Lima Tahun Tinggal Serumah Dengan Madu, KEBERSAMAAN Rahsia Harmoni

Isteri pertama ini, Puan Hannan Alias berkongsi kisah. Hidup serumah di bawah satu bumbung dengan madunya untuk tempoh lima tahun.

Katanya, dalam bahagia ada juga selisih faham. Namun, tidak lama. Kerana akhirnya situasi yang keruh itu dapat dijernihkan kembali.

Dalam soal hidup bermadu ini, ada perkara yang perlu diteliti dan dijaga baik oleh suami dan isteri-isteri. Yang mana, kadangkala ada pasangan bermadu tergelincir dalam penelitian ini.

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM,

Alhamdulillah. Malam ini Allah izin untuk saya tunaikan janji kepada kalian. Moga ia menjadi asbab buat semua yang membaca untuk lebih positif tentang poligami itu sendiri. Moga lebih jelas tentang kehidupan berpoligami itu sendiri.

Baca dengan perlahan dan hadam satu persatu. Moga Allah memberi kalian kefahaman. Dan moga tulisan ini mampu merawat hati-hati yang sedang parah. Mampu menyejukkan jiwa-jiwa yang sedang terbakar.

Tulisan ini juga adalah hasil soalan yang seringkali diaju oleh kawan-kawan buat kami.

Moga Allah lindungi saya dan tulisan ini dari segala sifat ujub riak sum’ah takabbur. Ingat, segala yang berlaku. Baik atau buruk adalah dari Allah. Dengan izin Allah. Tiada yang hebat pada manusia yang hina. Kehebatan itu hanya milik Allah.

Tenang itu asbab bantuan Allah. Kalau Allah tak bantu, tersungkur jua ke tanah!

Sudah Lima Tahun Kami Tinggal Bersama

Alhamdulillah. Sudah 5 tahun kami tinggal bersama. Dalam sebuah rumah. Dan dalam 5 tahun itu juga sejuta macam cerita dan drama yang berlaku antara kami. Namun takdir Allah masih menetapkan kami untuk tinggal bersama.

Keputusan untuk tinggal serumah adalah sesuatu yang diputuskan oleh saya dan dia. Hasil perbincangan, istikharah dan istisyarah, maka suami bersetuju untuk menempatkan kami serumah. Alhamdulillah.

Sebelum membawa masuk ahli baru ke dalam rumah, encik suami telah menerapkan satu fahaman dalam kepala isteri-isterinya ialah KEBERSAMAAN.

Rumah ini milik bersama. Barang dalam rumah juga milik bersama. Apa-apa yang berlaku dalam rumah ini juga adalah tanggungjawab bersama. Dan hanya suami, saya dan madu yang berhak total ke atas rumah ini. Alhamdulillah.

PENGGILIRAN

Penggiliran kami mungkin tidak sama dengan penggiliran pasangan poligami yang lain. Itu tidak bermakna suami tidak adil. Ini kerana pekerjaan sang madu tidak sama seperti kami.

Seperti saya dan suami siang kerja, malam dah ada di rumah. Tapi bagi madu saya, dia terkadang ada oncall. Ada postcall.. ada pasif call. Ada aktif call. Jadi soal berebut giliran itu tiada buat masa ini. Dan alhamdulillah, penggiliran bukan isu utama bagi kami.

BAHAGI TUGAS

Bila duduk serumah maka segalanya perlulah dibuat secara bersama. Jadi bagaimana?
Seperti kami bertiga, masing-masing sudah ada tugas dan peranan tersendiri.

Contoh ;
Suami : Basuh baju, sidai baju, angkat baju, iron baju, beli barang basah untuk masak.
Madu : Kemas rumah, lipat baju, sapu sampah.
Saya : BAHAGIAN DAPUR adalah tempat saya. Jadi segala urusan berkaitan dapur itu urusan saya.

Jadi tiada pihak yang akan dengki atau iri hati. Sebab masing-masing dah tahu tugas.

IKLAN

LAYANAN SUAMI BILA 2-2 ISTERI ADA DI RUMAH

Layanan masih seperti biasa. Tetap melayan saya sebagai isterinya. Begitu juga sang madu. Lelaki yang hebat akan nampak dia seakan sangat menjaga hati isteri-isterinya agar tidak terover di depan isterinya agar tiada pihak yang sakit hati dan menyakitkan hati.

PRIVACY

Bagi kami rumah kami privacy kami. Bilik saya adalah bilik madu. Dan bilik madu boleh juga menjadi bilik saya. Dan suami bebas nak masuk bilik mana yang dia suka. Soal beli barang itu barang ini, kami biasa sahaja. Sebab barang yang dibeli tetap diletakkan di ruang rumah kami.

Jadi tidak timbul soal madu ganggu privacy saya atau saya mengganggu privacy madu. Pernah suami bertanya kepada saya dan madu soal privacy ini, setakat hari ini, alhamdulillah. Semua ok dan lancar.

KEBAJIKAN SUAMI

Masing-masing ada bahagian dan kelebihan masing-masing dalam melayani suami. Jadi tidak timbul isu isteri ini begini isteri itu begitu. Jika ada sesuatu yang perlu saya ajar madu, suami akan minta saya ajarkan. Begitu juga dengan madu.

Madu hebat bab penjagaan kesihatan. Jadi kesihatan suami sangat terpantau dan terjaga. Saya pula menjaga bab pengurusan suami itu sendiri. Ia berkaitan jadual kuliahnya. Kelas pengajiannya. Dan mengurus segala temujanji dia dengan clientnya.

PENJAGAAN ANAK-ANAK

Tiada masalah sangat. Sebab mungkin anak-anak dah besar. Easmael di asrama. Iffah sentiasa dengan saya. Sebab sekolah dia dekat dengan sekolah saya. Jadi tiada isu kebajikan anak terabai.

Pun begitu, bila di rumah atau keluar berjalan bersama, Iffah sangat rapat dengan madu. Hinggakan ramai yang menyangka Iffah adalah anak kandung madu. Tapi semua itu ok sahaja. Dan tidak menjadi isu besar buat kami.

NAMPAK MACAM BAGUS. TAK PERNAH GADUH KE?

Gaduh itu selalu sangat. Kadang benda kecik boleh jadi isu besar. Namun alhamdulillah, semua itu tidak lama. Dan biasanya bila dua-dua isteri tegang, maka suami akan mengambil langkah untuk diam seketika.

Biasanya pergaduhan dan pertelingkahan itu berakhir bila salah seorang kendur dan mengalah. Dan biasanya selepas gaduh kami akan postmortem dan buat kesimpulan. Apa yang perlu diteruskan dan apa yang perlu ditinggalkan.

Biasanya pergaduhan itu terjadi bila mana kesibukan melanda kami bertiga. Jadi masa untuk bercakap bersama itu tiada. Maka tercetuslah sesuatu antara kami bertiga. Dan biasanya isu kecil sahaja yang menjadi tercetusnya gaduh itu.

Pernah je terjadi, kerana bergurau akhirnya kami bergaduh. Nampak bodoh kan. Tapi itulah nak bagitahu bahawa saya, dia dan dia adalah anak manusia sama seperti kamu. Ada masa ok. Ada masa gelora.

IKLAN

JIKA BERLAKU PERGADUHAN, APA YANG DIBUAT

Pertama sekali, cek diri. Tapi biasala.. tengah panas, memang tak jumpa salah sendiri. Asyik nampak salah madu dan suami. Dan waktu ini lah suami memainkan peranannya. Bertindak sebagai pemimpin.
Bila dua pihak mengadu begitu begini, dia hanya mendengar. Dan biasanya suami hanya sebut 1 perkataan kepada saya.

Kalau nak syurga, bukan begini caranya. Ini dah perangai ahli neraka. Jangan menang hanya pada hujah. Tapi kalah pada amal perbuatan.”

Alhamdulillah.. secara tak langsung terus kendur. Tengah malam terus masuk bilik madu. Jumpa dan minta maaf. Dan dia pun sama. Kami menangis bersama. Ingat semula kenapa pernikahan ini terjadi. Refresh niat. Dan akhirnya akur yang kami sebenarnya saling memerlukan.

PERNAH TAK MENGADU KAT ORANG LUAR BILA BERGADUH

Bila keadaan dah tak terkawal. Perlu juga minta pandangan orang luar iaitu pandangan mereka yang ahli dalam bidang ini. Bukan mengadu sebarangan. Pun begitu, setakat ini penasihat-penasihat yang ada sangat memahami dan mereka sendiri tinggal serumah dan sangat harmoni.

Nasihat mereka biasanya tidak membuatkan saya semakin jauh dari madu. Malah membuatkan saya lebih nampak salah saya kepada madu dan suami. Terima kasih buat ustazah dan ustaz yang banyak membantu.

5 tahun masih baru. Mereka dah 15 tahun 35 tahun duduk serumah. Mesti lebih ahli dalam bab gaduh-gaduh manja ini.

AMALAN UNTUK KEKAL BERSAMA SEPERTI SEKARANG DAN TERUS POSITIF

  • Solat berjemaah dan makan bersama. Lakukan aktiviti bersama.
  • Berjalan juga bersama. Ke mana sahaja kami akan berlima.

TIDAK PERNAHKAH TINGGALKAN SESIAPA ANTARA DUA ITU KESEORANGAN?

Setakat ini tidak. Cuma baru-baru ini, madu oncall. Jadi kami ke Temerloh pagi dan terus pulang ke Dungun pada malam tersebut. Terus pulang supaya nanti bila madu pulang ke rumah, saya, suami dan anak-anak ada di rumah.

TIDAKKAH PERNAH RASA MASA UNTUK BER ME TIME?

Masa me time bagi saya ialah bila suami giliran dengan madu. Itu baru betul-betul me time saya. Saya bebas nak tidur jam berapa. Nak tengok you tube hingga larut malam. Atau nak bangun bila-bila masa. Dan madu juga sama.

Me time kami tak perlu berlama-lama. Cukup sekadar sepanjang malam giliran sang madu. Alhamdulillah.

KALAU SUAMI MENINGGAL, APAKAH MASIH AKAN TINGGAL SERUMAH?

Kita hanya merancang. Allah yang menentukan. Tak mampu nak cakap lebih. Sebab benda tak berlaku lagi. Dan tak tahu siapa yang pergi dulu. Entah-entah saya yang mati dulu.

KALAU SUAMI MATI, DAN ADA LELAKI LAIN NAK KAHWIN DENGAN MADU SAHAJA, APA TINDAKAN?

Soalan memang advance gila. Jika ditakdirkan begitu, dan madu masih berjodohan dengan orang lain, silakan. InsyaAllah. Tiada apa pun yang perlu dirisaukan. Kerana semuanya telah Allah tetapkan.

IKLAN

Boleh jadi suami barunya itu jodoh yang terbaik buat dia. Sebab Allah tak pernah aturkan sesuatu itu sia-sia.

SERONOK NAMPAK KEBAHAGIAAN KELUARGA POLIGAMI AWAK. TERASA NAK JADI MACAM AWAK

Tak perlu jadi macam saya. Cukuplah kalian menjadi diri sendiri. Build up kekuatan sendiri. Tanpa perlu meminta untuk jadi seperti orang lain.

Kalian hanya nampak apa yang kalian nampak. Tapi kalian tak pernah tahu apa yang kalian tak tahu. Jadi, lebih baik jadi diri sendiri. Hargai pasangan yang ada. Jangan sekali-kali menyakiti hati isteri yang sedia ada dengan mengejar isteri yang baru untuk kepuasan diri.

PESANAN BUAT PARA SUAMI

Buat yang dah ada isteri-isteri baru, jangan pernah sekali-kali memaksa isteri kalian untuk menerima kehadiran orang baru tersebut.

Sekiranya nak juga isteri terima orang baru yang hadir dalam hidup anda, didik dan ajar isteri untuk kenal tuhan mereka. Bila dia kenal tuhan, awak bawa balik serombongan wanita pun dia tak heran sebab dia dah ada cinta paling agung di hatinya.

PESANAN BUAT PARA ISTERI

Layan suami seperti raja. Tapi jangan pernah sekali merajakan suami itu. Kerana, bila kalian merajakan suami itu maka kalian akan menempah kesakitan demi kesakitan dalam hidup kalian.
Ingat!

Suami adalah makhluk yang binasa. Jangan simpan suami itu di hati. Kelak kalian akan binasa sendiri. Pandanglah suami itu adalah wasilah dari Allah.

Apa pun yang berlaku, jangan dilihat suami itu yang melakukannya. Tapi, pandanglah siapa yang mengizinkan suami berkelakuan seperti itu.

Kita takkan pernah mampu ubah apa yang kita pandang. Tapi kita boleh ubah cara kita memandang sesuatu itu.

Kita hidup untuk Allah sayang. Suami dan anak-anak adalah perantara Allah menterjemah kasih sayangNya kepada kita.

Jelas?

Moga dapat sesuatu. Terima kasih sudi baca hingga ke titik akhir. Moga Allah memberi kefahaman buat kita semua.

MW : Kehidupan bermadu itu, mana-mana isteri sebolehnya tolak awal-awal. Jika takdir bermadu itulah ketentuanNya, ternyata suami dan isteri-isteri terpilih ini dapat melalui ujian lima tahun hidup bermadu dengan tenang dengan jalan hikmah. Alangkah hebatnya.

Sumber/Foto : Hannan Alias

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Baca sini :

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI