
Belanjawan 2027 : Gaji minimum graduan RM2500, PTPTN boleh ditangguh.
Golongan graduan dan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima perhatian dalam Belanjawan 2027 apabila kerajaan mengumumkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerjaan separa mahir selain bayaran serendah RM50 sebulan atau boleh melakukan penangguhan bayaran balik pinjaman pendidikan kepada peminjam berpendapatan rendah.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen, hari ini.

Menurut beliau, kadar gaji minimum RM2,500 sebulan itu akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pembaharuan kerangka pendapatan pekerja bagi memastikan pendapatan yang diterima lebih setimpal dengan kelayakan serta kemahiran dimiliki.
Jelasnya, kadar gaji minimum sedia ada hanya meningkatkan paras terendah pendapatan pekerja sedangkan gaji golongan berkemahiran masih belum mencerminkan tahap kelayakan masing-masing.

Langkah tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menangani ketidakseimbangan antara pertumbuhan produktiviti dengan peningkatan upah pekerja di negara ini.
Peminjam PTPTN Bergaji RM2,500 Ke Bawah Boleh Tangguh Bayaran
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik PTPTN kepada peminjam yang memperoleh pendapatan sehingga RM2,500 sebulan.
Bagi peminjam yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula, bayaran balik minimum ditetapkan hanya RM50.
Selain itu, peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus.

Kerajaan juga bersetuju memberikan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja masing-masing.
Anda mungkin berminat dengan
Insentif berkenaan meliputi bayaran balik yang dibuat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.
Secara keseluruhannya, kedua-dua pengumuman itu memberi tumpuan kepada isu pendapatan graduan serta komitmen bayaran balik pinjaman pendidikan, khususnya dalam kalangan mereka yang baru memasuki alam pekerjaan dan berpendapatan rendah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

