motosikal

Bertuahnya mak ayah apabila di kurniakan anak-anak yang taat, sanggup menjaga dengan penuh kasih sayang dan kesabaran tatkala diri tak lagi upaya menguruskannya sendiri. Apabila diri semakin uzur dan berusia, tak mampu bergerak namun ada anak-anak yang tetap menjaga, malah sanggup membawa ke mana sahaja yang tempat yang diingini, berbanding dibiarkan bersendirian hanya duduk di rumah.

Umpama membawa ‘anak kecil’. Berbekalkan sebuah motosikal seorang anak rela meletakkan ibunya yang lumpuh di dalam bakul hadapan bagi memenuhi permintaan insan tercinta itu untuk membawa ke mana sahaja.

Itulah curahan kasih yang diterjemahkan oleh Muhammad Taufiq Sulaiman, 44 kepada ibunya tersayang Habshah Ngah, 83 yang lumpuh akibat penyakit saraf dan darah tinggi. Bukan itu sahaja, Muhammad Taufiq yang merupakan tenaga pengajar di Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Kampung Banggol Naim, Gelang Mas turut bertanggungjawab menguruskan semua kelengkapan ibunya seperti mandi, makan dan semuanya dengan sempurna.

Diserang Penyakit Saraf & Darah Tinggi

Muhammad Taufiq yang mendirikan rumah tangga pada November lalu berkata, ibunya yang lebih mesra dengan panggilan ‘chek’ hilang upaya untuk bergerak sejak empat tahun lalu selepas diserang penyakit saraf dan darah tinggi.

“Sejak itu ‘chek’ sudah tidak berupaya untuk bergerak. Jadi saya terpaksa mengangkat ‘chek’ setiap kali hendak bergerak,” katanya.

Bawa Ke Masjid Setiap Hari

Menurutnya, setiap hari dia akan membawa ‘chek’ ke Masjid Mukim Meranti sejauh 6 kilometer dengan cara meletakkan ibunya itu dibahagian hadapan berhampiran raga bagi mengelakkan ibunya terjatuh. Ujarnya, ‘chek’ cukup suka bertandang ke Masjid Mukim Meranti yang disifatkan cukup selesa untuk menunaikan solat berjemaah dan menguruskan diri.

“Permintaan ‘chek’ untuk ke masjid tidak kira masa, ada kala waktu Subuh, Zohor atau Asar. Jarak bukan halangan buat saya, asalkan dia gembira. Ketika mahu datang ke madrasah ini dulu pun kami dua beranak naik motosikal dari Pulau Bidong.

Jaga Hingga Ke Akhir Hayat

“Sebagai anak, saya sedaya upaya akan memenuhi impian ‘chek’ termasuklah menjaganya hingga ke akhir hayat apatah lagi kesemua adik beradik saya yang lain masih tinggal di Pulau Bidong,” katanya

Muhammad Tafiq memberitahu, selain ke masjid dia juga akan membawa ‘chek’ ke pasar untuk menikmati sarapan pagi dan Klinik Kesihatan Meranti untuk pemeriksaan kesihatan.

Bagaimanapun, kisah tenaga pengajar madrasah itu membawa ibunya yang sudah uzur menaiki motosikal dengan meletakkannya dibahagian depan telah menyentuh perasaan perasaan ramai.Bukan itu sahaja, Muhammad Taufiq menyuap makanan ke mulut ibunya itu juga di sebuah kedah di pekan Wakaf Bharu, Tumpat juga viral di media sosial.

Rata-rata memuji sikap dan layanan baik yang ditunjukkan oleh Muhammad Taufiq dan boleh dijadikan ikutan. Ia juga sebagai tanda kasih seorang anak yang diterjemahkan kepada ibunya sebagai tanda membalas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini.

MW: Terharunya dengan rasa tanggungjawab, pengorbanan dan kasih sayang yang diserlahkan lelaki ini pada ibunya. Semoga kita juga dapat menjadi anak yang taat, serta mampu berbakti pada kedua orang tua disaat mereka memerlukan.

Sumber: Sinar Harian & Utusan

Jangan Lupa Komen

komen