Pada jam 11.45 semalam, ambulans yang membawa jenazah bonda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar iaitu Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah, tiba di Istana Besar, Johor Bahru.
Sebelum ini, pesawat peribadi milik Sultan Johor yang membawa jenazah dari United Kingdom, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 11 malam.
Tuanku Sultan Ibrahim bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris serta Kerabat DiRaja Johor menyambut jenazah Almarhumah Hajah Khalsom sebelum dibawa menaiki van jenazah Jabatan Agama Islam Negeri Johor ke Istana Besar, Johor Bahru untuk disemayamkan.
Ads
Turut serta Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan EXCO Johor.
Sejurus tiba, jenazah dibawa dengan ambulans peribadi Sultan Johor ke Istana Besar.
Jenazah disemayamkan di bilik khas malam ini dan bacaan al-Quran akan diperdengarkan sepanjang masa secara bergilir-gilir oleh pegawai agama dan kumpulan tahfiz sehingga esok.
Ads
Penghormatan Terakhir
Orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai 8 hingga 10 pagi esok.
Istiadat pemakaman akan disempurnakan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru pada 10.15 pagi esok.
Jenazah akan ditempatkan dalam keranda khas diselimuti bendera kerabat Diraja yang berhak ke atas Almarhumah untuk diusung menaiki pedati dan diarak ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.
Ads
Pedati khas direka khas oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1886 itu akan ditarik oleh 40 Askar Timbalan Setia Negeri (TSN) dan berarak sejauh 2.8 kilometer yang mengambil masa kira-kira 45 minit.
Bonda Sultan Johor mangkat pada 7.55 malam (waktu London) Jumaat lalu di Hospital King Edward VII, London, pada usia 83 tahun.
Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom dilahirkan pada 2 Disember 1935 dan dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam saat-saat akhir sebelum tibanya Hari Raya, ramai mak ayah yang merebut peluang keluar membeli belah bersama anak-anak. Bila bawa anak-anak kecil membeli belah ni, faham-faham je lah mak ayah memang perlukan kesabaran yang tinggi dalam melayan ragam dan kerenah mereka. Tak habis lagi, beli belah anak dah meragam buat perangai, sudahnya apa pun tak dapat dibeli.
Sebenarnya mak ayah kena faham, ada 6 perkara yang menjadi punca kenapa anak meragam ketika membeli belah.Berikut merupakan perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect sebagai panduan;
Kelmarin di pusat membeli-belah,
“Mama, nak yang ni!” Anak kecil berusia lingkungan 4 tahun menunjukkan t-shirt bercetak kartun kegemaran kepada ibunya. “Kita tak nak beli baju ni adik. Kita nak beli baju Raya,” balas si ibu yang kelihatan keletihan “Adik tak nak baju Raya, adik nak yang ini. Adik tak nak baju Raya!”
Dan bermulalah drama antara dua-beranak itu.
Di celah-celah gantungan baju dan seluar, anak-anak kecil berlari-lari sambal bersembunyi. Ada juga anak yang menari-nari sambal bernyanyi-nyanyi. Tergambar wajah-wajah kegembiraan anak dan tergambar juga wajah-wajah kegusaran ayah dan ibu yang cuba membahagikan pandangan antara anak dan pakaian yang perlu dipilih.
Dari satu sudut yang lain kedengaran tangisan kanak-kanak yang kuat. Si ayah dengan wajah tanpa perasaan dan tanpa berkata apa-apa laju menyorong keluar anak yang menjerit-jerit itu keluar dari pasaraya. Beginilah suasana di pusat membeli-belah yang meriah dengan kanak-kanak terutamanya menjelang Hari Raya dan apa saja musim perayaan.
Ada yang membawa anak kecil untuk meluangkan masa kualiti dengan anak. Ada yang membawa anak kecil supaya saiz pakaian yang dipilih bersesuaian dengan anak. Ada yang membawa anak kecil kerana tiada siapa yang boleh tengok-tengokkan anak jika ditinggalkan di rumah.
Walau apa pun sebab anda membawa anak-anak untuk membeli-belah,
1) Tumpuan dan keceriaan anak-anak ada hadnya.
2) Kesabaran dan kudrat ibubapa ada hadnya.
Jangan biarkan kedua-dua perkara ini sampai ke tahap maksima sehingga merosakkan ‘mood’ kedua-dua pihak dan mencetuskan konfrantasi. Inilah masa terbaik untuk belajar menghormati had masing-masing.
“Nampaknya adik dah letih. Ayah pun dah letih. Jom kita balik.”
Sebelum anak meragam dan mengamuk, sebelum ayah atau ibu turut lesu dengan kerenah anak, eloklah ditamatkan aktiviti membeli-belah atau tunda ke lain kali saja.
Janganlah membeli-belah pada waktu yang tidak sesuai dengan rutin biasa anak. Kita mungkin suka dan selesa memborong pada lewat malam di gudang yang buka selama 24 jam di musim perayaan ini tetapi adakah waktu tersebut adalah waktu terbaik untuk anak? Salah anakkah jika dia meragam?
Sebelum tiba ke destinasi, beritahu anak tingkah laku yang bagaimana yang anda harapkan daripada anak. Anak kecil tidak suka diberi kejutan. Dia juga perlu persediaan emosi dan mental sebelum sampai ke tempat yang penuh sesak dengan manusia di musim perayaan ini.
Jangan lupa berikan taklimat santai tentang keselamatan. Dalam kelam kabut bersesak-sesak itu keselamatan anak paling utama. Pesan kepada anak perlunya anak sentiasa memegang tangan ayah, ibu atau abang kakak yang lebih dewasa.
Pernahkah anak anda ‘hilang’ di pusat membeli-belah?
Positifkan ‘mood’ anak sebelum sampai. Minta anak tolong anda mencari barang-barang yang hendak dibeli. Kanak-kanak suka menolong dan kanak-kanak suka tugasan dan cabaran. Mereka akan sedia membantu. Apabila anak tahu apa yang kita harapkan daripada mereka, anak akan lebih mudah bekerjasama dengan kita kerana mereka tahu apa had dan batasan mereka terlebih dahulu.
Cuba ukur panjang kaki kita dan panjang kaki anak. Ingatlah satu langkah kita bersamaan dengan 2 atau 3 langkah anak kecil, oleh itu anak berkemungkinan besar untuk lebih letih berbanding dengan orang dewasa.
“Eh! tapi kenapa bila main banyak saja tenaga dia? Sampai tak nak mandi Sampai tak nak tidur?”
Bukankah bermain itu kerja budak-budak. Mereka ada banyak objektif dan motivasi untuk bermain tetapi mereka tidak nampak apa objektif mereka membeli-belah. Selalunya apabila dapat saja apa yang mereka mahu mereka akan terus ajak kita balik dan mula meragam. Ketika membeli-belah, kudrat kita masih banyak kerana kita ada matlamat yang hendak dicapai tetapi anak kecil sudah mula letih, dan mengantuk jika mengambil masa terlalu lama. Kenal pasti isyarat dan bunyi tangisan yang menggambarkan anak yang mengantuk, lapar, letih, bosan, marah, dan sebagainya.
Janganlah di’puasa’kan anak kecil juga bersama-sama kita yang berpuasa. Kenyangkan anak sebelum memulakan perjalanan. Bawalah makanan dan minuman sebagai bekal jika kita merasa segan hendak memasuki mana-mana premis makanan di pusat membeli-belah. Anak-anak yang aktif pada mulanya akan mula kehilangan tenaga dan mula terasa lapar.
Ini adalah salah satu punca anak meragam.
Adakah ‘stroller’ anak anda selesa? Adakah anak perlu juga diberi peluang berjalan sendiri supaya kaki kecil anak boleh bebas seketika? Adakah anak terlampau letih berjalan? Adakah anak kecil lebih selamat dan selesa dengan ‘baby carrier’ berbanding ‘stroller’? Adakah anak panas ataupun sejuk?
Keselesaan anak perlu diambil kira. Janganlah dilabel anak mengada-ngada apabila mereka meragam kerana tidak selesa. Semua ini adalah keperluan asas yang seharusnya difikirkan terlebih dahulu jika anda inginkan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan bersama-sama anak. Jika anak sudah mula menunjukkan rasa tidak selesa, pendekkan eksplorasi anda di pusat membeli-belah tersebut.
Ingatlah anak kecil sangat ‘curious’ sifatnya. Ada anak yang belajar dan meneroka dengan lebih efektif melalui sentuhan. Semua benda hendak disentuh, dipegang, ditarik dan dirasa. Bila berada di tempat barangan kaca atau pinggan mangkuk perlulah diingatkan anak. Bukan salah anak jika mereka menarik apa yang dilihat didepan mata. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk pesan dan pantau anak-anak di tempat awam.
Dulu anak kecil saya menjadi tidak keruan apabila melihat sebarang suis atau soket. Dia tidak dapat mengawal dirinya dari menekan suis-suis yang dilihat. Saya dan suami perlu lebihkan pantauan dari sudut itu kerana bimbang dia akan menimbulkan huru-hara di tempat awam. Tambahan lagi ia membahayakan anak dan orang ramai.
Jika anak anda kuat kecenderungannya terhadap sesuatu objek seperti anak saya, maka persediaan dan kawalan perlu dilakukan. Kadang-kadang halangan secara mendadak akan menjadi punca anak meragam.
Ada anak yang tidak suka berada di tempat yang penuh sesak dengan manusia. Ada anak yang cemas berada di tempat yang terlampau luas, hingar-bingar, terang benderang dan bingit dengan muzik yang kuat. Keadaan sebegitu menakutkan bagi mereka. Jangan membuat andaian mereka ok hanya kerana anda ok.
Jika anak dari awal lagi sudah mula meragam, itu tandanya mereka cemas berada di kalangan ramai manusia. Ada yang risau kiranya mereka terpisah daripada anda atau kiranya anda tidak memberi tumpuan kepada mereka. Anda perlu kenal temperament atau sifat semulajadi anak anda dan cari keseimbangan supaya masing-masing merasa selesa berada dalam situasi yang sebegitu.
Elakkan ruang-ruang yang akan memberi stimulasi berlebihan kepada anak contohnya ruang permainan kanak-kanak yang terlalu luas kerana anak mudah meragam jika diajak pergi. Semakin kurang godaan kepada anak semakin mudah untuk anak bertingkahlaku sebaiknya.
Emosi dan mood ibubapa juga akan terkesan apabila terpaksa bersesak dan beratur panjang di kaunter pembayaran. Ingatlah mood anda juga akan mempengaruhi mood anak-anak.
Jika sepanjang masa anda sekeluarga hanya berada di ruangan pakaian dan keperluan rumah, tentulah bosan anak dibuatnya. Janganlah disuruh anak yang sudah lama bersabar untuk terus bersabar. Keceriaan anak ada hadnya. Bawalah juga anak ke kedai atau ruangan yang disukai anak dan boleh menggembirakannya untuk menghilangkan kebosanan.Tambahkan humor dan ‘fun’ ketika membeli-belah untuk mengambil hati anak yang kebosanan.
Mempunyai ‘shopping list’ yang dikongsi dengan anak-anak juga boleh mengelakkan anak-anak dari merasa bosan. Beri peranan aktif kepada anak untuk turut sama membantu mencari barang keperluan tersebut. Anak-anak akan lebih tenang jika mereka mempunyai matlamat.
‘Shopping list’ ini juga dapat melatih anak dan diri anda juga untuk berbelanja mengikut keperluan. Jika anak inginkan sesuatu yang tidak ada dalam shopping list beritahu anak barangan tersebut boleh dimasukkan ke dalam senarai membeli belah yang seterusnya. Jadikan ini peluang untuk mengajar anak tentang nilai wang.
Ini adalah latihan yang baik untuk mengajar anak tentang ‘delayed gratification’ atau bersabar untuk menerima ganjaran, yang didapati semakin menipis di kalangan anak-anak zaman sekarang yang penuh dengan kemewahan.
Jika anak berkelakuan sebaiknya sepanjang berada di pusat membeli-belah, pujilah anak atau berilah ganjaran yang setimpal kepada anak. Ganjaran yang mengejutkan anak akan meninggalkan kesan positif yang berpanjangan terhadap tingkah laku anak.
Ingatlah apabila membeli-belah di musim perayaan atau bila-bila saja dengan anak, kita perlu lebih peka dengan keperluan anak. Adakah anak letih, lapar, tidak selesa dengan bunyi yang kuat, keliru, perlukan udara segar, perlu lebih bergerak atau perlu lebih pelukan dan pujian.
Dan ingatlah kesabaran dan kudrat kita juga ada hadnya.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah yang nak bawa anak-anak pergi membeli belah nanti,boleh jadikan tip ini sebagai panduan. OK!
Tanggal 28 Ramadhan lalu, Yatt Hamzah berkongsi perjalanan hijrahnya. Daripada seorang model dan pelakon yang tidak bertudung, akhirnya kini Yatt memilih jalan yang dituntut oleh agama. Tudungnya labuh menutupi dada.
Tapi untuk mendapatkan kemanisan penghijrahan itu, bukan mudah untuknya. Panjang liku laluan yang perlu Yatt tempuh. Dan semua itu, dikongsikan dalam ruangan instagram miliknya.
“Pagi 28 Ramadhan ni Bonda nak cerita tentang Hijrah Bonda. Ramai tahu dulu saya tak bertudung. Masa tu sedang menuju ke puncak karier lakonan. Alih-alih saya tekan brek, ambil keputusan untuk berhijab dan slow down terus dalam lakonan.
“Kenapa? Sebab saya dah faham erti cinta Allah. Saya sayang Allah & diri saya. Tak nak rosakkan lagi diri dan terus hanyut. So saya bertudung.
“Mula-mula singkat tudung saya, fesyennya pelik-pelik juga masa awal-awal dulu. Biasalah, masih jahil dan nak ikut trend. Tapi lepas tu saya fikir balik, apa tujuan berhijab? Untuk siapa hijab ni? Nak tunjuk pada siapa? Dan jawapannya hanya 1..ALLAH.”
“Maka saya perlahan-lahan ubah cara saya berhijab.. Makin labuh. Makin simple. Hinggalah hari ini. Ada yang tanya, Mana dapat kekuatan nak berhijab labuh? Jawapannya ALLAH.”
“Saya minta pada DIA. Sungguh-sungguh saya minta. Nangis-nangis mengadu padaNYA. Macam anak-anak kecil mengadu pada mak ayah. Alhamdulillah saya makin selesa dengan apa saya pakai. Sebab saya faham & yakin DIA suka & redha.”
“Ada pula yang bertanya, Ada tak rasa nak buka tudung balik? Laju saya jawab, NO! Naudzubillahiminalzaliq. Umpama suruh saya berbogel jika tudung ini ditanggalkan. Sekali-kali tidak! Ya Allah, berikan aku & saudara-saudara wanita ku yang lain KEKUATAN & KETEGUHAN agar kami terhindar dari AZAB API NERAKA YANG DAHSYAT. Ameen.”
Sekadar ni dulu Bonda share ya. Moga bermafaat. Bulan baik ni, jomlah jadi lebih baik. Langsung tak rugi jadi baik. Langsung tak rugi. Saya dan semua doakan yang baik-baik untuk kita semua. WANITA SOLEHAH sememangnya perhiasan dunia yang PALING INDAH.
Rupanya polis terpaksa mengambil masa selama 36 hari untuk mengira dan menilai barang rampasan di kediaman dan premis berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Itu yang didedahkan oleh Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pada sidang akhbar di Bukit Aman, sebentar tadi.
Amar Singh berkata, pemeriksaan dan pengiraan pada 21 Mei lalu sehingga 25 Jun termasuk semasa cuti Hari Raya Aidilfitri. Pengiraan dan pemeriksaan mengambil masa lama kerana jumlah barangan yang dirampas adalah banyak dan memerlukan pengesahan pakar.
“Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.”
“Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, sebentar tadi.
Pada sidang akhbar itu juga, Amar Singh mendedahkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion. Sebanyak 12,000 pelbagai barang kemas ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis. Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,200 unit adalah cincin, 1,400 rantai, gelang tangan 2,100 unit, subang 2,800 unit, kerongsang 1,600 unit dan tiara 14 unit.
“Barang paling berharga adalah seutas rantai emas dengan berlian putih berharga RM6.4 juta,” katanya.
Amar Singh juga berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel serta Bijan.Beg tangan Hermes saja bernilai kira-kira RM51.3 juta dan paling mahal berharga RM1.6 juta. Selain itu, turut dirampas 234 cermin mata hitam seperti Gucci dan Dior kesemuanya bernilai RM374,000. Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama. Beliau berkata, kesemua barang kemas dan wang kini disimpan di Bank Negara.
Selain itu, Amar Singh juga mengesahkan jumlah rampasan wang tunai pelbagai mata wang di enam premis yang diserbu berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM116.7 juta.
Bagaimanapun, katanya, wang tunai yang dirampas itu tidak dapat dipastikan ia milik UMNO seperti yang didakwa. Amar Singh berkata, sumber atau penyumbang kepada barang-barang yang dirampas sedang dikenal pasti untuk diambil keterangan. Beliau juga mengesahkan polis menemui pelbagai dokumen di premis di Putrajaya dan polis masih menyiasat kaitannya dengan skandal 1MDB.
“Kita akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat untuk diambil keterangan,” katanya.
Pada sidang media 25 Mei lalu, Amir Singh dipetik berkata, 35 daripada 72 beg yang dirampas dari sebuah unit kediaman di Pavillion Residences berkaitan Najib, mengandungi wang ringgit bernilai RM114 juta.
Beliau juga memaklumkan 37 lagi beg dirampas mengandungi wang tunai manakala selebihnya berisi barang kemas dan jam tangan mewah.
Terdahulu, pada 16 dan 17 Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan beberapa serbuan berkaitan 1MDB di dua premis di Putrajaya, empat di Kuala Lumpur dan tiga di Pavilion Residences serta di kediaman Datuk Seri Najib di Langgak Duta, Taman Duta.
Semua rampasan berkenaan adalah berkaitan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Mingguan Wanita mengharapkan semoga penyiasatan dapat dijalankan dengan telus, kebenaran dapat ditegakkan dan dibawa muka pengadilan.