Bunuh bapa kandung kerana tak puas hati pembahagian harta, lelaki didakwa. Seorang lelaki menganggur berusia 25 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya dalam kejadian Sabtu lalu.
Bunuh Bapa Kandung Kerana Tak Puas Hati Pembahagian Harta, Lelaki Didakwa
Tertuduh, Iznan Syahir Mohammad Tasnim, yang hadir dengan memakai kurta ungu, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Arunjothy. Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Mohammad Tasnim Nurdin, 62, di sebuah unit pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri pada jam 3.01 pagi, 13 September lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara sepanjang hayat, atau hukuman penjara bagi tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.
Ads
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan perselisihan mengenai harta dipercayai menjadi punca seorang warga emas maut selepas ditikam anak lelakinya di sebuah pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri, Cheras.
Ads
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid, berkata mangsa ditemui terbaring di ruang tamu rumah dengan kesan tikaman sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk proses bedah siasat.
Beliau menambah, anak mangsa telah diberkas pihak polis dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Melecur terkena air panas, anak kedua Linda Hashim masuk hospital – “Doakan kesembuhan untuk Anggun Cassandra.” Anak kepada pasangan pelakon popular, Linda Hashim dan Beego, iaitu Anggun Cassandra, terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan melecur akibat terkena air panas.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh kedua-dua selebriti berkenaan menerusi perkongsian di laman Instagram masing-masing. Dalam hantaran tersebut, mereka memohon doa orang ramai agar anak kedua mereka segera pulih daripada insiden yang tidak diduga itu.
“Mohon segala doa kesembuhan untuk anak saya Anggun Cassandra yang melecur terkena air panas,” tulis Linda dan Beego di media sosial.
Dalam pada itu, Linda turut berkongsi momen dirinya berada di dalam ambulans bersama anaknya. Katanya, meskipun hatinya hancur melihat keadaan Anggun menahan kesakitan, dia tetap berusaha kelihatan tabah agar anak kecil itu merasa sedikit tenang.
“Kali ini mommy tak kuat tapi acah-acah kuat depan Anggun,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya menitipkan doa dan kata-kata semangat buat Anggun Cassandra. Ramai yang berharap agar anak perempuan pasangan selebriti ini kembali sihat seperti sediakala dalam masa terdekat.
Doa seorang ibu anak jadi mangsa nafsu serakah bertopeng Ustaz termakbul, Fathi Naim dipenjara 15 tahun. Allah sentiasa bersama orang yang benar.
Doa seorang ibu yang mencari keadilan buat anak perempuannya yang menjadi mangsa serakah seorang bergelar “Ustaz” akhirnya termakbul apabila penceramah bebas, Fathi Naim semalam dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol mangsa yang berusia 13 tahun ketika itu.
Memiliki tiga isteri dan lapan anak, semalam Hakim Mahkamah Seksyen Klang, Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fathi Na’im Mazlam atau dikenali Ustaz Fathi Naim selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
“Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan sepanjang perbicaraan. Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan,” kata hakim itu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan ketiga-tiga hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai sakit slipped disc selain perlu menanggung tiga isteri serta lapan anak yang masih kecil dan bersekolah.
Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara.
Di sebalik berita penceramah bebas ini dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rogol mangsa bawah umur, peguam Nor Zabetha yang berjuang bersama ibu kanak-kanak ini berkongsi bagaimana si ibu terpaksa menghadapi pelbagai fitnah dan tekanan. Namun syukur, walau diawalnya penuh keperitan dan ujian tapi Allah bersama mereka. Ikuti catatan dari peguam Nor Zabetha mengenai kisah ibu ini.
Tadi petang ketika, si ibu mangsa menghubungi saya sebelum saya menjawab, saya terdengar sendiri si ibu sedang menyuarakan kesyukuran dengan individu di sebelah “Alhamdulillah, macam-macam fitnah yang kita kena..”, dia berhenti bila saya menjawab salam.
Dia sambung perbualannya dengan saya, “Alhamdulilah. Dia dihukum puan 15 tahun penjara”.
Saya ingat kali pertama si ibu hubungi saya. Dia jadi susah hati dan gusar. Macam-macam tuduhan dia terima.
Orang tuduh dia jual anak dan menggunakan anaknya baru 13 tahun memerangkap ustaz kononnya dan menjual anaknya untuk habuan.
Tak cukup anaknya dimangsakan diantun secara seksual tanpa pengetahuannya. Bila dia tahu dan dia meneruskan tindakan undang-undang, dituduh pula dia menjual anak. Dia digambarkan ibu yang jahat dan kejam.
Sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Siapalah yang mahu percaya ceritanya berbanding si ‘ustaz’ itu. Dia tidak popular. Dia tidak pandai menarik ‘audience’ atau bermain naratif.
Semuanya bermula dengan anak ini bertanyakan soalan di media sosial pada penceramah ini tentang hukum dan dia diminta untuk hubungi whatsapp.
Lelaki ini telah menodai anaknya ketika berusia 13 dan/atau 14 tahun, tak lama dari tarikh perkenalan mereka.
Saya masih ingat lagi bagaimana kes ini dulu ditertawakan oleh warganet yang tidak bertanggungjawab. Bila Fathi Naim dituduh dengan beberapa pertuduhan di mahkamah, hal ini menjadi jenaka pula.
Ada yang menulis di posnya bahawa kalau berkali-kali kejadian itu, entah-entah ustaz yang dirogol gadis 14 tahun.
Kemudian diselang-seli komen, “14 tahun macam kereta Myvi baru keluar kilang”.
Biadap dan bodoh! Tiada apa yang kelakar untuk mentertawakan atau berjenaka dengan kesalahan jenayah. Sedang Fathi Naim dituduh dengan 9 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang dan 1 pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur.
Apa yang lucu bila siasatan dan pertuduhan dimulakan di mahkamah? Sudah ada elemen jenayah, jadi tak kelakar memperlekehkan mangsa.
Kali pertama si ibu hubungi saya “Puan saya tak percaya dekat orang, saya hendak dapatkan keadilan. Macam-macam orang fitnah saya”, si ibu sangat tertekan. Saya ambil kes ini secara pro bono. Saya kalau bab hati seorang ibu ini, memang lemah.
Waktu kes ini dilaporkan, pelbagai naratif pembelaan pada si ustaz ini. Ibu jual anak, ustaz terperdaya. Saya tidak boleh tularkan atau terlalu menulis tentang kes ini, saya bimbang identiti anak ini terlalu didedahkan. Bimbang memberi kesan kepada pemulihannya dan masa depannya.
Sejak 2022 sementara menanti keputusan ini. Fathi Naim masih kekal memberi ceramah-ceramah. Masih dijemput memberikan khutbah Jumaat di atas mimbar di masjid-masjid. Saudara Firdaus Wong pernah menulis tentang ini.
Pada May 2023, kami menerima perkhabaran mengejutkan bahawa pertuduhan terhadap Fathi akan digugurkan kerana surat representasi oleh peguam yang mewakili Fathi pada ketika itu. Saya lihat surat tersebut tidak dinyatakan pertuduhan yang mana.
Saya terus hubungi si ibu dan maklumkan status. Saya juga pada ketika ini, panggil team JusticeforBella untuk bermesyuarat dan kami fikirkan rangka dan cara terbaik.
Banyak perkara kita kena ambil berat. Mangsa kanak-kanak. Bimbang juga tentang identiti mangsa dengan gaya penerimaan netizen ada yang mengejek dan mempersendakan mangsa.
Firma saya merangka surat rayuan agar dipertimbangkan semula keputusan. Kami rangka segala kronologi berdasarkan perbualan, bagaimana anak ini diantun. Pertemuan rahsia yang diaturkan oleh tertuduh, bagaimana dia diajar menipu itu dan ini. Bagaimana anak ini diajar tentang perkara sumbang langkah demi langkah. Dari anak yang naif terus menjadi seperti apa yang dibentuk.
Kami nyatakan segala alasan-alasan kenapa tertuduh perlu dibicarakan. Kami emailkan segera kepada Jabatan Peguam Negara.
Saya jadi panik, bagaimana kesalahan begini akan dilepaskan tanpa sebarang perbicaraan? Bagaimana jika dibiarkan terus mempunyai akses untuk bertemu wanita dan kanak-kanak.
Waktu saya hubungi si ibu tentang perkhabaran pertuduhan ini, si ibu seperti hilang arah. Dia sedih. Dia kecewa. Ada ketika saya rasa bimbang, bila tak dapat hubungi si ibu kerana bimbang keadaan dirinya.
Alhamdulilah dalam masa 24 jam, email rayuan kami terus dibalas. Pendakwaraya memaklumkan ada beberapa pertuduhan dan hanya 1 pertuduhan sahaja digugurkan kerana kurang pembuktian.
Fuh! Lega. Alhamdulilah. Akhirnya hari ini telah diputuskan oleh mahkamah. Penjara 15 tahun dan 3 sebatan bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, empat tahun lalu.
Terima kasih team pendakwaraya! Kalian hebat membawa tertuduh ke muka pengadilan. Kita bimbang penjenayah pedofilian terus berleluasa dan menggunakan topeng agama untuk mencari mangsa. Tambah pula mereka bijak bermain dengan membina naratif dan mendapat sokongan awam.
Ada beberapa lagi 6 pertuduhan terhadap tertuduh ini.
Semoga keadilan sewajarnya dan anak-anak kita dijauhkan dari pemangsa. Kita pantau anak-anak kita. Kredit :- Peguam Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Faktor Kesihatan, Ardell Aryana dedah kemungkinan besar tidak dapat teruskan Misi Kemanusiaan bersama Global Sumud Flotilla. Allahu, dari awal berjuang Ardell Aryana mendedahkan kemungkinan besar dirinya tidak dapat meneruskan misi kemanusiaan bersama Global Sumud Flotilla (GSF) dek kerana masalah kesihatan.
Pelakon dan aktivis sosial, Ardell memohon doa orang ramai agar dipermudahkan urusannya dan meminta masyarakat terus memberikan sokongan terhadap sukarelawan agar terus kuat menghadapi cabaran yang maha kental ini.
“Mungkin saya tak sampai ke sana, walaupun ambil masa lebih kurang enam hari lagi. Apa pun kita serahkan kepada perancangan Allah.
“Saya harap ramai dapat mendoakan saya, kalau Allah kata kesihatan saya memang tidak mengizinkan, harap anda semua terus memberi sokongan kepada kawan saya yang lain,” kongsinya menerusi siaran langsung yang di akaun media sosial.
Ardell juga merayu semua pihak bersama rakyat Palestin dan berikan sokongan padu buat misi kemanusiaan itu.
“Jangan berhenti bersuara tentang saudara kita di Gaza dan jangan berhenti bersuara tentang misi keamanan tanpa senjata, hanya bantuan ubat-ubatan dan makanan.
“Kita manusia hanya mampu merancang, Allah sahaja sebaik-baik perancang. Doakan yang terbaik untuk saya dan jangan berhenti daripada sokong perjuangan misi.
“Terima kasih juga yang infak untuk misi ke Gaza ini, kami akan salurkan terus melalui darat dan lautan. Kita tidak akan berhenti sampai setakat ini sahaja,” ungkap Ardell dalam nada sedih.
Sebelum ini suaminya Nadzmi Adhwa memberitahu Ardell dalam keadaan tidak sihat, malah terpaksa menjalani proses memasukkan air dalam badan.