
Kes bunuh Irene Sofiya: Rakan sekelas didakwa, tidak dibenarkan ikat jamin.
Seorang pelajar lelaki tingkatan empat yang juga rakan sekelas Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Khamis atas pertuduhan membunuh mangsa di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor, pada 3 Oktober lalu.
Tertuduh yang masih di bawah umur tidak dibenarkan diikat jamin berikutan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Prosiding pertuduhan dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno memandangkan kes berkenaan membabitkan tertuduh bawah umur.
Berdasarkan pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Irene Sofiya di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng antara jam 2.30 petang hingga 4 petang pada 3 Oktober 2026.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias dan Suhaila Shafi’uddin Mohd.
Kes Bunuh Irene Sofiya Disebut Semula 22 Disember
Memetik laporan Sinar Harian, peguam Mohd Azlan Shah memaklumkan bahawa mahkamah menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan bedah siasat.
Menurutnya, tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan akan ditempatkan di bahagian berasingan daripada tahanan reman serta pesalah dewasa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Tertuduh dilaporkan tiba di mahkamah seawal jam 7 pagi sebelum dibawa keluar menaiki kenderaan polis kira-kira jam 9.30 pagi selepas prosiding selesai.

Irene Sofiya Ditemukan Tidak Sedarkan Diri Di Dewan Sekolah
Terdahulu, pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.
Mangsa yang merupakan anak tunggal dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan berakhir menyebabkan ahli keluarga dan rakannya berusaha mengesan keberadaannya.
Rakannya kemudian menemukan motosikal yang ditunggang mangsa masih berada dalam kawasan sekolah sebelum pergi ke rumah datuk dan nenek Irene Sofiya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng.
Nenek mangsa, Jameyah Rabani, 65, bersama ibu saudaranya, Siti Nur Faeza Khyar, 45 dan rakan mangsa kemudian ke sekolah untuk mencarinya sebelum menemukan remaja itu dalam keadaan parah.
Anda mungkin berminat dengan
Susulan kejadian, polis menahan seorang pelajar lelaki yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan. Remaja berkenaan direman sejak 4 Oktober lalu sebelum dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar sebelum ini mengesahkan kecederaan trauma akibat objek tumpul pada bahagian kepala sebagai punca kematian Irene Sofiya.
Kes berkenaan kini menunggu prosiding mahkamah selanjutnya bagi menentukan pertuduhan terhadap tertuduh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

