
Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming atau panggilan ringkasnya KA, menjadi perhatian apabila dia menjadi wakil bagi negara Malaysia sebagai TikTok Creator of The Year peringkat Asia Tenggara.
Di Sebalik Kejayaan Khairul Aming

Acara itu merupakan anugerah terbesar anjuran platform media sosial, TikTok untuk memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan luar biasa yang merangkumi pelbagai latar belakang dan bidang.
Untuk rekod, pada tahun 2023, KA terpilih sebagai penerima TikTok Creator of The Year Malaysia. Ini adalah award yang pertama KA terima selepas bertahun-tahun bekerja keras menghasilkan content di media sosial.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkata, kejayaan yang dikecapi bukan mudah dan memerlukan masa yang panjang untuk menghasilkan kandungan kreatif.
Ada Ibu Yang Tidak Pernah Berhenti Berdoa

Namun, di sebalik kejayaan figura usahawan dan pempengaruh digital ini, tersembunyi kisah menyentuh hati tentang seorang wanita hebat yang menjadi tunjang kekuatannya iaitu ibunya sendiri.
Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, berkongsi bahawa semangat dan ketabahan ibunya dalam berniaga menjadi pemangkin utama kejayaannya hari ini, sekali gus meletakkan dirinya sebagai tulang belakang keluarga.
Dalam satu sesi siaran langsung di TikTok, Khairul pernah berkongsi sisi peribadi apabila ditanya tentang individu yang menjadi sumber inspirasinya.
“Sejujurnya, saya tidak mengidolakan sesiapa sangat.
Saya banyak menelaah daripada Internet kerana di situ banyak ilmu perniagaan percuma,” ujarnya.
Namun begitu, jelas Khairul lagi, pengaruh paling besar dalam hidupnya tetap datang daripada insan yang melahirkannya.
“Saya banyak belajar daripada mak saya.
“Dia berniaga kuih sejak saya kecil sehingga saya besar. Hari-hari dia akan berniaga kuih.
“Dia akan bangun pukul dua ke tiga pagi, lepas subuh saya akan masakkan sarapan untuk adik-beradik kerana ibu sibuk menyiapkan kuih.
“Dia akan hantar kami pergi sekolah dan berniaga kuih di pasar,” tambahnya.
Menurut Khairul, ketabahan dan usaha gigih ibunya menjadi sumber inspirasi buat dirinya.
Tiga Pengorbanan Terbesar KA

Berkongsi lebih lanjut, Khairul turut berkongsikan pengalaman membantu ibunya dalam mencari bahan untuk membuat kuih.
“Dulu bukan senang, saya ikut mak saya pergi cari daun pandan, pergi cari kotak yang
orang tidak pakai, potong daun pandan, pergi lap dengan pacat dan sebagainya,” kongsinya sambil mengimbau kenangan.
Lebih mengharukan, Khairul turut mendedahkan, selepas kehilangan ayah tercinta, dia mengambil keputusan besar untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Selepas ayah meninggal dunia, saya tidak membenarkan mak meniaga kuih,” kongsinya.
Anda mungkin berminat dengan
Menurut Khairul, terdapat tiga pengorbanan besar yang dilakukan demi memastikan
kelangsungan hidup keluarganya.
“Tiga perkara yang saya buat selepas ayah tiada. Satu, saya berhenti kerja dalam sektor minyak dan gas walaupun agak merisaukan sebab ketika itu kita tengah perintah berkurung.
“Kedua, saya mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan, dan terakhir, saya minta ibu berhenti berniaga kuih, bermaksud saya menjadi sumber pendapatan ahli keluarga sepenuhnya,” jelasnya.
Mengakhiri perkongsiannya, Khairul meluahkan rasa syukur atas sokongan berterusan daripada orang ramai yang menjadi pendorong utama kejayaan produknya hingga ke hari ini.

Begitulah, setiap kejayaan seorang anak, pasti ada ibu di sebaliknya yang sentiasa menyokong tanpa berbelah bagi.
Jadi, untuk berjaya anda kena terus berusaha dan jangan sesekali lupa untuk meratukan seorang ibu. Semoga perkongsian KA ini dapat membuka mata anda yang minat dengan dunia bisnes dan sekali gus mengajar seseorang untuk meratukan ibu walau sudah berjaya kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

