Personaliti Aura Mingguan Wanita, Natipah Abu,49 ini cukup dikenali dalam bidang NGO kemasyarakatan. Berjiwa murni setulus hati, berkongsi kudrat yang ada demi melakukan kerja-kerja sukarelawan. Bukan kerja yang mudah, apatah lagi keikhlasan hati, berkorban masa, tenaga mahupun wang ringgit demi mereka yang memerlukan baik di kalangan masyarakat setempat mahupun hingga ke luar negara.

Di platform media sosial, Natipah Abu cukup di kenali dengan tagline #makanakberderet , lantaran mempunyai ramai ‘anak-anak’ di dalam jagaannya yang menumpang kasih. Wanita berjiwa murni ini bertanggungjawab menguruskan beberapa rumah anak yatim, pusat jagaan lelaki, rumah perlindungan, pusat permulihan Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya di negeri utara tanah air.

“Saya merupakan Pengerusi Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bedong ( JKM – OKU ) yang mempunyai 60 budak Orang Kurang Upaya (OKU) dengan 10 orang petugas, Pengurusi Rumah Anak Yatim Jariah Qaseh yang mempunyai 10 orang penghuni iaitu 6 anak yatim dan 4 yatim piatu serta Rumah Qaseh Ayah yang merupakan pusat jagaan lelaki percuma yang kini mempunyai 5 orang penghuni.

“Di samping itu, saya merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Rumah Anak Yatim Al Munirah Gurun.”

“Saya juga dipertanggungjawabkan dalam mengurus dan mengelolakan 4 buah rumah mengaji. Iaitu dengan menanggung sewa, elaun ustazah dan utiliti untuk anak-anak yang waris berpendapatan rendah mengaji secara percuma. Malah turut memiliki dan mengurus butik pakaian terpakai sumbangan orang ramai dan dijual untuk menampung kos rumah-rumah kebajikan yang ada.”

“Rumah anak yatim, rumah qaseh ayah dan butik qasehku.com beroperasi di premis yang diwakafkan kepada saya” ujar Natipah yang mesra membahasakan diri dengan panggilan ‘Kak Pah’.

Berpeluang Sertai 10 Buah Negara Demi Misi Kemanusiaan

Memang hebat dan kuat semangat. Wanita cekal ini telah sepuluh tahun pengalaman terlibat dan berkecimpung sebagai NGO, baik di dalam mahupun luar negara demi misi kemanusiaan mahupun membantu masyarakat setempat. Malah telah berpeluang menabur bakti di 10 buah negara untuk misi kemanusiaan bersama Muslim Care Malaysia.

“Sebagai Duta Muslim Care Malaysian, saya dah pergi ke 10 buah negara untuk tujuan misi kemanusiaan. Antaranya seperti ke Chad Afrika, Bangladesh untuk misi Rohingya, Turki untuk misi Syria, Sri Lanka, Filipina, Indonesia, Thailand, Poland dan sebagainya.”

“Di samping itu di dalam Malaysia saya banyak membantu anak-anak OKU, ibu tunggal dan anak yatim. Pada masa yang sama, saya juga selalu menunaikan hajat atau impian terakhir bagi anak-anak penghidap sakit kronik seperti kanser,” ujar wanita berjiwa murni ini.

Pengalaman Tidak Dapat Dilupakan Dalam Misi Kemanusiaan

Ternyata setiap misi kemanusiaan yang disertai meninggalkan seribu satu kenangan pahit manis yang tidak dapat dilupakan dihati. Sokongan daripada suami dan anak-anak yang cukup memahami apabila sering ‘ditinggalkan’ juga pemangkin semangat dalam meneruskan ‘kecintaan’ pada misi kemanusiaan ini.

“Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang menyertai misi kemanusiaan ini ialah ketika dalam misi kemanusiaan gempa bumi di Palu, Indonesia. Kami sampai di sana pada hari keenam selepas kejadian.Pada Ketika itu, lapangan terbang semua masih ditutup dan kami pergi ke Palu menerusi jalan darat dan balik dengan pesawat tentera Indonesia. Sebaik sampai, keadaan bagaikan padang jarak padang terkukur dengan bau busuk mayat bergelimpangan dan kesan gempa bumi yang amat-amat dasyat cukup menyayat hati,”

IKLAN

“Begitu juga ketika terlibat misi kemanusiaan di Lombok. Ketika dalam perjalanan pulang, sewaktu nak ‘scan’ ketika naik ‘flight’ tiba-tiba lapangan terbang bergegar, dan kami lari lintang pukang. Ketika itu hanya fikir mati. Sambil berlari menyelamatkan diri, kami sempat melihat runtuhan bangunan seperti siling. Namun alhamdulillah, kami semua selamat, gegarab tersebut tak lama dan dapat pulang pada malam itu juga.”

“Misi ke Bangladesh pula, merupakan misi air mata. Apabila melihat pelarian Rohingya tinggal dalam keadaan daif di khemah-khemah pelarian. Sedih tengok sebab kami bawa ubat tidak mencukupi, sedangkan di luar khemah ramai yang berbaris untuk meminta bantuan. Ada yang datang dalam keadaan tenat, ada yang datang dalam keadaan nazak.”

“Kami melihat betapa sengsaranya pelarian Rohingya, tak sama dengan pelarian Syria. Pelarian Syria susah sebab perang. Tapi mereka dah maju ke hadapan. Pakaian masih kemas dan banyak menerima bantuan. Berbanding pelarian Rohingya mereka masih jauh ketinggalan ke belakang. Sangat kesian. Mereka duduk berdindingkan buluh, berlantaikan tanah. Tinggal 10 orang satu rumah, disitulah makan dan kencing, sungguh tak dapat bayangkan bagaimana mereka tinggal di situ,” ujar Natipah berkongsi pengalaman dalam misi pelarian yang pernah disertai.

Cabaran Sebagai NGO

Ternyata menjadi seorang aktivis kemasyarakat juga mempunyai cabaran yang tersendiri. Bagi kak pah peranannya sering di salah erti, apabila ada golongan yang dibantu mengharapkan untuk berterusan dibantu, tidak mahu berusaha dalam kehidupan. Malah ada yang sanggup menipu dengan pelbagai alasan.

“Antara cabaran dalam menghadapi untuk membantu orang ialah mereka selalu salah faham tentang fungsi ‘kak pah’. Saya hanya membantu meringankan keadaan sedangkan mereka mengharapkan saya menyara dan menanggung mereka untuk selamanya. Jadi setiap kali ada masalah kewangan, mereka akan ‘cari’ Kak Pah. Walhal, dengan bantuan yang telah diberikan saya percaya, mereka dah boleh ‘hidup’ dengan bantuan yang telah disalurkan jika mereka berusaha. Namun sebaliknya ada yang tidak mahu berusaha dan hanya mengharapkan bantuan sepanjang masa. Ada juga yang sanggup menipu dengan pelbagai alasan”

“Cuma satu pesanan saya kepada NGO luar yang ingin memberi bantuan kepada orang luar yang bukan lokaliti kita, sebaiknya siasat dahulu betul-betul. Sebab kadang-kadang asnaf atau orang memerlukan ini telah banyak dibantu oleh NGO tempatan, tetapi mereka sendiri yang malas untuk berusaha.

IKLAN

“Jadi mereka mendapat bantuan melimpah ruah daripada NGO luar, dan kami NGO tempatan ini akan menganggung semua kesan. Orang mula membandingkan JKM, pihak zakat dengan tindakan apa yang yang dilakukan oleh NGO luar. Orang akan mengata pihak-pihak ini. Sedangkan mereka hanya membantu dan bukannnya menyara mahupun menanggung golongan ini,” ujarnya meluahkan rasa terkilan.

Kepuasan Melihat Kegembiraan Orang Yang Dibantu

Memang ada benarnya, setiap kerja sukarelawan mahupun misi kemanusiaan yang dilakukan, kepuasan dapat dirasai apabila dapat melihat kegembiraan pada riak wajah dan mata golongan yang dibantu. Malah bagi Kak Pah, pertolongan yang diberikan perlulah ikhlas dan tak perlu mengharapkan apa-apa juga balasan serta lakukan dengan sepenuh hati, amanah demi keberkatan dalam hidup.

“Kepuasan dalam bidang sukarelawan ini adalah apabila dapat melihat kegembiraan di wajah dan mata orang yang ditolong. Jangan mengharapkan sebarang balasan sekalipun, waima terima kasih.”

“Sebaliknya kita sepatutnya berterima kasih kepada mereka kerana berpeluang menyantuni mereka, dan dapat barakah hidup daripada keadaan serta masalah yang mereka tanggung. Kita hanya menumpang berkat mereka”

“Setiap orang yang hadir dalam hidup Kak Pah, ia sebagai satu amanah. Jadi perlu buat elok-elok dan perlu tolong dengan sepenuh hati, sehingga puas hati, walaupun ia tak seberapa. Tak perlu mengharap pandangan orang kerana kita buat bukan mengharap untuk orang menghargai kita tapi untuk mendapat keberkatan hidup.”

“Anak-anak yang saya santuni ini adalah anak-anak yang akhirnya ‘pergi’ dan meninggalkan pengalaman indah, pengajaran dan pemergian mereka turut meninggalkan kesan di hati. Saya ‘menumpang’ rezeki mereka dalam hidup”ujar Kak Pah yang juga merupakan ibu kepada tiga orang cahayamata.

Pengertian Wanita Sumber Inspirasi

Sempena ulangtahun Mingguan Wanita ke 40 dan juga sambutan Hari Wanita Sedunia pada bulan Mac ini, Nafisah mempunyai definisi tersendiri mengenai peranan wanita yang mampu memberikan inspirasi buat wanita lain. Bagi beliau setiap wanita wajar menjadi contoh dan inspirasi kepada wanita lain dalam apa juga cabang yang diceburi. Malah harus ada identiti sendiri.

IKLAN

“Sebagai wanita kita harus menjadi contoh dan inspirasi kepada wanita lain, tak kiralah apa juga bidang yang kita ceburi, sama ada bidang perniagaan, professional hatta suri rumah. Kita harus membina dan ada identiti kita sendiri, penyejuk mata dan penyejuk hati kepada keluarga kita sendiri,” jelas beliau.

Ternyata, aktivitis kemanusiaan Natipah Abu ini lambang seorang wanita yang memiliki aura serta personaliti hebat, berjiwa murni dalam membantu orang ramai malah tak lokek menyumbang kudrat pada masyarakat. Selayaknya beliau dicontohi dan dijadikan inspirasi buat wanita lain.

Baca Lagi Personaliti Aura Mingguan Wanita:

“Kalau Sedih Ingat Ibu, Dialah Pemberi Semangat Dalam Diri Saya” – Cikgu Zack Kirana

“Tanpa Minat Yang Sangat Mendalam, Sukar Untuk Bertahan Dalam Bidang Guaman Ini” Zabetha

Pernah Ditampar Cikgu Di Sekolah, Itulah Pengajaran & Titik Perubahan Diri Dr. Malar

“Diuji Kanser, Nikmatilah Hidup & Hargailah Peluang KEDUA” – Zuraini Kamal

“Tolak Masuk TV Kerana Tidak Mahu DiKenali, Malu Ke Depan.” Semuanya Berlaku Secara Kebetulan

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita

ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.

Klik link ini untuk daftar penyertaan: https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-aura-wanita-pantang-dicabar/ atau whatsapp : http://www.wasap.my/60196328758/DaftarAura