badan agak tinggi untuk umurnya.
Cantik dan bijak.Semoga wanita ini, menjadi inspirasi buat wanita-wanita lain yang berminat menyertai bidang politik dan kemasyarakatan.Selamat Maju Jaya buat Jo-Anna!
Elisya Sandha kini menantu Sheila Rusly. Pelakon yang juga adik kepada Fasha Sandha, Elisya Sandha, 21, dan Uzair Haqimy, 25 yang juga anak sulung Sheila, Uzair akhirnya selamat bernikah semalam.
Pasangan berkenaan ini dinikahkan kira kira jam 3.11 petang di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID) berwalikan bapa Elisya, Mohd Faisal Abdullah. Pada majlis ringkas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tersebut, Elisya menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih daripada Uzair yang bekerja sebagai pengurus produksi.
Elisya Sandha Kini Menantu Sheila Rusly
Adik perempuan kepada Fasha Sandha seperti mana dipetik menerusi Berita Harian Online menerangkan perancangan majlis asalnya pada 22 Februari 2022.
“Memang perancangan bernikah hari ini berlangsung pada minit akhir. Dapat saja tarikh nikah dua minggu lalu, saya dan suami memulakan persiapan kahwin serba sederhana.
“Dengan situasi pandemik COVID-19 yang tak boleh dijangka dan peningkatan kes harian mendadak naik, segala segalanya perlu dipercepatkan.
“Termasuk dalam soal membina masjid ini. Kita dahulukan yang wajib dahulu. Insya-Allah kalau tiada aral, kami merancang untuk mengadakan majlis keraian di kampung halaman saya di Perlis. Cuma tarikhnya belum tahu lagi,” kata ungkap Elisya.
Menyentuh tentang suaminya, Elisya menyifatkan Uzair sangat bertanggungjawab.
“Paling utama yang membuatkan saya tertarik kepada Uzair adalah sikapnya menjaga dan menyayangi keluarganya. Itu antara ciri yang saya lihat menjadi jaminan dia boleh menjaga saya dengan baik… Insya-Allah.
“Dia juga rajin bekerja dan menghormati orang tua. Kami juga mengharungi pelbagai ujian hidup bersama sejak dulu,” luahnya.
“Kami Melengkapi Diri Masing-Masing” Uzair
Uzair akui dirinya menyenangi peribadi isterinya.
“Elisya cukup menenangkan saya. Kami cuba melengkapi diri masing masing. “Ini fasa baru untuk kami lebih serius memikirkan soal tanggungjawab. Semoga ia dipermudahkan,” cerita Uzair yang memberikan hantaran berjumlah RM22,222.22 kepada Elisya.
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.