
Pemeriksaan bakal haji seorang lelaki berusia 80 tahun tanpa disangka membongkar kisah rumah tangga yang cukup membuka mata.
Seumur hidup terlalu bergantung kepada isteri, akhirnya banyak urusan asas kehidupan tidak biasa dilakukan sendiri. Daripada menguruskan anak-anak, membayar bil hinggalah memandu, semuanya diselesaikan oleh wanita yang setia berada di sisinya.
Kisah yang dikongsikan Khautar Hassan menerusi Facebook ini bukan sahaja memperlihatkan betapa besarnya pengorbanan seorang isteri malah menjadi pengajaran buat para suami agar tidak terlalu selesa menyerahkan segala tanggungjawab kepada pasangan.
Isteri buat segala-galanya hingga suami jadi terlalu selesa
Menurut Khautar, pakcik berusia 80 tahun itu dirujuk ke klinik psikiatri selepas doktor di klinik kesihatan mengesyaki beliau mengalami demensia kerana tidak dapat mengingati nama anak-anaknya. Ketika diperiksa, pakcik juga tidak dapat menyatakan hari dan tarikh dengan tepat namun masih mengingati bulan serta tahun.
Pakcik tersebut tidak pernah bersekolah, justeru tidak tahu membaca, menulis dan mengira menggunakan kaedah biasa. Bagaimanapun, beliau boleh membaca Jawi dan al-Quran selain bekerja sebagai penoreh getah serta menjadi imam surau yang terletak bersebelahan rumahnya.
Menurut Khautar, keadaan itu bukan disebabkan masalah pembelajaran sebaliknya pakcik tidak pernah mendapat pendidikan formal.
Apa yang menarik perhatian ialah jawapan isterinya ketika ditanya tentang kemampuan suami melakukan urusan harian.
“Saya tanya isteri pakcik, pakcik boleh beli barang kat kedai tak? Tak boleh. Boleh bayar bil? Tak boleh. Boleh kemas rumah? Tak boleh. Boleh masak? Tak boleh. Boleh baiki barang? Tak boleh.”

Rupa-rupanya, sejak muda semua urusan tersebut dilakukan oleh isterinya. Malah, pakcik tidak mempunyai lesen memandu kerana segala urusan di luar rumah turut diselesaikan oleh makcik.
Nama Anak Pun Hanya Ingat Panggilan
Pasangan tersebut mempunyai empat orang anak. Apabila diminta menyebut nama mereka, pakcik hanya tersenyum sebelum menjawab, Along, Angah, Adik dan Acik.
“Bukan apa doktor, nama anak2 panjang sangat.”
Isterinya kemudian mencelah dan menjelaskan bahawa suaminya tidak pernah mengisi borang persekolahan anak-anak kerana semuanya dilakukan olehnya.
Menurut Khautar, jika berdasarkan ujian bertulis semata-mata pakcik memang gagal. Namun, selepas penilaian secara bersemuka, beliau menjelaskan bahawa pakcik tidak menunjukkan masalah demensia dalam penilaian tersebut.
Sebaliknya, kebergantungan terhadap isteri sejak muda menyebabkan pakcik kelihatan seolah-olah sangat bergantung kepada orang lain untuk melakukan aktiviti kehidupan harian atau Activities of Daily Living (ADL).
“Jauh disudut hati kecilku berkata, kesiannya makcik. Sabar betul dia jaga suami dia.”
Hasrat Menunaikan Haji Berdepan Cabaran
Selepas penilaian bersama doktor pakar pakcik akhirnya diberikan pelepasan bersyarat untuk menunaikan haji namun perlu ditemani peneman yang sama jantina.
Bagaimanapun, wang simpanan pasangan tersebut hanya mencukupi untuk mereka berdua manakala anak-anak belum mampu menanggung kos tambahan.
Khautar kemudian menasihatkan pasangan berkenaan supaya menghubungi pegawai Tabung Haji bagi mendapatkan penjelasan tentang kemungkinan bantuan pegawai khas untuk mengiringi pakcik.
“Saya doakan pakcik dapat pergi haji,” tulisnya.

Anda mungkin berminat dengan
Isteri Terlalu Banyak Berkorban, Suami Tidak Biasa Berdikari
Mengulas kisah tersebut, Khautar menjelaskan bahawa memang wujud lelaki yang terlalu bergantung kepada isteri sehingga tidak biasa melakukan perkara asas dalam kehidupan.
“Kesimpulan daripada cerita saya, memang wujud ya lelaki macam ni. Dia takde masalah apa-apa. Tetapi sebab terlalu dijaga oleh isteri sampai dia tak boleh buat apa-apa.”
Menurutnya, pakcik tidak biasa membasuh pakaian, memasak mahupun menguruskan pakaian sendiri. Dalam penilaian yang dilakukan, pakcik mendapat markah kosong bagi beberapa soalan bukan semestinya kerana tidak berupaya tetapi kerana tidak pernah melakukan tugasan tersebut.
Khautar turut berpesan kepada anak-anak supaya mengambil berat tentang persediaan ibu bapa sebelum menunaikan haji. Antaranya melatih ingatan, membiasakan diri melakukan keperluan hidup, menghafal rukun haji serta peka terhadap tarikh dan masa.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa isteri yang mampu menguruskan segala-galanya bukan bermakna suami boleh terus menyerahkan semua tanggungjawab kepadanya.
Sehebat mana pun seorang isteri, dia juga manusia biasa yang berhak dibantu dan diringankan bebannya. Jangan sampai usia semakin lanjut, barulah tersedar bahawa terlalu banyak perkara selama ini hanya bergantung pada kudrat seorang wanita.
Sumber: Perkongsian Facebook Khautar Hassan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

