Baik suami mahupun isteri, masing-masing ada hobi tersendiri. Beruntung jika suami isteri saling menyokong minat masing-masing. Andaikata hobi suami mendaki, isteri sokong dan ikut sekali mendaki.
Namun, tak semua hobi suami yang isterinya mampu sertai sekali. Bak kata, Khadijah Mohamad Nor ini, suami isteri itu perlu saling menyokong dan berkongsi hobi. Pengalaman mengikut suami mendaki, memberi momen untuk dikenang olehnya.
Penat dan mengah yang dialami, membuatkan isteri ini lebih menghargai hobi yang suami sukai.
Pengalaman Mendaki Di Bukit Melati
Kata orang, suami isteri perlu saling melengkapi.
Adakala mereka juga perlu saling menyokong dan berkongsi hobi. Barulah kehidupan berumahtangga bahagia dan serasi. Betul ke betul?
Tapi kan, bila bercakap tentang hobi, teringat saya sewaktu mengikut suami pergi hiking di Bukit Melati yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan pada 12 September 2020.
Ya Allah, dah dua tahun rupanya saya simpan kisah ini. Cepat betul masa berlalu
Ketika itu kami pergi bersama sahabat Kosmo! yang memang champion menawan puncak gunung iaitu Mustapa Lakawa dan isterinya, Kak Noranita Awang serta Editor Hiburan Kosmo! yang stailo, Tengku Suzanna Raja Hamat
Ya, suami dan kawan-kawannya memang suka mendaki. Alhamdulillah, puncak Akinabalu pun sudah dua kali berjaya dijejaki.
Jadi, sebagai isteri saya mahu meraikannya dengan cara mengikutnya pergi mendaki ketika itu. Bukan selalu, tetapi sesekali. Cuma nak beritahu, ‘sesekali’ itulah yang buat rasa hampir nak mati!
Kerana Mahu Menyokong Hobi Suami
Dan bermulalah pengalaman yang mencabar diri, fizikal dan emosi seorang isteri.
Ads
Ayat yang sering bermain di bibirnya waktu itu, kalau fikirkan memang geram je rasa.
“Sikit lagi, sayang. Dah nak sampai dah.”
“Kejap je lagi. Meh, pegang tangan abang.”
“Sayang jangan mengalah. Tak jauh dah.”
Itulah yang dijawabnya setiap kali saya bertanya encik suami jauh mana lagi nak sampai.
Ya Rabbi. Walau Bukit Melati hanya setinggi 350-370 meter, namun Tuhan saja yang tahu betapa lelahnya saya hendak sampai ke puncak.
Oh ya, untuk makluman kalian terdapat beberapa check point atau puncak kecil di sekitar pendakian Bukit Melati ini. Semuanya nama binatang. Hehe …
Ada Centipede Hill, Cobra Hill, Eagle Hill, Monkey Hill dan Mosquito Hill.
Bayangkan sampai termuntah dan hampir pitam ketika sampai di check point Eagle Hill.
Ads
Terpaksa Bebankan Suami Menunggu..
Situasi itu menyebabkan pendakian yang sepatutnya mengambil masa kurang 1 jam, menjadi lebih lambat disebabkan kehadiran saya.
Aduh! Rasa diri tak berguna sebab terpaksa bebankan suami untuk menunggu saya yang terhegeh-hegeh menghayun kaki.
Namun, melihat kesungguhan suami memberi kekuatan dan sokongan untuk saya meneruskan pendakian buatkan diri sebak. Tapi paling best rasa diri disayangi. Haha … Terima kasih, abang
Apabila sampai ke bawah selepas hampir tiga jam pendakian, terus satu keputusan diambil.
Saya nekad biarlah saya sekadar menjadi penyokong dengan mendoakan keselamatannya saja. Kerana saya tahu kemampuan diri sendiri. Dan saya bukan orang yang sesuai dengan aktiviti ini.
Bagi saya, cinta tak semestinya kita perlu sentiasa ada di sisi pasangan. Tetapi dengan selalu mendoakannya setiap waktu dan ketika terutama bila si dia berpergian.
Itu yang lebih utama dalam menjadikan rumah tangga bahagia dan harmoni sentiasa.
Ala kullihal, pengalaman mendaki Bukit Melati akan tetap dalam ingatan kerana di situ saya melihat kasih sayang dalam hubungan suami isteri dan jalinan persahabatan yang saling menguatkan kerana Tuhan.
Terima kasih Mus, Kak Ita dan Kak Suzana yang memang pendaki sejati. Tak mampu saya nak ikuti.
Alhamdulillah, terima kasih juga Kak Suzana kerana sempat merakam aksi kami mendaki dahulu. Ada juga kenangan untuk kelak diceritakan pada anak cucu. Insya-Allah
Yang pasti, saya memang dah ‘insof’ dan tak mahu hiking lagi
#HouseWifeJourney
Mingguan Wanita : Seronok sebenarnya sesekali dapat ikut serta hobi suami atau isteri ini. Emosinya jadi lebih mesra dan erat nanti.
Isteri yang selalu tak puas hati dengan layanan suami memang pelik. Kalau marah tak bertempat. Depan kawan atau saudara mara sesuka hati aibkan suami sendiri. Tetapi apabila masalah berakhir. Benci itu jadi sayang, berpeluk lagi sampai terlupa mulutnya galak mengata suami dengan maki hamunnya yang melampau.
Tabiat kasar isteri kepada suami di tempat awam kadang-kadang membuat orang yang melihat rasa geram. Bagaimana pula jika yang melihat para bidadari? Rasulullah SAW bersabda:
“Jika seorang isteri menyakiti suaminya di dunia maka bakal isterinya di akhirat dari kalangan bidadari berkata: Janganlah engkau menyakitinya, semoga Allah mencelakakan kamu, dia hanya sementara bersama kamu, sebentar lagi dia akan berpisah dan kembali kepada kami.” (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Pernahkah anda bayangkan bidadari berkata-kata ketika terjadinya konflik dalam rumahtangga?
Bukan bermaksud membela para suami dan menganggap semua suami betul. Tetapi hadis ini hanya berlaku apabila suami dizalimi oleh isteri!
Kalaulah sekiranya isteri yang dizalimi maka hadis ini tidak akan berlaku!
Agama kita menggesa supaya dilakukan dialog secara berhemah dan bertakwa apabila berlakunya konflik. Tidak mungkin perkahwinan terbebas dari ujian, sedangkan Rasulullah SAW pernah bersedih disebabkan perbuatan isteri-isteri baginda yang langsung ditegur Allah melalui ayat-ayat Al-Quran.
Sesungguhnya kehidupan rumahtangga Rasulullah SAW menjadi teladan kepada kita, sedangkan Nabi pernah bersedih inikan lagi para suami biasa!
Pengajaran Dari Hadis Tentang Bidadari Untuk Suami
1. Bukan saja perempuan berhati lembut dan cepat terasa, suami juga sama. Jangan disangka wajah yang tenang itu tidak menyimpan luka, lelaki biasanya tak tonjolkan perasaan walaupun sakit hati dengan perbuatan isteri.
Jangan merasa perempuan saja yang banyak memaafkan pasangan, boleh jadi suami lebih banyak lagi. Dia diam untuk menghindari perang dan dia tak mampu mengatasi perang itu kerana peperanganya di luar rumah belum ditumpaskan.
Kerja mencari nafkah itu bukan perkara mudah, suami memilih untuk menyerah kalah bila berada di rumah agar dia mendapatkan kerehatan selepas tercedera mental dan fizikal di luar rumah.
Jangan lupa hati suami kerana anda terlalu fikirkan hati sendiri, jangan lupa emosi suami ketika anda sibuk mengubat luka emosi sendiri!
2. Bidadari di dunia lagi berbahaya dari bidadari di akhirat. Konflik rumahtangga akan membuka peluang bidadari lain masuk ke hati suami.
Suami beriman sememangnya berusaha menjaga kesucian hati, menghindar jika wanita lain cuba mendekati, menutup pintu-pintu ke arah zina dan maksiat tetapi bukankah dia manusia biasa yang sesekali mungkin terlupa?
Jika ada wanita yang lebih solehah, penyayang dan pemaaf apakah anda akan sentiasa di hatinya? Jika isteri mempunyai tabiat maki hamun tetapi teman wanita amat santun, bagaimana isteri boleh menolong suami supaya tidak beralih hati? Sampai bila suami boleh tunggu isteri berubah sedangkan isteri tak hargai kemaafan suami?
Isteri-isteri Nabi SAW pernah diancam dengan turunnya ayat ke 5 surah Al-Tahrim yang bermaksud:
“Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan menggantikannya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang beribadat, yang gemar berpuasa, yang janda dan perawan.”
Benarlah realitinya bahawa suami anda bukan Nabi jadi tak payah risau dengan ancaman ini, tetapi setiap peristiwa yang terjadi pada diri Nabi wajib dijadikan teladan dan contoh dalam kehidupan kita.
Diulangi lagi hakikatnya ayat ini hanya untuk suami yang dizalimi jika sebaliknya isteri yang dizalimi maka ayat ini tidak berlaku!
Malangnya isteri akan kata dia yang dizalimi dan tidak mengaku dia yang menzalimi suami. Tak kan setiap konflik isteri saja yang betul? Oleh itu, setiap pertengkaran yang terjadi eloklah setiap pasangan sentiasa mencari kesilapan sendiri sebelum menuduh.
Dan alangkah cantik jika isteri sentiasa mengingati ayat yang pernah menumpahkan air mata bonda kita ummul mukminin Hafsah dan Aisyah RA ini!
3. Hadis tentang bidadari ini sebenarnya satu suntikan semangat untuk para isteri berlumba-lumba menjadi yang terbaik sebaik bidadari syurga tanpa menafikan fitrahnya adalah manusia biasa!
Jangan biarkan anda dipengaruhi oleh suntikan motivasi yang tak masuk akal, seperti menuntut kepatuhan yang membuta tuli kepada suami walaupun suami zalim! Kezaliman suami mesti diubah bukan ditaat, ia bukan ketaatan tapi kebodohan akibat buta agama! Agama kita tidak ajarkan wanita menjadi hamba kepada lelaki, isteri bukan hamba suami tetapi umpama saudara kandung yang berdiri sama tinggi duduk sama rendah.
Anda bukan bidadari syurga yang kerjanya taat dan patuh kepada lelaki ahli syurga, anda hanya bidadari dunia yang patuhnya terbatas hanya apabila suami bercirikan lelaki ahli syurga bukan ahli neraka!
Tulisan: Dato Dr Haji Juanda Haji Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Alangkah deritanya hati apabila terpaksa hidup dengan pasangan yang keras kepala, panas baran. Kata-katanya kasar, jarang sekali nak memuji apatah lagi menenangkan.
Wahai isteri, apa kata amalkan doa yang sangat baik yang dikongsikan Ustaz Farid Rashidi ini. Bukan saja dapat melembutkan hati pasangan, malah dilimpahi rezeki yang banyak.
Doa Melembutkan Hati Pasangan, Rezeki Melimpah
“Macam mana nak lembutkan hati suami, dia baran dan selalu bersikap kasar sangat. Kadang-kadang tangan naik sekali. Saya sedih betul.” Luah si isteri.
Ini yang selalu berlaku. Pernah juga saya dapat soalan begini. Termenung panjang nak menjawab. Rasa bercampur baur.
“Ada tak doa untuk lembutkan hati keluarga sendiri? Doa yang bagi terbuka hati untuk berubah ke arah kebaikan. Kadang sedih sangat ahli keluarga sendiri tak solat, tak puasa…”
Soalan begini pun selalu ditanya. Saya faham situasi yang dialami, sememangnya suami atau isteri akan tertekan dan susah hati bila pasangannya begitu.
Walaupun hensem, harta berjuta sekalipun kalau perangai buruk, panas baran, kaki pukul apalagi derhaka pada Allah SWT dan gemarkan maksiat, mestilah si isteri akan gusar hati bukan?
Begitu juga kalau anak-anak degil dan keras hati, sudah tentu ibu bapa akan runsing.
Ini Doanya Yang Diambil Dari Al Quran
Sebenarnya banyak doa yang sangat baik diamalkan. Khususnya yang diambil dari ayat al-Quran. Al-Quran itukan Kalamullah, di dalamnya terkandung penawar.
Antaranya firman Allah SWT:
اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ
“Allah Maha lembut terhadap hamba-hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada yang di kehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [Surah Asy-Syura: 19]
Juga dari firman Allah SWT:
طه. مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ. إِلَّا تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَىٰ. تَنْزِيلًا مِمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى. الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ.
“Taa’ Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.” [Surah Taha: 1-5]
Bacalah dan niatkan agar Allah SWT lembutkan si dia. Semoga Allah SWT memakbulkan doa yang baik-baik itu. Insya-Allah, biiznillah.
Bantu share untuk manfaat semua ya.
#UFR
MW :Semoga kita konsisten mengamalkannya, dan menjadi asbab dimakbulkan doa setiap pasangan rumah tangga yang berdepan kesulitan pasangan panas baran.
Allahu… kesalahan apa yang anak ini buat dirotan sampai berbekas teruk macam ni? Adakah ini kesalahan berulang atau yang pertama kali? Hanya pihak sekolah dan anak ini yang ada jawapannya.
Kes ini tular di laman media sosial apabila bapa kepada anak ini, saudara Lebai Kay Khairil Sharwane memuatnaikkan gambar kesan anaknya yang dirotan oleh cikgu disiplin di sekolah rendah. Ikuti luahan ayah ini…
Anak Tak Puasa Sebab Kena Rotan
Luah mati mak telan mati bapak, itu lah pepatah melayu telah berkata. Aku tak tahu bagaimana hendak memulakan cerita yang terjadi dalam diri ini. Hari ini 22hb 05 2018. dalam jam 1.30pm anak aku balik dari sekolah, dan telah memberi tahu yang dia telah di rotan oleh guru disiplin, membuat kan anak aku tidak larat hendak berpuasa. Papa Isaac tak puasa sebab kena rotan dengan cikgu dan cikgu cakap: “Tolong beritahu papa yang cikgu rotan Isaac”. Kalau tidak beritahu papa, nanti esok cikgu rotan lagi.
Itulah perkataan pertama bila anak aku sampai di rumah. Aku angap itu mungkin denda sebagai kenakalan nya. Masa tu aku tidak perasan lagi apa yang telah terjadi. Tiba-tiba anak aku datang menunjukan bekas atau kawasan yang di rotan. Itu pun anak aku telah sapu sendiri dengan minyak gamat.
Luluh hati ini berderai air mata aku bila melihat betis anak aku hampir koyak di rotan oleh cikgu disiplin. Anak aku mungkin nakal tetapi umurnya baru 7 tahun. Sungguh kejam cikgu perlakukan sebegini. Jika saudara saudari yang mempunyai anak, adakah anda sanggup anak anda di perlakukan sebegini?
Pihak sekolah tidak membantu atau memberi kerjasama. Bila pihak kita telefon pelbagai alasan untuk mengelak. Anak aku baru 7 tahun bukan 17 tahun.
Aku telah membuat report polis, biar lah pihak polis yang menguruskan. Dan report perubatan dari hospital Ampang juga telah buat.
“Aku tidak berdendam. Geram tetap geram.”
Tetapi aku pun ada perasaan. Aku tahu cikgu pun ada keluarga, aku tidak kejam untuk mempenjarakan cikgu. Cikgu bila buat kerja biar guna otak jangan ikut nafsu. Tetapi ini adalah permulaan… Cikgu Sean Isaac Sharwane anak aku.
Majoriti Netizen ‘Panas’
Biasalah bila dah tahu umur anak ini masih kecil dan tengok pula kesan pada betisnya berbirat, ramai netizen memberikan komen yang rasa kejadian ini tak patut berlaku. Pendek kata, nak mendidik kena ada caranya.
Namun walau apa pun punca dan masalah, si ayah dah buat laporan kepada pihak polis. Doakan moga kes ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Andai betul anak itu buat salah, mungkin cikgu itu boleh jelaskan semula agar semuanya jelas kenapa perkara seperti ini boleh berlaku.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita koma lepas lahirkan anak meninggal dunia selepas tujuh tahun terlantar. Kisah benar Mohd Saiful yang setia menjaga isterinya, Nor Fadila, hingga ke hujung nyawa.