madu

Bagi wanita cukup sensitif untuk memperkatakan isu poligami. Ramai yang tak rela untuk berkongsi kasih suami dengan wanita lain. Bukan itu sahaja,jika ‘terpaksa’ bermadu ramai yang kerap makan hati berulam jantung dan sering bertelingkah. Jarang sekali jumpa madu yang boleh menjadi kawan baik apatah lagi mampu tinggal serumah!.

Tinggal Serumah & Jadi Rakan Karib

Mungkin satu kisah dalam seribu.Bukan saja rela berkongsi kasih, malah Khadijah Beladin, 29, dan Sufainah Goh Ai Peng, 41, sanggup tinggal sebumbung dan menerima suami mereka, Mohd Zanishuhaizal Izham Md Akhir, 41, seadanya. Lebih membanggakan kedua-dua mereka tidak menjadikan status madu sebagai alasan untuk bersengketa sebaliknya memilih menjadi rakan karib antara satu sama lain.

Bercerita lanjut, Khadijah berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan Mohd Zanishuhaizal pada Mac 2012 dan dikurniakan tiga zuriat iaitu Mia Zahra, berusia enam tahun, Nia Zafirah, berusia lima tahun dan Ummar Shahid, berusia empat tahun.

Punyalah Bahagia, Madu Boleh Tinggal Serumah Siap Jadi Kawan Baik!

Yakin Suami Mampu Berlaku Adil

Menurutnya, selepas dua tahun melayari bahtera rumahtangga, suaminya menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi.Katanya, dia tidak membantah kerana yakin suaminya mampu berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Sepanjang perkahwinan, hubungan kami tidak berdepan masalah malah ketika menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi, saya tidak sedih sebaliknya akur kerana percaya dengan kemampuannya.

“Lagipun, saya sudah bertemu dan berkenalan dengan Sufainah sebelum dia berkahwin dengan suami jadi tiada masalah untuk menerimanya sebagai madu serta tinggal serumah.

IKLAN

“Malah, hubungan kami tidak hanya sebagai madu malah saya sudah menganggapnya seperti rakan karib dan sekiranya ada masalah, kami akan bincang serta mencari penyelesaian bersama,” katanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa.

Punyalah Bahagia, Madu Boleh Tinggal Serumah Siap Jadi Kawan Baik!

Dapat Bantahan Keluarga

Sementara itu, Sufainah yang juga bekas pramugari berkata, niatnya berkahwin dengan Mohd Zanishuhaizal mendapat bantahan keluarga pada mulanya disebabkan perbezaan adat dan agama.

Ini menyebabkan hubungannya dengan keluarga menjadi renggang, namun mereka kembali menerimanya selepas dia melahirkan cahaya mata, Tia Ummaira yang kini berusia setahun sembilan bulan.

IKLAN

“Dulu, saya tidak menyokong poligami tetapi siapa sangka, takdir Allah SWT menentukan saya menjadi isteri kedua.

“Segelintir masyarakat mungkin memandang negatif bila bercakap soal poligami namun sepanjang tinggal serumah dengan isteri pertama, semuanya lancar tanpa ada masalah.

“Malah, kami saling bertolak ansur dan saya bersyukur kerana Khadijah banyak membantu menguruskan kerja rumah dan menjaga anak ketika saya serta suami bekerja,” katanya yang memeluk Islam pada 2006.

Beliau dan suami kini mengusahakan perniagaan kecerdasan diri dan memiliki gimnasium sendiri.

IKLAN

Syukur Kedua-Dua Isteri Tinggal Bersama

Bagi Mohd Zanishuhaizal pula, dia bersyukur kerana kedua-dua isteri dapat tinggal bersama di bawah satu bumbung selain menerima dirinya seadanya.Beliau berkata, sebagai suami, dia cuba berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan sebaik mungkin.

“Dulu, saya seorang yang keras kepala dan sentiasa merasakan diri sendiri betul namun kehidupan saya berubah 360 darjah selepas berumahtangga.

“Boleh dikatakan, hidup saya lebih sempurna dan bahagia sejak berumah tangga kerana adanya anak sebagai pelengkap serta dua isteri yang boleh menerima satu sama lain.

“Rasa seperti mendapat peluang kedua dalam hidup dan tidak sangka kini saya ada perniagaan sendiri selain anak serta isteri yang sangat memahami,” katanya.

Mw: Semoga keluarga terus berbahagia. Bersetuju untuk berpoligami, syarat utama paling penting adalah keredhaan isteri serta sikap suami yang mampu berlaku adil pada kedua-duanya, barulah ia dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Sumber: Hmetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI