
Normalia Sidek, wanita yang digelar sebagai ‘Iron Lady’ kerana berani memanjat tempat tinggi bertugas sebagai seorang Juruteknik Akses Tali Ujian Tanpa Musnah (NDT) sejak sembilan tahun lalu.
Digelar ‘Iron Lady’ Sebab Panjat Menara KLCC

Menara Berkembar Petronas yang ikonik dengan ketinggian 452 meter merupakan bangunan ketiga tertinggi di Malaysia. Cuba bayangkan anda berada di puncak menara 88 tingkat itu, mesti terasa gayat kan?
Namun bagi seorang wanita, memanjat tempat-tempat tinggi sebegitu adalah satu rutin buatnya.
Merupakan seorang Juruteknik Akses Tali Ujian Tanpa Musnah (NDT) sejak sembilan tahun lalu, Normalia Sidek dikenali sebagai wanita pertama melakukan kerja-kerja akses tali di Menara Berkembar Petronas.
Dalam satu video tular di Threads baru-baru ini, kelihatan wanita itu bersama-sama pasukannya sedang bertugas untuk menukar lampu pada menara berkembar tertinggi dunia tersebut.
Wanita dikenali sebagai Malia itu dilihat memanjat puncak Menara KLCC sambil tubuh badannya disokong oleh dua tali keselamatan. Namun aksinya yang bersahaja pasti membuatkan ramai tertanya-tanya jika dia tidak mempunyai sebarang perasaan takut.
Difahamkan video yang dikongsikan semula itu telah dirakam pada tahun 2022 oleh seorang juruvideo dikenali sebagai Siva.
Normalia Sidek Juruteknik Akses Tali Wanita Dikagumi Ramai

Menjenguk ke ruangan balas, orang ramai berkongsi rasa kagum terhadap wanita itu atas keberaniannya memanjat bangunan pencakar langit.
Mereka turut membandingkan dengan diri sendiri yang cepat berasa takut dan menggigil walaupun hanya menaiki tangga atau memanjat kerusi di rumah.
Dalam masa sama, beberapa individu berpendapat pendapatan yang diterima oleh Malia pasti bukan mencecah puluhan ribu ringgit. Malah mereka juga berkata wanita itu perlu mencarum insurans nyawa dengan premium tinggi kerana melakukan kerja berisiko tinggi sedemikian.
Kenali Wanita Berani Ini

Malia yang kini berusia 33 tahun sebelum ini pernah tular kerana aksinya memanjat Menara KLCC. Kongsinya, kerjayanya berakar daripada hobi memanjat tebing (wall climbing), namun sudah tentu lebih berbahaya.
“Memanjat dinding gim dengan tali keselamatan buatan manusia tidak sama dengan bergantung pada tali yang memisahkan daripada jurang maut. Pada mula saya ingat sama saja, tetapi hakikatnya sangat jauh beza,” katanya.
Antara tanggungjawabnya sebagai seorang Juruteknik Akses Tali NDT termasuk menjalankan pemeriksaan teknikal menggunakan kaedah pemeriksaan ultrasonik (ultrasonic testing, UT), zarah magnet (magnetic particle testing, MT), pewarna penembus (dye penetrant testing, PT) dan pemeriksaan visual (visual inspection) pada struktur besi, paip dan peralatan industri yang menjadi nadi operasi bangunan atau loji.
Bagi tujuan keselamatan, harinya bermula dengan memeriksa peralatan yang digunakan bagi menjalankan tugasannya.
Menerima gelaran ‘Iron Lady’ kerana pernah ‘mendaki’ Menara KLCC, Malia juga pernah melakukan kerja penyelenggaraan pada bangunan kerajaan, hospital dan struktur setinggi 30 hingga 40 tingkat.
Anda mungkin berminat dengan
Risiko Ketika Cuaca Buruk, Perlu Berjauhan Dengan Keluarga

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kerjaya sebagai seorang Juruteknik Akses Tali mempunyai risikonya yang tersendiri. Menurut Malia, cuaca yang buruk boleh menjadi ‘musuh’ terhadapnya sehingga menyebabkan tali keselamatannya berayun kuat.
“Kalau angin melebihi tahap yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP), ada guruh, hujan lebat atau permukaan terlalu licin, kerja terus dihentikan,” jelasnya.
Malia berkata, satu lagi pengorbanan yang perlu dibuat olehnya adalah berjauhan dengan keluarga buat tempoh masa lama kerana berada di luar kawasan.
Dia pernah tidak bertemu anaknya selama dua ke tiga bulan kerana bertugas di pelantar minyak (offshore) atau di loji industri berat (plant).
Begitulah hakikat dalam mencari rezeki, pasti akan ada cabaran dan dalam masa yang sama memberikan satu pengalaman luar biasa kepada sesiapa yang mempunyai keberaniaan.
Semoga wanita ini terus berjaya dalam bidang yang diceburinya dan menjadi ‘permata’ negara!

download sekarang!
