
Rekaan busana pengantin bukan sekadar tentang potongan dan pemilihan fabrik, tetapi turut membawa cerita di sebalik setiap perincian.
Begitu juga dengan busana resepsi Putri Batrisya, yang direka khas oleh Rizalman Haute Couture dengan inspirasi daripada keanggunan seekor angsa putih.
Diberi nama The White Swan, busana eksklusif ini dihasilkan untuk Putri Batrisyah, puteri tunggal pasangan Tuan Haji Rusli dan Puan Hajah Haliza Maysuri, sempena majlis resepsi yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Baca artikel: Longchamp Malaysia Ajak Pengunjung “Be Creative” Dalam Pop-Up Eksklusif Di The Gardens Mall
The White Swan, Inspirasi Angsa Putih


Menurut Dato’ Rizalman Ibrahim, rekaan busana resepsi Putri Batrisya mengambil inspirasi daripada kelembutan bulu, tekstur dan keanggunan bentangan sayap angsa putih.
Siluet duyung menjadi asas rekaan, dilengkapi permainan lapisan bertingkat yang memberikan dimensi serta tekstur pada keseluruhan busana.
Dominasi rona putih pula menyerlahkan perincian sulaman tangan dan kilauan kristal bernuansa perak, menghasilkan penampilan yang elegan dan dramatik.
Enam Bulan Untuk Menyempurnakan Rekaan


Di sebalik keindahan busana resepsi Putri Batrisya, terdapat proses penghasilan yang mengambil masa enam bulan.
Tempoh tersebut merangkumi perancangan, penyelidikan rekaan, pemilihan fabrik, sulaman serta pemasangan kristal secara manual.
Gabungan renda Perancis, tulle dan sutera krep yang dibawa khas dari Eropah digunakan dalam rekaan ini. Teknik draping, sulaman tambour embroidery dan fixed iron turut digabungkan bagi menghasilkan bentuk serta perincian yang diinginkan.
Setiap lapisan dan jahitan memerlukan penelitian bagi memastikan keseluruhan rekaan kelihatan harmoni.
83,000 Kristal Swarovski Menyerlahkan Kemewahan


Antara tarikan utama busana resepsi Putri Batrisya ialah taburan 83,000 kristal Swarovski yang didatangkan khas dari Austria.
Sebanyak 15 jenis kristal dengan variasi bentuk, saiz dan rona dipilih untuk menghasilkan permainan cahaya pada setiap pergerakan.
Anda mungkin berminat dengan
Setiap kristal disusun dan dijahit secara manual mengikut motif serta corak yang dirancang. Hasilnya, kemasan busana kelihatan berkilauan, seolah-olah menghidupkan keindahan bentangan sayap angsa melalui sulaman dan kristal.
Baca juga artikel: Kebayaree: Gabungan Kebaya Dan Saree Dalam Gaya Malaysia
Nilai Keseluruhan Busana Cecah RM170,000
Menurut dokumen media tersebut, kos pembuatan busana ini melebihi RM99,600, manakala nilai kristal Swarovski yang digunakan pula melebihi RM70,000.
Secara keseluruhan, karya eksklusif The White Swan ini dianggarkan bernilai RM170,000.
Nilai tersebut bukan hanya menggambarkan kemewahan bahan yang digunakan, tetapi turut merangkumi masa, kemahiran dan ketelitian yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah karya haute couture.
Melalui busana resepsi Putri Batrisya, inspirasi alam diterjemahkan menjadi rekaan yang menggabungkan seni, kemahiran pertukangan dan kemewahan dalam satu penampilan.
Baca juga artikel: Unik! 7 Lapisan Bersalin C-Section Diterjemah Dalam Gaun Couture Miss World Uganda
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

