
Kisah Hanan Qaireen pernah tular disebabkan kerosakan otak akibat komplikasi ketika proses kelahiran. Hari ini ibunya meluahkan rasa syukur apabila mereka menang dalam kes saman kecuaian perubatan yang difailkan terhadap hospital kerajaan dan beberapa doktor.
Hanan Qaireen Menang Saman Hospital RM12.19 Juta

Kalau berada dalam situasi si ibu pun, macam mana tak remuk hati apabila cahaya mata yang dinanti selama tujuh tahun akhirnya dilahirkan dengan kerosakan otak .
Namun, penantian dan perjuangan Noraisah Ali, 42, selama bertahun-tahun demi anak keempatnya, Hanan Qaireen Mohd Sukri, 8, akhirnya sedikit terubat selepas Mahkamah Tinggi Ayer Keroh pada Jumaat menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM12.19 juta kepada anaknya dalam saman kecuaian perubatan terhadap hospital kerajaan dan beberapa doktor.
Nor Aishah berkata, keputusan itu disambut dengan penuh kesyukuran kerana pampasan berkenaan akan digunakan bagi menampung keperluan Hanan yang memerlukan penjagaan serta peralatan khas sepanjang hayatnya.
Perjuangan Ibu Berbaloi Walau Bertahun
Terkejut dengan jumlah yang akan diterima nanti, ibu Hanan lega dan bersyukur dengan perjuangan selama ini.
“Saya pun macam tak sangka, tak duga dapat amaun macam tu sekali. Saya bersyukur sangat sebab untuk keperluan anak Cerebral Palsy ini, banyak peralatan yang diperlukan dan semuanya mahal.
“Hanan yang didiagnosis mengalami Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia kini masih menjalani pelbagai terapi dan memerlukan peralatan seperti kasut AFO, standing frame, reverse walker serta kerusi roda yang perlu ditukar mengikut tumbesaran,” katanya.
Katanya, harga kasut AFO Hanan kini mencecah lebih RM2,000, manakala standing frame hampir RM2,000 dan reverse walker pula melebihi RM1,000, menyebabkan kos penjagaan anaknya bukan sesuatu yang mudah ditanggung keluarga.

“Peralatan budak Cerebral Palsy ini semua boleh dikatakan mahal. Anak makin tinggi, peralatan pun kena tukar. Itu belum termasuk terapi dan keperluan lain.
“Hanan turut mengalami sawan sejak lahir dan keadaan itu masih berterusan sehingga kini, manakala dua pemeriksaan EEG (elektroensefalogram) yang dijalani menunjukkan aktiviti sawan dipercayai berkait dengan kerosakan otak dialaminya,” kongsinya.
Nor Aishah berkata, ketika Hanan berusia antara lima hingga enam tahun lebih, dia sanggup berjaga pada waktu malam kerana anaknya kerap mengalami sawan ketika tidur dan turut pernah mengalaminya ketika makan.
Katanya, Hanan juga mengalami scoliosis atau tulang belakang bengkok dan masih menjalani terapi, selain belum boleh bercakap dengan baik serta berkomunikasi menggunakan isyarat dan beberapa perkataan ringkas.
Mengimbau kelahiran Hanan pada 18 Februari 2018, Nor Aishah berkata, sepanjang kehamilan dia berada dalam keadaan sihat kecuali mengalami kencing manis ketika hamil yang dikawal melalui pemakanan, namun keadaan berubah selepas dia dimasukkan ke Hospital Melaka.
“Daripada pagi saya datang, saya tunggu sampai malam. Bila air ketuban pecah kira-kira jam 10.30 malam, doktor beritahu bukaan sudah lapan sentimeter dan kemudian Hanan mengalami masalah degupan jantung serta kekurangan oksigen.
“Hanan kemudiannya dilahirkan melalui pembedahan dan terpaksa menerima bantuan mesin pernafasan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama sembilan hari,” katanya.
Nor Aishah berkata, ketika itu dia hanya berdoa supaya anak yang dinanti selama tujuh tahun itu terus hidup dan tidak memikirkan keadaan dirinya sendiri.
“Saya kata, janji anak saya hidup, saya dah syukur. Apa yang terjadi kepada saya, saya reda sebab nak dapatkan Hanan ini bukan sekejap, tujuh tahun saya menanti.
“Selepas Hanan semakin membesar dan keperluannya bertambah, kami mengambil keputusan untuk memperjuangkan kes berkenaan di mahkamah pada 2023, bukan kerana mahu berdendam tetapi bagi memastikan keperluan Hanan pada masa hadapan terjamin,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan
Saman yang difailkan pada 30 Oktober 2023 itu menamakan 11 defendan termasuk Kerajaan Malaysia, pengarah hospital serta sembilan doktor, dengan Hanan menyaman melalui bapanya, Mohd Sukri Mahat, 46, sebagai wakil litigasi yang sah.
Plaintif diwakili peguam Nur Maizatul Syakira Hashim dan Mohamed Fadly Zakariya, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Norafiah Saini mewakili Kerajaan Malaysia.
Dalam tuntutan itu, Hanan mendakwa mengalami kerosakan otak ketika proses kelahiran dan kemudiannya didiagnosis mengalami Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia akibat kecuaian defendan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim menganugerahkan Hanan Qaireen RM10.77 juta bagi ganti rugi am masa hadapan berkaitan kos dan perbelanjaan yang akan terus ditanggung ahli keluarga plaintif sepanjang hayatnya kerana tidak mampu berdikari termasuk rawatan, rehabilitasi dan bantuan pelbagai disiplin lain.
Selain itu, mahkamah turut menganugerah ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi khas (RM441,754.83), ganti rugi teruk (RM300,000), ganti rugi prabicara (RM157,792.22) serta kos guaman dan perbelanjaan (RM176,718.75), di samping faedah lima peratus ditetapkan terhadap jumlah penghakiman.
Sumber : Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

