Wan Emir kongsi pengalaman terperangkap dalam ‘Taman Syurga’ Raudhah Madinah dari malam hingga ke Subuh.
Suami kepada pelakon cantik, Mira Filzah ini dirinya berasa bertuah kerana perancangan awal hanya untuk solat malam di Raudhah namun bertukar menjadi berjam-jam lamanya akibat ‘terperangkap’ di dalamnya.
Wan Emir Kongsi Pengalaman Terperangkap Dalam ‘Taman Syurga’
Sempena sambutan Maulidur Rasul 1443H, Wan Emir menyatakan dirinya berkongsi peristiwa ini agar dapat mendekatkan orang ramai dengan sunnah dan tauladan Rasulullah, pemilik sebaik-baik akhlak untuk dijadikan ikutan dan panduan sehingga akhir zaman.
Malah Wan Emir juga berdoa agar setiap daripada kita bakal menjadi tetamu Allah SWT di tanah-tanah suciNya.
“Terperangkap di Taman Syurga Raudhah (bersebelahan makam Rasulullah SAW)”
“Suka saya berkongsi semula kisah ini, di mana perancangan awal saya untuk solat malam di Raudhah biarpun sekejap, tukar menjadi berjam-jam lamanya akibat ‘terperangkap’ di dalamnya.
Ads
“Pada asalnya, saya sedang melaksanakan ibadah saya dan kelihatan ramai yang menunggu peluang mereka untuk mengambil tempat saya. Sedar dengan situasi itu, saya berniat untuk memberi peluang kepada orang lain untuk mengambil tempat saya dalam saf dan beredar keluar daripada kawasan Raudhah.
Kebaikan Dibalas ‘Cash’
“Dengan kuasa Allah SWT, perjalanan saya untuk keluar dari situ dihalang dengan kuatnya oleh barisan-barisan saf di hadapan saya, membuatkan saya terperangkap dalam ‘Taman Syurga’ (“Apa yang ada di antara rumah dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga.” [HR Bukhari & Muslim]) sehingga Solat Subuh.
“Erti lain, menjadi kebaikan buat saya dengan serta merta, dibalas ‘cash’. Bersandarkan tiang Raudhah itu, saya cuba manfaatkan setiap saat dengan beramal sehingga masuk waktu Solat Subuh, dan teristimewanya adalah tiang itu antara yang berdekatan dengan Rasulullah kekasih Allah SWT.. Syukur Alhamdulillah.
“Ya, sebolehnya kita semua hendak berada di tempat seistimewa Raudhah dengan lebih lama, ataupun memiliki sesuatu yang cukup berharga kepada kita, tetapi jika kita berkongsi/memberi sesuatu kepada saudara kita seperti mana yang kita mahukan buat diri kita, maka itulah yang sebaik-baiknya. Sabda Rasululllah: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [HR Bukhari].
Syukur Atas PetunjukMu & Menjadikan Nabi Muhammad Sebagai Idola
“Syukur ya Allah atas petunjukmu dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola yang sebenar-benarnya buat kita semua.
Ads
“Moga perkongsian peristiwa ini dapat mendekatkan kita dengan sunnah dan tauladan Rasulullah, pemilik sebaik-baik akhlak untuk kita jadikan ikutan dan panduan hingga akhir zaman. Dan semoga setiap daripada kita bakal menjadi tetamu Allah SWT di tanah-tanah suci Nya, aamin YRA.
“Salam Maulidur Rasul 1443H. Allahumma salli `ala Muhammad, wa`ala ali Muhammad. #RasululllahCintaTeragung#ArahManaSyurga,” kongsi Wan Emir Astar.
Sibuknya mak ayah mencari rezeki, janganlah sampai mengabaikan keperluan rohani anak-anak. Jika ‘lapar’ rohani anak, bagaimana nanti anak-anak mahu melengkapkan keperluan lainnya.
Mungkinlah anak cemerlang dalam pelajaran. Selalu dapat A, malah itu yang ibu ayah banggakan. Namun, gagal menunaikan tanggungjawabnya dalam kewajiban memenuhi rukun Islam mahupun iman. Walhal sudah pun melepasi akil baligh usianya.
Perkara sebegini usahlah ibu ayah abaikan. Terkesan dengan perkongsian Ustazah Aminah Mat Yusoff tentang hal ini.
Sibuk Kerja, Jangan Sampai Terabaikan Keperluan Rohani Anak-anak
Kongsinya,
Ibu ayah yang melorong anaknya ke neraka
1. Fal’iyazubillahi min zalik…Minta Allah jauhkan kita semua daripada perbuatan ini. Terkesan dengan ceramah ustaz Abdul Muien. Ramai ibu ayah zaman sekarang yang membunuh agama dan akidah anaknya. Terlalu sibuk mencari rezeki sehingga keperluan rohani anak diabaikan.
2. Anak-anak dipisahkan antara dunia dan akhirat. Perkara dunia didahulukan, akhirat pula nanti dulu. Anak tak solat, tak puasa, tak pandai ngaji takpe yang penting setiap kali periksa sangkut A.
3. Banyak jiwa yang berduka, menangis kelaparan rohaninya. Datang sekolah, kawan saya kata ( Cikgu Sekolah menegah) hampir 90% murid kelasnya mengaku tak solat. Bukan kerana tak pandai tetapi tidak ada pembudayaan dan penekanan dari ibu ayah.. Allahu.
4. Membunuh agama dan akidah anak-anak seolah sedang melorongkan mereka ke neraka Allah. Sesibuk mana ibu ayah dengan urusan kerja jangan pernah abaikan amanah yang Allah pertanggungkan. Rezeki Allah yang beri, oleh itu jangan berkerja sehingga membelangi pemilik rezeki. Ingatkah kita… Harta yang menjadi talian hayat ketika ibu ayah dalam kubur nanti bukan wang ringgit, rumah mewah, kenderaan besar, tanah berekar tapi anak soleh yang mendoakan kedua orang tuanya.
5. Lazimi membaca ayat 40 hingga 41 surah Ibrahim. Moga kita diringankan untuk melaksanakan solat, begitu juga zuriat dan keturunan kita. Moga Allah juga ringankan lidah kita menyebut KalamNya.
Mingguan Wanita : Bekerja itu penting untuk meneruskan kelangsungan hidup. Tapi berpada-padalah agar tidak mengabaikan perkara wajib yang perlu diutamakan.
Pejam celik pejam celik sekejap je dah memasuki bulan Zulhijjah. Kurang daripada 10 hari umat Islam akan akan berhimpun, berkumpul didalam persidangan terbesar, hari penuh keberkatan di Padang Arafah. Memuji kebesaranNya dan mengharapkan pengampunan daripadaNya.
Berpeluang menjadi ‘Duyufur Rahman’ atau tetamu Allah ditanah suci pastinya menjadi pengalaman terindah bagi sesiapa yang pernah melaluinya. Kenikmatan melakukan ibadah di tanah haram dan ketenangan jiwa disanubari sungguh tak tergambar dengan luahan kata-kata.
Jika pernah membaca coretan saya sebelum ini pada 2017, Pengalaman Tunai Haji Usia Muda, Paling Penting Pasang Niat, Rezeki Allah Cukupkan. Ia adalah pengalaman peribadi mak dan abah saya sendiri, Hajjah Ainon Abu Bakar,61 dan abah, Haji Abdul Wahab Bin Abdullah, 70 sewaktu mengerjakan haji kali pertama ketika usia mereka ‘boleh dikatakan’ ketika itu masih muda. Iaitu ketika mak berusia 35 tahun dan abah 44 tahun. Sekitar tahun 1993, kira-kira 26 tahun dahulu.
Alhamdulillah, kedua mak dan abah saya diberikan kesihatan yang baik dan Allah berikan rezeki buat mereka dapat menunaikan ibadat haji dua kali dan ibadah umrah sebanyak lima kali. Mereka baru pulang daripada menunaikan umrah pada Jun lalu.
Rezeki Tunai Haji
Mungkin satu suratan atau hanya kebetulan, selepas catatan tersebut dikongsikan, petang pada hari yang sama rezeki daripada Allah saya dijemput menjadi tetamuNya. Berpeluang menunaikan haji pada usia 31 tahun bersama suami dan kakak ipar pada tahun 2017.
Sebenarnya, kami menumpang rezeki kakak ipar, Rohana Bujang yang ketika itu terlebih dahulu telah membuat rayuan untuk menunaikan haji dan turut menjadi asbab membuka ‘jalan’ kepada kami.
Ia juga rezeki panggilan ‘last minute’ daripada Tabung Haji kerana buat pertama kalinya tahun tersebut, Kerajaan Arab Saudi telah memberikan tambahan kouta haji sebanyak 30,200 jemaah berbanding 27,900 pada tahun sebelumnya.
Surat tawaran mengerjakan haji untuk musim haji pada 1438H/2017M
Ingat lagi ketika itu pada petang Khamis, pihak Tabung Haji membuat panggilan menyatakan kami terpilih untuk menunaikan haji. Perlu mengambil surat tawaran, membuat baki pembayaran dan menyerahkan passport untuk penyediaan visa.Kelengkapan persiapan lain pula perlu dilakukan kira-kira dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh berlepas!! Segalanya perlu segera dan membuat keputusan pantas.
Bayangkan perasaan ketika itu bercampur baur. Gembira, seronok campur gementar. Sempat ke nak siapkan semua perkara?? Dengan kursus haji langsung tak pernah pergi. Kelulusan cuti daripada majikan belum dimohon. Anak usia 4 tahun siapa nak uruskan.
Semuanya Rezeki, Segalanya dipermudahkan
Alhamdulillah. Apa yang boleh dikatakan ia adalah rezeki, rezeki dan rezeki.Bukan semua orang terpilih untuk menjadi tetamuNya.Ada wang dan harta belum tentu jaminan untuk ke sana. Saya positifkan diri, peluang ini bukan datang selalu. Meskipun tidak pernah mengikuti sebarang kursus haji, namun pengalaman pernah dua kali menunaikan umrah sebelum ini, sedikit sebanyak dapat membantu.
Malah pihak Tabung Haji sendiri sangat membantu. Di tanah suci turut disediakan kelas dan ceramah, bagi membantu jemaah haji begitu juga ustaz dan ustazah yang sedia memberi pencerahan diatas segala kemusykilan yang ada. Jadi jangan bimbang. Alhamdulillah semuanya rezeki daripaNya, segala-galanya dipermudahkan ‘jalan’ ke tanah suci dan disiapkan segala urusan dan persediaan hanya dalam masa 10 hari!!
Insaf Melihat KebesaranNya
Selama 37 hari berada di tanah suci mengikut muassasah Tabung Haji, Alhamdulillah kami diberikan kesihatan yang baik walaupun cuaca sangat panas dan kering di sana.Penginapan di Mekah dan Madinah juga Alhamdulillah, rezeki dapat hotel hanya jarak sekitar 500 meter dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Kemuncak ibadah haji adalah hari-hari MASYAIR iaitu hari yang di nanti-nantikan oleh semua bakal haji bagi melaksanakan rukun dan wajib haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan yang paling penting adalah berwuquf di Arafah.
Ditempatkan dalam khemah yang padat dengan jemaah, kurang keselesaan, cuaca yang sangat panas dan kemudahan tandas yang terhad, antara salah satu ujian yang terbesar buat para jemaah pada waktu ini. Sangat penting rasa redha, sabar dan tolak ansur ketika berdepan dengan situasi ini.
Suasana di dalam khemah di padang Arafah.
Fokus pada amalan serta tingkatkan ibadat padaNya dengan memperbanyakkan berdoa, berzikir, mengaji atau bertalbiah. Lebih-lebih lagi pada hari wukuf di Padang Arafah, dimana langit terbuka luas segala doa dan hajat mustajab dimakbulkan Allah.
Selain itu, kesihatan dan kekuatan fizikal sangat diperlukan memandangkan perjalanan untuk melontar jamrah pada (10, 11, 12 dan 13 Zulhijah) perlu berjalan kaki dari khemah-khemah di Mina sejauh tujuh kilometer (km) iaitu 3.5 km pergi dan 3.5 km untuk pulang.
Insaf dengan kebesaranNya.. jutaan umat berjalan kaki, bertongkat, berkerusi roda berusaha untuk melontar jamrah. Apatah lagi melihat jemaah warga emas yang semakin kurang kudratnya. Sesungguhnya ia gambaran, bagaimana keadaan kita ketika dihimpunkan di akhirat nanti dengan pelbagai keadaan. Allahu kerdil rasa diri ini, betapa bersyukurnya kami, diberi peluang dan ruang serta rezeki dapat menunaikan kewajipan haji pada usia muda disaat masih sihat dan bertenaga.
Alhamdulillah, setelah selesai melontar jamrah di Mina pada hari pertama, 10 Zulhijjah.
Doa Kali Pertama Tunai Umrah
Teringat salah satu doa saya ketika kali pertama menunaikan umrah di tanah suci bersama mak dan abah pada usia 21 tahun ketika di Multazam, iaitu berdoa agar “Diberikan peluang dapat datang lagi ke tempat suci ini bersama suami dan dapat menunaikan haji pada usia muda ketika badan masih kuat dan bertenaga”. Walaupun bayangan jodoh saya belum ada lagi ketika itu.
Maha Suci Allah yang Maha Mendengar setiap permintaan hambaNya. Sungguh tak sangka, selepas 10 tahun impian tersebut dimakbulkan. Jutaan kesyukuran dipanjatkan, rasa sebak memikirkan diri yang masih banyak dosa dan atas amalan apakah yang telah dilakukan membuatkan diri ini ‘dipandang’ tuhan.
Lebih istimewa dan takkan dilupakan dalam ingatan, saat jutaan umat berhimpun dan berwukuf di padang Arafah pada 10 Zulhijjah, tarikh yang sama juga jatuh 31 Ogos 2017 merupakan ulangtahun perkahwinan kami yang ke-5. Bersama insan tersayang di tanah suci menunaikan kewajipan Rukun Islam kelima, pada hari yang cukup bermakna sesungguhnya pengalaman manis yang akan diingati selama-lamanya sepanjang hayat.
Dalam perjalanan pulang ke Malaysia
Alhamdulillah rezeki saya dan suami dapat menunaikan haji pada usia muda ketika badan masih sihat, kuat dan bertenaga merupakan anugerah yang tidak ternilai. Sesungguhnya mak dan abahlah yang menjadi inspirasi untuk saya dan suami berusaha untuk menunaikan haji pada usia muda. Mengharapkan keredhaan dan menunaikan kewajipan sebagai hambaNya serta berusaha memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.
Akhir kata, satu pesanan saya usah bimbang dari segi kemampuan, atau rasa tak bersedia jika terpilih dapat panggilan haji ‘last minute’. Segalanya telah tertulis, Insya Allah segalaNya akan dipermudahkan.Paling penting, selain berusaha selalulah pasang niat dan berdoa untuk kesana, Insya Allah, rezeki Allah akan cukupkan dalam pelbagai cara, cabang dan bentuk. Percayalah!
Ketika di Masjid Nabawi
Salam Sayang,
Hajjah Suhaidah Abd Wahab,
Insan kerdil yang selalu rindu dan berharap dijemput menjadi tetamuNya lagi dan lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Apabila suami seorang wanita itu meninggal dunia, kemudian wanita itu berkahwin semula, mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah yang akan menjadi suami kepada wanita itu di syurga nanti.
Maksudnya: “Ada wanita daripada kalangan kami berkahwin dua, tiga dan empat kali. Kemudian dia (wanita) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam Syurga dan yang masuk bersamanya adalah para suaminya. Siapakah (daripada kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)?. Maka Nabi SAW bersabda: “Wahai Ummu Salamah, dia (isteri) itu diberi pilihan maka dia akan memilih yang lebih baik akhlaknya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3141) dan al-Mu’jam al-Akbar (870)]
Imam al-Thabarani menyatakan tidak meriwayatkan hadis ini daripada Hisyam bin Hassan melainkan Sulaiman bin Abi Karimah. Maka ‘Amr bin Hasyim telah bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadis ini. [Lihat: al-Mu’jam al-Awsath. 279/3] Tambahan pula, Imam al-Haithami menyatakan salah seorang perawi di dalam sanad hadith ini iaitu Sulaiman bin Abi Karimah dinilai dhaif oleh Abi Hatim dan Ibn ‘Adiy. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 119/7] Selain itu, Imam Ibn al-Jauzi menilai hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanahiyah, 161/2]
Suami Di Syurga Yang Mana Satu
Antara riwayat lain yang menceritakan akan masalah ini adalah kisah ketika Mu’awiyah bin Abi Sufiyan ingin meminang Ummu al-Darda’ selepas kewafatan Abu al-Darda’:
Maksudnya: “Mana-mana wanita yang kematian suami dan dia bernikah lagi selepas daripada itu, maka suaminya di Syurga adalah yang paling akhir dinikahinya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3130)]
Imam al-Haithami mengatakan di dalam sanad hadis ini terdapat Abu Bakar bin Abi Mariam dan dia merupakan seorang perawi yang bercampur hafalannya (tidak kuat hafalannya). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 270/4] Imam al-Suyuthi menilai hadis ini sebagai dhaif. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 358/2]
Terdapat sebuah lagi riwayat dalam masalah ini iaitu kisah yang berlaku kepada Ummu Habibah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Ummu Habibah berkata:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sekiranya seorang wanita itu mempunyai dua orang suami di dunia, iaitu suami yang dinikahinya selepas pernikahan yang pertama dan kesemua mereka itu memasuki Syurga. Siapakah yang akan menjadi suaminya (di Syurga nanti)? Nabi SAW menjawab: Suami yang akan bersamanya adalah yang paling baik akhlaknya.” [Riwayat al-Bazzar (6631)]
Imam al-Iraqi mengdhaifkan sanad hadis ini. [Lihat: al-Mughni ‘an Haml al-Asfar, 932/1] Selain itu juga, Imam al-Bazzar menyatakan hadith ini tidak diketahui bahawa Humaid meriwayatkan daripada Anas bin Malik. [Lihat: Musnad al-Bazzar, 183/13]
Berikut adalah sebahagian riwayat-riwayat yang menceritakan berkaitan permasalahan ini dan kesemua riwayat-riwayat tersebut tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama atau tokoh-tokoh hadith.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama bahawa masalah ini terbahagi kepada beberapa pendapat dan para ulama berbeza pandangan dalam menentukan masalah ini:
*Isteri tersebut akan bersama suami yang paling baik akhlaknya ketika di dunia.
*Isteri tersebut diberi pilihan untuk memilih.
*Isteri tersebut akan bersama suaminya yang terakhir.
Imam al-Suyuthi cuba untuk menghimpunkan kesemua riwayat tersebut dengan menyatakan bahawa seorang wanita (isteri) itu akan bersama suaminya yang terakhir sekiranya kesemua suaminya itu sama pada sudut akhlak. Sekiranya tidak begitu, maka wanita tersebut akan memilih yang paling baik akhlaknya. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 262/1]
Di dalam masalah ini, kami cenderung untuk bertawaqquf kerana dalil yang menyatakan tentang masalah ini adalah tidak begitu kuat melainkan hadis yang menceritakan kisah Ummu al-Darda’ adalah yang paling kuat dari sudut kesahihannya. Tambahan pula, perkara ini termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib kerana ia melibatkan Syurga. Justeru itu, sebaiknya perkara ini diserahkan kepada Allah SWT dan pendapat ini juga difatwakan oleh Syeikh ‘Athiyyah al-Saqar.
Kesimpulannya, setiap insan itu sama ada wanita atau lelaki perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang isteri atau suami yang terbaik kepada pasangannya di dunia ini, agar dengan cara itu akan memasukkan kita ke dalam Syurga.
Adapun berkaitan urusan di dalam Syurga kelak, kita sewajarnya menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Perkara yang boleh dilakukan atau diusahakan oleh kita adalah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT akan menghimpunkan kita bersama isteri kdan juga menghimpunkan kita bersama orang-orang yang soleh di dalam Syurga kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT memasukkan kita dan seluruh ahli keluarga kita ke dalam Syurga-Nya di akhirat kelak.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...