Sembuh dari kanser payudara tahap 4, Nurhayati nasihat jangan percaya bomoh untuk rawatan. Di sebalik kisah sembuhnya seorang wanita dari kanser payudara tahap 4, tersimpan satu pesan penuh bermakna dari Nurhayati Sahak 46 tahun.
Nasihatnya, jangan sesekali memperjudikan nyawa dengan mempercayai bomoh.
“Ramai yang memilih jalan mudah. Menolak rawatan doktor kerana takut, ragu atau terpedaya dengan janji manis kononnya ada bomoh atau pengamal perubatan ada “ubat mujarab” untuk menyembuhkan kanser.
“Hakikatnya, kepercayaan itu hanya menjerumuskan pesakit ke kancah penderitaan yang lebih berat. Saya pernah lalui semua itu. Dari menerima rawatan doktor kemudian putus asa dan percaya bomoh boleh menyembuhkan kanser, hakikatnya semua itu salah,” kata penerima Anugerah Icon Kanser Cancer Survivor Malaysia 2022.
Nurhayati Sahak, kini 46 tahun pernah dinobatkan sebagai Ikon Cancer Survivor Malaysia pada 2022 di mana dari tahap 4,dirinya kemudian disahkan bebas dari penyakit ditakuti ini
Bagi Nurhayati, pengalaman hampir meragut nyawanya dengan mempercayai kanser boleh diubati dengan rawatan bomoh menjadikan dirinya lantang mengingatkan orang lain agar tidak tersilap membuat keputusan.
“Jangan biarkan penyakit ini membunuh sebelum waktunya kerana kita silap memilih rasa percaya itu berbanding menerima rawatan doktor,”katanya memulakan perbualan.
Berbicara bersama ibu kepada seorang anak meningkat remaja, Nurhayati berkongsi perjuangannya melawan kanser payudara tahap 4 yang dihidapinya.
“Tahun 2019, saya sering demam tapi tak kebah-kebah. Kadang ada rasa sakit di bahagian payudara. Rasa macam terbakar tapi saya abaikan. Sehinggalah satu hari bengkak di bawah payudara pecah. Keluar nanah. Bila ke hospital kerana sakit, doktor cadangkan buang saja sebelah.
“Lepas bincang dengan suami, kami ikut nasihat doktor. Hari ketiga selepas nanah tu pecah, saya buat pembedahan buang payudara sebelah kiri tanggal 5 September 2019. Dan selepas dibuang itu, bila ujian makmal dilakukan, doktor sahkan saya mengidap kanser payudara tahap 4.
“Bukan saja di payudara tapi sel kanser dah merebak ke tengkuk, pelvis, rusuk dan tulang belakang. 10 Oktober 2019, saya mula jalani kimoterapi. Awalnya enam kali tapi kemudian jadi 9 kali.
Ads
“Jujurnya tak mudah. Sakit, badan panas. Muntah. Tak larat bangun. Mulut rasa besi, tak boleh angkat tangan, rambut botak, kuku jadi hitam selain kulit di bawah ketiak melepuh akibat panas radioterapi semua saya lalui. Tapi bila saya pandang muka anak, Hazim Wafri yang ketika itu berusia 8 tahun serta sokongan suami, saya bangkit. Saya bersyukur kerana masih ada keluarga yang beri sokongan. Walau rasa nak rebah tapi syukur saya mampu habiskan sembilan kali kitaran kimoterapi sebelum melalui radioterapi sebanyak 15 kali.
Suami, Mohammad Hamri Ibrahim yang banyak memberi sokongan buatnya dalam melalui ujian kanser dideritainya. Mereka kini banyak membantu CSM dalam memberi penajaan belon dan sebagainya untuk majlis2 CSM
Allah tak pernah tidur dan sentiasa memandang doa dari hamba-hambaNya.
Bagai tidak percaya, selepas lebih setahun melalui kimoterapi dan radioterapi, akhirnya berita paling manis diterimanya apabila disahkan bebas dari kanser payudaranya. Bukan payudara saja, kanser di rusuk dan pelvis turut hilang,” kata Nurhayati berkongsi perjuangannya melawan kanser.
Menyedari ramai yang perlukan bantuan dan nasihat melawan kanser, Nurhayati menyertai persatuan Cancer Survivor Malaysia (CSM) sebagai sukarelawan demi membantu wanita lain. Jika dulu bermula sebagai ahli, dia kini merupakan insan penting menjaga negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Kami beri mereka katil dan mesin oksigen. Kadang kami datang ke rumah ziarah. Beri nasihat buat pasangan yang adakalanya putus asa dengan ujian ini.Jujurnya bila diuji kanser tak mudah. Kesakitan bukan saja pada penyakit dialami tapi pada emosi dan jiwa. Sebab itulah kekuatan dan sokongan dari pasangan sangat diperlukan melawan penyakit ini.
Program ziarah dan bantuan diberikan oleh Nurhayati bersama CSM kepada mereka yang diuji kanser selepas dirinya bebas dari kanser
“Buat masa ini CSM di Kuala Lumpur dan Selangor ada 8 katil yang kami beri pinjam pada pesakit kanser. Tak perlu bayar apa pun. Andai pesakit dijemput Allah, katil ini akan diberi pinjam pada pesakit lain pula. Begitu juga mesin oksigen, kami ada tiga unit. Semuanya diberikan percuma kerana kami Ngo yang non profit,”katanya ketika kunjungan Nurhayati ke Mingguan Wanita.
Ads
Jika di awal 2021, dirinya disahkan bebas dari kanser payudara, ujian Allah semasa Covid melanda dunia pada 2022, sekali lagi Nurhayati diuji penyakit berbahaya ini.Kali ini bukan di payudara sebaliknya kanser dikesan pelvis, tulang belakang, pinggang serta paru-parunya.
“Saya ikut saja saranan doktor untuk buat kimoterapi termasuk disarankan membuang rahim. Bayaran perlu dibayar RM68,000. Ubat kali ini agak mahal tapi kami usahakan juga kerana saya mahu sihat. Sekali lagi saya perlu bertahan melalui kesakitan semasa kimoterapi dan radioterapi. Tapi demi untuk sihat, saya ikut semua saranan doktor.
“Sekarang ini kemajuan dalam dunia perubatan juga semakin memudahkan pesakit kanser. Hanya makan pil yang mana pesakit tak perlu duduk di hospital lagi untuk rawatan. Kesannya sama macam buat kimoterapi.
“Syukur alhamdulillah, bulan lapan tahun lalu doktor sahkan kanser yang ada pada saya sudah tiada. Rasa nak menangis bila mengenang perjuangan melawan kanser ini. Dan di tahun 2025 ini, saya hanya perlu memakan ubatan bagi mengekang kanser kembali menyerang.
“Kos ubatan saya sebulan mencecah RM3100 dan syukur ianya dibiayai oleh Lembaga Zakat Selangor. Rawatan juga saya terima di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam. Doakan saya terus sihat,” katanya yang mengakui antara memberi kesembuhan buat dirinya selain doa ialah sokongan dari suami dan ahli keluarga.
Ads
Program CSR dilakukan oleh Cancer Survivor Malaysia bagi membantu pesakit kanser menikmati kehidupan
“Sebab tu saya sertai CSM. Bila bertemu orang ramai yang diuji sama, kita boleh sama-sama faham tentang penyakit ini. Kata orang saling membantu satu sama lain,” katanya memaklumkan dengan bantuan suami, Mohammad Hamri Ibrahim mereka sering menjadi penjaga bagi projek-projek CSM seperti penyediaan belon dan sebagainya.
“Ini salah satu kegembiraan saya. Buat perkara yang mampu bahagiakan orang lain juga,”katanya yang mengharapkan mereka yang diuji dengan kanser terus kuat melawan penyakit ini.
Hari ini juga, wakil CSM Kl/ Selangor telah menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada kepada Tabung Pesakit Hospital Ampang.
Pagi ini wakil CSM Selangor, Melissa Tan, Amnah Salleh, Wafri Hamri Wafri Yaty telah mengadakan kunjung hormat kepada Dr Kasuadi bin Hussin Pengarah Hospital Ampang dan menyerahkan sumbangan sebanyak RM 10, 000.
CANCER SURVIVORS MALAYSIA mengambil kira ramai pesakit Kanser Darah dari seluruh Malaysia perlu ke Hospital Ampang untuk menjalani Rawatan Pemindahan Stem Cell
Ramai juga pesakit kanser darah seperti, Limfoma, Leukimia, LCH yang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Ampang.
Jom bersama kami sertai Pink Ribbon Run pada 25 Oktober 2025 ini di Putrajaya dibawakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majalah Nona dan Mingguan Wanita.
Sama-sama kita beri semangat dan kekuatan kepada kaum wanita yang diuji dengan kanser payudara ketika ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tiada yang lebih menyayat hati bagi seorang ibu selain menerima berita anak yang pergi dalam keadaan penuh tanda tanya. Bagi Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, kehilangan anak sulungnya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, bukan sekadar kehilangan insan tersayang, tetapi juga satu pencarian jawapan yang belum terungkai.
Syamsul Haris, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menghembuskan nafas terakhir ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor pada 28 Julai lalu.
Punca rasmi kematian yang dimaklumkan ialah sawan. Namun, bagi ibunya, hati kecilnya sukar menerima. Beliau percaya anaknya mungkin menjadi mangsa pukul dan dera, dan kini menuntut agar kubur arwah digali semula untuk bedah siasat kali kedua.
Dalam satu kenyataan rasmi, UTM menegaskan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan pihak keluarga dan pihak berkuasa, agar siasatan dapat dijalankan dengan berhemah, telus dan adil.
“Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah menziarahi keluarga Allahyarham di Semenyih, Selangor, pada Isnin sekitar jam 1 tengah hari. Pihak pengurusan tertinggi UTM turut mengiringi beliau untuk menyampaikan ucapan takziah serta sumbangan daripada Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” ujar kenyataan tersebut.
Bagi keluarga arwah, setiap langkah siasatan adalah harapan untuk mendapatkan kebenaran. Setiap pertemuan, setiap kata takziah, adalah penguat semangat mereka dalam menuntut keadilan.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut kubur anaknya itu digali semula bagi melakukan bedah siasat kali kedua.
Menurutnya, tuntutan itu dibuat kerana tidak yakin punca kematian anak sulung daripada tiga beradik itu disebabkan sawan seperti dimaklumkan pihak terbabit.
Dakwanya, kematian anaknya itu diyakini akibat dipukul dan didera sehingga meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor, pada 28 Julai lalu.
Kisah ini bukan sekadar berita, tetapi cerminan kasih seorang ibu yang tidak mahu anaknya pergi tanpa jawapan. Ia juga mengingatkan kita bahawa di sebalik uniform dan disiplin ketenteraan, ada anak-anak muda yang masih memerlukan perlindungan, dan ada keluarga yang mempercayakan mereka kepada pihak berwajib.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam hidup seorang wanita, setiap hari adalah perjalanan. Dari menghantar anak ke sekolah, mengejar masa di pejabat, balik memasak, dan kadang-kadang terpaksa ketepikan diri sendiri demi semua orang. Tapi bagaimana kalau ada sesuatu yang benar-benar memahami rentak hidup ini?
Itulah yang cuba disampaikan oleh Proton e.MAS 7 melalui program gaya hidup eksklusif “The Real e.MAS Drive”, sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini.
Meskipun penulis merupakan antara pengguna kenderaan elektrik, namun rasa teruja untuk mencuba kenderaan elektrik negara ini tetap membuak apatah lagi kerana ia didatangkan dalam nuansa kegemaran penulis, Turquoise Green, namun warna Quartz Rose juga menarik perhatian apatah lagi ia amat sesuai untuk pemandu wanita.
“Kami tak mahu sekadar pamer teknologi. Kami mahu wanita rasa difahami, dibantu dan diberi kekuatan untuk terus melangkah,” kata Puan Salawati Mohd Yusoff, Ketua Pegawai Jenama PRO-NET ketika sesi pengenalan kepada beberapa rakan media wanita yang teruja pertama kali memandu sendiri kenderaan elektrik ini.
Diadakan pada 14 Mei 2025 lalu, program ini menghimpunkan media dan pempengaruh wanita untuk merasai sendiri bagaimana e.MAS 7 bukan hanya sebuah kenderaan elektrik tapi sebuah inovasi yang direka dengan memahami keperluan seorang wanita.
Acara bermula di Proton COE, Shah Alam dengan sesi taklimat produk dan keselamatan oleh pasukan e.MAS 7. Apa yang wanita perlu tahu tentang Proton e.MAS 7 ialah ia bukan sekadar kenderaan elektrik tetapi teman pintar yang memahami keperluan harian wanita moden.
Keselamatan Jadi Keutamaan
Dari aspek keselamatan bertaraf 5 bintang, pengecasan pantas hanya 10 minit untuk tambahan 135km, hinggalah ruang dalaman yang luas dengan 33 ruang simpanan e.MAS 7 direka untuk menyokong wanita dalam pelbagai peranan, sebagai ibu, isteri, pekerja, usahawan atau wanita berdikari.
Ruang penyimpanan yang banyak dalam Proton e.MAS 7 memang jadi kegemaran wanita!
Dilengkapi teknologi pintar seperti sistem bantuan pemanduan (ADAS), aplikasi peta pengecasan dalam satu platform, dan ciri praktikal seperti fungsi Vehicle-to-Load (V2L), ia membolehkan wanita bergerak dengan lebih yakin, selamat dan bergaya tanpa perlu mengorbankan masa, keselesaan atau kewangan.
Perjalanan Ke Janda Baik
Konvoi e.MAS 7 kemudian bergerak menuju Tiarasa Escapes, Janda Baik untuk merasai sendiri kelancaran dan keselesaan pemanduan. Perjalanan dari Shah Alam ke Tiarasa Escapes, Janda Baik bukan sekadar test drive ia adalah simbol kepada perjalanan harian seorang wanita yang perlukan ruang untuk bernafas.
Bercuti Bawak Perkakas Elektrik?
Setibanya di Janda Baik, antara momen paling menarik perhatian penulis ialah demonstrasi fungsi Vehicle-to-Load (V2L), di mana e.MAS 7 digunakan untuk menghidupkan Vitality Juice Bar! Siapa sangka, dari mengecas blender ke kipas mini, semuanya boleh dengan sokongan kuasa daripada kereta ini.
Fungsi V2L yang dipamerkan pada hari itu sangat ‘dekat’ dengan hati wanita — bila kereta boleh jadi sumber tenaga untuk blender jus, kipas kecil atau lampu khemah keluarga, kita tahu kereta ini bukan sekadar cantik di luar, tapi berguna dalam situasi sebenar!
Selain itu, rombongan media dibawa menyertai sesi yoga sambil menghirup udara segar, dan alunan alam memberi satu peringatan, bahawa wanita juga berhak untuk ambil masa untuk berehat seketika dan jaga diri.
Dalam perjalanan pulang, peserta singgah sebentar di Bamboo Hills untuk menyaksikan demonstrasi pengecasan pantas DC Handal. Dengan hanya 10 minit pengecasan, e.MAS 7 boleh menambah jarak pemanduan hingga 135km, cukup untuk satu hari penuh urusan harian.
Lebih hebat, semua maklumat stesen pengecas kini boleh diakses melalui Peta Pengecasan Langsung Bersepadu dalam Aplikasi Proton e.MAS membolehkan wanita tak perlu lagi pening membuka banyak aplikasi untuk mengecas kenderaan. Satu perkara yang perlu diberi pujian!
Tidak Hairan Jadi Pilihan Wanita!
Sebagai penulis, pengalaman memandu Proton e.MAS 7 bukan sekadar tentang mencuba kereta baharu, tetapi ia adalah perjalanan yang membuka mata tentang bagaimana sebuah kenderaan boleh benar-benar menyatu dengan keperluan seorang wanita moden.
Dari keselesaan tempat duduk, senyapnya kabin, hinggalah teknologi pintar yang mudah difahami, semuanya terasa seperti direka khusus untuk memudahkan hidup. Apabila melihat sendiri bagaimana ia mampu mengecas peralatan luar atau menambah jarak pemanduan hanya dalam beberapa minit, saya sedar… ini bukan sekadar EV, ini adalah revolusi gaya hidup yang patut dinikmati lebih ramai wanita.
Isteri tikam suami hingga maut, perkahwinan 37 tahun berakhir tragis selepas bertengkar. Biar sudah melayari rumahtangga selama 37 tahun, berlaku tragedi mengejutkan di mana seorang isteri bertindak menikam suaminya berusia 60 tahun selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Isteri Tikam Suami Hingga Maut
Dalam tragedi mengejutkan ini, suami yang juga seorang kontraktor maut selepas ditikam berulang kali oleh isterinya sendiri di hadapan rumah mereka di sebuah pangsapuri di sini, semalam.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 11.05 pagi itu disaksikan oleh orang awam yang segera melaporkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, mengesahkan bahawa suspek, seorang wanita tempatan berusia 59 tahun, telah ditahan di lokasi kejadian. Pihak polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut dan telah merampas beberapa sampel lain bagi membantu siasatan.
Perkahwinan 37 Tahun Berakhir Tragis Selepas Bertengkar
“Suspek kini direman selama lima hari, bermula hari ini hingga 21 Februari, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat pada 12.30 tengahari. Hasil awal bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah akibat kecederaan serius berpunca daripada beberapa tikaman.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, ASP Mohamed Hafeez Hamzah di talian 019-6556536 bagi membantu siasatan.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!