
Berat 300kg & dunia hanya di atas tilam, aktivis Natipah Abu ambil 4 tahun pujuk Irfan dapatkan rawatan.
Pernah memiliki berat badan melebihi 300 kilogram, kehidupan seorang lelaki dikenali sebagai Irfan suatu ketika dahulu hanya berlegar di atas sekeping tilam. Bukan sekadar sukar bergerak malah untuk menguruskan keperluan diri sendiri pun hampir mustahil apabila tubuhnya semakin tidak berdaya akibat masalah obesiti.

Lebih meruntun hati, tilam yang menjadi tempatnya berbaring turut menjadi ruang untuk makan dan menjalani rutin harian. Di sisi hanya ada periuk nasi elektrik, bekalan makanan kering dan tempat membuang air. Semut-semut liar pula berderet berhampiran tubuhnya. Begitulah kehidupan Irfan yang hampir lumpuh, terasing dalam dunia kecil yang seakan tiada jalan keluar.
Namun, di sebalik keadaan memilukan itu, hadir seorang wanita yang enggan membiarkan Irfan terus menyerah kepada nasib. Aktivis masyarakat, Natipah Abu atau mesra disapa Kak Pah, sanggup mengambil masa empat tahun untuk memujuk lelaki berkenaan mendapatkan rawatan, biarpun usahanya tidak segera membuahkan hasil.

Empat Tahun Memujuk, Natipah Abu Tidak Pernah Berputus Asa
Mengimbas pertemuan mereka hampir 10 tahun lalu, Natipah mengakui bukan mudah mengubah pendirian Irfan. Ketika itu, rawatan bariatrik belum begitu popular namun dia percaya masih ada ikhtiar untuk membantu lelaki berkenaan kembali menjalani kehidupan lebih baik.
“Bayangkan, Kak Pah mengambil masa empat tahun untuk mengubah minda dan pendiriannya. Selama tempoh itu, Kak Pah selalu menziarahi Irfan yang terlantar seorang diri di rumah,” kongsinya.
Penantian panjang itu akhirnya berakhir pada tahun 2020 apabila Irfan sendiri menghubungi Natipah dan menyatakan persetujuan untuk mendapatkan rawatan.
Panggilan tersebut menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan Irfan. Dengan bantuan pihak bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia dibawa ke hospital sebelum menjalani pelbagai rawatan sepanjang dua tahun termasuk diet, suntikan dan pembedahan bariatrik.

Ibu Berjuang Melawan Kanser, Natipah Tampil Menjaga Irfan
Namun, usaha Natipah tidak terhenti selepas Irfan berjaya mendapatkan rawatan. Ketika lelaki itu memerlukan penjagaan sepanjang proses pemulihan, ibu kandungnya pula sedang berjuang melawan kanser payudara.
Memahami kesukaran keluarga berkenaan, Natipah mengambil tanggungjawab menjaga Irfan dengan sokongan Pertubuhan Jariah Qaseh.
“Sebaik Irfan selesai menjalani bariatrik, Kak Pah mengambil dan menjaga Irfan untuk melancarkan proses penyembuhannya.
“Sejak itu, segala kebajikan Irfan menjadi tanggungjawab keluarga besar kami di Pertubuhan Jariah Qaseh sampailah ke hari ini,” jelasnya.

“Kak, Sakit Sangat Kali Ni…” Irfan Kembali Diuji
Terbaharu, Irfan sekali lagi diuji apabila luka pembedahan membuang lebihan kulit pada lengan dan dadanya, yang dilakukan pada 3 Ogos lalu, masih belum sembuh sepenuhnya selepas lebih dua bulan.
Menurut Natipah, doktor pada awalnya hanya mencadangkan pembedahan di bahagian lengan. Bagaimanapun, Irfan meminta supaya lebihan kulit di dada turut dibuang serentak kerana tidak mahu menjalani pembedahan berulang kali.
Berbeza dengan dua pembedahan terdahulu pada lutut dan perut yang pulih dengan baik, kali ini Irfan berdepan kesakitan berpanjangan. Lukanya juga pernah dijangkiti kuman sehingga memerlukan penjagaan intensif doktor.
“Kak, sakit sangat kali ni, kak! Irfan tak tahan sungguh. Menyesalnya Irfan tak dengar cakap doktor dulu!” luahnya kepada Natipah.
Syukur, keadaan Irfan kini dilaporkan semakin baik meskipun luka pembedahannya masih perlu dicuci doktor setiap empat hari sekali.

Dalam menahan kesakitan, Irfan sempat berseloroh bahawa dia sudah serik untuk menjalani pembedahan lagi.
Anda mungkin berminat dengan
“Irfan serik dah kak. Tak mahu dah bedah lepas ni. Tak apalah, tak hensem pun tak apalah…”
Natipah pula membalas dengan gurauan, berharap suatu hari nanti Irfan mampu membina kehidupan sendiri termasuk mendirikan rumah tangga.
Bagi Natipah, perjalanan hampir sedekad itu bukan mudah. Dia menyaksikan sendiri bagaimana Irfan yang dahulunya hanya mampu terlantar kini berusaha bangkit, meskipun masih perlu menempuh pelbagai ujian.

“Sungguh, jalan mencapai kejayaan itu tidaklah mudah. Bukan sikit pengorbanan yang Irfan harungi selama 10 tahun ini.
“Tetapi Kak Pah percaya, one day, Irfan akan bersyukur bila dia menoleh semula ke belakang dan melihat kembali perjalanan hidupnya. Doakan Irfan, insya-Allah,” titipnya.
Empat tahun Natipah menunggu satu persetujuan dan bertahun-tahun selepas itu dia masih setia mengikuti perjuangan Irfan. Kisah mereka mengingatkan bahawa perubahan besar dalam kehidupan seseorang kadangkala bermula dengan kehadiran insan yang sanggup terus mengetuk pintu harapan walaupun berkali-kali belum mendapat jawapan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

