Apabila suami meninggal dunia, isteri bercadang hendak menuntut wang KWSP sebagai harta sepencarian. Seperti yang kita ketahui selepas kematian suami, semua harta yang dimiliki atas nama suami tersebut adalah dikira sebagai harta pusaka.
Bahagian faraid bagi seorang isteri adalah 1/8 sahaja sekiranya suami mempunyai anak. Bahagian tersebut sangat kecil bagi seorang ibu yang akan membesarkan anak-anak kecil yang ditinggalkan simati atau arwah suami. Jika arwah suami tinggalkan banyak jutaan Ringgit Malaysia, mungkin tak lah terasa sangat dengan nilai 1/8 tersebut.
Suami Meninggal Dunia, Isteri Nak Tuntut KWSP Sebagai Harta Pencarian
Kalau duit simpanan pun tak banyak, yang ada hanyalah KWSP arwah suami sahaja, maka itu sahajalah duit ‘survival’ selepas kematian yang isteri tersebut akan terima dengan bahagian kecil 1/8.
Berikut perkongsian daripada Peguam Syarie Perundangan Islam yang beramal di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, KL, Selangor, Fahmi Ramli
Pernah ada seorang wanita bertanya, “Tuan Fahmi, kalau lah suami saya mati, bahagian Faraid saya kecil, boleh ke kalau saya tuntut KWSP tu sebagai harta sepencarian untuk dapat lebih?”
Boleh ke?
Ads
Ini Fakta Peguam Syariah
✅ Adakah KWSP dikategorikan sebagai harta sepencarian?
Ada yang ingat KWSP itu harta sepencarian dengan menganggap hasil pendapatan suami terdapat sumbangan tidak langsung isteri yang menjaga hal ehwal anak dan rumahtangga.
Namun, ini salah. Ia kerana KWSP telah diputuskan oleh keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000:
👉🏻 Wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut Hukum Faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP, maka wang itu adalah milik si mati.
✅ Kalau tak tuntut Harta Sepencarian, boleh ke isteri sebagai Penama menerima semua?
Penama bukanlah penerima Hibah atau pemilik penuh selepas kematian seseorang. Penama yang dinamakan di dalam KWSP pencarum itu hanyalah sebagai Pentadbir Harta atau pemegang amanah simati sahaja.
Ini bertujuan untuk memudahkan urusan waris menerima wang KWSP simati dengan mudah dan cepat sahaja. Sebabnya, untuk mendapatkan perintah Pusaka itu bukanlah satu urusan yang boleh selesai dalam tempoh satu hari, satu minggu atau satu bulan.
Ads
✅ Apa tugas Penama KWSP?
Menurut keputusan Muzakarah tersebut, Penama KWSP hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut Faraid.
Ini bermakna, bagi sesiapa yang telah dinamakan sebagai Penama KWSP, ia perlu memegang amanah untuk bahagikan duit peninggalan simati tersebut mengikut bahagian faraid. Bukan miliknya seorang sahaja.
✅ Bolehkah dibuat Hibah duit KWSP?
Pada pandangan saya, KWSP ini tidak boleh dibuat Hibah kerana ia belum dikira milikan penuh sehingga mencapai tempoh matang untuk seseorang pekerja itu menerima.
Namun, sekiranya ia berada dalam milikan penuh, contohnya dikeluarkan duit sewaktu PKP, maka ketika itu jika nak dihibahkan kepada sesiapa pun itu hak anda. Namun, untuk membuat Hibah Bersyarat sekiranya kematian pencarum akan diterima oleh penerima hibah adalah tidak boleh.
Ini sama sekali akan bertentangan dengan keputusan Muzakarah tersebut. Bahkan, ada kes diputuskan Re Ismail Bin Rentah (simati) [1939] FMSLR, Hakim memutuskan:
Ads
“Penama di dalam kes tersebut tidak boleh dianggap sebagai penerima Hibah oleh sebab tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Sebaiknya ia dianggap Hibah semasa Mard al-mawt (sakit yang hampir kematian) yang tertakluk kepada Undang-undang Wasiat. Oleh sebab itu, ikut Undang-undang Islam, jumlah itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris.”
Sekiranya seorang isteri hendak bahagian lebih daripada tinggalan KWSP suami, ia tak boleh dituntut melalui Harta Sepencarian. Tak sama macam bahagian harta lain seperti rumah misalnya.
Sekiranya isteri menerima sebagai Penama selepas kematian suami, WAJIB bagi isteri tersebut membahagikan bahagian sebagaimana bahagian faraid. Memang sikitlah bahagian isteri jika ada ramai anak dari simati dan juga ramai isteri. Inilah cabaran yang akan diterima oleh isteri untuk ‘survive’ selepas kematian mengejut suami.
Kalau suami meninggalkan banyak duit KWSP beratus-ratus ribu, ada la juga bahagian ribu-ribunya. Kalau ada hanya sekitar RM10,000 sahaja sewaktu kematian tersebut, bank simpanan pun sedang ‘stuck’ sebelum ada perintah pusaka, berapa agaknya tempoh untuk isteri tersebut bertahan jika dia pun bergantung penuh pada suaminya semasa hidup?
Oleh itu para suami digalakkan untuk membuat hibah kepada isteri untuk ‘survive’ membesarkan anak-anak. Jangan ada rasa ‘biarlah mereka urus sendiri’ sedang kita menagih doa mereka sewaktu di alam sana.
Isteri sentiasalah berusaha untuk memenangi hati suami. Jangan sesekali membandingkan suami dengan lelaki lain. Bila tengok pasangan lain yang cukup romantik dan bahagia, mulalah kita bandingkan dengan pasangan sendiri.
Dalam fikiran, mulalah hati ‘berkata-kata’ kenapa suami sendiri tidak seperti suami si polan si polan. Bukan setakat bandingkan dengan orang lain, lebih teruk lagi bila isteri mula merendahkan pasangan dan cari kelemahan sehingga boleh menjadi satu masalah yang lebih teruk.
Tak perlu nak bandingkan dengan orang lain, sebab pasangan kita adalah yang terbaik untuk kita. Dialaha yang dapat menerima kelemahan dan kekurangan kita. Paling penting, jangan cari kelemahan suami sehinggan dirinya rasa rendah diri.
Ada cara nak jampi dan menangi hati suami dan bukan bandingkan dengan pasangan lain. Jangan ingat, hanya suami saja perlu menjaga hati isteri. Sepatutnya kena ada ‘give and take’, barulah rumah tangga bahagia. Seperti yang dikongsikan oleh Puan Diyana Tahir, Pakar Perhubungan & Keintiman, Ehati International Sdn Bhd ini.
AWAS! JANGAN RENDAHKAN SUAMI ANDA
Alam rumahtangga sering digambarkan indah pada setiap pasangan bercinta, sehingga ada yang terlupa tiada satu pun hubungan perkahwinan yang sempurna dan “happily ever after”.
Masing-masing melangkah ke alam perkahwinan dengan harapan yang ianya akan membawa kebahagiaan abadi. Tapi, excited mana pun kita untuk melayari bahtera perkahwinan ni, terdapat banyak perkara lagi yang masih belum tahu tentang pasangan.
Bila sudah berkahwin, tinggal serumah, tidur sekatil, barulah akan nampak personaliti sebenar pasangan kita. Ketahuilah bukan sahaja pasangan kita ada kelemahan bahkan kita sendiri juga ada kelemahannya.
Namun apabila kita tak dapat apa yang diharapkan dalam hubungan, mulalah kita nak mempersoalkan segalanya, terutamanya bagi isteri.
Isteri selalu ada ‘expectation’ terhadap suami. Kalau merajuk, harapkan suami pujuk dengan bunga lah, pujuk dengan kata-kata cinta dan sebagai. Ada juga isteri sentiasa inginkan sesuatu dan si suami mesti penuhinya.
Malah, isteri sentiasa mengharapkan suaminya untuk faham apa yang mereka rasa, seolah-olah suami ini dapat baca fikiran mereka. Ini adalah kesilapan yang besar isteri sering lakukan kerana isteri perlu sedar bahawa suami ni tak ada superpower pun nak baca fikiran. Kadang-kadang suami sendiri tak tahu pun apa yang isteri mahukan dan harapkan.
Keadaan akan jadi lebih rumit apabila isteri tak dapat apa yang mereka nak, mulalah dia nak tarik muka macam tak ada hari esok dah. Dalam tak sedar, isteri meragam ni mula nak merendah-rendahkan suami dengan kata-kata yang dilontarkan tanpa fikir.
Perbuatan ini boleh melukakan hati suami, bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Bila meroyan dan menghamburkan macam-macam kemarahan baru nak berfikir, malangnyai semuanya sudah terlambat. Kalau anda tak ambil tindakan untuk mengubah tabiat ini, lama kelamaan perkara ini akan memberi impak kepada rumahtangga kita. Nampak remeh, tapi tak semudah itu anda nak memperbaiki kembali hubungan yang retak.
Sebelum keadaan menjadi lebih keruh, para isteri perlu ketahui perkara yang membuatkan suami rasa rendah diri dan apa yang harus anda lakukan untuk mengembalikan keyakinan suami di dalam rumahtangga. Komunikasi anda bersama suami akan menjadi penentu kepada bahagia atau derita di dalam rumahtangga anda.
Ketahui tiga fakta membuatkan suami anda rasa dirinya tidak layak dan tiada keyakinan diri apabila bersama dengan anda. Awas berhenti dari lakukan tiga perkara ini. Jangan sampai suami anda dah bercinta dengan perempuan lain, baru anda nak sedar.
1. Sentiasa Mengungkit-ungkit
Setiap kali bergaduh, anda akan ungkit semua kesilapan lama suami walau dah berpuluh tahun berlalu. Tindakan ini akan buat suami rasa rendah diri dan secara tak langsung anda akan trigger keegoan suami. Selain kesilapan lama suami, si isteri akan sentiasa ungkit perkara-perkara yang mereka inginkan tapi masih tak tertunai oleh suami.
“Abang, kenapa saya tak dapat lagi apa yang saya nak dulu, abang tek pernah pun bagi?”
“Itulah abang sibuk dengan perempuan lain dulu sampai saya ni abang biar je.”
Ketahuilah, suami anda rasa malu sebenarnya apabila anda mengungkit kembali kesilapan lama mereka ataupun apa yang mereka tak dapat bagi kepada anda. Suami malu yang dia tak dapat nak memberi sepenuh kebahagiaan kepada isterinya.
Inilah yang akan membuatkan suami rasa lebih rendah diri. Suami akan rasa dirinya loser. Tapi, isteri susah nak faham perkara ni. Bagi isteri, dia mengungkit dengan tujuan nak memberi kesedaran kepada suami. Kalau tak pun, nak menegur suami tentang apa yang masih tak kena di dalam hubungan mereka.
Buang persepsi ini dari dalam fikiran dan hati anda. Ini tandanya anda tak menghargai pun apa yang suami anda lakukan. Bila mengungkit, suami akan rasa sia-sia sahaja pengorbanan mereka dalam perkahwinan selama ini. Suami akan rasa dirinya tak dihargai. Berhati-hati bila suami anda dah timbul rasa tak dihargai ni. Bina kepercayaan terhadap suami anda agar suami anda rasa yakin diri bahawa dia sebenarnya seorang suami yang mampu membahagiakan isterinya yang tercinta.
Kalau kita lihat trend sekarang, ramai isteri yang mempunyai kerjaya dan pendidikan yang lebih tinggi daripada suami. Tak ada salahnya isteri mempunyai kerjaya dan pendidikan lebih baik dari pasangannya, tetapi, ada juga sesetengah daripadanya yang suka mengajar-ajar suami tanpa disedari. Kalau anda tergolong di dalam kategori isteri begini, sebaiknya anda segera baiki diri anda. Ketahuilah si suami akan merasa dirinya terhina dan rendah diri bila diajar-ajar oleh isteri.
“Abang, ni salah lah bang. Sepatutnya macam ni”
“Eh betul ke ni? Kalau saya lah kan bang, saya buat ni dulu.”
“Apa ni bang, ni patut letak kat sini barulah jadi.”
Ini adalah beberapa situasi yang menyebabkan suami akan rasa dirinya tidak berguna dalam perkahwinan. Sebab apa? Sebab isterinya mengambil tempatnya sebagai seorang superhero di dalam rumahtangga. Kadang-kadang, anda tak sedar pun suami rasa insecure bila dia tak mampu nak berada di level yang sama dengan anda. Lagi-lagi bila anda ada pendapatan yang lebih tinggi daripada suami. Ini yang akan membuatkan suami rasa dirinya loser.
Mungkin niat di hati anda adalah untuk menjadikan suami lebih baik daripada yang sebelumnya. Tidak salah kalau anda nak upgrade suami anda namun penting juga untuk anda hormati suami anda selayaknya. Hormatinya sebagai ketua keluarga. Jangan sampai anda mengambil title suami tu. Mungkin suami nampak okey, nampak tenang je bila anda buat macam tu. Tapi, dalam hati siapa yang tahu.
Mustahil anda tak pernah membuat perbandingan terhadap suami anda dengan orang lain. Tak kata depan-depan, tapi mungkin pernah terdetik di dalam hati. Kalau kat dalam hati je, tak apa. Tapi, kalau anda suarakan perbandingan anda di depan suami, anda sebenarnya sedang trigger keegoan suami dan membuatkannya rasa lebih rendah diri. Kalau anda bandingkan perkara yang baik, tak menjadi masalah pun. Kalau perkara yang negatif, suami mana yang suka.
“Kenapa orang lain boleh, abang tak boleh?”
“Abang tengok ni, suami akak ni dah makin handsome.”
“Ayah saya dulu selalu beri je apa yang saya nak.”
Selain daripada percakapan anda, ada juga situasi di mana suami dibandingkan di dalam media sosial. Nampak je suami orang lain buat surprise kat isteri, anda pun tag suami dengan niat nak suami berbuat macam tu juga.
Lama kelamaan, suami pun akan rasa pressure bila anda asyik membandingkannya. Anda sendiri pun semestinya tak suka bila dibanding-bandingkan, apatah lagi suami. Bila anda membanding-bandingkan suami anda, suami akan rasa dirinya tak dihargai dan tak disayangi oleh anda. Ini umpama anda tak boleh nak terima kekurangan suami. Tak semuanya yang anda nampak pada suami orang lain adalah yang manis semata-mata. Mereka juga ada kekurangan kerana mereka juga manusia.
Menangi Hati Suami
Ada beberapa ‘jampi’ yang boleh kita amalkan untuk memulihkan keyakinan diri suami anda. Dalam erti kata lain, anda boleh menggunakan jampi ni untuk membuatkan suami rasa dirinya hero di dalam rumahtangga.
Pertama, suami akan rasa dirinya hero bila anda hargai suami anda seadanya dan tidak memaksa dirinya untuk berubah seperti yang anda mahukan. Berhenti menyenaraikan dan mengungkit kesalahan suami. Jika anda nak berkomunikasi dengan suami, jangan pernah condemn suami sampai suami rasa dirinya loser. Katakan kepada suami anda perkara yang membuatkannya anda rasa hebat dan bahagia bila bersama dengannya. Ini akan membuatkan suami anda rasa lebih dihargai oleh anda.
Kedua, suami akan rasa dirinya hero bila anda menyatakan keinginan dan keperluan anda perlukan dengan cara yang positif. Maksudnya, berhenti mengungkit-ungkit dan membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain apabila anda tak dapat lagi apa yang anda nak. Ingat, suami anda tak dapat pun nak baca fikiran anda. Anda boleh beritahu secara spesifik apa yang anda perlukan. Tapi, sampaikan dengan cara positif.
Sebagai contoh, “saya suka ketika abang buat…”, “saya rasa bahagia bila abang…”. Berterus terang dengan suami dengan betul dan bukan merendahkannya.
Amalkan dua jampi ni secara konsisten. Anda akan rasakan perbezaan dalam hubungan dengan suami. Tiada lagi adegan sindir menyindir, Kesilapan lalu dimaafkan dan dilupakan.
Ketahuilah jika masih merendahkan suami anda, suami akan lari.Sedar tidak sedar anda menolak dan menghantar suami anda kepada orang lain yang mungkin lebih memahaminya
Jadi ingat, seorang suami ingin menjadi HERO dalam hubungan rumahtangganya. Elakkan dari terus membuatkannya rasa dirinya loser. Cintai dan terima dia seadanya, sama-sama berubah ke arah lebib baik untuk kebahagiaan bersama.
Urutan cakar harimau mampu merapatkan hubunga suami isteri. Bila urutan dilakukan dengan penuh kasih sayang oleh suami/isteri tersayang tentulah ia lebih berkesan. Urutan pada bahagian-bahagian tertentu dapat memberikan kelegaan, ketenangan sekaligus mampu meredakan keletihan pada tubuh badan.
Dalam satu sesi ceramah oleh pendakwah bebas dan penceramah motivasi Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, beliau pernah berkongsi teknik urutan untuk kebahagiaan suami isteri.
Menurut beliau terdapat TUJUH teknik urutan ‘cakaran harimau’ yang disusuli dengan ‘urutan labah-labah’ boleh diamalkan oleh para isteri agar sentiasa dicintai dan menjadi ‘bidadari’ kepada suami.
Langkah Pertama (Bahagian Tengkuk):
*Isteri perlu mengurut tengkuk suami mereka dengan penuh kasih sayang memandangkan bahagian itu terdapat banyak urat tegang yang perlu diuraikan.
Langkah Kedua (Bahagian Bahu):
*Langkah kedua pula ialah mengurut pada bahagian bahu hingga ke lengan.
Langkah Ketiga (Bahagian Tulang Belikat)
*Langkah ketika dengan membuat `jemput-jemput’ pada bahagian tulang belikat.
Langkah Keempat & Kelima
*Merupakan sentuhan yang cukup penting dan perlu kreatif dan ia dimulai dengan `cakaran harimau’, menggunakan kuku yang telah dipotong bermula dari bahagian tengkuk membawa ke pinggang.
*Cakaran itu hendaklah diselang-selikan dengan urutan labah-labah, bermula dari pinggang hingga ke bahagian tengkuk. Perlu diingat cakaran itu hendaklah berupa cakaran manja dan dilakukan dengan penuh kasih sayang.
Langkah Keenam
Seterusnya, menggenggam kedua-dua tapak tangan dan kemudian tepuk-tepuk pada bahagian belakang badan suami dari atas hingga ke pinggang.
Langkah Ketujuh
*Langkah ke tujuh ini sebenarnya merupakan satu `bonus’ tambahan di mana setelah diurut, suami berasa tenang dan seronok.Selepas itu, bisikan kalimah sayang ke telinga suami seperti `Saya cinta padamu’.
Apa yang menarik urutan ini bukan sahaja boleh diamalkan oleh isteri tetapi juga oleh suami jika mereka mahu disayangi oleh isteri masing-masing. Menurutnya lagi, kalau boleh urutan itu dilakukan ketika pasangan terbabit sedang berehat, agar dapat mengembalikan keharmonian rumah tangga setelah masing-masing penat bekerja.
Gunakan Minyak Aroma Terapi
Ustazah turut mengingatkan ketika melakukan urutan itu jangan sekali-kali menggunakan minyak angin tetapi sebaliknya menggunakan minyak aroma terapi. Kata Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, minyak aroma terapi boleh membangkitkan suasana harmoni serta boleh meredakan ketegangan serta memberi ketenangan jiwa kepada suami atau isteri.
Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood berkata, beliau rasa terpanggil untuk menyampaikan petua ini sebab ramai yang tidak mengambil berat tentang kaedah sentuhan tersebut sedangkan dalam al-Quran ALLAH ada menyebut `gauli isteri kamu dengan cara yang terbaik’.
Tambah Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, cuba bayangkan jika anak menangis diusap dan dibelai maka tangisan itu ia akan terhenti serta merta, apatah lagi pasangan suami isteri.
Jadi buat para isteri, boleh mencuba teknik urutan cakar harimau yang diajar oleh Dato Ustazah Siti Nor Bahyah ini pada suami tersayang.Bukan sahaja dapat pahala eksta dapat hilangkan keletihan diri suami sekaligus mampu mengeratkan lagi hubungan suami isteri.
Suami isteri yang tidur berasingan boleh melonggarkan kasih sayang antara satu sama lain. Sebenarnya kebiasaan ini mungkin dianggap perkara biasa terutama dalam kalangan pasangan yang sudah berusia namun ia memberikan impak yang besar dalam rumah tangga.
Fitrah wanita inginkan selalu dibelai manja oleh suami, manakala fitrah lelaki inginkan dilayan batinnya oleh isteri. Sekiranya, masa bersama terganggu ataupun tidak berlaku, ia pasti menyebabkan kesan kekosongan dalam diri masing-masing dan memungkinkan susulan tindakan yang lebih merosakkan hubungan rumahtangga.
Ustazah Maryam Binti Md. Zin, Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor menjelaskan apa perlunya suami isteri tidur bersama.
Dalam jangka panjang, apabila suami isteri tidur berasingan ikatan hubungan akan longgar dan kasih sayang akan sedikit demi sedikit menjadi pudar. Ini berlawanan dengan konsep dan tujuan perkahwinan.
Dalam ajaran agama Islam matlamat perkahwinan adalah untuk mendapat Sakinah (ketenangan), Mawaddah (kasih sayang) danRahmah (rahmat Allah SWT). Kita amat memerlukan generasi yang saling berkasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Jika isu ini tidak diselesaikan di peringkat suami isteri dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada emosi, pemikiran dan tingkah laku anak-anak yang akhirnya tiada erti keluarga bahagia yang boleh memberi jaminan kepada masa depan negara.
Jika Tak Boleh Elak, Ini Syarat Tidur Berasingan
Hukumnya harus bagi suami isteri tidur berasingan. Namun adalah lebih baik dan afdhal suami isteri tidur satu bantal di atas satu tempat tidur di dalam satu bilik. Walaupun tidur berasingan adalah wajib bagi isteri melayan suami pada waktu malam terutamanya hubungan kelamin kerana ada hadith sahih mengenainya.
Cuma Dibenarkan 3 Hari Tidur Asing
Perkahwinan adalah perkongsian hidup. Ini bermakna pasangan berkongsi kasih sayang, berkongsi perasaan, berkongsi masalah, berkongsi pengalaman seharian, berkongsi tempat tinggal, berkongsi anak-anak dan berkongsi aspek lain.
Jika suami isteri tidur berasingan hanya kerana protes perkara kecil sehingga mementingkan diri sendiri, ianya akan mendatangkan konflik rumah tangga. Hidup mementingkan diri tanpa memikirkan keperluan dan keselamatan keluarga adalah sikap yang tidak bertanggungjawab serta perlu dielakkan.
Walau bagaimana pun dalam ajaran Islam salah satu cara untuk mendidik isteri yang tidak taat adalah mengasingkan tempat tidur dengan isteri jika suami telah berbincang dan menasihati isteri untuk taat dengan permintaan suami (yang tidak bercanggah dengan syariat Islam).
Itupun hanya dibenarkan selama 3 hari sahaja. Jika lebih dari 3 hari selepas mengasingkan tidur bersama isteri, suami boleh pergi ke Mahakamah Syariah untuk menuntut isteri kembali taat sebelum mengisytihar isterinya Nusyuz.
Kenapa Suami Isteri Pilih Tidur Berasingan
Pertama: Selisih Faham
Pasangan yang mengalami konflik akan tidur berasingan sebagai tanda protes dan kadangkala ego yang tinggi di antara keduanya ketika menghadapi masalah rumah tangga boleh menjadi salah satu punca.
Masalah rumah tangga tersebut disebabkan oleh pelbagai masalah seperti masalah komunikasi, masalah kewangan, masalah seksual, masalah akhlak dan lain-lain lagi. Akibat daripada itu, pasangan akan merajuk dan tidak memberi perhatian antara satu sama lain.
Kedua: Terlalu Penat Bekerja
Oleh kerana keadaan kewangan keluarga mendesak di samping kehendak sosial yang berlebihan, suami dan isteri berkerja keras untuk menambah pendapatan sehingga tidak mengira waktu siang atau malam.
Akibat keletihan akhirnya pasangan tidak begitu kisah jika tidur berasingan kerana faham masing-masing penat dan letih. Contohnya suami sering pulang lewat malam sedangkan isteri telah tidur terlebih awal.
Suami menonton televisyen sehingga tertidur di ruang menonton. Kesan daripada rutin tersebut boleh menyebabkan pasangan tidak kisah tidur berasingan kerana selesa tidur tanpa diganggu.
Ketiga: Inginkan Privasi
Ia bergantung kepada cara hidup yang diamalkan oleh pasangan. Pasangan yang terdidik sebelum berkahwin mempunyai ruang privasi boleh menjadi salah satu punca tidur berasingan.
Ini kerana mereka telah selesa mempunyai bilik sendiri, cara tersendiri dan meluangkan masa di bilik sendiri walaupun hubungan suami isteri masih tetap berjalan seperti biasa.
Keempat: Suami Atau Isteri Ada Penyakit
Isu penyakit juga boleh jadi salah satu sebab terutamanya suami atau isteri mengalami penyakit penyakit berjangkit, penyakit fizikal (contoh kes suami pernah mengalami kemalangan jalanraya yang menyebabkan sakit pinggang, isteri pula tidur lasak sehingga banyak kali tertendang pinggang suami) serta penyakit berkaitan psikologi (perangai dan tingkah laku) dan penyakit psikiatri (emosi dan perasaan).
Isteri Pilih Tidur Dengan Anak Kerana:
*Isteri telah merajuk dengan suami kerana berselisih faham
*Isteri telah terbiasa tidur dengan anak sejak melahirkan anak
*Isteri telah berasa risau dengan keperluan anak di tengah malam (anak mahu susu, mahu buang air kecil, anak demam, dan sebagainya)
*Isteri telah menunaikan permintaan anak untuk tidur bersama kerana berasa takut tidur berseorangan
Fakta Ini Memang Mengejutkan
Menurut Ustazah Maryam, “Belum ada statistik spesifik kepada kes berpisah ranjang. Namun kebiasaanya pasangan yang berpisah ranjang adalah disebabkan konflik rumah tangga yang bermula daripada masalah akhlak yang buruk.”
Berdasarkan statistik Aduan Kekeluargaan di Jabatan Agama Islam Selangor, masalah tertinggi pada tahun 2016 ialah Masalah Akhlak iaitu sebanyak 19,255 aduan.
Manakala pada tahun 2017, Masalah Akhlak juga merupakan tertinggi daripada 10 jenis aduan (Masalah Tidak Bertanggungjawab, Masalah Kurang Penghayatan Agama, Masalah Campur Tangan Pihak Ketiga, Masalah Perbezaan Latar Belakang, Masalah Seksual, Masalah Ekonomi, Masalah Komunikasi, Masalah Kerjaya, Masalah Kesihatan dan Masalah Akhlak).
Masalah akhlak mencatatkan jumlah sebanyak 15,440 dan suka menyakiti hati pasangan merupakan aduan tertinggi iaitu sebanyak 973 aduan.