Terimalah hakikat, kita tak mampu nak jaga anak 24 jam. Yakinlah dengan Allah. Didik diri berlapang dada dan meletakkan penggantungan pada Allah.
Siapa yang tak sayangkan anak? Jika boleh kita mahu sentiasa jaga anak dan berada di sisi mereka. Tapi semua itu tidak mungkin berlaku, suka atau tidak kita pasti ‘berpisah’. Samada mereka dihantar ke rumah pengasuh, pusat penjagaan kanak-kanak mahupun ke sekolah.
Begitu juga apabila mereka meningkat remaja seterusnya dewasa. Mereka akan melanjutkan pelajaran dan mempunyai kehidupan sendiri. Ini adalah lumrah kehidupan. Justeru, sebagai mak ayah kita perlu berlapang dada dan menerima kenyataan ini.
Anak-anak dipinjamkan Allah kepada kita, mereka adalah milik Allah sepenuhnya. Kita hanya sebagai pemegang amanah. Terimalah hakikat, kita takkan mampu melindungi dan menjaga mereka sepanjang hayat. Usah disangkal fakta ini.
Jangan Bimbang Melampau, Yakinlah Pada Allah
Saya tidak nafikan kasih sayang yang menebal terhadap anak-anak membuatkan kita sanggup berkorban jiwa raga. Kita mahu pastikan mereka dapat yang terbaik, sihat dan bahagia dunia akhirat. Malah ramai di kalangan ibu bapa yang diserang kebimbangan melampau apabila terlalu memikirkan masa depan anak-anak.
Ads
Sebenarnya kita tidak perlu menyiksa diri sehingga sebegitu, kita mesti yakin dengan Allah. Letakkan sepenuh pengharapan dan penggantungan kepada Allah. Senjata kita adalah doa. Kita doa dengan sepenuh jiwa agar Allah sentiasa melindungi dan merahmati insan-insan yang kita sayang.
Kita doa semoga Allah pandu hati pengasuh dan guru-guru menjaga serta mendidik anak-anak kita dengan baik. Kita doa agar mereka dijauhkan musibah dan dipelihara iman. Kita doa dan terus doa. Jangan pernah berputus asa…
Ads
Yakinlah Allah tahu apa yang terbaik untuk insan kita sayang. Sebagai mak ayah, kita berusaha mendidik mereka dengan penuh tanggung jawab. Lakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.
Selebihnya, kita serahkan kepada Allah. Apa juga yang direncanakan Allah, terima dengan redha. Sebaik-baik perancang adalah Allah. Allah beri apa yang kita perlukan bukan apa yang kita nak.
Semoga kita terus istiqomah dan melatih diri untuk sentiasa dekat dengan Allah dan yakin dengan perancangan-Nya. Amin ya rabb.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hebat tak hebat suami ini, BroOhsem setiap bulan dia akan ‘hunting’ puluhan helai tudung, kira-kira 20 helai untuk dihadiahkan pada isteri. Kegilaan itu memuncak apabila dia mengumpul dekat ratusan helai tudung buat isterinya.
Sampailah satu ketika, apabila dia dan isteri diuji dengan masalah kewangan yang hampir menyusut, tudung-tudung yang menjadi koleksi isteri itulah kelak yang menyelamatkan beban kewangan yang dihadapi.
Apa yang lebih mengagumkan adalah usaha suami ini yang tak pernah jemu menggembirakan hati pasangannya.
Atas dasar inilah, Mingguan Wanita senang sekali berkongsi kisah BroOhsem, Akhtar Syamir yang menunjukkan teladan yang baik dalam menghargai pasangannya, Nora Azni. Biarpun isterinya cuma seorang suri.
Lagi pun suami yang berusaha membahagiakan hati isteri, akan memperoleh bahagia dalam dirinya juga. Ketika menjalani hidup yang sukar, isteri inilah nanti yang kembali mengorbankan bahagia demi suami yang dia cinta.
Bermulanya Proses Hunting Di Group Tudung
Semalam teringat kegilaan saya buat isteri saya 2 tahun yang lalu.
Di tempat kerja saya, ada beberapa orang yang minat dengan tudung ni. Masa tu saya tak tahu tudung apa pun. Tapi seronok tengok diaorang dok kumpul order tiap – tiap bulan. Lepas tu diaorang akan berpakat untuk pakai tudung corak yang sama setiap hari.
Masa tu saya terbayang, “Alangkah seronoknya kalau isteri aku dapat pakai tudung cantik macam ni.”
Sejak dari hari tu saya mula bertanya-tanya mengenai tudung ini dengan rakan sekerja. Barulah saya tahu pasal jenama dan label-label serta corak-corak yang hot tudung ni.
Bila balik rumah, saya bercerita dengan bersungguh-sungguh kat isteri. Dia pun dari tak pernah dengar, terus jadi minat. Dari situ kami mula study dan menyedari tentang nilai tudung yang boleh mencecah ratusan ringgit bergantung kepada corak yang terkenal.
Disebabkan baru berjinak-jinak, saya fokus pada corak yang hot tetapi tidak mahal.
Seminggu sebelum hari lahir isteri, saya mulakan proses “hunting” di group tudung tersebut. Ramai seller yang memanggil saya “sis” dan terkejut serta terharu apabila mengetahui yang saya sedang hunting untuk isteri.
Respons ahli dari grup tudung dengan kegilaan BroOhsem ketika itu.
Ramai Teruja Dan Terharu Dengan Apa Yang Saya Buat Untuk Isteri
Hasilnya, tepat pada hari kelahiran isteri, saya hadiahkan beliau 20 helai tudung Aidijuma yang termampu saya hunt. Perkara ini saya dedahkan di dalam group tudung tersebut dan buat pertama kali dalam hidup, posting saya mencecah seribu likes.
Ramai yang teruja dan terharu dengan apa yang saya lakukan buat isteri memandangkan ahli – ahli di dalam group tu pun memang mempunyai minat yang sama.
Tetapi kegilaan saya tidak terhenti di situ, saya seperti terjebak di dalam mengumpul tudung AJ dengan corak – corak hot yang lain.
Termasuklah pembelian corak baru setiap bulan. Sehinggalah jumlah tudung yang dibeli mencecah lebih dari seratus helai beberapa bulan selepas itu.
Setiap kali isteri saya pakai, saya rasa berbangga kerana saya berjaya menghias isteri saya dengan cantik walaupun beliau tidak bekerja.
Bagi saya ianya satu kejayaan yang baik bagi seorang suami. Saya sendiri seronok bila isteri suka bergambar dengan tudung-tudung yang berlainan corak.
Tudung Jadi Aset, Selamatkan Suami Isteri Dari Masalah Kewangan
Namun…
Mungkin telah ditakdirkan. Tudung-tudung ini menjadi aset untuk kami selepas pembelian rumah sendiri setahun selepas itu. Kami telah menghabiskan segalanya untuk proses pembelian dan kemasukan rumah sehinggakan kami hampir putus sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan. Ditambah pula dengan kelahiran anak kedua kami.
Pada masa itulah, isteri saya mengorbankan minat dan harta yang antara beliau paling sayangi iaitu tudung-tudung yang saya belikan buatnya.
Tetapi jujur saya katakan, saya yang lebih sedih dari isteri. Kerana selama berbulan-bulan lamanya kami mengumpul koleksi sehingga saya menjadi terkenal di group tudung yang hampir kesemuanya dipenuhi oleh wanita.
Alhamdulillah, disebabkan nilai tudung yang hampir kesemuanya tidak turun dari harga asal walaupun yang “preloved” malah ada yang berganda-ganda harganya, kami dapat menampung perbelanjaan hidup kami pada ketika itu.
Pelaburan Paling Berbaloi Tentulah Untuk Isteri Dan Keluarga
Selepas kehidupan kami kembali stabil, isteri saya Nora Azni mengambil keputusan untuk menghadiahkan tudung – tudung yang tidak terjual kepada saudara – mara dan rakan – rakan beliau di facebook.
Perasaan seronok apabila kita memberi adalah satu perasaan yang sangat istimewa bagi kami. Yang tinggal hanya beberapa helai yang paling beliau minati. Itulah yang menjadi kenangan kegilaan kami yang paling manis.
Betullah apa yang dikata, pelaburan yang paling berbaloi ialah pelaburan kepada isteri dan keluarga. Kerana ia telah terbukti akhirnya dapat membantu keluarga kami di saat yang paling kami perlukan di samping dapat menggembirakan hati isteri.
Suami yang terlampau ralit dengan gajet, hubungan dengan keluarga semakin renggang. Gajet seperti telefon pintar sememangnya sangat penting dan ianya adalah keperluan dalam hidup. Tetapi jangan sampai menjejaskan hubungan kekeluargaan.
Banyak kes penceraian berlaku kerana suami isteri kurang berkomunikasi, masing-masing sibuk dengan kerja sendiri. Adik beradik kurang berkomunikasi, anak dengan ayah saling tidak bertegur sapa walau ada didepan mata. Ibu dan ayah tidak bermesra, semuanya kerana gajet.
Suami mula tidak mengendahkan isteri, setiap pertanyaan isteri tidak dihiraukan, yang dipentingkan ialah telefon bimbit. Jika anda dapat meluangkan masa berjam-jam mengadap telefon, mengapa mahu luangkan masa selama setengah jam dengan isteri terasa sangat sukar?
Sangat penting komunikasi dalam sesuatu hubungan, ada satu luahan di mana luahan itu khas buat seorang suami yang pentingkan telefon bimbit dari isterinya sendiri. Diambil dari theasianparent, mari kita hayatinya.
Apabila suami asyik dengan gajet
Wahai suami yang asyik dengan telefon, anda hanya perlu masa 1 minit (atau kurang) untuk terlepas momen indah dan istimewa yang tercipta di antara isteri dan anak-anak. Percayalah, anda – suami asyik dengan handphone akan terlepas semua momen indah yang anda tak jangka ini.
Anda perasan tak bagaimana anak perempuan anda itu ternanti-nanti perhatian dari anda kerana dia sudah berjaya mengeja? Anda mungkin tak nampak momen indah ini kerana anda sibuk dengan handphone.
Anda juga mungkin tak nampak yang isteri tercinta baru saja berjaya mengajar anak lelaki anda menghirup air dengan straw, dan dalam sekelip mata, si manja anda berjaya meniru aksi ibunya! Apabila suami asyik dengan handphone, dia mungkin akan terlepas momen tertentu.
Anak Membesar Depan Mata Pun Tak Perasan
Entah berapa banyak pencapaian anak-anak yang anda terlepas? Entah berapa kali anak lelaki anda memandang anda untuk meminta perhatian, tapi anda tak menghiraukannya?
Entah berapa kali isteri anda terpaksa ulang soalan beliau kerana anda tak dengar apa dia cakap? Entah berapa kali makan malam yang disediakan si isteri sejuk kerana anda lambat nak makan, sibuk main telefon saja?
Suami asyik main handphone tertinggal momen indah yang patut dihargai. Semua ini mungkin antara momen-momen indah dan bernilai yang anda terlepas. Hubungan dengan gajet itu akan merosakkan hubungan anda dengan keluarga anda sendiri.
Ketahuilah… anak dan isteri anda hanya mahukan perhatian dan kasih sayang dari anda. Mereka mahu anda letak sekejap telefon itu. Jangan jadi suami yang asyik main handphone sekejap. Satu minit saja.
Pandanglah mereka. Peluk mereka. Cakap dan bersembanglah dengan mereka. Senyum dan ukir tawa di bibir mereka.
Apabila isteri anda minta sedikit me-time, itu bukan tanda mereka mahu merungut kepenatan dan ingin meninggalkan anda. Itu sebenarnya tanda mereka “meminta bantuan”.
Mereka memerlukan anda
Semua cerita di Facebook itu boleh tunggu. Daripada anda sibuk nak tahu apa yang semua orang sedang buat, apa kata anda cipta “momen” anda sendiri?
Semua permainan dan level dalam game anda itu boleh tunggu. Anda mungkin akan kalah dalam games, tapi anda akan memenangi hati anak anda. Mereka akan menyayangi bapa mereka sepenuh hati.
Malah, emel dari bos anda itu juga boleh tunggu. Bukankah anda bekerja untuk keluarga? Kenapa bawa balik kerja ketika anda bersama keluarga, pula? Wahai suami yang asyik main handphone, anda tak mahu menyesal di kemudian hari…
Wahai suami yang asyik main handphone, anda tak mahu buat keluarga anda ternanti-nanti kasih sayang dan perhatian anda. Percayalah. Kalau anda buat mereka tertungu-tunggu, anda mungkin akan kerugian besar.
Anda hanya ada satu kehidupan. Anda hanya ada satu peluang di muka bumi ini untuk bersama dengan insan yang anda sayang. Anda hanya ada satu peluang untuk jadi suami dan bapa yang terbaik.
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri dari alam maya secara sihat. Marilah kita hidup pada ‘masa sekarang’ di mana isteri, anak perempuan dan anak lelaki anda sedang ketawa riang sambil belajar menyanyi setiap hari.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hujung minggu biasanya mak-mak akan dedikasikan waktu bersama keluarga tersayang. Selain menghabiskan masa di rumah, menonton wayang bersama keluarga juga salah satu cara untuk ‘bonding’ bersama anak-anak. Bolehlah anda habiskan masa berkualiti dengan keluarga dengan kos yang tidak terlalu mahal. Namun yang sering menjadi masalah adalah sikap anak-anak terutamanya yang masih kecil kadang-kadang memeningkan kepala ketika menonton. Ada yang tidak duduk diam dan juga mula bosan setelah beberapa ketika menonton. Tip di bawah ini boleh anda praktikkan untuk anda dan sikecil supaya dapat menikmati filem yang ditonton dengan tenang dan gembira sepanjang siaran.
Pastikan filem yang bakal anda tonton disukai oleh anak-anak anda. tunjukkan kepada mereka preview atau sedikit sedutan menarik yang ada untuk ketahui adakah anak-anak anda akan suka dengan filem yang akan ditonton nanti. Jika mereka menyukainya pasti mereka akan fokus dan menonton dengan tenang di dalam pawagam.
Jangan lupa untuk membeli snek dan juga minuman kegemaran mereka untuk dibawa ke dalam pawagam. Makanan dan minuman tersebut akan membuatkan mereka bertambah seronok untuk menonton filem nanti.
Bawa beberapa permainan kesayangan mereka bersama jika mereka bosan, bolehlah mereka bermain dengan permainan tersebut. Tetapi jika permainan tersebut boleh menimbulkan bunyi bising, maka sebaiknya anda membawa buku mewarna atau tablet bersama fon telinga untuk mereka tonton atau bermain permainan video di dalamnya.
Sebelum filem bermula, sebaiknya anda menerangkan kepada anak-anak anda bahawa bukan keluarga anda sahaja yang ada di dalam pawagam tersebut. Oleh itu amat penting untuk mereka menjaga kelakuan dan kekal tenang sepanjang tayangan filem tersebut supaya orang lain juga dapat menikmati filem yang ditayangkan dengan baik.
Memastikan keperluan anak-anak didahulukan sepanjang menonton wayang. Jika anak-anak anda sudah boleh duduk sendiri, pastikan mereka boleh Nampak layar di hadapan supaya tidak menimbulkan bunyi bising kerana mereka tidak dapat menonton filem yang ditayangkan. Sediakan kusyen atau benda yang sedikit tinggi untuk keselesaan mereka sepanjang tayangan.
Buat satu ‘silent game’ sepanjang filem ditayangkan. Siapa yang kalah akan di denda dan siapa yang menang akan diberi hadiah selepas selesai menonton. Pasti mereka lebih diam dan tenang sepanjang menonton.
Jika anak-anak berkelakuan baik sepanjang menonton, bawalah mereka makan ke restaurant kegemaran mereka atau belikan permainan yang mereka suka. Pasti mereka teruja dan mahukan aktiviti tersebut berulang lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri ditinggalkan suami selepas derita kanser payudara, tak mampu bekerja sara dua anak. Berat ujian seorang isteri apabila dia ditinggalkan suami selepas mengambil keputusan...