Jika Rasa Susah, Ada Lagi Yang Lebih Melarat Hidupnya.. BERSYUKURLAH!

Catatan ringkas anak muda, Khairul Mohd tentang anak-anak di Pulau Mantabuan, Semporna, Sabah yang mengutip sisa makanan untuk dibawa pulang dan diberikan pada keluarga menjentik hati wanita ini, Liza Suhana.

Katanya itu kisah ex studentnya yang bercuti di pulau itu. Di sana, pelajarnya itu bertemu dengan anak perempuan kecil ini yang mencedok makanan dari bekas biru ke dalam plastik merah yang dibawanya.

Rakaman anak kecil itu meninggalkan kesan yang cukup mendalam dihatinya. Menterjemahkan makna SYUKUR dengan nikmat yang tuhan berikan.

Anak Perempuan Ini Mencedok Sisa Nasi Pengunjung..

Sedang jari asyik menguis skrin telefon, terbaca posting Khairul Mohd tentang anak-anak di Pulau Mantabuan, Semporna.

Sebak dada melihat video anak perempuan ini yang kelihatan sedang mencedok sisa nasi dan lauk pengunjung pulau ini ke dalam beg plastik untuk dibawa pulang.

Allahu…

Fikiran terus terbayangkan anak-anak sendiri. Bagaimana jika itu anak kita? Tak sanggup rasanya mahu memikirkannya lagi.

Syukur! Ya, bersyukurlah!

 

IKLAN

Jika Rasa Susah, Ada Lagi Yang Lebih Melarat Hidupnya.. BERSYUKURLAH!

Entah Bila Kali Terakhir Anak Ini Pakai Pakaian Baru

Makan kita bukan sahaja enak dan cukup, malah terlebih hingga dibuang-buang. Tidur kita nyenyak di atas tilam empuk, sedangkan anak-anak ini tidur mungkin hanya beralaskan tikar usang. Entahkan berbantal ataupun tidak.

Pakaian kita penuh dalam almari, namun itupun dirasakan masih tidak cukup. Setiap bulan ada sahaja pakaian baharu yang dibeli, menyendatkan lagi gerobok. Pakaian mereka mungkin hanya beberapa helai yang diulang pakai. Entah bila kali terakhir anak-anak ini memakai pakaian baharu.

Jika anak kita merengek mahukan barang mainan, kita masih mampu membelikannya. Bukan satu dua, bahkan puluhan jenis mainan, mahal dan murah penuh dalam bakul. Agaknya, barang mainan anak-anak ini adalah pasir pantai yang saban hari mereka jejak.

Bersyukurlah!

IKLAN

Jika kita susah, ada lagi yang lebih melarat hidupnya. Dan jika kita menanggung masalah, ada lagi yang lebih berganda bebanan masalahnya. Jika ada di antara kita yang sedang diuji sakit, masih ada yang sakitnya lebih berat lagi.

Dengan Langkah Ini, Anda Mampu Bantu Anak-anak Pulau Ini

Apa yang boleh dibuat sebagai netizen yang cakna tentang isu ini ialah :

1) Menyumbang wang ringgit, material atau khidmat secara persendirian atau berkumpulan

2) Bekerjasama dengan badan kerajaan atau NGO untuk mengkaji sejauhmana keperluan golongan seperti ini

3) Jika tidak mampu, viralkan supaya lebih ramai yang tampil membantu golongan ini yang mungkin tidak pernah diketengahkan.

IKLAN

4) Pepatah ‘jaga tepi kain sendiri’ sudah tidak relevan kini. Cakna keadaan masyarakat di sekeliling. Mana tahu mungkin jiran kita sendiri yang perlukan bantuan!

Bagi kita yang diberi kesempatan melihat keperitan hidup orang lain, ia bukan suatu kebetulan. Dia mahu kita berfikir lalu mengambil ibrahnya.

Ia sepatutnya menjadikan kita semakin hampir dengan-Nya…

Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” (Al Baqarah : 152)

MW : Semoga kisah ringkas ini membuka mata kita agar lebih menghargai dengan setiap apa yang kita ada. Jangan sesekali ‘ambil mudah’ ‘ambil kesempatan’ dengan nikmat yang tuhan berikan tanpa had ini.

Sumber/Foto : Liza Suhana / Khairul Mohd

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI