Ramai yang menggunakan perkhidmatan dobi layan diri. Selalunya para suamilah yang kerap menggunakan dobi layan diri. Ramai suami sudah ada kesedaran untuk membantu isteri mencuci dan menguruskan pakaian keluarga.
Apabila kerap menggunakan khidmat dobi layan diri, para suami harus tahu betapa pentingnya menjaga dan tidak mendedahkan pakaian dalam ahli keluarga terutama isteri sesuka hati ketika mencuci.
Kadangkala dalam tak sedar, terlepas juga seketul dua. Memanglah isteri tiada di situ tapi maruahnya tetap perlu dijaga. Hadamkan perkongsian Zulkifli Che Noh ini. Betapa pentingnya hal semudah ini untuk diambil cakna.
Cuci Pakaian Isteri Di Dobi Layan Diri
Selaku pengguna dobi layan diri yang tegar, hampir setiap tiga hari saya akan menghantar pakaian untuk dikeringkan. Tambahan pula jika musim hujan.
Kadangkala, setelah memasukkan pakaian ke dalam mesin pengering, terpaksa berkejar menyelesaikan urusan yang lain.
Bila terlambat, pakaian sudah dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam bakul yang disediakan atau dilambakkan sahaja di atas meja.
Maka, semua jenis pakaian yang telah kering, kini terdedah kepada pandangan umum. Pakaian malam, seluar kecil dan pakaian peribadi pelbagai warna, corak dan saiz terdampar silu.
Ads
Teringat lagi bebelan emak ketika disuruh menyidai pakaian di ampaian. “Kain pelikat, baju dan seluar abah disangkut di bahagian paling luar. Diikuti pakaian emak dan adik beradik perempuan. Pakaian ‘dalam’ disidai di sebelah paling dalam. Malu nanti orang lihat!”
Begitulah sensitiviti emak-emak kita suatu ketika dahulu dalam menjaga maruah dan kehormatan. Adab sopan sebegini diterap menjadi nilai pegangan sehingga dewasa.
KERANA ITULAH, TERASA MALU SANGAT APABILA PAKAIAN YANG TIDAK SEPATUTNYA DILIHAT, TERDEDAH KEPADA UMUM.
Ini Sebaiknya Yang Suami Perlu Buat
Memikirkan hal yang demikian, saya mengambil keputusan tidak mengeringkan pakaian ‘dalam’ terutama milik isteri di kedai dobi layan diri. Kecuali saya akan menunggu sehingga pakaian tersebut kering.
Ads
Ketika proses memasukkan pakaian tersebut ke dalam bakul, pakaian ‘dalam’ akan dimasukkan di bahagian bawah dan diselimuti kain atau baju.
Selain untuk menjaga daripada pandangan umum, pakaian ‘dalam’ juga harus diberi perhatian yang khusus. Elakkan daripada meletakkan secara sambilewa kerana boleh menyebabkan jangkitan kuman yang membawa kepada penyakit kulit.
Elakkan Daripada Mengundang Fitnah
Islam agama yang sangat mementingkan penjagaan maruah dan kehormatan. Setiap perkara yang mengundang ‘fitnah’ wajib dibendung bermula daripada puncanya.
Ads
Ia memberi keselesaan kepada pemilik pakaian dan juga pengguna-pengguna yang lain. Paling penting, ia dapat menyelamatkan maruah isteri dan anak perempuan kita dari pandangan manusia yang mempunyai penyakit hati.
Sabda Rasulullah, “ … jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya.”
Curang adalah satu pilihan bukannya kesilapan. Manakala, setia adalah tanggungjawab dan bukan pilihan. Istilah curang bukanlah perkara baru dalam alam perkahwinan. Seringkali kita dengar sama ada suami mahupun isteri berlaku curang kerana sudah tiada lagi jalan penyelesaian. Curang itu merupakan pilihan yang harus dipilih.
Sebenarnya adakah curang ini jalan yang terbaik demi menyelesaikan masalah rumah tangga ataupun hanya alasan semata-mata demi memenuhi kemahuan dan kehendak yang tersembunyi? Curang boleh berlaku pada sesiapa sahaja sama ada golongan T20 mahupun B40.
Menurut Khairul Fahmi Ramli yang merupakan peguam syarie, terdapat tujuh sebab kenapa sukar nak buktikan pasangan curang dalam kes fasakh. Jadi elakkan, sebab akhirnya anda lagi akan sakit hati.
Kelmarin (ketika status dimuat naik) sewaktu menanti perbicaraan kes fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Kangar, pun saya dengar isu pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah sebab isteri yang curang.
Jadi, isu curang ni, mau tak mau, kita kena terima, bukan laki saja curang, perempuan pun ada jugak. Saya bukan nak back up lelaki dan saya pun tak back up perempuan.
Tapi, yang saya nak ulas sebab banyak soalan yang tanya pada saya tentang isu curang dan pengalaman bawa kes fasakh tentang isu curang suami atau isteri.
Jadi, yang selalu jadi masalah untuk buktikan isu curang ini bagi tuntutan fasakh adalah:
Ini perkara biasa. Siapa nak ngaku salah. Kalau betul fitnah, takpe la kalau nak pertahan. Tapi curang ni benar, tapi berdusta di dalam Mahkamah, hanya Mahkamah Allah sahajalah yang akan menanti. Jika suami/isteri tiada bukti untuk dakwa tentang curang ini, maka, pengakuan sahaja yang boleh menjadi bukti terhadap tuntutan.
Selalu juga bila nak bukti bab curang ni, suami/isteri bawa saksi yang tak pernah nampak pun kecurangan tu. Cuma, saksi yang hanya dengar daripada luahan hati orang yang mendakwa sahaja.
Contohnya, isteri mengadu kat ayah, jadi ayah hanya cerita melalui aduan anaknya sahaja. Atau suami bawak saksi yang dengar daripada cakap orang lain sahaja yang isterinya curang. Lagi pening, kalau tak ada saksi langsung.
Ada banyak juga yang kini bawak bukti pada Mahkamah tentang mesej suami dengan perempuan lain, isteri dengan lelaki lain. Cuma, yang jadi masalah masa bicara adalah gambar screenshot mesej yang dilampirkan, tak ada bukti yang asal.
Yelah, bukti asal dalam telefon bimbit suami contohnya, entah ada atau tak lagi dalam telefon bimbit itu. Jadi, mahu tak mhau, bukti screenshot ini hanya bukti sekunder, tak bolehlah nak jadi bukti primer. Ada setengah keadaan itu, gambar screenshot itu sendiri hilang dari telefon bimbit pun ada.
Ada pihak yang memang ada gambar suami/isteri curang atau kelakuan keji. Ada banyak keadaan, gambar yang dilampirkan kurang jelas identiti orang tersebut.
Contohnya, ada gambar yang diambil dalam gelap seperti di clubbing, nampak macam edit pun ada, dan lain-lain.
Ada yang lampir gambar seluar dalam yang diberi oleh isteri kepada lelaki lain, tapi mana nak tahu, entah betul atau tak gambar seluar dalam tu milik isteri. Ni contoh kes saya dulu-dulu.
La ni, mudah ja nak ambil gambar. Buka kat FB, Instagram, Wechat dah ada macam-macam gambar yang boleh tunjuk pada kecurangan. Sekarang ni, tik tok pun boleh jadi bukti video menunjukkan kecurangan.
Tapi, banyak keadaan, bila masuk waktu bicara, bila nak bukti, semua tu dah tak ada. Dah kena delete. Jadi, bukti-bukti macam ni, boleh jadi bukti sekunder saja lah selalunya. Kita tak boleh nak tender bukti dokumen tersebut sebagai eksibit(bukti primer).
Ada sesetengah orang dakwa suami/isterinya pernah berzina, khalwat, berhubungan dengan orang lain lebih daripada suami/isteri. Tapi, orang yang didakwa tersebut tak pernah pun ditangkap, didakwa atau dihukum oleh Mahkamah atas mana-mana kesalahan yang boleh tunjukkan kata dia curang. Melainkan, memang dapat terbukti suami/isteri kena hukum atas kesalahan tertentu.
Sebilangan orang, ada yang cuba nak dakwa tentang kecurangan. Tapi, isu curang rumahtangga mereka, isu yang dah terlalu lama. Sampai 10 tahun yang lalu pun ada.
Sedangkan, dalam tempoh tahun lepas baru bersalin anak yang ketiga contohnya. Memang susah la nak kata tentang curang tersebut. Bila dah terlalu lama, boleh jadi perkara tersebut benar, tapi dah taubat.
Mungkin ada lagi yang lain-lain contoh, cuma ini berdasarkan pengalaman di dalam Mahkamah. Ada keadaan, Mahkamah terima tuntutan fasakh atas dakwaan ini, tapi banyak keadaan, perkara tersebut gagal dibuktikan.
Kita tak tahu hal yang sebenar, melainkan pihak-pihak yang berkahwin tersebut dan Allah SWT. Moga kita dapat faham sikit sebanyak.
Curang itu bukan perkara baru. Tapi janganlah ambil tindakan sendiri apabila pasangan curang. Ada jalan lebih baik untuk selesaikan masalah rumahtangga ini dengan bijak.
Sumber: Fahmi Ramli (Khairul Fahmi & Associates dan Khairul Fahmi Ramli untuk dapat lebih info dalam kamar syariah)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isteri yang bakal hidup bermadu, berusahalah untuk berdamai dengan takdir. Usah dilayan perasaan yang remuk redam kerana ‘diduakan’ oleh suami. Memang apabila menyebut tentang poligami semua wanita tidak menginginkannya.
Tiada wanita yang sanggup berkongsi suami. Namun, kalau itu sudah ditakdirkan, kita tidak mampu untuk menolaknya. Bagi suami, mungkin ‘seronok’ tambah-tambah bila bercakap tentang poligami. Itu kelebihan lelaki yang memang tak boleh nak sangkal. Cumanya, kalau dah poligami, kenalah adil dalam memberi tanggungjawab pada isteri-isteri yang ada.
Begitu juga dengan isteri-isteri, kalau sudah ditakdirkan bermadu, terimalah dengan reda, DIA yang merancang sebaik-baiknya. Tak perlu merasakan diri kekurangan atau silap sampai suami cari yang lain tetapi percayalah semua ini ada rahmatNya.
Perkongsian daripada Khazatul Atiqah Abu Seman yang turut mempunyai ‘madu’ ini boleh dijadikan panduan terutamanya buat isteri-isteri yang bakal bermadu.
Berikut dikongsikan lima ringkas untuk yang bakal berpoligami. Tip ini untuk para isteri, tidak kiralah isteri nombor berapa mahupun bakal madu. Buat suami yang berhajat, buatlah dengan cara yang baik dan bantu isteri kalian juga ya. Tip ini diharap mampu memberi manfaat kepada isteri di luar sana. Bukan untuk sarankan suami berpoligami ye, tapi sekadar tip untuk bakal madu.
1. Cari ilmu yang betul
Poligami ada ilmunya. Kena fahami dan tak boleh sembarangan. Bukan seperti yang selalu kita nampak dalam drama sinetron. Memang banyak yang gagal, namun tak kurang banyak juga yang berjaya. Carilah pengamalnya yang berjaya mengamalkan dan tuntut ilmu dari mereka. Bukan ilmu yang pelik dan guna-guna, bukan juga untuk suka-suka. Besar padahnya jika tak betul caranya. Poligami yang baik adalah sepertimana yang Nabi ajar.
2. Berkawan dengan orang yang positif dan bukan anti poligami
Kebanyakan yang ini orang buat. Jika rasa tak kuat, kena kurang bergaul dengan orang yang anti. Bagi yang nak poligami tu, kita. Maka, kita jaga lingkungan kita untuk membantu diri kita lebih positif. Biasanya di peringkat awal, ujian perasaan jadi haru bila kita dengar pandangan yang negatif dari golongan sebegini. Lagi bila tersembang masalah, makin negatif jadinya.
3. Elakkan layan perasaan
Perasaan kalau dilayan makin menjadi. Pulak tu, tengok cerita romantik dan sebagainya, kita letakkan diri kita dalam cerita tu. Sedangkan dalam Islam, romantik adalah cinta sampai Syurga. Walau monogami, nanti kita juga berMadu dengan bidadari di sana. Maka, bantu diri dengan jaga perasaan dan jangan berperasaan yang bukan-bukan. Bila mana Suami tengah baik, malah cuba menjadi lebih baik dan bertanggungjawab, jangan hambur dan tuduh yang bukan-bukan pada suami. Perasaan perlu dipandu. Rujuk dan tanya, betul ke perasaan demikian dan demikian jika perlu. Kalau sekadar kita sorang berperasaan, jangan diikut sangat. Nanti kelaut jadinya.
4. Elak periksa telefon suami
Ini sangat crucial. Kata orang, jangan cari penyakit dan cari punca bergaduh. Kena belajar letak boundary. Tak kira pada isteri mana-mana isteri pun. Ia baik buat isteri terutamanya yang mudah beremosi dan berperasaan. Letakkan hormat pada barang suami, sekalipun isteri yang dah bertahun, apatah lagi isteri baru akad nikah. Buang prasangka bukan-bukan kerana suami berhubung dengan yang halal dan yang berhak. Bukanlah kepada yang bukan muhrim. Ia sebahagian dari tanggungjawab Suami untuk berhubung dengan yang berada di bawah tanggungannya.
5. Jangan saja meninggalkan kesan pada suami dengan sengaja
Ini untuk yang dah berkahwin. Bila mana suami mendatangi mana-mana isteri, kemudian sengaja meninggalkan Love Bite pada uami dan kemudiannya ditonton pada isteri lain.
Tips 4 dan 5 adalah tip yang saya dapat dari seorang sahabat sebulan sebelum saya berjumpa calon dan menginjak alam poligami.
5 tip ini adalah teknikal sahaja sebenarnya. Atau bahasa lainnya, fancy tip. Namun yang sebenarnya, poligami mengajar kita untuk bergantung lebih pada Allah. Dari poligami kita belajar kenal diri dan kenal Pencipta kita. Kalau dulu sandaran hati adalah suami, bila berpoligami, kita belajar tawakal yang lebih tinggi dari itu, namun tetap tidak menidakkan kedudukan suami selagi mana dalam syariat. Belajar taat pada suami walau kita tidak setuju pada beberapa perkara.
1. Belajar bangun malam. Ia ubat buat hati. Keajaibannya sukar untuk digambarkan.
2. Belajar merintih dan mengadu pada Allah, bukan pada sembarangan orang. Nak menangis, masa itu jugalah.
3. Belajar perbaiki solat, perhalusi cara berdoa. Nak Allah bantu memang tiada cara lain melainkan kita betulkan solat kita. Ia adalah talian hayat utama kita.
4. Tiba-tiba timbul rasa sunyi dan keseorangan, kata pada diri, nanti aku mati juga seorang diri. Tetaplah suami juga tak masuk kubur sekali. Kalau sebelum ni suami boleh outstation atas dasar kerja duniawi, kenapa tidak atas sebab tanggungjawab yang membawa kepada akhirat, kita gundah gulana pula.
Perbanyakkanlah selawat dan zikir. Isi masa dengan perkara berfaedah. Kalau sebelum ini teringin nak ikut kelas mengaji, atau nak buat kerja sukarelawan, inilah masanya. Tengok youtube, banyakkan menonton video yang membangkitkan hati kepada ilmu Agama, perihal akhir zaman dan sebagainya. Perkara yang lagha boleh mematikan Hati. Maka, berhati-hatilah.
5. Sebelum persoal orang lain, persoal diri sendiri dulu. Ia membantu kita untuk kenal diri kita. Aku nak kahwin atas niat apa sebenarnya. Suami itu jambatan menuju akhirat. Suami juga pinjaman dari Allah. Apa jua kesenangan mahupun kesusahan, penghujungnya Allah mahu kita dekat dan ingat padaNya sebelum kita menghadapNya. Allah nak kita sedar, di sebalik semua ini, Allah jualah semuanya.
Maka, ujian dari suami atau madu, susah mahupun senang, jangan lepaskan Allah. Manusia takkan pernah sempurna, semua dari kita adalah hamba. Maka santuni satu persatu dengan penuh sabar dan berhikmah selagi ada umur Allah pinjamkan di dunia.
Perkahwinan itu satu ibadah dan satu bentuk kasih sayang. Ia adalah separuh kesempurnaan dalam beragama. Suburkan rasa kasih, cinta dan sayang. Jangan letakkan perasaan yang tidak sihat di dalamnya. Bagi yang nampak salah dan kurang suami, doakan kesalahannya.
Perkahwinan monogami juga boleh bertolak ansur dan berlebih kurang, maka poligami juga sama. Semoga bermanfaat buat yang memerlukan.
NOTA: Jika ditakdirkan oleh kita untuk hidup bermadu, boleh guna tip ini sebagai panduan.
Sumber: TiQa Ummimerahjambu (Khazatul Atiqah Abu Seman)
Isu menantu perempuan dan mak mentua satu ‘masalah’ yang seolah tiada kesudahan. Bila sama-sama keras kepala maka yang jadi mangsa adalah si lelaki. Situasi akan menjadi lebih buruk bila si lelaki tidak tahu memainkan peranan bagi mendamaikan antara isteri dan juga ibunya.
Kisah pergolakan antara menantu dan mak mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu mak mentua mentua dengan menantu perempuan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Hubungan mak mertua dan menantu perempuan seringkali tidak harmoni. Pendek kata ada-ada sahaja yang tidak kena. Hal ini bukanlah sekadar mitos. Kajian membuktikan konflik memang sering ‘tumbuh’ di antara mak mentua dan juga menantu perempuan.
Berikut perkongsian Akhtar Syamir
MENANTU BUKAN PILIHAN DAN MENTUA PEROSAK RUMAH TANGGA
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
TERLEBIH MELINDUNGI
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Menantu perempuan dan mak mentua, usahlah sama-sama ‘keras kepala’ dan ego. Ingatlah bahawa jika persengketaan itu terus menerus berlaku yang menjadi mangsa adalah seorang lelaki yang bergelar suami dan anak.
Sumber kredit: Akhtar Syamir
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Simpati dengan apa yang berlaku, niat murni pencinta haiwan nak selamatkan kucing jadi tragedi apabila dia terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir empat meter.