Pejam celik  pejam celik sekejap je dah memasuki bulan Zulhijjah. Kurang daripada 10 hari umat Islam akan akan berhimpun, berkumpul didalam persidangan terbesar, hari penuh keberkatan di Padang Arafah. Memuji kebesaranNya dan mengharapkan pengampunan daripadaNya.

Berpeluang menjadi ‘Duyufur Rahman’ atau tetamu Allah ditanah suci pastinya menjadi pengalaman terindah bagi sesiapa yang pernah melaluinya. Kenikmatan melakukan ibadah di tanah haram dan ketenangan jiwa disanubari sungguh tak tergambar dengan luahan kata-kata.

Jika pernah membaca coretan saya sebelum ini pada 2017, Pengalaman Tunai Haji Usia Muda, Paling Penting Pasang Niat, Rezeki Allah Cukupkan. Ia adalah pengalaman peribadi mak dan abah saya sendiri, Hajjah Ainon Abu Bakar,61 dan  abah, Haji Abdul Wahab Bin Abdullah, 70 sewaktu mengerjakan haji kali pertama ketika usia mereka ‘boleh dikatakan’ ketika itu masih muda. Iaitu ketika mak berusia 35 tahun dan abah 44 tahun. Sekitar tahun 1993, kira-kira 26 tahun dahulu.

Alhamdulillah, kedua mak dan abah saya diberikan kesihatan yang baik dan Allah berikan rezeki buat mereka dapat menunaikan ibadat haji dua kali dan ibadah umrah sebanyak lima kali.  Mereka baru pulang daripada menunaikan umrah pada Jun lalu.

Rezeki Tunai Haji

Mungkin satu suratan atau hanya kebetulan, selepas catatan tersebut dikongsikan, petang pada hari yang sama rezeki daripada Allah saya dijemput menjadi tetamuNya. Berpeluang menunaikan haji pada usia 31 tahun bersama suami dan kakak ipar pada tahun 2017.

Sebenarnya, kami menumpang rezeki kakak ipar, Rohana Bujang yang ketika itu terlebih dahulu telah membuat rayuan untuk menunaikan haji dan turut menjadi asbab membuka ‘jalan’ kepada kami.

Ia juga rezeki panggilan ‘last minute’ daripada Tabung Haji kerana buat pertama kalinya tahun tersebut, Kerajaan Arab Saudi telah memberikan tambahan kouta haji sebanyak 30,200 jemaah berbanding 27,900 pada tahun sebelumnya.

Persiapan Hanya 10 Hari, Manisnya Rezeki ‘Last Minute’ Dapat Panggilan Haji
Surat tawaran mengerjakan haji untuk musim haji pada 1438H/2017M

Ingat lagi ketika itu pada petang Khamis, pihak Tabung Haji membuat panggilan menyatakan kami terpilih untuk menunaikan haji. Perlu mengambil surat tawaran, membuat baki pembayaran dan menyerahkan passport untuk penyediaan visa.Kelengkapan persiapan lain pula perlu dilakukan kira-kira dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh berlepas!! Segalanya perlu segera dan membuat keputusan pantas.

IKLAN

Bayangkan perasaan ketika itu bercampur baur. Gembira, seronok campur gementar. Sempat ke nak siapkan semua perkara?? Dengan kursus haji langsung tak pernah pergi. Kelulusan cuti daripada majikan belum dimohon. Anak usia 4 tahun siapa nak uruskan.

Semuanya Rezeki, Segalanya dipermudahkan

Alhamdulillah. Apa yang boleh dikatakan ia adalah rezeki, rezeki dan rezeki.Bukan semua orang terpilih untuk menjadi tetamuNya.Ada wang dan harta belum tentu jaminan untuk ke sana. Saya positifkan diri, peluang ini bukan datang selalu. Meskipun tidak pernah mengikuti sebarang kursus haji, namun pengalaman pernah dua kali menunaikan umrah sebelum ini, sedikit sebanyak dapat membantu.

Malah pihak Tabung Haji sendiri sangat membantu. Di tanah suci turut disediakan kelas dan ceramah, bagi membantu jemaah haji begitu juga ustaz dan ustazah yang sedia memberi pencerahan diatas segala kemusykilan yang ada. Jadi jangan bimbang. Alhamdulillah semuanya rezeki daripaNya, segala-galanya dipermudahkan ‘jalan’ ke tanah suci dan disiapkan segala urusan dan persediaan hanya dalam masa 10 hari!!

 

Insaf Melihat KebesaranNya

Selama 37 hari berada di tanah suci mengikut muassasah Tabung Haji, Alhamdulillah kami diberikan kesihatan yang baik walaupun cuaca sangat panas dan kering di sana.Penginapan di Mekah dan Madinah juga Alhamdulillah, rezeki dapat hotel hanya jarak sekitar 500 meter dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

IKLAN

Kemuncak ibadah haji adalah hari-hari MASYAIR iaitu hari yang di nanti-nantikan oleh semua bakal haji bagi melaksanakan rukun dan wajib haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan yang paling penting adalah berwuquf di Arafah.

Ditempatkan dalam khemah yang padat dengan jemaah, kurang keselesaan, cuaca yang sangat panas dan kemudahan tandas yang terhad, antara salah satu ujian yang terbesar buat para jemaah pada waktu ini. Sangat penting rasa redha, sabar dan tolak ansur ketika berdepan dengan situasi ini.

Persiapan Hanya 10 Hari, Manisnya Rezeki ‘Last Minute’ Dapat Panggilan Haji
Suasana di dalam khemah di padang Arafah.

Fokus pada amalan serta tingkatkan ibadat padaNya dengan memperbanyakkan berdoa, berzikir, mengaji atau bertalbiah. Lebih-lebih lagi pada hari wukuf di Padang Arafah, dimana langit terbuka luas segala doa dan hajat mustajab dimakbulkan Allah.

Selain itu, kesihatan dan kekuatan fizikal sangat diperlukan memandangkan perjalanan untuk melontar jamrah pada (10, 11, 12 dan 13 Zulhijah) perlu berjalan kaki dari khemah-khemah di Mina sejauh tujuh kilometer (km) iaitu 3.5 km pergi dan 3.5 km untuk pulang.

IKLAN

Insaf dengan kebesaranNya.. jutaan umat berjalan kaki, bertongkat, berkerusi roda berusaha untuk melontar jamrah. Apatah lagi melihat jemaah warga emas yang semakin kurang kudratnya. Sesungguhnya ia gambaran, bagaimana keadaan kita ketika dihimpunkan di akhirat nanti dengan pelbagai keadaan. Allahu kerdil rasa diri ini, betapa bersyukurnya kami, diberi peluang dan ruang serta rezeki dapat menunaikan kewajipan haji pada usia muda disaat masih sihat dan bertenaga.

Persiapan Hanya 10 Hari, Manisnya Rezeki ‘Last Minute’ Dapat Panggilan Haji
Alhamdulillah, setelah selesai melontar jamrah di Mina pada hari pertama, 10 Zulhijjah.

Doa Kali Pertama Tunai Umrah

Teringat salah satu doa saya ketika kali pertama menunaikan umrah di tanah suci bersama mak dan abah pada usia 21 tahun ketika di Multazam, iaitu berdoa agar “Diberikan peluang dapat datang lagi ke tempat suci ini bersama suami dan dapat menunaikan haji pada usia muda ketika badan masih kuat dan bertenaga”. Walaupun bayangan jodoh saya belum ada lagi ketika itu.

Maha Suci Allah yang Maha Mendengar setiap permintaan hambaNya. Sungguh tak sangka, selepas 10 tahun impian tersebut dimakbulkan. Jutaan kesyukuran dipanjatkan, rasa sebak memikirkan diri yang masih banyak dosa dan atas amalan apakah yang telah dilakukan membuatkan diri ini ‘dipandang’ tuhan.

Lebih istimewa dan takkan dilupakan dalam ingatan, saat jutaan umat berhimpun dan berwukuf di padang Arafah pada 10 Zulhijjah, tarikh yang sama juga jatuh 31 Ogos 2017 merupakan ulangtahun perkahwinan kami yang ke-5. Bersama insan tersayang di tanah suci menunaikan kewajipan Rukun Islam kelima, pada hari yang cukup bermakna sesungguhnya pengalaman manis yang akan diingati selama-lamanya sepanjang hayat.

Persiapan Hanya 10 Hari, Manisnya Rezeki ‘Last Minute’ Dapat Panggilan Haji
Dalam perjalanan pulang ke Malaysia

Alhamdulillah rezeki saya dan suami dapat menunaikan haji pada usia muda ketika badan masih sihat, kuat dan bertenaga merupakan anugerah yang tidak ternilai. Sesungguhnya mak dan abahlah yang menjadi inspirasi untuk saya dan suami berusaha untuk menunaikan haji pada usia muda. Mengharapkan keredhaan dan menunaikan kewajipan sebagai hambaNya serta berusaha memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

Akhir kata, satu pesanan saya usah bimbang dari segi kemampuan, atau rasa tak bersedia jika terpilih dapat panggilan haji ‘last minute’. Segalanya telah tertulis, Insya Allah segalaNya akan dipermudahkan.Paling penting, selain berusaha selalulah pasang niat dan berdoa untuk kesana, Insya Allah, rezeki Allah akan cukupkan dalam pelbagai cara, cabang dan bentuk. Percayalah!

Persiapan Hanya 10 Hari, Manisnya Rezeki ‘Last Minute’ Dapat Panggilan Haji
Ketika di Masjid Nabawi

Salam Sayang,
Hajjah Suhaidah Abd Wahab,
Insan kerdil yang selalu rindu dan berharap dijemput menjadi tetamuNya lagi dan lagi.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI