Bila tengok kanak-kanak tantrum dan buat perangai mulalah cakap anak orang tak sama dengan anak kita. Maklumlah, anak kita elok saja perangai. Ini belum lagi lihat anak jiran atau kawan sekolah anak.
Pernah juga anak datang mengadu dan menangis beritahu gaduh dengan kawan-kawan. Beritahu anak orang itu yang kacau dulu dan sakat menyakat. Mahunya, mak ayah tak geram kan!
Jangan cepat nak kata kat anak orang sebab kita tak tahu anak kita macam mana perangai bila bersama kawan-kawan. Mungkin juga berpunca dari anak kita sendiri.
Sebenarnya, mana-mana mak tetap sayang pada anaknya. Tiada siapa yang tak sayang anak. Dialah raja dan ratu dalam hati. Jangan sesiapa nak mengata anak orang. Bayangkan mak lain mengata anak kita pula.
Perangai jahat sekalipun anak kita, dia tetap raja di hati mak. Tapi kalau buat salah kita sebagai mak tetap denda dan hukum, cuma cara setiap mak berbeza.
Perkongsian daripada Sariah Suhailah ini cukup menarik. Pesanan maknya dijadikan pegangan dan ingatan sehingga dia sendiri ada anak barulah dia tahu kebenarannya.
Sejak dari kami kecik lagi, kalau mengadu dengan mak pasal gaduh dengan kawan-kawan, mak akan pesan, “Jangan kata kat anak orang.”
Bila kami dah remaja, dah ada yang mula kacau-kacau, kononnya nak ajak ‘couple’,
dan kami tak suka, mak akan pesan juga, “Jangan kata kat anak orang.”
Bila kami dah kahwin, kalau ada tak suka kat pasangan sama ada isteri atau suami, mak masih lagi pesan, “Jangan kata kat anak orang.”
Ads
Maksud mak, jangan pernah mengata yang tak elok tentang orang lain depan mak ayah dia sekalipun dia tu pasangan kita.
Mak cakap, anak ni, jahat macam mana pun, dia tetap raja di hati mak dia.
Jangan kata sedap-sedap. Nanti orang kecil hati, dia boleh buat macam-macam kat kita.
Kata mak, orang cakap macam mana pun, jangan sesekali balas yang tak elok. Kalau kita tak mengata orang, tak buat kat orang, kita tak sesal.
Kalau Salah, Tegur
Ada macam-macam orang datang dalam hidup mak. Memang ada yang cakap bukan-bukan kat kami, anak-anak mak ni. Ye, cakap sesedap rasa. Lepas ikut hati tanpa usul periksa.
Kalau yang memang kami salah, mak akan tegur. Kalau memang kami tak salah, mak akan pujuk kami.
Ads
Tapi, macam mana pun, mak memang akan cakap, “Jangan kata kat anak orang.”
Sindrom anak sulung, tak dinafikan bila lahirnya anak pertama, sebolehnya mak ayah cukup menjaga. Nyamuk gigit pun, mahu dicari sampai jumpa. Marah punya pasal. Dialah bintang dan dialah permata hati.
Pastinya mak-mak akan lalui perkara yang sama. Kalau boleh mak ayah mahu yang terbaik untuk anak sulung, apatah lagi dia akan menjadi contoh pada adik-adik yang lain.
Tak salah pun dalam mendidik anak sulung, tapi bimbangnya kalau terlalu menjaga dan mendidik, ia boleh buat anak jadi sindrom anak sulung. Apakah yang dikatakan sindrom anak sulung ini? Wawa Shauqi berkongsi tentang perkara ini.
Waktu kali pertama jadi mak, banyak kesilapan saya dah buat.
Antara kesilapan lain adalah :
a) Biarkan diri stres waktu mengandung. Akibatnya anak lahir jadi bayi yang ‘stres’. Kuat meragam.
b) Tak belajar ilmu parenting. Akibatnya, banyak kesilapan parenting saya buat. Paling gila, masa saya buat tu, saya yakin saya buat benda betul.
c) Manjakan anak dengan pelbagai peralatan bayi. Berjam-jam duduk atas rocker dan walker. Tak banyak tummy time. Akibatnya, banyak perkembangan motornya terjejas.
d) Memaksa dan mengajar anak secara keras untuk dia pandai membaca dari kecil. Akibatnya, dia hilang minat belajar dan membaca. Walaupun dari kecil dah boleh membaca.
e) Menjadi ibu yang impulsif dalam menghukum. Akibatnya, sampai sekarang saya struggle nak membentuk dirinya yang impulsif bila beremosi.
Hati-hati ibu ayah.
Jadilah ibu bapa berilmu sementara anak masih kecil lagi.
Kesilapan kita mendidik anak sulung boleh menjadi punca utama mereka memiliki ‘Sindrom Anak Sulung’ yang ketara :
Antara contoh sindrom anak sulung yang saya maksudkan adalah :
1. Memiliki FIXED MINDSET
Harapan yang terlalu tinggi diletakkan pada anak sulung, menyebabkan ibu bapa sukar menerima kesilapan yang dilakukan anak-anak.
Anak-anak dipaksa memenuhi kehendak kita, walaupun ia tidak kena dengan fasa dan fitrah anak ketika itu.
Hasilnya, anak menjadi terlampau perfectionist. Sukar menerima kekurangan dan kesalahan.
Dan bila terbuat salah, mereka cenderung untuk memiliki mindset,
“Alaa.. Aku dah salah. Takde harapan dah ni nak betulkan balik. Sekali gagal, totally gagal!” . 2. BOSSY
Bagus untuk kita didik anak sulung jadi seorang yang bertanggungjawab. Tapi, pastikan ia tidak keterlaluan. Sehingga timbul sifat bossy pada anak.
Kadang-kadang, sifat bossy tersebut sampai buat adik-beradik yang lain rasa tertekan.
Disuruh dengan kasar, tak pertimbangkan apa orang lain sedang buat
dan susah bertolak ansur.
Bayangkan bila sifat bossy ni anak bawa bila bersosial. Pening orang lain nak melayan. Takut-takut, dia menjadi individu yang tidak disenangi di kalangan kawan-kawan.
. 3. OVERLY SENSITIVE
Anak sulung juga cenderung menjadi seorang yang mudah beremosi. Sebab masa dia kecil dulu, kita tak ada ilmu nak kendalikan emosi mereka dengan baik.
Struktur emosi mereka tak stabil. Mudah runtuh, remuk dan rapuh.
.
Besar pengaruh karektor anak sulung ni tau. Sedikit-sebanyak mempengaruhi karektor adik-adik yang lain. Walaupun kita tahu yang setiap anak dilahirkan dengan karektor yang pelbagai.
Tak percaya, cuba tengok.
Ada banyak ketika, adik-adik akan ikut apa yang kakak atau abang dia buat.
Yang paling tak seronok, hat-hat buruk tu paling mudah mereka ikut.
Hadirnya Rasa Pengalaman Manis
.
Pun begitu, berterima kasih dan hargailah anak sulung kita. Mereka adalah guru yang paling banyak berkorban mendidik kita.
Melalui merekalah kita merasai pengalaman manis kali pertama memegang anak hasil benih sendiri. Jiwa kita terdidik untuk memahami jiwa anak-anak kecil dan mendidik diri mengawal bara emosi.
Malah, melalui merekalah kita melalui pengalaman menakjubkan. Dengan membesarkan manusia dari proses alam rahim sampai dia dah besar sekarang.
Hargai mereka. Sayangi mereka.
Tidak pernah terlewat untuk kita betulkan kesilapan. Selagi mana kita usaha bentuk mereka dengan ilmu yang betul.
Mingguan Wanita : Itulah harapan mak ayah pada anak sulung tapi jangan sampai tersalah didik, lagi bahaya.
Selalunya, masa kecil mak-mak pasti akan suapkan anak. Maklumlah, anak masih tak pandai. Kalau dibiarkan makan sendiri takutnya banyak yang tumpah dari masuk mulut.
Ada juga mak-mak yang suapkan anak sebab tak nak bersepah. Satu kerja pula mak-mak kena berkemas. Lagi satu, nak tunggu habis mahunya berjam-jam.
Malah, tak mustahil ada mak0mak yang tak suapkan anak dan sanggup ajar anak untuk makan sendiri. Kononnya untuk anak berdikari, walaupun mungkin akan berselerak.
Tanpa kita sedar, inilah masanya untuk mak-mak suapkan anak terutamanya ketika masih kecil. Jangan fikir sebab nak ajar anak untuk berdikari hingga sanggup biarkan dia suap sendiri. Sedangkan tangan mak inilah barokah.
Menariknya perkongsian daripada Nor Asmalina tentang suapkan anak, tangan mak yang sangat barokah dan ada syifa’
Ulamak pesan, tangan seorang ibu ada barokah. Jadi, suaplah anak makan dengan tangan ibu. Selain barokah dan ada syifa’, ia juga merapatkan hubungan ibu dan anak. Tapi zaman sekarang, ibu-ibu muda banyak follow petua barat.
Baby Lead Weaning, dan macam-macam lagi petua barat, suruh ajar anak makan sendiri. Belum setahun dah ajar makan sendiri. Sudahlah mak tu bekerja, seharian tak jumpa anak, nak suap makan pun tak nak.
Suruh makan sendiri. Mulalah berlaku, anak kurang khasiat, bantut, anak kurang darah. Sebab apa? Tak dapat khasiat makanan sepenuhnya sebab makanan banyak tumpah. Ajarlah anak makan sendiri bila dia betul-betul boleh berdikari sekurang-kurangnya dah umur 2 tahun.
Anak-anak saya, saya suap sampai mereka dah sekolah rendah. Kadang-kadang saya suap lagi. Bila dah remaja dah jarang jumpa duduk asrama, balik sekali-sekala akan mintak saya suap makan.
Wujud kemesraan dan bonding yang mereka ingat sampai mereka dewasa. Jadikan suap anak makan salah 1 cara bonding dengan anak.
Sambil-sambil itu boleh sembang-sembang dengan mereka. Anak yang dah besar pun sekarang mereka pula sibuk nak suapkan ibu mereka.
Mingguan Wanita : Masa anak nak makan bersuap, mak-mak suaplah. Kalau dia nak besar, tak nak bersuap, kita pula sibuk nak suap-suapkan. Begitulah.
Tamparan Hebat Hilang Suami & 7 Anak, Reda Satu Keluarga Diuji Hidap KANSER! Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Besar sungguh ujian buat keluarga ini, masakan tidak satu keluarga diuji dengan penyakit kanser, malah seorang demi seorang telah meninggal dunia.
Ibu mana yang tidak mahu melihat semua anak dilahirkan hidup sihat, begitu juga Che Noorsiah Abdul Rashid apabila menerima kehadiran lima anak yang menjadi penyeri hidup bersama suami.
Namun, takdir Allah SWT ‘menuliskan’ sebaliknya apabila semua anaknya bersama tiga anak tiri serta suami diuji penyakit kanser, malah dirinya dan seorang cucu lelaki juga diuji penyakit sama.
Lebih menyedihkan tujuh anak dan suaminya kini sudah meninggal dunia kerana penyakit mereka.
Suami, Abdul Latif Md Jali yang menghidap kanser paru-paru dan tumor otak meninggal pada 1998 manakala anak kandungnya, Nur Hidayati Ayu yang menghidap kanser adrenal meninggal dunia pada 1995, Irfan Effendy meninggal dunia pada 2013 kerana kanser limfoma dan Nur Aqilah Atiqah menghidap kanser payudara yang meninggal dunia pada 2019.
Seorang lagi anaknya, Shaheedy Effendy yang meninggal dunia kerana jangkitan bakteria salmonella tahun ini juga mempunyai ketulan di tulang selangka namun tidak sempat membuat ujian dan pemeriksaan lanjut.
Tiga anak tirinya, Noraini meninggal dunia pada 2002 akibat kanser payudara, Mohd Jefri menghidap kanser esofagus meninggal dunia pada 2018 dan Mohd Musa meninggal dunia pada 2016 kerana kanser darah.
Kini hanya tinggal Che Noorsiah, 69, dan anak bongsunya, Nur Alia Wahidah, 32, yang masih berjuang melawan kanser payudara manakala cucu lelakinya Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy, 11, kanser limfoma, tulang dan leukemia.
Bercerita kisahnya, Che Noorsiah berkata, kehilangan suami dan tujuh anak termasuk tiga anak tiri boleh dianggap satu tamparan hebat buatnya, namun menerima ketentuan takdir dengan reda.
“Apabila semua anak sakit kanser, hati saya seolah-olah hancur biarpun tiga anak lain cuma anak tiri, tetapi saya tidak pernah membezakan kasih sayang buat mereka. Rasa itu tetap sama.
“Bagaimanapun saya sentiasa kuatkan semangat dan bersangka baik dengan Allah SWT kerana perjalanan hidup kita seperti menaiki kereta api yang akan berhenti di hentian stesen, apabila tiba masa kita akan ‘pergi’ dan sakit cuma asbab.
“Kini hanya tinggal saya bersama anak bongsu dan cucu bersama-sama melawan penyakit ini. Bagi saya selagi ada hayat saya akan berjuang dan hidup dengan gembira, malah sokongan ahli keluarga lain sangat menguatkan kami,” katanya ketika ditemui.
Pesara kerajaan itu berkata, dia bernasib baik apabila kansernya dapat dikesan awal dan kini berada di tahap awal namun sudah melakukan pembedahan membuang payudara kanan pada Januari tahun lalu.
Katanya, dia disahkan menghidap penyakit itu pada November 2020 dan mengakui keluarganya tiada sejarah penyakit kanser, namun penyakitnya itu bukanlah penamat kehidupannya.
“Ketika disahkan kanser payudara saya memang terkejut kerana keluarga saya tiada sejarah penyakit kanser. Ini dugaan keluarga saya apabila kami semua diuji dengan penyakit ini.
“Sebagai pesakit kanser dan ada anak dan cucu yang mempunyai penyakit sama kami perlu positif dan menjalani kehidupan dengan gembira selain melakukan aktiviti kegemaran sebagai terapi diri.
“Tiga elemen penting untuk lawan kanser adalah kuatkan semangat, makan makanan berkhasiat dan buat rawatan disyorkan pakar. Hidup dan mati kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya yang turut mempunyai sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Bercerita lanjut, saat paling sukar yang dilaluinya adalah anak perempuan yang lama ditunggu, Nur Hidayati Ayu disahkan menghidap kanser adrenal ketika berusia empat tahun.
Katanya, sejarah keluarga suaminya memang ada yang sakit kanser tetapi dia tidak menyalahkan takdir kerana baginya semua aturan Allah SWT mempunyai hikmah.
“Hayyan, wan (Che Noorsiah) dan mummy (Nur Alia Wahidah) ada ‘super power’ jadi kami kena kuat lawan sakit,” kata pesakit kanser tahap empat, Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy.
Haleef Hayyan Effendy, 11, atau mesra disapa Hayyan diuji penyakit kanser limfoma seawal usia lima tahun sebelum kanser itu merebak ke tulang dan kini turut disahkan mempunyai leukemia pada Februari lalu.
Menurutnya, ketika disahkan kanser kembali dia menangis, terdiam dan kecewa tetapi sokongan ibu, Mimi Zarina Omar, 48, membuatnya kuat.
“Masa usia lima tahun, Hayyan tak tahu kanser itu apa cuma tahu ABC sahaja dan sakit macam arwah ayah.
“Bila doktor cakap Hayyan ada kanser lagi baru-baru ini saya menangis dan terkedu sebab kena buat rawatan lagi.
“Masa buat rawatan memang sakit tapi Hayyan ada mummy yang selalu temankan di hospital tapi Hayyan harap sangat Hayyan, wan dan mummy terus kuat dan sihat,” katanya.
Sementara itu ibunya, Mimi Zarina berkata, kekuatan sebenarnya adalah melihat kekuatan anak bongsu kesayangannya kekal positif untuk sembuh daripada penyakitnya.
Menurutnya, Allahyarham suaminya, Irfan Effendy Abdul Latif, 39, meninggal dunia kerana kanser limfoma pada 2013.
“Biarpun ‘sakit’ melihat Hayyan sakit tetapi saya tidak menyalahkan takdir atau genetik sebaliknya menerima dengan reda kerana ini ujian Allah SWT untuk saya dan keluarga kami.
“Sebelum ini saya berjuang bersama suami yang melawan kanser selama tujuh bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir dan kini bersama Hayyan pula untuk berjuang melawan penyakit.
“Pada mulanya saya tidak kuat tetapi melihat betapa positifnya anak buat saya juga jadi kuat. Kita perlu kuat dan positif untuk menjaga pesakit kanser bukan mereka sahaja kena kuat,” katanya.
Kehilangan ‘mahkota’ kewanitaan dan melalui 12 sesi kemoterapi dan 15 kali radioterapi, tidak membuatkan wanita ini ‘gentar’ untuk berjuang melawan kanser payudara tahap empat yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Nur Alia Wahidah Abdul Latif, 32, menjalani pembedahan membuang payudara kanannya dan kini bakal kehilangan satu lagi ‘mahkota’ apabila akan menjalani pembedahan membuang ovari.
Nur Alia Wahidah berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas disahkan menghidap kanser payudara selepas baharu tujuh bulan berkahwin dan mengecapi kebahagiaan bersama suami.
Menurutnya, biarpun mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit kanser tetapi ujian genetik yang dibuat pada 2018 mengesahkannya bukan pembawa gen P53 seperti dua adik beradiknya.
“Pada mulanya kanser berada di tahap dua dan ia berpunca daripada hormon. Saya mengambil keputusan membuang payudara kanan dan ‘membinanya’ semula supaya ia tidak serius. Itu satu keputusan berat kerana ia adalah ‘mahkota’ kita sebagai seorang wanita.
“Kemudian doktor beritahu kanser saya berulang pada Mei lalu dan sudah berada di tahap empat selain merebak ke paru-paru,” katanya yang kehilangan kerja kerana penyakitnya itu.
Menurutnya, dia kini sudah membuat enam sesi kemoterapi dan menunggu untuk membuat pembedahan membuang ovari bagi mencegah kanser kembali kerana ia membabitkan hormon.
“Pembedahan ini akan melenyapkan hasrat saya memiliki anak sendiri. Ini realiti yang dilalui biarpun saya sendiri teringin mahu punya anak sendiri dan ia memang membuatkan saya sedih.
“Semua yang ada pada kita adalah milik Allah SWT dan apabila sedikit yang dipinjamkan itu diambil saya tetap bersyukur kerana Dia masih memberikan peluang saya bernafas.
“Siapa saya untuk mempersoalkan ketentuan-Nya jadi saya perlu positif dan bersemangat untuk melawan sakit ini. Allah SWT mahu lihat saya bersabar dan menerima ujian-Nya. Lagipun saya fikir dugaan mana lebih hebat dan jika dia boleh melaluinya kenapa tidak saya,” katanya.
Mingguan Wanita: Masya Allah, sungguh hebat dugaan buat wanita ini. Bukan mudah untuk berdepan sengan ujian sebegini, kehilangan suami dan anak-anak tersayang akibat penyakit kanser yang cukup ‘digeruni’. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan buat wanita ini dan diberikan kesembuhan buatnya.
Usah menambahkan kesedihan kepada ahli keluarga mangsa nahas konvoi RXZ, mereka sedang melalui ujian yang sangat berat. Tragedi ini telah meragut nyawa dan meninggalkan luka yang mendalam kepada banyak keluarga.