Isteri mengandung meninggal, suami sorok tangisan dari anak-anak. Allahu, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Perkongsian wanita hamil Aizura Zulkifli yang mengandung anak di usia 40 tahun mengejutkan apabila diberitakan dirinya meninggal dunia dan meninggalkan dua anak perempuan yang masih bersekolah rendah. Difahamkan dirinya mengandung di awal kehamilan. Dirinya ada mengadu kepenatan di peringkat awal kehamilannya ini.
Sehari sebelum ajalnya menjemput, arwah ada berkongsi masalah angin tak lepas dalam badan. Mungkin ianya menjadi asbab, Allah saja Maha Mengetahui-Nya.
Ternyata kisah ibu mengandung meninggal begitu sedih. Apatah lagi pada keluarga yang kehilangannya secara tiba-tiba buat selamanya.
Isteri Mengandung Meninggal, Suami Sorok Tangisan Dari Anak-Anak
Menerusi perkongsian suami Allahyarham Aizura Zulkifli menerusi akaun Facebook Ahmad Zukhairi Sulaiman meluahkan rasa sedih yang tak terhingga ke atas pemergian insan yang sangat disayangi.
Malah Ahmad Zukhairi juga menyatakan dia tidak puas menangis namun terpaksa sorokkan dari anak-anak yang tidak mengerti apa-apa.
Pemergian isteri juga bermakna berakhiri siri PJJ keluarganya di dunia.
“Bismillah.
No words can describe how my heart feels at this moment. No words.
Sayang,
Saya kehilangan seorang isteri,
Anak2 kehilangan seorang ibu,
Adik2 kehilangan seorang kakak,
Mak ayah kehilangan seorang anak,
Mama abah kehilangan seorang menantu,
Saudara kehilangan seorang talian darah,
Rakan2 kehilangan seorang sahabat.
Hilangnya seorang, kesannya ramai.
If you knew how much you are loved by others,
You know you’ve lived such a blessed life.
Walau hubungan kita terhenti di sini, hubungan lain kembali bersatu.
“pemergian yang menyatukan”. Indah.
Saya akan jadikan fb ni ruang untuk mereka yang menyayangi ingin melihat jalan hidup anak2 kita. Agar anak2 terus disayangi. Ramai yang sayang mereka. Jangan risau.
Maaf jika saya belum puas menangis kerana terpaksa sorok tangisan dari anak-anak. Emosi mereka lebih penting dari emosi saya. Dengan izin Allah, saya mampu. Doakan saya.
Saya janji akan jaga anak2 kita sedaya upaya sepenuh daya, selagi saya bernyawa, diberi kesempatan. Saya janji.
Dengan izin Allah.
Terima kasih pada insan2 yang banyak membantu keluarga kami dalam mengharungi ujian ini. Hanya Allah dapat membalas amalan kalian.
Dengan ini berakhir siri PJJ keluarga kita di dunia, mungkin Allah ingin satukan keluarga kita di ‘sana’ nanti. Dengan izin Allah. Ameen.
Saya tahu sayang tidak lagi tahu apa yang berlaku di sini, tapi ini hanya sekadar coretan untuk semangat peribadi saya.
Berat. Sumpah berat.
“Aku mendengar Rasulullah ﷺ, “Wanita mana saja yang meninggal sementara suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” (HR. Ibnu Majah: 1844)
Emosi Orang Perempuan Gembira Atau Sedih Bergantung Pada Pasangannya. Memang ada benarnya sebarang perubahan tingkah laku, personaliti mahupun emosi isteri selalunya bergantung pada pasangannya. Bagaimana layanan yang diterima daripada suami, samaada baik atau sebaliknya. Suami atau pasangan memainkan peranan penting menjadi punca, apa yang isteri rasa.
Tingkah laku dan perbuatan pasangan tu akan mempengaruhi emosi dan fikiran pasangan seorang lagi. Jika pasangan seorang yang mempunyai keperibadian yang baik, tak mudah marah, tenang, senang dibawa berbincang, maka secara automatik pasangannya tiada rasa susah hati, tiada rasa terasa hati, tiada rasa makan hati dengan pasangan sendiri.
Lain pula jika berpasangan dengan seorang yang baran, yang senang mengeluarkan kata-kata kesat, maki hamun, susah dibawa berbincang apatah lagi ditegur, maka automatik pasangannya sentiasa hidup dalam keadaan tertekan, fikiran serabut, hati tak tenang, selalu terasa hati, makan hati dengan pasangan sendiri. Sebab tu bila berkawin, ramai yang berubah dari sikap asalnya sebelum berkawin.
Keadaan memaksa dia melakukan perubahan untuk menyesuaikan diri dengan siapa dia berpasangan. Mungkin dari seorang yang periang, ceria, gembira, petah berkata-kata jadi pendiam, jarang bercakap, nampak macam ada masalah.
Pengaruh tingkah laku dan perbuatan pasangan tu akan memberi impak dalam kehidupan seorang lagi dari sudut personalitinya. Tengok pasangan yang bahagia, tengoklah personaliti mereka. Pasangan yang baik, yang memahami, yang mudah dibawa berbincang, yang tak ego, yang boleh ditegur akan membentuk personaliti positif pasangan yang satu lagi.
Kita decide kita nak isteri kita tu gembira ataupun sedih.Emosi orang perempuan ni adakalanya bergantung pada pasangannya. Dia boleh jadi tenang, tak tenang, gembira, tak gembira, ketawa, sedih, tertekan semua bergantung pada pasangannya.
Kita nak dia sembunyikan apa yang dia rasa, dia boleh buat. Dia tahu bila dia perlu untuk stop luah dan pendam. Pasangan dia buat tak tahu, tak nak faham dia, buat tak dengar pada luahan dia, maka dia akan simpan sorang-sorang apa yang dia rasa.
Lama-lama dia akan tawar hati.
Kita nak dia ketawa dan gembira sepanjang masa pun dia boleh buat. Tapi kalau tiba-tiba dia menangis malam-malam, kita jangan hairan pulak sebab dia penat berlakon sepanjang masa untuk nak kelihatan seperti yang diminta.
Lama-lama dia akan murung.
Apa yang saya belajar dari isteri, masa dia marah, saya diam, saya dengar. Masa angin dia tak baik, saya tak usik, tapi pujuk. Masa dia berleter, saya biar dia habis cakap tanpa membangkang.
Saya bagi tumpuan pada apa yang keluar dari mulut dia sebab setiap perkataan tu datangnya dari hati.
Ingatlah, sebagai suami, kita boleh jadi punca kepada apa yang isteri kita rasa.
Mingguan Wanita: Ada benarnya, emosi dan personaliti isteri baik gembira mahupun sedih bergantung pada pasangannya. Elok layanan yang diterima,maka eloklah emosi isteri.
Tamparan Hebat Hilang Suami & 7 Anak, Reda Satu Keluarga Diuji Hidap KANSER! Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Besar sungguh ujian buat keluarga ini, masakan tidak satu keluarga diuji dengan penyakit kanser, malah seorang demi seorang telah meninggal dunia.
Ibu mana yang tidak mahu melihat semua anak dilahirkan hidup sihat, begitu juga Che Noorsiah Abdul Rashid apabila menerima kehadiran lima anak yang menjadi penyeri hidup bersama suami.
Namun, takdir Allah SWT ‘menuliskan’ sebaliknya apabila semua anaknya bersama tiga anak tiri serta suami diuji penyakit kanser, malah dirinya dan seorang cucu lelaki juga diuji penyakit sama.
Lebih menyedihkan tujuh anak dan suaminya kini sudah meninggal dunia kerana penyakit mereka.
Suami, Abdul Latif Md Jali yang menghidap kanser paru-paru dan tumor otak meninggal pada 1998 manakala anak kandungnya, Nur Hidayati Ayu yang menghidap kanser adrenal meninggal dunia pada 1995, Irfan Effendy meninggal dunia pada 2013 kerana kanser limfoma dan Nur Aqilah Atiqah menghidap kanser payudara yang meninggal dunia pada 2019.
Seorang lagi anaknya, Shaheedy Effendy yang meninggal dunia kerana jangkitan bakteria salmonella tahun ini juga mempunyai ketulan di tulang selangka namun tidak sempat membuat ujian dan pemeriksaan lanjut.
Tiga anak tirinya, Noraini meninggal dunia pada 2002 akibat kanser payudara, Mohd Jefri menghidap kanser esofagus meninggal dunia pada 2018 dan Mohd Musa meninggal dunia pada 2016 kerana kanser darah.
Kini hanya tinggal Che Noorsiah, 69, dan anak bongsunya, Nur Alia Wahidah, 32, yang masih berjuang melawan kanser payudara manakala cucu lelakinya Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy, 11, kanser limfoma, tulang dan leukemia.
Bercerita kisahnya, Che Noorsiah berkata, kehilangan suami dan tujuh anak termasuk tiga anak tiri boleh dianggap satu tamparan hebat buatnya, namun menerima ketentuan takdir dengan reda.
“Apabila semua anak sakit kanser, hati saya seolah-olah hancur biarpun tiga anak lain cuma anak tiri, tetapi saya tidak pernah membezakan kasih sayang buat mereka. Rasa itu tetap sama.
“Bagaimanapun saya sentiasa kuatkan semangat dan bersangka baik dengan Allah SWT kerana perjalanan hidup kita seperti menaiki kereta api yang akan berhenti di hentian stesen, apabila tiba masa kita akan ‘pergi’ dan sakit cuma asbab.
“Kini hanya tinggal saya bersama anak bongsu dan cucu bersama-sama melawan penyakit ini. Bagi saya selagi ada hayat saya akan berjuang dan hidup dengan gembira, malah sokongan ahli keluarga lain sangat menguatkan kami,” katanya ketika ditemui.
Pesara kerajaan itu berkata, dia bernasib baik apabila kansernya dapat dikesan awal dan kini berada di tahap awal namun sudah melakukan pembedahan membuang payudara kanan pada Januari tahun lalu.
Katanya, dia disahkan menghidap penyakit itu pada November 2020 dan mengakui keluarganya tiada sejarah penyakit kanser, namun penyakitnya itu bukanlah penamat kehidupannya.
“Ketika disahkan kanser payudara saya memang terkejut kerana keluarga saya tiada sejarah penyakit kanser. Ini dugaan keluarga saya apabila kami semua diuji dengan penyakit ini.
“Sebagai pesakit kanser dan ada anak dan cucu yang mempunyai penyakit sama kami perlu positif dan menjalani kehidupan dengan gembira selain melakukan aktiviti kegemaran sebagai terapi diri.
“Tiga elemen penting untuk lawan kanser adalah kuatkan semangat, makan makanan berkhasiat dan buat rawatan disyorkan pakar. Hidup dan mati kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya yang turut mempunyai sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Bercerita lanjut, saat paling sukar yang dilaluinya adalah anak perempuan yang lama ditunggu, Nur Hidayati Ayu disahkan menghidap kanser adrenal ketika berusia empat tahun.
Katanya, sejarah keluarga suaminya memang ada yang sakit kanser tetapi dia tidak menyalahkan takdir kerana baginya semua aturan Allah SWT mempunyai hikmah.
“Hayyan, wan (Che Noorsiah) dan mummy (Nur Alia Wahidah) ada ‘super power’ jadi kami kena kuat lawan sakit,” kata pesakit kanser tahap empat, Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy.
Haleef Hayyan Effendy, 11, atau mesra disapa Hayyan diuji penyakit kanser limfoma seawal usia lima tahun sebelum kanser itu merebak ke tulang dan kini turut disahkan mempunyai leukemia pada Februari lalu.
Menurutnya, ketika disahkan kanser kembali dia menangis, terdiam dan kecewa tetapi sokongan ibu, Mimi Zarina Omar, 48, membuatnya kuat.
“Masa usia lima tahun, Hayyan tak tahu kanser itu apa cuma tahu ABC sahaja dan sakit macam arwah ayah.
“Bila doktor cakap Hayyan ada kanser lagi baru-baru ini saya menangis dan terkedu sebab kena buat rawatan lagi.
“Masa buat rawatan memang sakit tapi Hayyan ada mummy yang selalu temankan di hospital tapi Hayyan harap sangat Hayyan, wan dan mummy terus kuat dan sihat,” katanya.
Sementara itu ibunya, Mimi Zarina berkata, kekuatan sebenarnya adalah melihat kekuatan anak bongsu kesayangannya kekal positif untuk sembuh daripada penyakitnya.
Menurutnya, Allahyarham suaminya, Irfan Effendy Abdul Latif, 39, meninggal dunia kerana kanser limfoma pada 2013.
“Biarpun ‘sakit’ melihat Hayyan sakit tetapi saya tidak menyalahkan takdir atau genetik sebaliknya menerima dengan reda kerana ini ujian Allah SWT untuk saya dan keluarga kami.
“Sebelum ini saya berjuang bersama suami yang melawan kanser selama tujuh bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir dan kini bersama Hayyan pula untuk berjuang melawan penyakit.
“Pada mulanya saya tidak kuat tetapi melihat betapa positifnya anak buat saya juga jadi kuat. Kita perlu kuat dan positif untuk menjaga pesakit kanser bukan mereka sahaja kena kuat,” katanya.
Kehilangan ‘mahkota’ kewanitaan dan melalui 12 sesi kemoterapi dan 15 kali radioterapi, tidak membuatkan wanita ini ‘gentar’ untuk berjuang melawan kanser payudara tahap empat yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Nur Alia Wahidah Abdul Latif, 32, menjalani pembedahan membuang payudara kanannya dan kini bakal kehilangan satu lagi ‘mahkota’ apabila akan menjalani pembedahan membuang ovari.
Nur Alia Wahidah berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas disahkan menghidap kanser payudara selepas baharu tujuh bulan berkahwin dan mengecapi kebahagiaan bersama suami.
Menurutnya, biarpun mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit kanser tetapi ujian genetik yang dibuat pada 2018 mengesahkannya bukan pembawa gen P53 seperti dua adik beradiknya.
“Pada mulanya kanser berada di tahap dua dan ia berpunca daripada hormon. Saya mengambil keputusan membuang payudara kanan dan ‘membinanya’ semula supaya ia tidak serius. Itu satu keputusan berat kerana ia adalah ‘mahkota’ kita sebagai seorang wanita.
“Kemudian doktor beritahu kanser saya berulang pada Mei lalu dan sudah berada di tahap empat selain merebak ke paru-paru,” katanya yang kehilangan kerja kerana penyakitnya itu.
Menurutnya, dia kini sudah membuat enam sesi kemoterapi dan menunggu untuk membuat pembedahan membuang ovari bagi mencegah kanser kembali kerana ia membabitkan hormon.
“Pembedahan ini akan melenyapkan hasrat saya memiliki anak sendiri. Ini realiti yang dilalui biarpun saya sendiri teringin mahu punya anak sendiri dan ia memang membuatkan saya sedih.
“Semua yang ada pada kita adalah milik Allah SWT dan apabila sedikit yang dipinjamkan itu diambil saya tetap bersyukur kerana Dia masih memberikan peluang saya bernafas.
“Siapa saya untuk mempersoalkan ketentuan-Nya jadi saya perlu positif dan bersemangat untuk melawan sakit ini. Allah SWT mahu lihat saya bersabar dan menerima ujian-Nya. Lagipun saya fikir dugaan mana lebih hebat dan jika dia boleh melaluinya kenapa tidak saya,” katanya.
Mingguan Wanita: Masya Allah, sungguh hebat dugaan buat wanita ini. Bukan mudah untuk berdepan sengan ujian sebegini, kehilangan suami dan anak-anak tersayang akibat penyakit kanser yang cukup ‘digeruni’. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan buat wanita ini dan diberikan kesembuhan buatnya.
Jangan Menangis! Tak Dapat Masuk Universiti, Institusi Pengajian Kemahiran & Teknikal Ada “Tamat Belajar Terus Bekerja, Berbisnes”. Jangan sesekali berputus asa untuk mengejar impian sambung belajar ke kursus yang diminati jika tidak berjaya ditawarkan ke universiti awam.
Mak-mak dan anak-anak lepasan SPM yang tidak dapat tawaran sambung belajar ke universiti awam janganlah kecewa. Sebenarnya banyak peluang untuk anak-anak anda teruskan pembelajaran.
Banyak lagi alternatif lain sebenarnya selain dapat tawaran UPU.
Menerusi perkongsian Pensyarah English di Majlis Amanah Rakyat, IKM, Puan Nor Shazwani Shamshudin menerusi perkongsian di Facebook memberi pencerahan tentang peluang pengajian di bawah MARA.
Rupanya MARA menyediakan peluang pendidikan dari peringkat menengah sehinggalah PHD.
Penjelasan dari Puan Nor Shazwani mampu memberi input dan info berguna buat mak-mak di luar sana untuk pengajian anak-anak anda. Malah MARA juga merupakan ‘pembekal’ tenaga kerja kompeten di pelbagai industri.
“Sebenarnya saya tak jangka komen dan posting berkenaan anak penyanyi Nora menjadi viral di FB.
“Saya telah menulis tentang TVET MARA sejak beberapa tahun yang lalu, dan jarang yang viral. Nak dapat 20 like pun susah sebenarnya.
“Saya sekadar berkongsi dengan ibu bapa atau calon pelajar yang sedang mencari maklumat untuk menyambung pengajian selepas SPM.
“Dan rupanya ramai tidak tahu tentang peluang pengajian di bawah MARA. MARA menyediakan peluang pendidikan dari peringkat menengah sehinggalah PHD.
“Meh saya kongsikan.
“Semua sudah maklum, institusi pendidikan MARA paling popular mestilah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Selain itu kami ada Giat MARA, ada Institut Kemahiran MARA (IKM), ada Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII), ada Kolej Profesional MARA (KPM) dan ada Kolej MARA (KM).
“Untuk cabang swasta pula kami ada Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), GMI, dan juga Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Hari ini saya kongsikan tentang Giat MARA, IKM dan KKTM ya, Institusi pengajian kemahiran dan teknikal yang sekian lama wujud dan menjadi ‘pembekal’ tenaga kerja kompeten di pelbagai industri.
“Saya cuba terangkan dalam bahasa yang paling mudah supaya senang faham.
✅ Calon perlu menguasai asas membaca, menulis dan ada minat
✅ Tempoh latihan 6- 12 bulan
✅ Pemohon perlu berusia 15 tahun ke atas
✅ Latihan ditanggung MARA dan pelatih menerima elaun bulanan
✅ Fokus kepada bidang kemahiran, tidak perlu belajar subjek Pengajian Am (Matematik, Bahasa Inggeris dan sebagainya)
✅ Menerima sijil Giat MARA dan SKM tahap 2 dan 3
✅ Tamat belajar boleh terus bekerja, berbisnes atau sambung ke IKM untuk SKM tahap 3 dan seterusnya
“So, Giat MARA ini untuk yang tercicir akademik ya!
“Tidak semestinya‼️
“Ramai pelatih Giat MARA mempunyai keputusan SPM yang baik. Mereka masuk ke sana kerana berminat dengan kursus yang ditawarkan.
“Giat MARA adalah untuk yang berminat dengan kemahiran dan mahu berusaha dari bawah.
“Boleh google ya giatmara
2️⃣ IKM
✅ Ada di hampir semua negeri
✅ Fokus kepada peringkat sijil, tetapi di Institut Kemahiran MARA Johor Bahru dan beberapa pusat lain lagi ada program sijil dan diploma
✅ Wajib lulus SPM- Syarat akademik lain bergantung kepada keperluan program
✅ Had umur memohon 40 tahun
✅ Tempoh pengajian 2- 3 tahun
✅ Yuran pengajian ditanggung MARA (ada bayaran dikenakan sewaktu pendaftaran) dan pelajar menerima elaun bulanan
✅ Belajar subjek teknikal dan Pengajian Am (akademik)
✅ Graduan menerima sijil/ diploma IKM dan SKM tahap 2 atau 3 (ikut program), DKM 4 atau DLKM 5 untuk program diploma serta ada pengiktirafan MQA/ ETAC. Ada program mendapat pentauliahan Suruhanjaya Tenaga (ST), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sebagainya (mengikut program).
✅ Tamat belajar boleh terus bekerja, berbisnes atau sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.”
Boleh ke KKTM, UniKL atau IPTA/ IPTS dan pusat kemahiran lain
“IKM ni untuk orang lemah akademik ke⁉️
“Takkk‼️
“IKM untuk individu yang sudah merancang dan nampak masa depannya dalam bidang teknikal.
“Sekarang semakin ramai lepasan sekolah sains, MRSM, sekolah kawalan dan ada juga dari MTD belajar di IKM JB.
“Dia tahu apa dia nak jadi 3,4 tahun akan datang.
3️⃣ KKTM/ JJII
✅ Fokus kepada program diploma sahaja
✅ Program yang tidak ditawarkan di IKM ada ditawarkan di KKTM. Contoh bidang fesyen, rekaan dalaman dan sebagainya.
✅ Tamat di KKTM pelajar boleh sambung ke peringkat ijazah di IPTA/ IPTS. Ramai juga pelajar yang cemerlang dihantar ke luar negara
* Ciri-ciri lain sama dengan IKM
Nota: Giat MARA adalah feeder kepada IKM” kongsi Puan Nor Shazwani.
Menerusi ruangan komen ramai yang memuji dan berterima kasih atas info yang bermanfaat.
Mingguan Wanita : Semoga anak-anak kita terpelihara dan dapat melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.