Anak Berubah Sikap Selepas Bercerai, Sanggup Hunus Parang Ke Leher Mak Sendiri. Siapa sangka anak yang dikandung dan dilahirkan sanggup bertindak agresif hingga sanggup menghunus parang ke leher ibu sendiri.

“Makcik terkejut dia sampai sanggup hunus parang ke leher mak sendiri, sebelum ini dia tak pernah agresif sampai tahap begitu,” kata warga emas berusia 72 tahun yang menjadi mangsa ugutan anak lelaki sebelum ditembak polis di Kampung Teluk Kompol, Hutan Melintang, dekat sini, kelmarin.

Terdahulu, suspek yang berusia 44 tahun maut selepas anggota polis yang cuba menyelamatkan mangsa melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahagian bahu kiri.

Anak Bertindak Agresif

Ibu yang enggan namanya disiarkan itu berkata, anak lelakinya yang baru saja pulang bekerja bertindak agresif mengacu parang di leher sebaik menyedari kehadiran beberapa pegawai polis di luar rumah.

“Anak lelaki makcik tanya; ‘Mak ke yang panggil polis?’ Makcik kata bukan dan tak mungkin abang atau kakak dia.

“Dia kata dia tak mahu masuk ke dalam (penjara), sambil tangannya hunus parang ke arah makcik.

“Polis minta anak lelaki makcik istighfar. Makcik tak boleh kata apa, risau jika melawan, parang dah menanti di leher.

“Lama polis cuba pujuk anak makcik, mungkin dua atau tiga jam sebelum mereka potong pintu jeriji dan masuk ke ruang dalam rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Anak Berubah Sikap Selepas Bercerai, Sanggup Hunus Parang Ke Leher Mak Sendiri

Berubah Sikap Selepas Bercerai

Dia berkata, anak lelakinya seorang yang rajin bekerja dan disenangi penduduk namun berubah sikap apabila bercerai dengan isteri beberapa tahun lalu tanpa pernah menceritakan punca perpisahan kepadanya.

“Dia cuma cakap biarlah dia tinggal dengan saya supaya boleh jaga saya. Dia tak pernah melawan cakap saya, malah rajin memasak dan kemas rumah.

“Bangun saja awal pagi terus pergi kerja, tak pernah juga merayap waktu malam kerana memang orangnya tidur awal di rumah,” katanya.

Positif Ambil 3 Jenis Dadah

Katanya, dia bagaimanapun langsung tidak mengetahui sejak bila anak ketujuh daripada lapan beradik itu mengambil dadah.

“Emak mana yang tak sayangkan anak sendiri. Makcik sudah maafkan dia dan makcik doakan Allah ampunkan dia,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati suspek positif tiga jenis dadah.

“Pihak perubatan mendapati suspek mengambil dadah jenis amphetamine, methampethamine dan morphine,” katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa di Kampung Teluk Kompol bersama kaunselor Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Reda Ketentuan Tuhan

Kakak kepada suspek yang juga tidak mahu namanya dikenali berkata, adik lelakinya itu pernah dibawa ke pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sebelum dibebaskan sebelum Ramadan lalu.

Menurutnya, dia berasa terkilan kerana adiknya itu pergi buat selamanya, namun reda dengan ketentuan Tuhan.

Mesti Baca:Kasih Ibu, Kudrat Usia 84 Tahun ‘Gagah’ Uruskan Anak OKU Terlantar Sakit
Baca Lagi Di Sini:Kasihnya Ibu Membawa Ke Syurga. Diduga Cico Ditimpa Musibah Uji “MENANGIS SEORANG DIRI”

Mingguan Wanita: Kasih seorang ibu, setiap baik, buruk dan walaupun apa juga anak lakukan tetap menyayangi dan mengampunkan anaknya.

Sumber: Hmetro

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI