Gara-gara dendam dan marah dengan keluarga Siti Masitah Ibrahim, 11, dipercayai menjadi punca kanak-kanak perempuan berkenaan dibunuh oleh suspek yang dikenali mereka.

Kanak-kanak berketurunan Kemboja berkenaan dipercayai dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepala oleh suspek berusia 23 tahun pada hari dia dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu.

Cedera Parah Bahagian Kepala

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati terdapat tiga kecederaan di rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.

“Hasil pengakuan awal suspek, polis telah merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.

“Motif kejadian adalah dipercayai kerana dendam atau marah terhadap keluarga mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Siti Masitah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Medang Hilir di Pekan dekat sini untuk ke kedai dengan menunggang basikal kira-kira pukul 5 petang 30 Januari lalu.

Mayat anak ketiga daripada empat beradik itu ditemukan kira-kira pukul 4 petang kelmarin oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di dalam semak bersebelahan sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Medang Kemahang, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Othman bagaimanapun tidak menjelaskan punca yang menyebabkan suspek berdendam dengan keluarga mangsa.Kata beliau, suspek yang merupakan warga negara Kemboja adalah kenalan kepada keluarga mangsa dan mereka tinggal sekampung.

Gara-Gara Dendam & Marah Pada Keluarga, Dipercayai Punca Siti Masitah Dibunuh Kejam!
Kredit Foto: Utusan

Nafi Aktiviti Penjualan Organ

Hasil soal siasat, kata beliau, suspek pada awalnya tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan mangsa namun akhirnya mendedahkan penglibatan dirinya berkaitan kehilangan kanak-kanak berkenaan.

IKLAN

“Polis menafikan penularan berita yang tidak berasas bahawa terdapat organ-organ badan mayat berkenaan yang hilang yang kononnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia.

“Polis tidak menolak kemungkinan keadaan mayat yang tidak sempurna boleh diakibatkan oleh haiwan liar dan faktor mayat terdedah dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Ibu Melutut Dan Merayu, Pulang Anak

Sementara itu, ibu kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dalam keadaan tragis di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, di sini, Sabtu lalu, Siti Masitah Ibrahim, 11, bertindak melutut dan merayu kepada suspek supaya memulangkan semula anaknya.

Perkara itu diceritakan semula ibu saudara mangsa, Norasiah Abdul Manan, 33, selepas suspek ditahan penduduk kampung pada malam 30 Januari lalu.

Katanya, ibu mangsa, Solihah Abdullah, 35, merayu kepada suspek yang dikenali sebagai Assom itu untuk memberitahu di mana Siti Masitah berada memandangkan dia adalah individu terakhir dilihat bersama kanak-kanak itu.

“Sambil menangis Kak Long meminta Assom memulangkan Masitah, malah dia terus berlutut dan merayu kepada suspek, namun suspek berkeras dengan mengatakan dia tidak tahu.

IKLAN

“Kami sememangnya mengenali suspek kerana dia pernah tinggal di kawasan kejiranan ini namun difahamkan sudah berpindah dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Pekan, hari ini.

Suspek Individu Terakhir Bersama Mangsa

Difahamkan, suspek yang berusia 23 tahun itu adalah individu terakhir dilihat membawa mangsa menaiki motosikal pada hari dia dilaporkan hilang.Dalam kejadian jam 5 petang Sabtu lalu, mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan tangannya diikat ke belakang dan tidak berseluar di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.

Lebih memilukan kepala mangsa didapati terpisah dari badannya manakala beberapa organ dalamannya hilang.

Gara-Gara Dendam & Marah Pada Keluarga, Dipercayai Punca Siti Masitah Dibunuh Kejam!

Norasiah berkata, dia hairan bagaimana Siti Masitah boleh mengikut suspek sedangkan anak ketiga dari empat beradik itu bukan seorang yang mudah mesra dengan orang.

IKLAN

“Walaupun suspek biasa datang dan bermalam di rumah mangsa, namun Masitah tidak begitu rapat dengannya, sebab itu saya hairan bagaimana dia boleh mengikuti lelaki itu.

“Setahu saya sebelum kehilangannya Masitah memberitahu ibunya mahu ke kedai runcit untuk membeli mi segera, jarak kedai runcit itu hanyalah kira-kira 200 meter dari rumahnya..saya tidak tahu di mana Masitah berjumpa lelaki itu,” katanya.

Norasiah berkata, keluarga mangsa melayan suspek dengan baik dan sering memberinya makan apabila datang ke rumah mereka di Kampung Kemahang, Tanjung Medang.

Katanya, walaupun sudah berpindah ke Kampung Parit Tengah sejak dua tahun lalu namun suspek selalu singgah ke rumah keluarga mangsa.

“Kak Long selalu menjamunya makanan apabila berkunjung ke rumah, kami pun hairan mengapa dia bertindak kejam sebegitu rupa dan melupakan layanan baik diberikan keluarga Kak Long kepadanya.

“Kejadian ini sangat menyedihkan dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk Siti Masitah,” katanya.

MW: Salam takziah buat keluarga Siti Masitah semoga bersabar dan redha dengan segala ujian yang diberikan. Sesungguhnya ajal dan kematian adalah ketentuan dariNya. Semoga, pelaku menerima hukuman dan diberi pembalasan yang setimpal. Pesanan juga buat mak ayah agar lebih berhati-hati dalam melindungi anak-anak.Jenayah cukup kejam, tanpa mengira mangsa.

Sumber: Utusan, Hmetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI