Untitled design(468)

Dalam dunia ini, ada perkara yang berlaku kadangkala sukar untuk diterima oleh logik akal. Bukan sekali dua kes orang hilang, akhirnya dijumpai semula. Namun, apabila orang hilang itu kongsikan semula cerita kehilangannya, semakin misteri pula nak dirungkaikan dengan pemikiran yang logik.

Kelmarin, Hanis Syamimi Yusuff, 20 yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu oleh ibunya ditemui semula oleh sepupu, pekerja ladang dan pihak berkuasa sekitar jam 3 petang. Daripada video yang dikongsikan, Hanis kelihatan berada dalam celahan akar pokok tepi sungai.

Dia dikatakan sudah seminggu bergayut pada akar pokok berhampiran tebing sungai di Felcra Kruak, Jertih, Terengganu itu. Menahan kelaparan dan pastinya alami kesejukan yang teramat. Malah, memandu sejauh 55km dari rumahnya di Kampung Guntang.

Jika pembaca masih ingat, kisah orang hilang penuh misteri sebegini juga pernah terjadi pada pemuda Broga yang hilang selama seminggu. Malah, selepas ditemui dia maklumkan mengikut budak perempuan memakai purdah serba putih dalam remang senja.

Macam mana Hanis boleh sampai ke sungai? Menyeberang sungai yang menghampiri paras dada dan duduk dalam celahan akar. Syukurlah air sungai tak naik parasnya dalam tempoh itu.

Seperti yang diceritakan oleh sepupunya, Mohd Hafiz Zahari, 35, sewaktu menunggang motosikal itu semacam ada suara memanggil-manggil namanya. Lepas terdengar suara tu, Hanis langsung tak sedar. Tau-tau dia dah ada dalam celahan akar pokok dekat tepi sungai tu.

Lebih menghairankan, waktu keluar rumah Hanisa, dia tiada duit langsung. Tapi minyak motosikal penuh tangkinya.

IKLAN

Redah Bukit, Ladang Kelapa Sawit Sebelum Temui Hanis

Dari cerita ibunya, Nasarah Muhammad, 56, seminggu lalu Hanis keluar rumah menunggang motosikal jenis SYM berwarna hitam dan merah sekitar jam 7 pagi. Ibunya sangka anaknya itu keluar rumah nak ambil angin, rupanya tak balik sampai sudah.

Bila kisah penemuan motosikal Hanis yang berselut itu viral di laman Facebook Anak-Anak Jertih, bergegaslah sepupu Hanis ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk minta bantuan.

Anggota di IPD Pasir Puteh berhubung dengan Balai Polis Pasir Akar, Jertih untuk bantuan. Saya kemudian bergerak ke lokasi motosikal untuk menjejak kedudukan Hanis.

Saya dan beberapa pekerja ladang serta pihak berkuasa terlibat dalam gerakan mencari dan mengesan kedudukan Hanis terpaksa meredah kawasan berbukit dan ladang kelapa sawit sebelum jumpa dia.

Terima kasih kepada polis dan pekerja ladang yang sanggup membantu dan turun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Hanis,” kongsi sepupu Hanis.

Alami Kemurungan, Bercakap Seorang Diri

Menurut sepupunya ini lagi, Hanis yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya ini mengalami kemurungan dan beberapa hari sebelum hilang dia sering bercakap seorang diri.

Hanis masih lagi belajar di semester dua dalam pengajian Seni Digital dekat Politeknik Arau, Perlis. Bila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, Hanis balik ke kampung pada 30 April lalu.

Hanis cuma tinggal berdua dengan ibunya. Sejak arwah ayah meninggal tahun 2008, keluarga kecil ini cuma bergantung dengan pencen arwah ayah untuk menampung kehidupan mereka.

Malah sejak dari tingkatan lima lagi Hanis sudah mengalami masalah emosi, kurang bersosial dan merendah diri. Dia banyak meluahkan perasaannya di whatsApp dan melukis.

Dia anak yang baik cuma alami tekanan. Kami orang susah, mungkin banyak sebab dia rasa tertekan.” kata sepupunya.

Malah mengharapkan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu Hanis dari segi sokongan emosi dan kewangan.

Sebagai sepupu, saya kasihan melihat mereka berdua.”

Sumber/Foto : Sinar Harian, Harian Metro