Beri perhatian pencapaian positif anak, fokus bina kekuatan dalam dirinya akan jadi pendorong anak terus maju dan cemerlang dalam hidupnya. Lumrah anak-anak dalam membesar, pasti ada sikapnya yang kurang menyenangkan hati mak ayah. Bahkan ada juga anak yang ‘tersalah langkah’ dalam proses pembesaran ini.
Sebagai mak ayah apabila anak melakukan kesilapan atau tersalah langkah jangan mudah menghukum anak. Sebaliknya berilah perhatian pada pencapaian positif yang anak ada. Malah turut fokus bina kekuatan yang ada dalam diri anak, kerana ia mampu menjadi pendorong anak supaya terus maju.
Semasa saya di tingkatan 4, saya pernah kena gantung sekolah sebab dicekup oleh warden asrama ketika sedang menjual rokok. “Caught redhanded”, kata orang putih.
Setelah hukuman dijatuhkan, maka Ayah perlu ambil saya dari asrama untuk pulang. Saya punya takut nak berhadapan dengan Ayah, sampai 4-5 kali pergi tandas. Sampai dah tak ada air kencing nak keluar.
Bila Ayah sampai, saya naik kereta dan membatukan diri. Jantung saya berdegup seolah ia menendang-nendang dinding dada saya.
“Banyak untung?” soal Ayah. Suara dia serius. Ayah jeling padanya sekilas pandang. Matanya tertancap pada jalan raya, tapi saya rasakan seolah-olah matanya terjegil memandang saya.
“Tak berapa.” jawab saya.
“Kalau tak berapa untung, buat apa jual?” kata Ayah.
“Sebab benda tu je yang mudah nak jual,” balas saya.
Ads
Selepas itu, perbualan kami dah kurang tegang. Ayah cerita pasal bagaimana susah dia nak mulakan bisnes, Dia kongsi cara simpan duit, cara tambat hati klien. Cerita tentang visi dia, perancang dia untuk masa depan. A-Z tentang bisnes.
Sepanjang perjalanan ke rumah yang mengambil masa 1 jam lebih itu. Sedikit pun Ayah tak sentuh tentang keburukan rokok atau kebodohan tindakan saya menjual barang terlarang.
Beri Perhatian Perkara Positif
Saya tahu Ayah tak suka saya jual rokok, tapi dia lebih tumpukan perbualan kami kepada perkara yang kami berdua suka, iaitu bisnes. Dia lebih memberi perhatian kepada perkara positif yang dia lihat ada dalam diri saya.
Dia sokong. Dia puji. Dia beri galakan. Akhir sekali baru dia kata “Ayah tak kisah kau nak meniaga, tapi jual benda lainlah.”
Servis Telefon Awek
Lepas naik sekolah semula. Kalian tahu apa yang saya jual?
Zaman tu pelajar tak mampu beli telefon bimbit. Jadi kena guna telefon awam. Masalahnya, kena tunggu giliran nak guna telefon awam sangat panjang. Jadi saya sediakan servis untuk menelefon awek di asrama puteri.
Gunakan duit untung jual rokok, saya beli 2 buah telefon bimbit. Satu saya pegang, satu lagi saya suruh ejen saya di asrama puteri pegang. Kalau ada pelajar lelaki nak telefon awek, saya telefon ejen saya dan suruh dia sampaikan pada penerima panggilan.
Saya caj panggilan tu per minit.
Ads
Tak lama lepas tu, saya mula menjual telefon bimbit terpakai pula. Lepas tu jadi tauke prepaid pula. Bisnes aaya berkembang sampai saya ada 4 buah telefon bimbit. Zaman tu, kalau ada sebuah telefon bimbit pun dah kira boleh bongkak. Inikan pula ada 4.
Malangnya, pada ketika itu memiliki telefon bimbit di asrama adalah satu kesalahan.3 daripada 4 telefon bimbit saya tu akhirnya kena rampas semasa “spot check” besar-besaran dibuat. Maka berakhirlah zaman kegemilangan saya sebagai kartel telefon bimbit.
Fokus Bina Kekuatan Anak
Apapun, saya sebenarnya kongsi cerita ni untuk beritahu, cara Ayah tangani masalah saya tu adalah cara yang saya rasa sangat bagus.
Fokus pada bina kekuatan anak. Beri perhatian. Pupuk kekuatan itu sehingga ia jadi pendorong ia untuk terus maju. Apabila anak mendapat perhatian pada sesuatu positif yang dia lakukan, lama-lama dia akan tinggalkan perkara negatif.
Maka, berilah perhatian kepada pencapaian positif anak-anak. Tumpukan pada kekuatan mereka. InsyaAllah mereka akan menjadi insan-insan yang cemerlang di masa hadapan.
Berkat tunjuk ajar dan sokongan Ayah saya dulu, kini saya seorang doktor dan usahawan, ada 4 Pusat Rehabilitasi, 1 rumah penerbitan buku, dan beberapa bisnes lain yang sedang diusahakan.
Ads
Terima kasih, Ayah. Tak terbalas jasamu. Semoga Ayah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah.
Ikhlas, anakmu
Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor/Penulis/Usahawan
*Saya pasti akan rindu komen Ayah disetiap posting Facebook saya. Ayah saya adalah my biggest Top Fan.
Mingguan Wanita: Ada benarnya. Sebagai mak ayah apabila anak melakukan kesilapan atau tersilap langkah, janganlah mudah menghukum. Sebaliknya berilah perhatian pada pencapaian positif yang anak ada. Malah turut fokus bina kekuatan yang ada dalam diri anak, kerana ia mampu menjadi pendorong anak supaya terus maju.
Noorshila Amin pernah popular dengan lagu Kad Ucapanmu dan lagu Rambu Ramba. Namanya mula naik semula selepas memasuki program hiburan Gegar Vaganza musim ke-6.
Walau dikelilingi barisan penyanyi baru, namun Noorshila atau lebih mesra dengan sapaan MamaShila ini masih mampu menarik perhatian peminat dan masyarakat penggemar industri hiburan.
Bakatnya dalam bidang nyanyian memang tidak dapat disangkal lagi. Hinggakan anak-anaknya turut mewarisi bakatnya dalam bidang nyanyian juga. Tanggal 31 Januari 2020 lalu, Noorshila Amin telah mengeluarkan single terbaru bersama-sama anaknya Mohammad Daniel Durrany, 27, dan Mohammad Banni Basyishar,25 tahun.
Single bertajuk Lari Ini boleh didengari dan dimuat-turun di semua platform digital(Spotify, iTunes,joox, tiktok).
Apa yang menyebabkan MamaShila ambil keputusan menghasilkan single bersama anak-anak? Sejauh mana keyakinan Mama terhadap penerimaan masyarakat dan peminat terhadap gandingan ibu dan anak-anak ini?
Sebenarnya, anak-anak mama yang mencipta lagu ini tiga tahun lepas dan mereka minta Mama menyanyikan bahagian chorus dalam lagu ini. Daniel, anak Mama yang ketiga kata dia cuma dapat bayangkan Mama saja yang dapat nyanyi bahagian chorus itu dengan cara yang dia bayangkan.
Mama ada rasa takut dan tak yakin pada masa itu tapi Mama cuba jugalah. Tapi lepas Daniel dan Banni push Mama, alhamdullillah, Mama dapat deliver apa yang mereka minta. Anak-anak Mama decide untuk tunggu dulu release lagu ini atas banyak sebab.
Pertamanya, pada 2017 genre muzik Drum & Bass ini hanya popular di UK dan belum boleh diterima di Malaysia. Kedua, sebab mereka anggap masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan hasil lagu ini pada ketika itu. Tapi, selepas Gegar Vaganza 2019, anak-anak Mama cadangkan untuk kita release pada tahun 2020.
Jika kita perhatikan industri muzik tanah air kini sudah boleh menerima pelbagai genre muzik dari seluruh dunia dan Mama percaya, lagu Lari Ini, pasti boleh diterima oleh anak muda Malaysia.
Mengenai gandingan dengan Daniel dan Banni, Mama dapat rasakan suara Daniel dan Banni akan mewarnai industri seni Malaysia memandangkan suara mereka unik dan tersendiri. InsyaAllah, Malaysia boleh terima Mama dan anak-anak Mama.
Berkaitan dengan kerjaya seni anak-anak. Sejauhmana perkembangan mereka. Bagaimana pula penglibatan MamaShila terhadap keputusan mereka melibatkan diri dalam bidang seni?
Sejujurnya, Mama dan Babah tak pernah menghalang semua anak-anak Mama sertai industri seni. Tak kisahlah dalam bidang nyanyian atau lakonan. Sebab itu, Banni sejak sekolah sudah terlibat dalam teater dan Daniel sudah berpengalaman berduet dengan Mama buat persembahan di sekolah dia dan juga di rancangan di RTM.
Malah, anak-anak Mama rajin ‘jamming’ dengan kawan-kawan mereka dan juga pernah sertai audition untuk Asia Got Talent, Akademi Fantasia dan Mentor. Tapi mungkin rezeki mereka di tempat lain dan bukannya pertandingan nyanyian.
Alhamdullillah anak-anak tak pernah hilang semangat. Sehingga kini, Daniel masih lagi aktif cipta lagu bersama kawan-kawan Banni yang juga merupakan graduan bidang Komposisi Muzik dari UiTM. Manakala Banni aktif membuat persembahan sebagai Saxophonist bersama band Ryot Jones dan turut mencipta lagunya sendiri.
Adakah nama dan populariti MamaShila sebagai penyanyi memainkan peranan penting bagi masyarakat dan pengikut dunia seni terutamanya untuk memperkenalkan nama anak-anak di bidang seni.
Of course sebagai mak, Mama nak bantu anak-anak Mama supaya dapat mencipta nama dalam industri seni tanah air tapi anak-anak Mama bertegas nak cuba berdiri atas bakat sendiri tanpa cuba mengharapkan nama dan populariti Mama semata-mata.
Melalui lagu Lari ini, Mama rasa bukannya anak-anak Mama yang tumpang Mama tapi Mama yang tumpang hasil karya anak-anak Mama untuk kekal dalam industri seni tanah air. Dan dalam keadaan ini, Mama sebenarnya sangat beruntung sebab ada anak-anak yang cukup kreatif dan Mama bersyukur sebab mereka pilih Mama untuk menyanyi dengan mereka sedangkan ramai lagi penyanyi-penyanyi muda dan popular pada masa sekarang.
Apa sasaran MamaShila kini dalam industri seni?
Mama nak tinggalkan nama Noorshila Amin sebagai penghibur yang versatile. Kalau dulu, orang kenal Mama sebagai penyanyi lagu rakyat sahaja. Tapi sekarang, anak-anak kecil kenal MamaShila sebagai seorang penghibur yang mampu membawa lagu lama dan juga lagu moden. Mama harapkan industri seni tanah air lebih memberi peluang kepada kami penyanyi lama untuk menunjukkan bakat terpendam kami yang tidak pernah diketahui umum.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami kiriman dari syurga. ‘Walaupun sudah menjangkau usia emas, syukur mampu uruskan isteri.’ Biarpun masing-masing meningkat usia, namun lelaki ini memilih untuk terus setia kepada isterinya.
Malah baginya isteri adalah amanah, oleh itu dia berjanji akan menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selagi nyawa dikandung badan. Benarlah dialah lelaki kiriman Allah dari syurga.
Seorang warga emas layak digelar ‘suami kiriman dari syurga’ apabila sentiasa tabah menjaga isterinya yang lumpuh walaupun sudah lanjut usia sejak sejak enam tahun lalu.
Mohd Nor Osman, 88, dari Kampung Ladang Sahat, Kuala Terengganu, Terengganu, juga dilihat setia menjaga isterinya Che Esah Mohd, 68, dengan menyediakan makan minum dan menguruskan rutin hariannya saban hari.
Mengenai kehidupannya cerita Mohd Nor, selepas isterinya tidak mampu berjalan, dia mengambil alih tugas menguruskan rumah dan menyediakan hidangan setiap hari.
Dari Syurga
“Alhamdulillah. Walaupun sudah menjangkau usia emas namun saya masih mampu menjaga isteri dengan baik kerana kami hanya tinggal berdua di rumah ini.
“Perkahwinan kedua dengan Che Esah, kami tidak dikurniakan zuriat namun hasil perkahwinan dengan arwah isteri pertama, Hasmah Busu, yang meninggal dunia ketika berusia 61 tahun, 20 tahun lalu dikurniakan 11 cahaya mata,” katanya yang mempunyai 60 cucu dan 22 cicit.
Jelas Mohd Nor, pada mulanya isterinya sering jatuh dan pemeriksaan dilakukan mendapati tulang belakang isterinya mengalami masalah.
Walaupun Sudah Menjangkau Usia Emas
Menurutnya, doktor kemudian membuat pembedahan dengan memasukkan besi pada tulang belakang isterinya dan wanita itu kembali normal dan boleh berjalan.
Katanya, tidak lama kemudian isterinya tiba-tiba rebah dan mengalami patah tulang pada bahagian paha hingga mengakibatkannya lumpuh separuh badan ke bawah hingga kini.
“Walaupun diuji ujian sehebat ini namun saya tetap bersyukur kepada Allah kerana masih mampu menjaga isteri dengan baik dan selagi bernafas saya akan tetap menjaganya kerana ia adalah amanah buat saya.
“Sebelah pagi saya akan ke kedai membeli sarapan manakala tengah hari kalau tak membeli makanan, saya akan memasak sendiri begitu juga pada malam.
“Begitulah rutin harian saya namun saya juga menghidap penyakit darah tinggi, lemah jantung dan prostat,” katanya yang masih aktif sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Kuala Terengganu.
Syukur Mampu Uruskan Isteri
Terdahulu, pasangan warga emas berkenaan menerima kunjungan Ketua Umno Cawangan Ladang Sahat, Adnan Salleh di rumah mereka di sini, semalam.
Sementara itu, menurut Che Esah, dia menganggap suaminya adalah ‘suami kiriman dari syurga’ kerana masih bersemangat menjaganya setiap hari walaupun sudah berusia.
“Saya lihat kasih sayang suami kepada saya amat utuh, sanggup berkorban dan bersusah-payah menyediakan makan minum dan menguruskan saya yang hanya berada di katil.
“Dia (suami) bawa saya ke tandas untuk mandi, lap badan saya, menyediakan makan minum tanpa jemu sejak enam tahun lalu selepas saya lumpuh separuh badan,” katanya.
Katanya, suaminya insan terbaik selain ibu bapanya kerana tidak pernah mengeluh menjaganya walaupun mengalami kesukaran berikutan faktor usia.
“Tiada rahsia dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga walaupun dalam serba kepayahan, namun sikap tolak ansur dan saling menghormati membuatkan perkahwinan itu kekal bahagia,” katanya.
Mingguan Wanita: Bila hati ikhlas menyayangi seseorang, secara tak langsung kita dapat menerima dia dalam apa keadaan sekalipun.
Kalau panik memang tak mampu lakukan apa yang anggota polis ini lakukan. Tak semua orang mampu mengawal situasi begini apatah lagi melibatkan nyawa ibu dan bayi baru lahir.
Dua kali anggota polis jadi bidan ekspres, sebelum ini dia pernah menyambut bayi perempuan buat pertama kali pada 13 tahun yang lalu. Alhamdulillah bayi dan ibunya selamat, kini sedang dirawat di hospital.
Dua Kali Anggota Polis Jadi “Bidan Ekspres”
Kebetulan atau suratan takdir apabila seorang anggota polis lelaki yang pernah menjadi ‘bidan ekspres’ 13 tahun lalu, sekali lagi menyelamatkan seorang wanita yang melahirkan bayi di dalam tandas.
Anggota polis terbabit, Koperal Mohd Zahri Ramzan, 35, berkata, insiden berlaku ketika dia baru keluar dari rumahnya di Kampung Padang Balang Hilir, Kuala Lumpur, untuk bekerja sekitar jam 7.40 pagi kelmarin.
Menurutnya, seorang wanita dalam keadaan cemas muncul dan meminta bantuan susulan salah seorang jiran mereka melahirkan bayi mendadak.
Jadi Bidan Ekspres Sambut Bayi Lelaki
“Saya kemudian bergegas ke rumah berkenaan sebelum mendapati seorang wanita berusia awal 30-an dalam keadaan terbaring kesakitan di dalam tandas.
“Saya dapati wanita itu amat lemah dan baru melahirkan seorang bayi lelaki. Kami dimaklumkan wanita itu mulanya mengadu mahu membuang air besar sebelum melahirkan bayi tidak cukup bulan secara tiba-tiba,” katanya.
Berikutan keadaan sempit di dalam tandas itu, dia dibantu seorang lagi jiran berusaha mengusung keluar mangsa secara perlahan-lahan dari dalam tandas berkenaan.
“Wanita itu kemudian dibaringkan di ruang tamu rumah. Ketika itu saya dapati uri bayi berkenaan masih berada di dalam rahim wanita terbabit.
“Bimbang ia boleh membahayakan nyawa wanita itu, saya memintanya meneran supaya uri itu dapat dikeluarkan.
“Alhamdulillah, uri itu akhirnya dapat dikeluarkan sebelum dibalut dengan kain sementara menunggu ambulans tiba. Saya kemudian memangku bayi itu sebelum membersihkannya menggunakan kain,” katanya.
Pertama Kali 13 Tahun Lalu Sambut Bayi Perempuan
Dia yang bertugas di Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman berkata, wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans sekitar jam 8.15 pagi.
“Saya tidak sangka perlu berhadapan situasi sama selepas pernah menyambut kelahiran seorang bayi perempuan di pintu rumah penduduk di Wangsa Maju di sini, pada Mac 2007.
“Dalam kejadian itu seorang wanita tidak sempat dibawa ke hospital sebelum melahirkan bayi. Mujur ilmu diperoleh ketika menjadi anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) banyak membantu saya berdepan detik cemas begini,” katanya.
MW: Tahniah Koperal Mohd Zahri Ramzan, kecekapan anda telah menyelamatkan ibu dan bayinya. Biarpun bukan mudah namun kisah ini sudah tentu menjadi inspirasi buat lelaki di luar sana apabila berdepan dengan situasi panik.
Isteri tunggu mesej sehingga tertidur, rupanya suami sudah meninggal dunia. Penantian seorang isteri yang ingin tahu keberadaan suami hingga tertidur berakhir dengan kedukaan bila...