
Apabila bercakap tentang wanita dalam dunia Formula 1, nama yang terlintas mungkin pelumba yang bersaing di litar. Namun, penglibatan wanita dalam dunia Formula 1 sebenarnya jauh lebih luas.
Ada yang mencipta sejarah sebagai pelumba, ada yang membuat keputusan strategi di pit wall, mengetuai pasukan dan ada juga yang menjadi sebahagian daripada usaha melahirkan generasi baharu wanita dalam motorsport.
Ini dia senarai 10 wanita yang telah meninggalkan kesan dalam sejarah sukan Formula 1itu, sama ada pada masa lalu atau masa kini.
Baca artikel: Bekas Bos Formula Satu (F1) Dapat Anak Lelaki Pada Usia 89 Tahun!
1. Maria Teresa de Filippis, wanita pertama berlumba dalam F1

Nama Maria Teresa de Filippis tercatat dalam sejarah sebagai wanita pertama yang bertanding dalam perlumbaan kejuaraan Formula 1.
Pelumba dari Itali itu membuat penampilan dalam F1 pada 1958 bersama Maserati. Beliau berjaya melayakkan diri untuk Grand Prix Belgium dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.
2. Lella Lombardi, wanita pertama meraih mata F1

Selepas de Filippis, Lella Lombardi pula mencipta sejarah pada 1975.
Lombardi menjadi wanita pertama dan satu-satunya wanita yang berjaya memperoleh mata dalam perlumbaan kejuaraan F1 apabila meraih setengah mata di Grand Prix Sepanyol.
3. Susie Wolff, daripada pelumba kepada peneraju F1 Academy

Susie Wolff mencipta sejarah pada 2014 apabila menjadi wanita pertama mengambil bahagian dalam sesi hujung minggu Formula 1 sejak 1992.
Selepas bersara daripada perlumbaan, beliau terus aktif memperjuangkan penyertaan wanita dalam motorsport. Kini, Wolff merupakan Managing Director F1 Academy.
4. Monisha Kaltenborn, wanita pertama jadi Team Principal F1

Monisha Kaltenborn pula mencipta sejarah di luar litar.
Beliau dilantik sebagai CEO Sauber pada 2010 sebelum menjadi wanita pertama memegang jawatan Team Principal dalam Formula 1 pada 2012.
Kisahnya juga menunjukkan bahawa peluang memainkan peranan besar dalam membuka ruang kepada wanita untuk memegang jawatan kepimpinan.
5. Claire Williams, antara wanita yang pernah mengetuai pasukan F1

Claire Williams menjadi Deputy Team Principal Williams pada 2013 dan mengambil alih banyak tanggungjawab operasi harian pasukan tersebut.
Sebelum itu, beliau membina kerjaya secara berperingkat dalam Williams, bermula sebagai Communications Officer sebelum memegang beberapa jawatan lain dalam pasukan.
6. Marta Garcia, juara pertama F1 Academy

F1 Academy diwujudkan sebagai platform untuk membantu mengembangkan bakat wanita dalam motorsport.
Marta Garcia mencipta sejarah apabila menjadi juara pertama F1 Academy pada 2023 selepas memenangi tujuh perlumbaan, lima pole position dan 12 podium.
7. Hannah Schmitz, otak strategi Red Bull

Kalau selama ini kita hanya melihat pemandu ketika perlumbaan, sebenarnya terdapat ramai individu di belakang tabir yang membuat keputusan penting.
Hannah Schmitz merupakan antara figura tersebut.
Beliau kini Head of Strategy Red Bull dan bertanggungjawab membuat keputusan strategi yang kadangkala perlu dilakukan dalam masa beberapa saat sahaja. Antara keputusan yang sering disebut ialah strategi tayar ketika Grand Prix Hungary 2022 yang membantu Max Verstappen mencatat kemenangan mengejut dari kedudukan ke-10.
8. Abbi Pulling, juara F1 Academy 2024

Perjalanan Abbi Pulling pula tidak mudah.
Selepas terpaksa menghentikan kempen British F4 pada 2021 kerana kekangan bajet, Pulling kembali ke F1 Academy dan akhirnya muncul juara 2024.
Anda mungkin berminat dengan
Beliau memenangi sembilan daripada 14 perlumbaan dan tidak pernah menamatkan perlumbaan di luar podium.
9. Laura Mueller, wanita pertama jadi Race Engineer F1

Pada 2025, Laura Mueller mencipta sejarah apabila Haas melantiknya sebagai Race Engineer, menjadikannya wanita pertama memegang jawatan tersebut dalam sejarah Formula 1.
Mueller sebelum itu berkhidmat sebagai Performance Engineer di Haas sebelum dinaikkan ke jawatan tersebut.
Menariknya, pada 2026, Mueller dan Hannah Schmitz turut menjadi wanita pertama yang menerima penghormatan mempunyai selekoh litar dinamakan sempena mereka menerusi inisiatif In Her Corner.
10. Doriane Pin, generasi baharu wanita dalam motorsport

Doriane Pin muncul sebagai juara ketiga F1 Academy selepas memenangi kejuaraan pada 2025.
Pada 2026, beliau menyertai Mercedes sebagai Development Driver selepas sebelumnya berada dalam program pembangunan junior pasukan itu.
Wanita Formula 1 bukan sekadar berada di belakang stereng
Daripada pelumba pertama seperti Maria Teresa de Filippis, pemimpin pasukan seperti Monisha Kaltenborn, hinggalah pakar strategi seperti Hannah Schmitz, kisah wanita Formula 1 menunjukkan bahawa tempat wanita dalam motorsport tidak terhad kepada satu peranan.
Lebih penting, kewujudan platform seperti F1 Academy membuka lebih banyak laluan untuk generasi baharu wanita dan gadis mengenali dunia motorsport serta membina kerjaya dalam bidang tersebut.
Baca juga artikel: Digelar ‘Iron Lady’ Sebab Panjat Menara KLCC, Normalia Sidek Juruteknik Akses Tali Wanita Dikagumi Ramai
Sumber: Formula 1
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

