Isteri mana yang tak risau kalau suami berperangai ‘pelik’, suka menghilangkan diri tanpa dapat dikesan jejaknya. Pantang bergaduh, berhari-hari malah berbulan-bulan dia ‘hilang’ dan akhirnya akan muncul secara tiba-tiba.

Terasa diri tak dihargai selayaknya sebagai seorang isteri, ditinggalkan umpama tiada perasaan. Malah lebih malang, nafkah pun tak diberikan.

Ikuti luahan rasa seorang isteri yang dijawab oleh kaunselor & penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, yang juga merupakan kolumnis ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.

Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang isteri yang telah menjalani hidup berumah tangga selama 13 tahun lamanya. Suami itu adalah pilihan hati saya sendiri.

Sempat Bermadu

Sebenarnya pada awal perkahwinan, saya merupakan isteri kedua dan selama setahun saya sempat hidup bermadu. Ketika itu suami adil bergilir-gilir di antara rumah saya dan isteri pertama. Namun jodoh suami dan isteri pertamanya tidak panjang dan mereka bercerai. Akhirnya saya satu-satunya isteri suami.

Puan, terus terang, lebih banyak air mata yang tumpah sepanjang perkahwinan kami, berbanding gelak ketawa. Namun, demi sayang, saya tetap cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta ini. Suami bekerja sendiri tapi saya tak pernah merungut dan sedia hidup bersederhana.

Wanita Ini Sudah Habis Sabar, Suami Asyik ‘Hilang’ Tanpa Berita
Perangai Pelik

Puan, suami saya ada satu perangai pelik, suka menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sepanjang itu dia takkan akan jawab telefon atau SMS/whatsapp saya. Kami tak pernah bertengkar teruk. Bila saya menasihatinya tentang sesuatu perkara, andai dia terasa, dia secara tiba-tiba saja akan menghilangkan diri selama berhari-hari.

Keadaan ini berlaku sejak tujuh tahun lalu. Puas saya fikirkan kenapa tapi saya tak dapat cari jawapannya. Paling lama, tahun lalu, selama tiga bulan dia menghilang tanpa berita. Sepanjang tempoh itu, segala perbelanjaan ditanggung oleh saya sendiri.

IKLAN

Suami juga tidak pernah ambil endah tentang hal lain sehingga abang saya meninggal dunia pun dia tidak muncul. Bila saya whatsapp, tak dibalas walau pun saya tahu dia sudah membacanya. Selang beberapa hari, hanya dibalas dengan ‘ok’. Agaknya kalau saya meninggal pun dia takkan ambil kisah.

Pejabat Agama

Akibat ditinggalkan selama tiga bulan, saya merujuk kepada pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat dan mereka minta saya membawa suami bersama untuk sesi kaunseling tapi sudah pasti tidak dihiraukan oleh suami. Saya juga pernah ke mahkamah syariah tapi melihatkan proses yang rumit, membuatkan saya putus harapan untuk menegakkan hak saya.

Kini, ketika saya menulis kepada puan, suami sudah sebulan menghilang. Puas saya cuba hubungi tapi tidak diendahkannya.

Saya amat tertekan dengan keadaan ini dan saya inginkan nasihat untuk saya keluar daripada masalah ini. Sabar saya sudah hilang kerana selama ini saya sudah terlalu banyak memendam rasa. Air mata menjadi teman setia. Tapi sampai bila harus saya bersabar andai dia tidak juga berubah?

Sebenarnya sikapnya yang suka menghilang itu pernah dilakukan ketika bersama isteri pertama sehingga bekas isterinya menuntut cerai secara fasakh kerana dia tidak pernah hadir ke mahkamah. Apakah itu juga yang patut saya lakukan?

IKLAN

Keluarga saya tidak tahu akan masalah saya ini kerana saya tidak suka berkongsi kisah rumah tangga hingga boleh memburukkan suami pula. Dengan ibu mentua pula, pernah saya mengadu tapi saya pula dipersalahkan kerana dia terlalu percayakan anaknya itu.
Puan, selama ini saya banyak bersabar dan tak putus-putus berdoa agar saya diberikan pertunjuk terhadap kemelut yang saya sedang alami ini. Namun saya semakin tertekan. Apakah tindakan sewajarnya yang boleh saya ambil? Bantulah berikan saya nasihat.
Isteri Tertekan, Kuala Langat Selangor.

Jawapan:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assaalamualaikum puan yang dirahmati Allah….

Perjalanan hidup dalam alam berumah tangga pasti ada pelbagai ujian dan rintangan. Ada orang dikurniakan pasangan yang punya tanggungjawab, penyayang dan mengambil berat hal isteri dan anak-anak. Makan, pakai , tempat tinggal dan kenderaan disediakan mengikut kemampuan yang ada. Kebanyakan isteri bukan sangat mengharapkan suami menyediakan pakaian, makan, tempat tinggal dan wang yang mewah untuknya. Memadai punya tanggungjawab, ambil berat, dan menyayangi anak isteri pada setiap waktu. Ikatan kasih yang ditunjukkan akan menjadikan isteri semakin setia dan kasih.

Setia

Mengikut teori, majoriti isteri lebih setia terhadap suami berbanding suami terhadap isteri (namun ini bukan satu yang tepat seratus peratus). Hatta hingga suami sakit, isteri akan setia menjaganya hingga ke akhir hayat. Setia walaupun suami mengabaikannya dan anak-anak atau mengambil kesempatan terhadap kesenangan isteri. Asalkan dia tidak ditinggalkan, demi anak-anak khususnya.

IKLAN

Bukan mudah untuk menangani suami yang ada sejarah hidupnya sendiri. Sekadar nasihat dan bimbing dia belum pasti berjaya..kerana situasi itu telah sebati dalam hidupnya, malah sifat keegoan mereka yang kuat. Kehilangan suami untuk beberapa tempoh masa mesti ada sebabnya kenapa dia menghilang. Sudahkah puan mengetahui punca dia menghilang? Sebagai seorang isteri, saya rasa puan pasti tahu ke mana dan apa yang dia buat. Jika tidak diketahui, cuba cari maklumat dari rakan-rakannya, saudaranya, malah boleh juga bertanya daripada bekas isterinya. Biasanya orang yang sebegini ada aktiviti yang dia lakukan. Mungkin juga berkaitan dengan dadah (maaf), aktiviti santai bersama rakan-rakan (mungkin judi, lepak-lepak, clubbing), atau aktiviti yang tidak langsung memberi faedah kepada diri, malah yang memberi kemudharatan pada dirinya. Mungkin juga ada wanita lain.

Puan tidak perlu membuat penafian pada diri sendiri terhadap apa aktivitinya yang dibuatnya. Mungkin ia memudaratkan diri dan keluarga. Lihat pada kewangannya, adakah digunakan secara yang betul dan diberi kepada keluarga atau lebih banyak dihamburkan kepada aktiviti yang tidak berfaedah? Perceraiannya dengan isteri pertama dahulu, adakah disebabkan dia tidak mahu dimadukan atau kerana keterlibatan suami dia dengan aktiviti yang memudaratkan?

Ubat Jiwa

Dalam kemelut menghadapi ujian dalam hidup, dalam Quran surah al-Baqarah ada menyebut…hadapilah ujian hidup yang kamu hadapi dengan SABAR DAN SOLAT. Mungkin saya atau orang lain senang berkata. Tapi itulah ubat untuk merawat jiwa. Banyakkan zikir mohon pertolongan Allah. Bangun setiap malam mohon bantuan Allah. Banyakkan solat..membaca al-Quran…kerana dari sini puan akan ketemu ketenangan. Ianya memerlukan usaha yang istiqamah (berterusan) dan membina kekuatan dalam. Kata alim ulama, kekuatan dalaman diperolehi dengan membanyakkan solat malam. Ini adalah makanan rohani, inilah ubat “kuat” kepada ujian hidup….. vitamin kepada kekuatan dalaman untuk menghadapi kemelut dalam ujian hidup. Jika kuat di dalam, maka apa jua ujian dalam hidup dapat dihadapi dengan tabah.

Cuba dapatkan jawapan kepada ‘misteri’ kehilangan suami daripada sumber yang saya sebutkan. Apabila puan telah mendapat jawapan kepada persolan ini, puan boleh beri kata dua kepadanya adakah dia mahu hidup dengan puan atau meneruskan aktivitinya? Beri dia pilihan. Pilihan ini diberikan setelah puan menasihatinya dan membimbingnya, malah telah sekian lama mendoakan perangainya untuk berubah. Jangan takut kepada “kehilangan”.

Mungkin pilihan yang minta dibuat ini menjadikan dia sedikit gentar. ( Namun mungkin tidak). Lihat kepada “jaraknya”. Sejauh mana tindakan puan memberi kata dua itu memberi kesan kepadanya, hanya puan yang tahu. Lagi puan tunjukkan sifat takut terhadap kehilangannya, maka selagi itu dia berani dengan aktivitinya yang suka menghilangkan diri. Jika puan sudah tidak mampu menanggung kerenahnya, maka puan boleh cuba – katakan kepadanya jika awak (abang) pergi kali ini, maka awak tidak perlu balik lagi selepas ini. Ini mungkin gertakan yang mungkin dia tidak kisah atau boleh jadi juga dia rasa terancam.

Kuat

Apa jua reaksinya puan mesti kuat. Kuat menghadapi ujian hidup. Seperti yang saya katakan, jangan takut kepada kehilangan jika itu yang ditakdirkan (itu pun setelah puan menasihati, membimbing dan bersabar dengan karenahnya). Saya pernah mempunyai klien yang mempunyai suami yang baran dan ego yang tinggi. . Alhamdulillah dengan kebijaksanaannya “mengurus keadaan”, membina kekuatan dalamannya selama beberapa tahun, bersabar dan melakukan aktivitinya sendiri dengan tidak menumpukan perasaan dan emosinya terhadap suami, kini dia sudah mampu menjalani kehidupannya dengan agak baik, walaupun dia masih tidak mendapat apa yang dia harapkan daripada suami.

Puan juga boleh menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika tidak sangat menumpu kepada suami, kurangkan pergantungan emosi dan perasaan terhadap suami, pelbagaikan aktiviti yang bermakna dalam kehidupan, sibukkan diri dengan aktiviti yang diminati atau yang menambah pendapatan, seperti berniaga secara kecil-kecilan, mencari peluang berniaga atau aktiviti riadah, kemasyarakatan yang akan menjadikan puan lebih sibuk sehingga puan tidak sangat memikirkan tentang dirinya. Cuba cipta keadaan “bukan puan yang mencarinya…tetapi dia sendiri yang akan kembali ke pangkuan puan”, semuanya bergantung kepada bagaimana puan menangani kerenahnya, mengurus emosi puan, dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baik aktiviti. Bergantung harap kepada Allah..bukan kepada manusia.. Insya Allah puan akan mendapat ketenangan. Wallahualam…

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI