
Treler langgar lampu merah, ibu muda maut dirempuh tinggalkan anak kecil.
Perjalanan mencari rezeki seorang ibu berakhir dengan tragedi apabila kereta dipandunya dirempuh sebuah treler yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Machang, Kelantan.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam di Kilometer 4.7 Jalan Machang-Tanah Merah, berhampiran persimpangan lampu isyarat Wakaf Bata, mangsa, Nur Hidayah binti Mat Yacob, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Lebih memilukan, Allahyarhamah yang mesra disapa Dayah dan bekerja sebagai petugas kebersihan di Hospital Tanah Merah itu dilaporkan meninggalkan seorang anak yang masih kecil.

Anak Kecil Kehilangan Kasih Ibu
Menurut perkongsian kenalan, Nur Hidayah dikenali sebagai seorang wanita yang baik hati, rajin bekerja dan disenangi rakan-rakan.
Allahyarhamah juga dikatakan sedang menuju ke Hospital Tanah Merah ketika kejadian berlaku.
Pemergian mengejut itu pastinya menjadi ujian berat buat keluarga terutama anak kecil yang masih memerlukan belaian dan perhatian seorang ibu.
Barangkali si kecil belum memahami erti kehilangan namun hakikat bahawa insan yang selama ini menjadi tempat bermanja tidak akan kembali lagi cukup meruntun hati sesiapa sahaja.

Treler Dipercayai Langgar Lampu Merah
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati treler jenis Volvo yang dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun bergerak dari arah Tanah Merah menghala ke Machang.
“Treler berkenaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan terbabit sebelum merempuh bahagian sisi kanan kereta Perodua Axia yang sedang bergerak dari arah Padang Kelupang menuju ke Tanah Merah,” katanya.
Pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Dalam perkembangan sama, polis turut menahan lelaki berkenaan mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952 selepas merampas empat bungkusan plastik lutsinar mengandungi cecair berwarna keperangan yang disyaki air ketum.
Pemergian Yang Meninggalkan Duka
Tragedi ini bukan sahaja mengundang kesedihan malah menjadi peringatan tentang betapa pentingnya sikap bertanggungjawab dan pematuhan peraturan ketika berada di jalan raya.
Anda mungkin berminat dengan
Bagi keluarga Allahyarhamah, kehilangan pada usia semuda 26 tahun pastinya sukar diterima apatah lagi apabila masih banyak kenangan dan impian yang ingin dicipta bersama.
Semoga keluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian ini dan anak yang ditinggalkan terus mendapat limpahan kasih sayang daripada insan sekeliling.
Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarhamah Nur Hidayah binti Mat Yacob. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

