Proses bersalin ni suatu ‘rezeki’ juga sebenarnya. Ada wanita yang cukup mudah dan senang sangat prosesnya, sekejap je dah terbuka laluan dan bersalin. Namun ada juga wanita, yang mengambil masa berjam-jam, malah berhari-hari baru laluan terbuka dan dapat bersalin dengan sempurna.Namun yang pastinya, mudah atau sukar seseorang wanita itu bersalin ia bukanlah pengukur tahap kesolehahan seseorang bakal ibu itu.

Baca perkongsian daripada ibu anak empat, Puan Intan Dzulkefli ini.

Waktu warded untuk bersalin haritu, banyak beri pengajaran kepada diri ini. Bersalin mudah dan cepat itu memanglah rezeki, ketentuan Allah yang diberikan kepada siapapun yang Allah kehendaki.

Ada yang kita lihat sepanjang di wad tak tutup aurat, tak solat langsung, rambut berwarna warni, gelak kuat-kuat menonton movie di telefon bimbit tanpa menjaga sensitiviti pesakit lain. Tapi apabila sakit bersalin sekejap sahaja bayi sudah lahir tanpa sebarang komplikasi. Mudah, bagaikan air yang mengalir. MasyaAllah.

Ada pula yang menjaga aurat, sentiasa solat fardu on time, asyik bertembung dengannya dalam surau sedang mengaji sambil tersedu sedan, tetapi apabila sakit bersalin datang, sangat lama dan payah pula prosesnya. Sampai menangis-nangis suaminya di sisi katil kerana tak sanggup lihat keadaan si isteri yang kesakitan amat sangat. Allahuakbar.

Tempoh Bersalin Bukan Pengukur Tahap Kesolehan Bakal Ibu

Benarlah, bersalin cepat dan mudah atau bersalin lama dan payah, mahupun bersalin normal ataupun secara pembedahan bukanlah pengukur tahap kesolehahan seseorang bakal ibu itu.Rezeki belaka. Nikmat belaka. Semuanya dalam ketentuan Allah belaka.

Ada ibu yang sakit kontraksi sampai meraung-raung tetapi bukaan serviks baru 1-2cm. Ada pula ibu yang masih kuat berjalan-jalan keliling wad rupanya sudah hampir benar waktu melahirkan.

Memang ada ramai wanita yang terlalu mudah melahirkan anak. Tak panas pun lagi katil wad sudah boleh pulang ke rumah dengan bayi kerana tiada apa-apa komplikasi.

Ada pula ibu-ibu yang berdepan terlalu banyak ranjau, sakit, perit dan proses yang menyeksakan untuk si ibu lalui sebelum bertemu permata hati yang dikandung selama ini.

Bersalin Mudah Atau Payah Bukan Pengukur Tahap ‘Kesolehahan’ Bakal IBU

Empatilah Pada Wanita

Oleh itu, saling empatilah kita kepada wanita. Yang mana sentiasa direzekikan bersalin mudah, bersyukurlah. Jangan dilekehkan orang yang bersusah payah untuk melahirkan zuriat-zuriatnya. Jangan dinafikan trauma yang mereka lalui.

IKLAN

Yang suami jangan hanya fokus pada kecomelan bayi yang baru dilahirkan tapi fokus juga kepada ibu yang baru melepasi perjuangan yang amat dahsyat kesakitannya.

Peluklah dan raikanlah isteri. Ucapkanlah tahniah dan terima kasih. Itulah pengorbanan yang takkan mampu siapapun membalas kecuali hanya Allah semata.

“Bersalin memanglah sakit. Memang sakit dik.. sebab itu kalau ibu meninggal waktu bersalin dikira syahid. Adik sabar ya. Zikir banyak-banyak. Semoga dengan kesabaran dan ketabahan adik, semua ni dikira pahala yang bagi mudah adik masuk syurga nanti,” pujuk staff nurse dengan suara lembut apabila ibu-ibu muda mengadu tak tahan sakit kontraksi. Diurut-urutnya belakang si ibu sambil mengajar teknik pernafasan apabila kontraksi kuat datang.

Bersalin Mudah Atau Payah Bukan Pengukur Tahap ‘Kesolehahan’ Bakal IBU

Apabila awal pagi, waktu bersiap nak ke surau, akan ada nurse yang datang merayau sekitar wad dan berpesan kepada semua pesakit.

IKLAN

“Bangun awal ya. Mandi. Bersiap-siap boleh pergi solat. Selagi belum melahirkan selagi tu kena solat ya puan-puan,” masyaAllah.

Berusahalah Menunaikan Kewajipan Solat

Nasihatku, ibu-ibu yang berada di wad bersalin, waktu menyiapkan beg bersalin, bukan hanya siapkan baju-baju bayi tetapi perlu bawa telekung dan mini sejadah sekali kerana belum tentu kita terus akan melahirkan sebaik tiba di hospital.

Mungkin esok, mungkin lusa. Maka selama mana bayi masih belum lahir, selagi itu masih wajib solat. Berusahalah agar tidak terhutang kewajipan solat kerana belum tentu kita keluar wad dalam keadaan sihat dan bernyawa.

Perjuangan melahirkan adalah antara hidup dan mati, walaupun ada yang memandang ringan hal ini. Hanya Allah yang sebenar tahu.

Untuk ibu-ibu yang baru melahirkan, ‘congrats! You made it!’

Buat ibu-ibu yang bakal melahirkan, semoga Allah mempermudahkan segala urusan di samping segala usaha untuk menjaga diet dan melakukan latihan untuk memudahkan proses kelahiran.

IKLAN

Setelah itu, serahkanlah kepadaNya yang menentukan segalanya. Percayalah, kadang Allah takdirkan keajaiban. Sungguh, tiada yang mustahil bagi Allah.

Namun, sekiranya sebaliknya, berlapang dadalah. Yakin, ada hikmah pada sesuatu ketentuan Tuhan.

Mesti Baca:Mudah Bersalin Bukan Sebab Dosa Diampunkan Suami, Dr Imelda Sekolahkan Pakcik Bawang
Baca Lagi Di Sini:Wanita Ini Kongsi Tip Bagi Mudahkan Proses Bersalin, Buat Ibu Yang Bakal Hadapi Detik Getir Ini
Artikel Menarik:Budak 10 Tahun Jadi ‘Bidan Terjun’, TENANG Bantu Ibu Bersalin Dengan Selamat

Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat buat para wanita dan bakal-bakal ibu. Memang ada benarnya, tempoh bersalin sekejap mahupun lama, secara normal mahupun pembedahan semuanya ada ketetapan rezeki daripada Allah, bahkan ia bukanlah ‘kayu pengukur’ tahap kesolehahan seseorang bakal ibu itu.

Sumber: Intan Dzulkefli

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI