
Andai tiba-tiba rasa rumah makin sempit, ini mungkin petanda awal yang anda sudah lama tidak buang barang yang sudah ada dalam simpanan.
Rumah Makin Sempit & Tak Kemas

Nak-nak apabila umur mula masuk lingkungan 40-50an, suka simpan walau langsung tidak pernah guna. Bukan sahaja pakaian tetapi bekas-bekas yang ada di dalam almari dapur dan pinggan mangkuk pun kadang langsung tidak disentuh.
Menurut pakar penjagaan rumah dan profesional pembersihan, Vanessa Garcia, proses mengemas dan menyingkirkan barang yang tidak lagi digunakan sebenarnya tidak perlu menunggu sehingga memasuki usia 50-an.
Sebaliknya, katanya, aktiviti menyahsesak rumah (decluttering) wajar dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan kediaman kekal teratur dan sesuai dengan keperluan semasa.
Menerusi portal Hello Doktor, penyakit simpan barang atau tabiat menimbun barang secara ekstrem dikenali sebagai Hoarding Disorder (Kecelaruan Penimbunan). Ini merupakan satu keadaan kesihatan mental yang mana seseorang mengalami kesukaran melampau untuk membuang atau berpisah dengan barang peribadi, tidak kira nilainya.
Jadi, kalau rasa rumah semakin penuh dengan barang yang jarang digunakan, mungkin sudah tiba masanya untuk periksa lapan kategori ini.
8 Barang Ini Elok Diperiksa Semula Bagi Nampak Luas

1. Pakaian Yang Setahun Tak Dipakai
Pernah buka almari tetapi masih rasa tiada baju untuk dipakai?
Cuba semak satu persatu dan tanya diri sendiri, bilakah kali terakhir pakaian itu dipakai.
Jika sudah lebih setahun tersimpan tanpa disentuh, mungkin sudah tiba masanya untuk melepaskannya, terutama pakaian yang sama atau hampir sama.
Menurut Garcia, tidak perlu menyimpan terlalu banyak pakaian yang mempunyai warna dan fungsi sama hanya kerana mempunyai corak atau hiasan berbeza.
2. Tuala, Cadar Dan Langsir Lama
Almari linen sering menjadi tempat paling mudah untuk menyimpan barang secara berlebihan.
Tuala, cadar, selimut, sarung bantal dan langsir yang sudah lama tersimpan wajar diperiksa semula.
Simpan sekadar mencukupi untuk keperluan isi rumah, manakala barangan yang masih elok boleh disumbangkan.
3. Barang Berselerak Di Garaj
Garaj biasanya menjadi tempat segala barang yang tidak tahu mahu diletakkan di mana.
Peralatan sukan, barang berkebun, alatan lama, hiasan bermusim dan kotak yang tidak pernah dibuka mungkin sudah memenuhi ruang tanpa disedari.
Garcia mencadangkan aktiviti mengemas garaj dijadikan rutin tahunan.
Barang yang masih elok tetapi tidak lagi diperlukan pula boleh dijual, termasuk menerusi jualan garaj.

4. Peralatan Dapur Berlebihan
Tabiat memasak berubah, anak-anak mungkin sudah meninggalkan rumah dan keluarga juga mungkin tidak lagi kerap menerima tetamu dalam jumlah besar.
Jadi, peralatan dapur yang dahulu dianggap penting mungkin tidak lagi diperlukan.
Periksa peralatan yang berganda, perkakas khusus yang jarang digunakan, bekas makanan tanpa penutup atau peralatan elektrik yang dibeli tetapi tidak pernah digunakan.
5. Almari Yang Tiada Fungsi Jelas
Ada almari yang pintunya jarang dibuka kerana kita sendiri tidak tahu apa yang tersimpan di dalamnya.
Bagi Garcia, ruang seperti ini biasanya dipenuhi barang secara bercampur tanpa sistem yang jelas. Cuba kosongkan semuanya, asingkan barang mengikut kategori dan tentukan tempat yang sesuai untuk setiap satu.
Selepas tahu apa yang sebenarnya ada di dalam almari, lebih mudah untuk mengelakkan ruang itu kembali menjadi tempat lambakan.
6. Barang Yang Sudah Tamat Tempoh
Kabinet bilik air, pantri dapur, ruang penyimpanan barang pencuci dan tempat menyimpan ubat juga perlu diperiksa.
Semak produk seperti pelindung matahari, bahan pencuci, rempah, sos, produk kosmetik dan ubat-ubatan yang sudah melepasi tarikh luput.
Anda mungkin berminat dengan
Namun, jangan terus membuang semua produk begitu sahaja. Ubat-ubatan dan bahan tertentu perlu dilupuskan mengikut panduan atau kaedah yang ditetapkan di kawasan masing-masing.
7. Barang Anak Yang Sudah Tidak Digunakan
Apabila anak-anak membesar, rumah biasanya masih menyimpan pakaian lama, mainan, buku sekolah, sijil, trofi dan peralatan sukan mereka.
Sebelum membuangnya, beri peluang kepada anak yang sudah dewasa untuk memilih barang yang masih mahu disimpan atau didigitalkan.
Selepas itu, barangan yang tidak mempunyai nilai sentimental boleh disumbangkan atau dilepaskan.
8. Koleksi Yang Sudah Tidak Diminati
Minat manusia boleh berubah mengikut masa.
Koleksi patung seramik, rekod vinil, cenderamata atau bekas garam dan lada yang dahulu begitu disukai mungkin kini hanya tersimpan di rak.
Cuba lihat semula koleksi yang ada di rumah dan tanya sama ada anda masih menghargainya atau masih berminat untuk meneruskannya. Jika tidak, mungkin ada pengumpul lain yang lebih menghargai barang tersebut.
Mungkin hati rasa sayang tetapi membuang barangan yang sudah tidak diulang pakai bukan bermaksud padamkan semua kenangan lama. Sebaliknya, ini tentang memilih semula apa yang benar-benar diperlukan, dihargai dan mahu dibawa ke fasa kehidupan seterusnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

