
Bekas suami culas bayar nafkah anak, gaji boleh dipotong dan disita.
Bekas suami yang culas membayar nafkah anak kini bakal berdepan tindakan potongan gaji melalui majikan, penyitaan dan penjualan harta malah perintah hukuman penjara sekiranya ingkar terhadap perintah pembayaran nafkah yang ditetapkan Mahkamah Syariah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Marhamah Rosli dalam sidang Parlimen memaklumkan, mahkamah mempunyai beberapa mekanisme penguatkuasaan terhadap bapa yang gagal mematuhi perintah nafkah bergantung kepada keadaan dan fakta sesuatu kes.

Jelasnya, kerajaan kini sedang menyediakan cadangan pindaan undang-undang tatacara mal Mahkamah Syariah bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap individu khususnya bekas suami yang sengaja mengingkari perintah pembayaran nafkah.
“Cadangan pindaan itu sedang diusahakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi menambah baik peruntukan undang-undang dan prosedur penguatkuasaan sedia ada.
“Pindaan ini turut memberikan perhatian kepada isu ketidakpatuhan terhadap perintah pembayaran nafkah yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Syariah termasuk meneliti ruang penambahbaikan peruntukan dan prosedur penguatkuasaan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Isnin.
Nafkah Anak: Mahkamah Boleh Arah Potongan Gaji
Mengulas lanjut, Marhamah menjelaskan bahawa kegagalan mematuhi perintah nafkah boleh dikenakan tindakan melalui beberapa mekanisme penguatkuasaan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
“Bergantung kepada keadaan dan fakta sesuatu kes, mahkamah mempunyai beberapa mekanisme penguatkuasaan antaranya saman penghutang penghakiman, penyitaan dan penjualan harta, prosiding Hiwalah serta perintah pengkomitan ke penjara,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah juga boleh mengambil tindakan terhadap wang atau harta penghutang penghakiman berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk melalui perintah tahanan pendapatan atau potongan gaji oleh majikan bagi melaksanakan pembayaran nafkah.

Mekanisme itu membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan melalui saluran perundangan tanpa penerima nafkah perlu bergantung semata-mata kepada komitmen bekas suami untuk membuat pembayaran secara sukarela.
Hukuman Penjara Tertakluk Kepada Proses Kehakiman
Bagaimanapun, Marhamah menegaskan bahawa tindakan pemenjaraan terhadap individu yang ingkar perintah nafkah tidak dilaksanakan secara automatik oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
Sebaliknya, tindakan tersebut perlu melalui proses kehakiman dan berdasarkan perintah mahkamah selepas mengambil kira fakta serta tahap ketidakpatuhan dalam sesuatu kes.
Anda mungkin berminat dengan
Bantuan Nafkah Anak Tanpa Bayaran Balik Turut Diteliti
Dalam perkembangan berkaitan, JKSM turut meneliti penambahbaikan mekanisme pendahuluan nafkah dan bantuan kewangan kepada penerima yang layak.
Menurut Marhamah, bantuan berkenaan bertujuan menjaga kebajikan anak-anak yang terjejas sementara menunggu penyelesaian kes pembayaran nafkah.
Bantuan kewangan yang sedang diteliti itu tidak perlu dibayar semula oleh penerima bagi memastikan golongan memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya.
“Bagaimanapun, bantuan tersebut tidak menggugurkan tanggungjawab pihak yang diwajibkan membayar nafkah.
“JKSM juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah bagi memastikan hak dan kebajikan penerima nafkah sentiasa dipelihara,” katanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

