Ada orang memang jenis yang ‘biar papa asal bergaya’. Sanggup berhutang sana sini demi nak kelihatan bergaya. Tapi akhirnya makin lama hutang itu makin membelit diri. Hidup mula stres dan tak tenang dibuatnya.

Duit memang PERLU

Motivasi tidak menjadi andainya seseorang itu terbelit oleh kemelut hutang. Hidup hari ini memang terpaksa bergantung pada duit, andainya tiada duit, berilah sekapal motivasi pun, akan tetap murung juga sebab hambatan hutang memang menyeksakan.

Sebagai motivator tulen negara, saya kerap didatangi individu atas pelbagai masalah, biar bagaimana lengguknya, hujungnya menghala pada duit juga. Jadi, bolehlah disimpulkan sebagai duit memang amat diperlukan.

Cepat Marah Dan Cenderung Bertindak Bodoh!

Orang yang hidup dalam tekanan hutang selalunya tidak mencerlah dalam semua perkara. Dia juga boleh m

enjadi seorang yang cepat marah. Berikutnya dia boleh bertindak bodoh. Bagaimana keadaan ini boleh menjadikan seseorang itu bermotivasi tinggi? Tentu tidak.

Ramai orang memberikan alasan terpaksa apabila ditanya mengapa berhutang? Sebenarnya bukan semua perkara terpaksa. Tahap terpaksa ini tidak sama antara individu dengan individu yang lain, bergantung kepada setinggi mana motivasi dirinya pula. Seseorang yang baru keputusan teh, sudah mula hendak berhutang, sudah tentu tidak sama dengan orang yang sudah tiga hari kebuluran baru hendak berhutang, bukan?

Kategori Penghutang

Terpaksa itu sendiri boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian pula. Jika diambil konsep Islam dalam ibadah sebagai garis panduan, ia boleh terbahagi kepada; wajib berhutang, sunat berhutang, harus berhutang, makruh berhutang dan haram berhutang.

Itu bermakna hutang bukan semuanya terpaksa, malah ada ketikanya salah jika berhutang, misalnya berhutang untuk pelaburan yang tidak syarie, ia menyalahi Islam ataupun berhutang dengan ah long, bukankah ia salah di sisi undang-undang negara?

IKLAN

Ada Orang Sanggup BERHUTANG Sebab Ikut Trend dan Sekadar Suka-Suka!
Berhutang Sebab Rasa Hidup Tak Sempurna

Jadi, kepada orang yang kerap menyebut perkataan TERPAKSA BERHUTANG, berhentilah sejenak, menolehlah ke kiri dan kanan, hadapan dan belakang, tanya diri betulkah hutang aku ini TERPAKSA?

Ada pula orang memang trend dialah tu berhutang. Kalau tak berhutang, dirasakan hidup macam tak sempurna. Lagi banyak hutang lagi moderate rasanya, lagi up-to-date, lagi menepati dengan kehidupan masa kini. Lagi banyak dapat berhutang daripada banyak institusi kewangan dianggapnya terbaik, sebab itu membuktikan keupayaan membayar juga. Lantas, golongan ini bangga berlagak oleh banyaknya hutang.

Nak Menunjuk Ada Banyak Kad Kredit

Hutang jenis ini yang paling jelas adalah hutang kad kredit, seseorang itu boleh dengan bangganya melambakkan kad-kad kredit yang dimiliki kepada kawan-kawan. “Tengok, berapa banyak kad kredit aku, semua bank ada.”

Orang begini lebih suka hidup dalam hutang berbanding membebaskan dirinya daripada bebanan hutang. Akan sampai ketikanya nanti dia akan terbelit habis, kerana mainan sistem kewangan berteraskan riba akan sentiasa merugikan pihak kedua (peminjam) bukan pertama (pemberi pinjam). Trend suka berhutang eloklah dikawal supaya hidup lebih terarah.

Ada Berhutang Sebab Suka-Suka

Ada juga orang dalam ketegori sempoi kerana dia berhutang sebab suka-suka, biasanya melibatkan hutang-hutang kecil misalnya hutang beli kain, beli tudung, beli karpet. Mereka yang berhutang jenis ini selalunya langsung tidak merasakan bebanan kerana hutang itu amat kecil baginya. “Eleh, hutang tudung banyak manalah, sebulan lima hinggit, setahun habislah. Tak rasa pun, tapi tudung dapat pakai awal.”

IKLAN

Hutang suka-suka, dari satu aspek bolehlah dianggap pelepas tekanan hidup tetapi kalau terlalu banyak akan turut terbelit juga.

Elakkan Ada Unsur Riba

Satu lagi, meskipun ia kecil, elakkan daripada unsur-unsur riba, misalnya harga tunai lain, ansuran tiga bulan lain, harga enam bulan atau harga setahun juga lain sebab ia tidak ubah seperti apa yang diamalkan oleh sistem pembiayaan konvensional juga meskipun berjumlah kecil.

Nabi s.a.w pun bersabda; “Sesungguhnya, apabila seseorang terlilit hutang, maka bila berbicara dia akan berdusta dan bila berjanji dia akan mungkiri.” – (Bukhari & Muslim)

Lagi artikel menarik di sini:

IKLAN

Sebelum Berhutang Fikir Dahulu, Sebab Seusia 18 Tahun Ada Diisyhtihar Muflis

“Tolong Jaga Adab Berhutang Agar Hubungan Tak Putus…”

Jangan lupa follow MINGGUAN WANITA di instagram

Berazam Sungguh-Sungguh Untuk BAYAR!

Lihatlah betapa buruknya sifat si penghutang, cakapnya mudah kelentong, janjinya tak boleh pakai langsung. Orang yang begini bolehkah diharapkan lagi? Terhadap keluarganya dia akan serabut, terhadap kawan-kawan dia sudah tidak dipercayai, kepada orang yang dia tidak kenali ada hasrat pula untuk memperdaya. Bolehkah orang serupa ini cemerlang dalam hidup? Sudah tentu tidak.

Berazamlah betul-betul nak bayar, kelak anda akan mendapat ilham untuk membayar. Azam, target, kehendak, sasaran dan cita-cita perlu ada dalam matlamat penyelesaian hutang ni.

Sumber: HM TUAH ISKANDAR al-Haj

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI