Pernah tak, setiap nasihat yang diberikan buat anak ibarat mencurah air ke daun keladi.Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.Rupanya nak nasihatkan anak dengan berkesan ada waktunya yang paling sesuai. Barulah nasihat yang diberikan berkesan dan sampai terus ke lubuk hati hati anak-anak.
“Mama tak marah! Mama cuma nasihat!”
Itulah skrip biasa yang sering kita dengar atau kita sendiri yang sebut dengan suara tinggi ketika mendepani kerenah anak.
Selalunya waktu anak pecahkan pinggan, anak sepahkan mainan, anak bangun lewat, anak melawan cakap, anak khusyuk bermain ‘game’, anak berkelahi, anak berlama-lama dalam bilik air, anak buang masa, anak malas, anak degil, anak protes dan sebagainya, itulah juga waktunya kita hendak memberi ‘tazkirah’ kepada anak.
Niat memberi nasihat itu akhirnya bertukar menjadi bebelan, menjadi ugutan, keluar ungkapan tidak enak, dan lebih parah lagi menjadi episod jawab menjawab dengan anak.Nasihat akhirnya menjadi ungkapan kosong masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Buang masa dan buang tenaga.
Nasihat harus sampai ke hati terlebih dahulu, barulah otak akan mula berfungsi untuk memikirkan kesan dan akibat sesuatu perbuatan.
Anak tidak akan dapat menerima nasihat pada bila-bila masa. Ada waktunya keadaan fizikal, mental dan emosi anak tidak bersedia untuk menerima nasihat ataupun terlalu terbeban dengan perkara lain walaupun kita bersemangat memberi nasihat.
BILAKAH WAKTU YANG SESUAI MENASIHATI ANAK?
Dr. Muhammad Abdul Hafizh Suwaid dalam buku Prophetic Parenting mencadangkan 3 waktu yang paling efektif dan paling sesuai untuk menasihati anak. Satu lagi adalah cadangan saya sendiri berdasarkan pengalaman dan pengetahuan.
4 waktunya adalah:
1. Waktu Makan
Sekurang-kurangnya sekali sehari duduklah bersama-sama menikmati hidangan sekeluarga di meja makan. Inilah masanya kita mendengar cerita anak-anak tentang hari yang dilalui mereka. Inilah waktunya mereka akan meminta dan memerlukan nasihat secara langsung atau secara tidak langsung. Ketika kita mendengar dan bercerita, selitkanlah nasihat dan panduan sebagai pedoman untuk anak-anak.
Inilah juga masanya kita menerapkan adab dalam diri anak. Adab makan, adab mengambil makanan, adab menyuap makanan, adab berdoa, adab bersyukur dengan rezeki yang berada di depan mata, adab berbicara dan adab mendengar.
Ads
Waktu makan adalah waktu santai. Kata orang, kenyang perut senang hati. Apabila hati senang, nasihat dan panduan pun mudah sampai ke dasar hati.
Oleh sebab inilah adalah merugikan sekiranya waktu makan dijadikan waktu untuk anak melayan gajet atau sambil menonton televisyen. Jika kita terlepas peluang untuk memberi nasihat pada waktu ini kerana gajet, mungkin kita juga akan terlepas peluang pada waktu lain.
Jadikanlah waktu makan waktu yang berkualiti untuk keluarga.
2. Waktu Dalam Perjalanan
Kehidupan moden adalah kehidupan yang terkejar-kejar. Keluar rumah awal pagi, pulang ke rumah setelah tiada matahari. Beruntunglah mereka yang boleh bekerja masa fleksi.
Sebenarnya waktu yang singkat dan terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak dari sekolah merupakan waktu yang efektif untuk menasihati anak. Nasihat tidak semestinya panjang lebar. Nasihat yang ringkas dan padat lebih mudah dihadam berbanding nasihat yang penuh berfalsafah.
Dalam perjalanan ke sekolah nasihatilah anak tentang adab dan akhlak bersama guru, bersama rakan-rakan dan juga terhadap orang sekeliling. Nasihat anak supaya gigih berusaha. Sesuatu insiden atau kejadian di luar kenderaan juga boleh dijadikan modal untuk menasihati anak, supaya anak peka dan cakna dengan keadaan sekeliling.
Di samping bersantai mendengar lagu-lagu di radio, pilihlah juga saluran radio yang bermanfaat, yang boleh dijadikan modal perbincangan bagi menjana minda anak-anak.
Ads
Seperti bait lirik nasyid oleh kumpulan Raihan “Berhibur tiada salahnya kerna hiburan itu indah Hanya pabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah”
Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah pula, dengarlah cerita anak tentang sekolah, tentang guru, tentang rakan-rakan anak dan juga tentang tugasan sekolah agar kita faham dan terlibat dengan persekolahan anak. Apabila kita mendengar dan faham, anak akan lebih terbuka untuk bercerita dan kita juga lebih berpeluang untuk memberi nasihat.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmidhi pernah menyebut bahawa Rasulullah SAW memberi nasihat kepada Ibnu Abbas yang berusia belasan tahun ketika itu secara santai ketika Ibn Abbas menunggang unta (kenderaan) di belakang Rasulullah SAW. Nasihat Baginda, “Jagalah agama Allah, nescaya Allah menjagamu”
3. Waktu Main Bersama
Kita biasa mendengar, bermainlah dengan anak ketika berusia 0-7 tahun dan disiplinkanlah anak ketika berusia 7-14 tahun. Kedua-dua fasa itu berkaitan. Bermain dengan anak ketika usia awal akan mempermudahkan kita untuk mendisiplinkan anak kemudiannya.
Bermain bersama-sama anak ketika mereka kecil, ketika membesar dan juga ketika remaja bukan hanya memberi manfaat kepada perkembangan fizikal anak, malah ia juga membentuk keperibadian positif anak.
Ibubapa yang terlibat adalah ibubapa yang peduli.
‘Involved parents are caring parents’.
Ads
Setiap permainan mempunyai peraturan dan strateginya. Setiap permainan mempunyai pemikiran dan emosinya. Inilah waktu yang terbaik untuk menasihati anak tentang asam garam kehidupan, tentang kawalan emosi, tentang interaksi sosial, dan tentang keperibadian dan tingkah laku.
Bermain ‘game’ bersama-sama dengan anak lebih bermanfaat berbanding membiarkan anak mengadap ‘game’ di skrin berseorangan. Apabila ‘bonding’ diwujudkan antara ibubapa dan anak ketika bermain bersama-sama, anak lebih terbuka untuk menerima sebarang nasihat mahupun teguran. Inilah yang memudahkan kita untuk mendisiplinkan anak.
4. Waktu Anak Sakit
Menurut Dr. Abdul Hafizh Suwaid, sakit dapat melunakkan hati orang dewasa yang keras apatah lagi hati anak-anak yang masih lembut dan lebih mudah menerima. Lumrahnya apabila sakit anak-anak menjadi lebih ‘clingy’ dan lebih inginkan belaian dan perhatian daripada ibubapa. Inilah peluangnya untuk kita berlembut menasihati anak secara ringan tanpa membebankan.
Bagi menggembirakan hati anak, kita boleh merancang dengan anak untuk melakukan sesuatu aktiviti apabila anak sihat kelak dan pada masa yang sama boleh diselitkan kata-kata nasihat buat anak. Pilihlah nasihat yang mudah diterima dan sesuai dengan keadaan anak.
Usahlah diberikan nasihat yang tidak sihat di kala anak sakit seperti “Itulah tak dengar cakap Mama, kan dah sakit. Kalau dengar cakap taklah jadi macam ni.”
Ataupun “Inilah balasan sebab berdosa dengan ayah semalam.”
Anak yang sakit bertambah nazak jadinya dengan kata-kata yang menghukum dan tidak berasas sedemikian.
Dalam buku ‘Prophetic Parenting’ ada diceritakan kisah Rasulullah SAW yang berdakwah kepada pembantu Baginda yang berbangsa Yahudi ketika Baginda SAW menziarahinya yang sedang sakit.
Begitulah antara waktu-waktu efektif untuk menasihati seorang anak.
Setiap anak menerima nasihat pada waktu yang berbeza-beza mengikut keperluan, keupayaan dan kematangan masing-masing. Carilah waktu yang sesuai untuk memberi nasihat agar nasihat itu meresap ke jiwa anak dan tidak menjadi seumpama menyimbah air ke daun keladi.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat buat mak ayah dalam mendidik dan menasihati anak-anak pada waktu yang paling berkesan.
Isteri tak pandai masak jangan kondem, suami hargailah susah payah pasangan memasak dan sediakan lauk itu dan ini demi mengenyangkan perut suami dan anak-anak.
Tidak kiralah bagi wanita berkerjaya atau suri rumah, memasak bukan sesuatu yang mudah jika anak-anak tidak memberi kerjasama yang baik. Ada tikanya anak asyik nak melekat saja, tidak mahu beri kerjasama bila maknya mahuke dapur.
Bagaimana mahu fokus masak sedap-sedap jika anak menangis bagai nak gila. Ternyata bukan mudah uruskan anak dan memasak serentak. Oleh sebab itu boleh jadi sentap bila sang suami sesedap rasa komplen masakan isteri tak sedap.
Isteri Tak Pandai Masak
Proses memasak itu tak mudah ya ayah-ayah sekalian. Ikuti perkongsian Azlan Noor ini dan hadam baik-baik ya suami semua.
Geram rasa baca komen dalam gambar ini. Teringat diri saya sendiri. Dulu, asal ada tak kena dengan rasa yang surihati masak, saya kondem masa tu juga.
Ya, itu dulu. Sekarang tak lagi. Lepas satu kejadian.
Awal-awal kahwin dulu. Antara perangai buruk saya adalah suka kondem masakan isteri. Ada sahaja yang tak kena.
Maklumlah, dulu emak saya ni tukang masak. Owner restoran. Dua puluh tahun lebih makan masakan mak. Lidah pun dah setting standard restoran.
Suami Jangan Kondem!
“Garing sangat la ikan goreng ni.”
“Kalau letak belacan lagi sedap.”
“Kenapa mama masak macam ni, patut macam ni.”
Setiap kali rasa masakan surihati tak kena pada lidah, saya akan tegur. Tanpa rasa bersalah sikit pun.
Sampailah satu petang tu….
Saya balik kerja dan sampai rumah awal. Masuk ke rumah dan terus ke dapur. Saya nampak surihati tengah bersilat di dapur.
Sudahlah petang balik dari sekolah, dia jemput anak di rumah pengasuh dulu. Tak sempat duduk lagi, anak-anak sudah order nak makan tu, kemudian nak minum ni. Padahal sudah makan dekat rumah pengasuh. Belum lagi bab anak melalak.
Nak masak ni, ada step-step dia. Kena tenang. Tak boleh kelam- kabut. Kena keluarkan lauk dari peti ais dulu untuk bagi lembik (defrost). Kemudian sediakan bahan-bahan. Kisar, cincang, mayang. Tumbuklah, peraplah.
Betul, alat bantu memasak sudah banyak. Namun masih perlukan manusia untuk satukan semua itu jadi makanan. Bukan snap ibu jari terus terhidang.
Lagi tambah sakit hati, lepas penat masak, sudah hidang cantik atas meja, suami baru rasa sikit, tiba-tiba dia putus selera. Sudah tu pula, kena komplen.
Tersidai macam itu saja makanan itu tak berusik.
Baiknya isteri ni, dalam susah macam tu pun, penat macam mana pun, dia tetap tungtang tungtang masak.
Penat Pun Paksa Diri
Demi nak jaga makan dan selera suami. Paksa juga diri. Cuma ada ketika masa penat sangat, atau balik lewat petang, dia akan kibar bendera putih,
“Sorry papa, tak sempat masak. Baru sampai rumah ni.”
Masa itulah datang perasaan kasihan kepada surihati.
Saya tanya diri sendiri, isteri sudah susah payah masak, sanggup kita komplen macam-macam dan banding dengan makanan di kedai?
Sejak tu saya dah tak sanggup. Saya stop komplen.
Apa sahaja dia masak, saya makan. Terasa nak makan lauk tertentu, baru saya request. Jika ada masa, time-time cuti ke, saya akan masak. Kadang-kadang kami sama-sama masuk dapur.
Pasangan Kita Bukanlah Sempurna
Sebenarnya,
Tak wujud isteri atau suami perfect.
Yang auto pandai masak. Kena faham, orang perempuan ni ada yang tak pernah jejak dapur pun sebelum kahwin. Ada yang lepas kahwin baru pandai masak nasi.
Orang lelaki pun sama. Bukan semua terus pandai jadi ketua keluarga. Boleh jadi imam solat. Boleh ajar isteri mengaji.
Semua boleh terima kekurangan masing-masing, tak timbul soal downgrade your life.
Jadilah Suami Yang Memahami
Makan minum ini soal kecil saja.
Sebab suami yang memahami, dia akan hargai masakan isteri bukan sebab rasa sahaja, tapi sebab susah payah isteri nak sediakan lauk tu.
Yang isteri masak, akan sempurna rasanya andai suami makan dan terima seadanya rasa dan rupa makanan itu. Tak perlu cakap apa-apa. Teruk sangat pun, bagi feedback elok-elok.
Dia tak sakit hati,
Kita pun senang hati.
Resam rumah tangga ni,
Jaga makan bukan prioriti.
Yang penting adalah jaga hati.
Mingguan Wanita : Tidak semua wanita dilahirkan menjadi seorang chef atau tukang masak untuk suaminya. Sedap atau tidak jatuh nombor dua, paling penting usaha isteri belajar memasak untuk suaminya. Betul tak?
Bukan senang nak hentikan anak main gajet, tetapi nak tak nak mak ayah patut usahakan dan guna strategi ini.
Anak yang terus main gajet akan ada cipta dunia sendiri, kurang interaksi dan komunikasi, malah boleh menggangu proses belajar. Inilah yang akan undang BAHAYA pada anak-anak dan akhirnya mak ayah sendiri buntu mencari sebab kenapa anak tak pandai bergaul dan kurang peka bila menerima arahan.
Untuk bantu anak main gajet lebih daripada masa yang sepatutnya, jemput baca perkongsian Puan Sharifah Zahidah ini…
Pernah saya tengok seorang anak kecil yang berlari-lari menyorok ke sudut terpencil dengan hp ibu atau bapanya, lagak seperti ‘mencuri guna/mengambil senyap-senyap’ handphone ibubapanya sebab nak curi-curi tengok YouTube!
Terkedek-kedek dia jalan sambil toleh kiri toleh kanan perlahan-lahan.
Ada orang kata, comel!
Ya, memang comel. Tapi kecomelan itu kelak akan berubah menjadi satu malapetaka andai tak dirawat. Itu kecomelan yang bahaya.
Saya pun pernah lewati zaman Maryam suka curi-curi guna handphone saya. Sedar-sedar saja, haih, handphone saya hilang, dengan dia dia sekali ‘hilang’. Stress memang stress. Kalau dah dalam jajahan takluk dia tu, bukan senang kita nak ‘tuntut’ balik hak kita.
Faham kan macam mana?
Dan.. Saranan yang saya terima ketika itu ialah,
“Letak password pada handphone, nanti dia tak guna dah….!”
Ramai saran macam ni, ramai buat macam ni.
Betullah, kalau letak password di handphone dia tak boleh guna dah nanti.
Tapi…
Saya tak mahu guna cara tu walaupun terbukti ekspres!
Sebab?
Saya tak mahu dia BERHENTI guna handphone saya semata-mata kerana PELUANG yang terkambus. Kerana kelak nanti bila saya larang dia dari sesuatu, dia hanya akan mematuhi larangan saya setakat PELUANG yang terbatas saja. Dan dalam masa yang sama, dia akan mencari akal bagaimana untuk mencari PELUANG baru dan menembusi larangan tersebut, dan seterusnya melakukannya dengan lebih teruk lagi di belakang saya!
Tak nak.
Salah macam tu.
Jadi biarlah saya didik dan besarkan dia dengan cara yang ‘susah’ sedikit asalkan kesan didikan itu membekas dalam jiwanya menjadikan dia seorang yang BERPRINSIP.
Ya, ajarkan dia PRINSIP.
Maka bermulalah episod saya mula berdiplomasi dan terangkan secara baik DENGAN CARA YANG BETUL, bahawa dia PERLU HORMATI HARTA BENDA SAYA, DIA PERLU HORMATI PRIVASI SAYA dengan handphone saya dan dia hanya boleh guna atas PENGETAHUAN dan IZIN saya SEMATA. Pengetahuan semata tanpa izin saja tidak boleh. Dan izin saja tanpa pengetahuan saya juga tidak boleh.
Kenapa saya sebut, “Terangkan dengan baik, DENGAN CARA YANG BETUL?”
Kerana, ramai ibubapa yang cuba terangkan dengan baik kepada anak mereka tetapi caranya salah!
Jadi cara yang betulnya bagaimana?
Cara yang betul ialah APABILA ANAK DIJAUHKAN DARI HANDPHONE SEBELUM atau BEBERAPA JAM SELEPAS kita bercakap dengan mereka. Ketika ini, anak-anak boleh FOKUS berbanding ketika handphone sedang berada di tangannya atau ketika dia baru saja menggunakan handphone. Baca bawah lagi, saya terangkan sebabnya.
Yang selalu saya tengok, parents nak educate anak-anak tentang penggunaan atau peraturan gadget ketika anak tu tengah syiok layan YouTube atau kartunnya.
Sudahnya yang jadi apa?
MAKA YANG JADI IALAH ANAK TAK DAPAT MENDENGAR PUN!
Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kadang-kadang, anak macam lampi atau bingung saja dengan apa yang kita cakapkan. Perasan kan?
Waktu anak-anak memang dah pegang handphone, kita tak boleh educate atau syarah panjang-panjang dah, kita cuma boleh PERINGATKAN SAHAJA TENTANG JANJI/ISI PERBUALAN KITA dengan dia beberapa jam tadi. Ingatan yang pendek dan ringkas-ringkas.
Jangan cakap panjang-panjang atau bebel banyak-banyak.
Anak-anak tak ingat dah.
Tak fokus dah.
Ini kerana gadget buat fokusnya terhenti, otaknya seakan ‘mati’ memproses maklumat dan sedang dalam fasa ‘tidur tak bekerja’ walau hakikatnya mata dia bulat menonton skrin tak kelip-kelip mata. Itu bukan petanda anak fokus ya, tapi itu simptom seakan hypnotized dengan screen exposure.
Jadi, nak educate, nak MOU, nak diplomasi dan nak bagi pesanan pada anak adalah SEBELUM dia guna handphone atau beberapa jam selepas dia guna.
Nak pesan apa?
Pesanlah yang baik-baik bahawa gajet itu milik kita, kita buat kerja dengan gajet, dia perlu minta izin, dan kita akan lebih sayangi dia dengan permohonan izinnya dan sebagainya. Banyak boleh kita cakapkan kepada mereka. Yang penting, jelaskan bahawa dia perlu hormati kita sebagai ibubapa dan hormati semua harta benda kita. Nak pinjam, minta izin. When I say yes, use it. When I say no, leave it.
Dan in return, kita sendiri, perlu hormati harta benda mereka.
Walau anak kita umurnya 2 tahun baru ketika itu, tapi bila kita kemas rumah dah nak buang mainannya yang rosak, ‘MINTA PERSETUJUANNYA’ dulu.
Saya tulis minta persetujuan, bukan minta izin, sebab kita ibubapa, kita tak perlu izin anak dalam hal ini. Kita cuma perlu buat dia bersetuju sahaja.
Bila kita minta persetujuan, bukan kita nak jadikan anak sebagai Tuan.
Tapi sebab kita FAHAM bahawa DIDIKAN ITU MELALUI TAULADAN.
Asas kepada didikan yang berkesan, adalah DENGAN TAULADAN.
Monkeys see, monkey do.
Dan yang terakhirnya,
UNLOCK YOUR PASSWORD NOW.
BUANG PASSWORD DI HANDPHONE.
Biar anak BELAJAR SELF CONTROL, dengan bimbingan dari kita.
Anak-anak akan membesar menjadi anak yang mempunyai kawalan diri yang tinggi, inshaALLAH.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Makna akan terhasil apabila seseorang dapat mengetahui dengan jelas tertib kedudukan setiap sesuatu dalam sebuah sistem dengan mengetahui hubungan antara setiap sesuatu dalam sistem tersebut.
Kefahaman ini membawa kepada pengenalan wujudnya Allah dalam susunan kewujudan. Apabila dikaitkan dengan diri, makna boleh difahami sebagai; bagaimana seseorang itu memahami kedudukan dirinya dalam sistem kewujudan dengan memahami kaitan dirinya dengan perkara lain yang wujud dalam sistem tersebut.
Ketahui Makna Dirinya
Dengan kata lain, orang yang mengetahui makna dirinya dalam konteks yang sebenar akan sentiasa merasa akan kewujudan Allah dalam setiap gerak gerinya. Hal ini kerana, dia sedar bahawa hakikat letak duduknya dalam tertib kehidupan selaku hamba Allah yang sentiasa perlu menjunjung segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya dan juga khalifah yang dilantik oleh Yang Maha Agung dengan segala tanggungjawab dan amanah kekhalifahan kepada makhluk-makhluk lain yang diwakilinya.
Bagaimanakah perkara ini dapat difahami? Bahkan bagaimana pula makna yang sebenar ini boleh dihayati? Jawapannya ialah dengan kembali semula merujuk dan menghayati setiap bait bicara kalamullah dalam Al-Quran dan segala sunah baginda Nabi s.a.w.
Hakikat kehidupan manusia ini dijadikan dengan penuh Latif (kelembutan) dan Rahman dan Rahim-Nya (kasih sayang-Nya). Allah SWT melantik kita sebagai khalifah-Nya di muka bumi dengan segala panduan yang disiapkan tidak cukup hanya dengan Firman-Nya malah didatangkan manual hidup yang menjelaskan segala firman-Nya melalui Rasulullah s.a.w. Daripada dua sumber inilah, kita perlu menghayati dan memberikan makna yang tepat untuk diri kita sendiri bahkan anak-anak kita.
Hakikat kejadian manusia yang dijadikan Allah sebaik-baik kejadian ini diawali dengan perjanjian yang termeterai secara individu dalam Jemaah umat manusia. Setiap daripada kita melafazkan ikrar bahawa Allah adalah Tuhan yang kita sembah.
Makna Diri Selaku Hamba Allah
Penyaksian ini dilakukan serentak dalam Jemaah umat manusia dengan lafaz “kami” menunjukkan betapa kita komited untuk menjalankan perjanjian ini secara kolektif. Di sini makna diri individu selaku hamba Allah dan khalifatullah telah sama-sama kita ucapkan. Hari perjanjian awal atau asal ini adalah hakikat yang kita sama-sama nantikan kesinambungannya di hari mahsyar kelak di mana penyaksian kita tadi akan diaudit semula sejauhmana perlaksanaannya.
Namun, sewaktu di sana nanti, kita harus mendepaninya secara individu. Justeru, keadaan ini harus difahami dengan rahmat Allah yang sentiasa memberikan kita ruang dan peluang dalam kehidupan yang berjemaah ini untuk kita sama-sama mengukuhkan iman dan meletakkan batu asas yang kukuh untuk mengekang nafsu dan hasutan syaitan durjana.
Fahami Diri Dalam Konteks Makna Sebenarnya
Di sini wujudnya peranan selaku ketua keluarga, ibu, anak, pak cik, makcik, atuk, nenek, sahabat sehinggalah kepada pemimpin masyarakat. Apabila setiap individu dapat memahami dirinya dalam konteks makna yang sebenar dia akan sentiasa meletakkan dirinya sebagai hamba Allah yang sentiasa mengharap kepada-Nya dan menjalankan tanggungjawab khalifah dalam platform-platform yang telah disediakan dengan sehabis baik kerana dia menyedari hakikat dirinya yang sedang menjalankan perjanjian dan akan diaudit semula apabila waktunya tiba kelak.
Jadi, semua individu akan berusaha memperbaiki diri dengan melakukan islah dan mengislahkan orang lain malah sentiasa menjalankan dakwah untuk sama-sama menuju kepada Allah SWT.
Dipasakkan Dalam Diri
Oleh yang demikian, makna diri yang benar ini harus dipasakkan dalam diri anak-anak kita. Mungkin sukar dari segi teoritikalnya namun dari segi komitmen pengamalan yang kita sendiri lakukan.
Pelaziman yang baik dalam konteks tarbiyah kepada anak-anak adalah cara yang terbaik terutama bagi anak-anak yang berumur 7 tahun ke bawah. Pelaziman ini harus dibantu dengan contoh yang banyak dalam persekitaran. Ibu ayah harus komited menunjukkan contoh di samping itu, suasana keluarga, persekitaran sekolah dan rakan-rakan yang berhampiran dengan anak-anak juga harus dipastikan.
Persekitaran ini harus kita berusaha untuk memilih beserta doa dan tawakal yang padu kepada Allah SWT. Kerangka faham diri Islam itu harus tergambar dalam mindanya agar dia membentuk pemikiran yang seiring dengan faham tersebut. Ini kerana, dengan kefahaman ini akan membentuk dan mempengaruhi jati diri, perwatakan dan tingkah laku anak. Allahuallam.