Tak Bahagia dengan perkahwinan yang diatur keluarga membuatkan dirinya dalam diam jatuh cinta lelaki lain. Dia tahu dia berdosa namun dia tidak dapat membohongi hatinya. Ikuti luahannya.
Assalamualaikum puan. Saya berusia 30 tahun dan sudah berkahwin. Saya dan suami dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia empat tahun. Saya berkahwin dengan suami atas aturan keluarga, pada usia yang agak muda. Ketika itu saya baru saja tamat diploma dan saya akur kerana saya sendiri tidak ada kekasih pada masa itu. Keluarga saya sangat menitikberatkan soal didikan agama dan kami tidak bebas bergaul dengan bukan muhrim.
Tak Nafikan Suami Penyayang
Terus terang, rasa cinta tidak pernah wujud dalam hati saya untuk suami. Yang ada hanya rasa tanggung jawab dan secebis sayang kerana dia seorang lelaki yang sangat baik, menjaga saya dan anak lelaki kami dengan sempurna. Pendek kata, dia hampir sempurna sebagai seorang suami.
Dia pendiam orangnya dan di rumah jarang kami berbual. Hanya hal-hal penting saja kami bersembang sedangkan saya sebenarnya seorang yang suka bercakap. Suami lebih banyak membaca sama ada al-Quran atau buku-buku agama.
Berpengetahuan Agama
Pada waktu malam, dari maghrib hingga isyak, tempatnya di masjid. Kadangkala dia pulang setelah saya dan anak tidur. Hari cuti dia sering kali tiada di rumah kerana sibuk bekerja atau mengikuti aktiviti NGO.
Suami bekerja sebagai seorang akauntan dan saya pula seorang kaki tangan awam. Pendek kata, masa untuk kami berjumpa sehari-hari agak singkat. Nasib baik ada anak yang jadi teman saya. Soal cinta memang tidak boleh dipaksa. Puas selama lima tahun ini saya cuba untuk mencintainya namun gagal. Saya sendiri tidak faham dengan perasaan saya ini.
Kursus
Saya mewakili jabatan dan dihantar berkursus di sebuah negeri selama seminggu. Ketika itu saya berkenalan dengan seorang lelaki yang saya namakan K saja. Dia antara pegawai yang ditugaskan untuk menyelenggarakan program tersebut. Sifat kepimpinan dan karisma sebagai seorang pemimpin cukup terserlah. Entah mengapa, hati saya berdengup kencang setiap kali memandang wajahnya. K seorang duda kematian isteri dengan tiga orang anak.
Sering kali juga kami berbual mesra apabila ada waktu terluang tetapi secara beramai-ramai. Sikapnya yang kelakar membuatkan hati saya lebih tertarik padanya. Namun saya hormati dia dan tidak pernah terlintas untuk cuba mencuri perhatiannya. Apabila kursus berakhir, kami saling bertukar nombor telefon. Tiada niat lain kerana dia juga tahu saya isteri orang. Lagipun kami para peserta saling bertukar nombor telefon di antara satu sama lain. Mana tau, mungkin perlu bekerjasama satu masa kelak.
Berhubung
Sejak kursus itu, kami saling berhubung. Kadangkala soal kerja, kadangkala dia meminta nasihat tentang tiga orang anak perempuannya itu. Saya kagum dengan dirinya yang tabah menjaga tiga anak perempuannya, dibantu oleh seorang kakaknya sejak kematian isterinya lapan tahun lalu. Sering kali dia meminta nasihat saya kerana katanya hanya perempuan yang faham tentang perempuan.
Lama-kelamaan kami semakin mesra. Pada waktu malam ketika suami ke masjid saya akan ambil masa untuk berbual dengannya di dalam telefon. Dia berada di negeri lain jadi kami tidak pernah berjumpa. Sekadar bertukar gambar pernah juga. Sering kali dia akan hantar gambar anak-anaknya dan saya juga akan menghantar gambar anak saya.
Tak Sedar Jatuh Hati
Daripada perbualan biasa, kami mula berbual soal hati. Saya sering meluahkan perasaan tentang kehidupan saya. Bukan saya tidak bahagia, tapi hidup saya seakan ‘kosong’ kerana tiada cinta antara saya dan suami. Alangkah seronoknya jika saya dapat berbual-bual mesra dengan suami seperti saya berbual dengan K.
Ads
Saya sedar saya berdosa namun bila berbual dengan K, saya rasa gembira. Kami boleh berbual tentang apa saja, termasuk soal anak-anak dan kerja. Dia sering menasihati saya dan menghiburkan hati saya bila saya rasa sedih atau tertekan dengan kerja. Suami? Tak pernah sekali pun dia ambil tahu tentang kerja saya.
Saya dalam dilema. Apakah saya perlu mengambil langkah menamatkan ikatan perkahwinan yang tiada rasa cinta ini? K pernah nyatakan hasratnya, andai jodoh saya tidak panjang bersama suami, dia sedia menerima saya dan anak saya. Namun tidak pernah sekali pun dia mendesak saya untuk berpisah dengan suami. Itu membuatkan saya bertambah sayang padanya.
Isteri Berdosa
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dihormati, Realiti dan fantasi adalah dua keadaan yang berbeza kerana realiti adalah nyata dan sedang dilalui sedangkan fantasi adalah persepsi atau harapan, anggapan serta perkara yang baru dicadangkan atau dibincangkan tetapi belum di hadapi secara nyata.
Biasanya realiti akan dihadapi sebagai rutin harian, kurang diberi perhatian, kurang difokuskan, dianggap biasa serta tidak penting dalam kehidupan.
Tak Boleh Bezakan Fantasi Dan Realiti
Fantasi pula perkara yang dibayangkan, diharapkan serta diandaikan akan berlaku mengikut kemahuan diri. Perbezaan ini telah membelenggu puan dalam puan cuba memberi justifikasi kepada diri puan untuk meneruskan fantasi puan dan meninggalkan realiti puan sekarang ini.
Realiti kehidupan puan adalah puan mempunyai suami yang penyayang, beragama, bertanggungjawab, berjawatan tetap, bergiat dengan NGO, ahli masjid dan berbagai kebaikan yang dilihat sebagai suami yang sempurna.
Jangan Anggap Jodoh Try And Error
Namun suami puan tidak banyak berkata-kata, jauh sekali untuk mengungkapkan kata-kata cinta atau memuji puan dalam masa lima tahun perkahwinan. Keadaan ini membuatkan puan merasa bosan dan cuba mencari cinta baru yang pada anggapan puan akan mewarnai kehidupan puan dengan lebih sempurna lagi. Sebelum kita berbicara lebih jauh lagi, cuba puan fahami maksud jodoh iaitu puan dipertemukan dengan seorang yang benar-benar ikhlas menerima puan sebagai isteri dan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dengan sebenarnya.
Dalam isu jodoh ini bukan perkara yang boleh dianggap sebagai “try an error” atau cuba jaya tetapi pemilihan yang abadi untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Perjanjian perkahwinan pula adalah saksi kepada Allah SWT untuk bertanggungjawab sebagai suami dan isteri dalam lafaz akad nikah yang mulia dan Allah SWT mengurniakan kasih sayang sebagai suami dan isteri.
Isu yang puan ketengahkan lagi dan tidak puas hati kerana suami puan kurang bercakap, tidak pandai bergurau, tidak beri perhatian kepada puan, tidak peduli dan hambar dalam hubungan. Perkara ini puan telah sedari sejak awal perkahwinan lagi. Ini bermaksud suami puan sememangnya mempunyai personaliti yang sebegitu.
Puan pula seorang yang sangat prihatin kepada emosi, suka dibelai, suka diberikan perhatian, suka disapa dan didengari serta suka kepada mereka yang menemani puan dalam semua tindakan. Namun semua itu puan tidak dapat dari suami, puan juga tidak menyatakan perkara ini kepada suami, puan membiarkan perkara ini menjadi rutin kehidupan puan dan suami sehingga kini ia menjadi racun dalam kehidupan rumah tangga puan.
Tak Muhasabah Diri
Antara perkara yang puan perlu muhasabah diri setakat ini adalah puan perlu tanya diri puan adakah puan benar-benar mengenali suami puan secara keseluruhannya, adakah puan berusaha untuk menyatakan apa yang puan suka dan apa yang tidak kepadanya, adakah puan cuba ajari atau “educate” suami tentang perkara-perkara yang puan perlu dan mahu suami lakukan kepada puan.
Secara keseluruhannya puan perlu tanya diri puan adilkah diri puan terus menolak suami puan untuk digantikan dengan seorang duda yang baru puan kenal dan anggap lebih baik daripada suami yang puan anggap sungguh membosankan berbanding dengan duda tersebut.
Ads
Terjerat Dengan Persepsi Sendiri
Manusia sering terjerat dengan persepsi dan perasaan sendiri kerana selalu menatang yang fantasi tetapi lupa kepada yang realiti. Selama ini suami puan telah berbakti kepada puan dan bertanggungjawab kepada puan dengan seluruh jiwa dan raganya tetapi beliau hanya tidak pandai berdrama atau tidak romantik serta tidak memahami naluri seorang wanita sepenuhnya, maka suami puan kurang bermesra dan kurang ramah berbanding duda yang baru kenali.
Dalam keadaan ini puan perlu faham bahawa lelaki menunjukkan kasih sayang dengan cara melakukan iaitu perbuatan atau tingkahlaku, lelaki juga perlu diberitahu perkara-perkara yang perempan suka dan lelaki suka kepada aktiviti yang rutin serta akan fokus kepada apap yang biasa dilakukan. Oleh itu puan perlu beritahu dan “latih” atau biasakan suami puan dengan perkara yang puan suka. Dengan cara ini suami puan akan belajar perkara baru dan boleh melayan puan dengan sempurna.
Tak Dapat Kawal Diri
Seterusnya puan perlu ada kawalan dalam diri puan agar setia dan tidak memandang kehebatan lelaki lain sebagai satu cara “pelarian” dari desakan perasaan puan. Keputusan yang dihasilkan dari keadaan ini akan membuatkan puan menyesal sepanjang hayat puan. Puan perlu faham bahawa sebelum kahwin semuanya indah tetapi selepas berkahwin segala kelemahan akan kelihatan maka waktu itu dapatlah puan pastikan bahawa duda yang menjalinkan hubungan dengan puan sememangnya sangat sesuai dengan puan atau tidak.
Puan juga perlu tegas diri dan menjaga maruah diri sebagai wanita yang taat, patuh, tidak derhara, tidak curang serta dapat mempertahankan jodoh puan yang sedang dilanda badai akibat ketidakpuasan hati puan. Puan perlu berusaha untuk menjalinkan hubungan mesra dengan suami puan serta lengkapkan keluarga puan ini dengan kasih sayang.
Jihad Pertahankan Perkahwinan
Berada dalam perkahwinan dan terus mempertahankan perkahwinan adalah satu jihad suci melawan kehendak dan hawa nafsu. Darah muda puan yang sangat dahagakan belaian manja dari seorang suami perlu dipenuhi dengan membantu suami memahami serta melakukan apa yang perlu dalam hubungan berkeluarga.
Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh puan lakukan tanpa perlu curang kepada suami puan. Fokuskan kepada pembinaan kerjaya puan dan ajak suami bersama-sama atau ikuti perkembangan kerjaya suami dan kesukaan beliau agar puan dapat mengikut segala aktivitinya.
Beritahu Suami Apa Kehendak Diri
Dalam masa yang sama puan perkenalkan perkara yang puan suka dan cuba selaraskan agar puan dan suami dapat kecapi bahagia yang sebenarnya.
Meruntuhkan sebuah perkahwinan adalah perkara yang mudah tetapi kesan emosi dan segalanya akan mengancam kehidupan puan sampai bila-bila. Maka wajar puan perbaiki sedikit kelemahan perkahwinan puan sekarang kerana jika diruntuhkan yang sedia ada belum tentu yang akan datang akan menjadi kukuh. Atau mungkin juga tak setanding dengan yang sekarang. Puan perlu muhasabah diri agar tidak menyesal nanti.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Bila terlalu berdikari pun salah! Itulah dilema yang saya hadapi. Saya ibu kepada tiga orang cahaya mata yang berusia 12, 11 dan 9 tahun. Saya bekerja sebagai seorang pendidik di sebuah sekolah menengah, berusia 30-an.
Aktif
Saya anak perempuan tunggal (bongsu) daripada enam beradik. Membesar bersama abang-abang membuatkan saya lebih lasak cuma tidaklah sampai berpenampilan tomboy. Lasak saya boleh ‘menyamai’ budak lelaki tapi tetap terselit feminin. Sikap aktif dan lasak membawa hingga ke maktab. Saya aktif bersukan dan berpersatuan. Rasa lemau badan bila tak buat apa-apa kerja. Sebab itu juga saya agak popular sepanjang belajar dulu kerana aktif.
Bila berkahwin, saya tidak bergantung sangat pada suami dan lebih banyak berdikari. Maksudnya, banyak urusan keluarga, saya yang buat seperti uruskan anak-anak, beli barang rumah dan bayar bil. Suami hanya beri duit dan saya akan agihkan mengikut keperluan.
Mungkin kerana saya seorang guru dan bekerja separuh hari, jadi masih ada masa untuk saya membuat urusan di sebelah petangnya. Suami bekerja di bank dan memang sibuk.
Sibuk Dengan Hobi
Yang membuatkan saya tertekan kerana lama-kelamaan, suami makin ‘selesa’ kerana sikap berdikari saya itu hingga mula lepas tangan. Dia tahu bagi duit saja. Hal sekolah anak langsung tak ambil tahu. Katanya saya guru, eloklah saya yang ajar anak-anak.
Dia pula sibuk dengan hobinya, main golf dan tunggang motosikal berkuasa tinggi. Masa hujung minggu sibuk dengan hobi hinggakan jika ke mana-mana, saya dengan anak-anak saja. Bila anak-anak makin membesar, mereka mula faham dan asyik tanya kenapa daddy tak nak keluar dengan mereka. Ayah kawan-kawan mereka juga sibuk tapi ada masa nak keluar bersama. Serba salah saya dibuatnya.
Pernah saya berterus terang dengannya tentang perkara ini. Tapi katanya, hobi-hobinya itu adalah cara dia untuk ‘entertain’ client dia dan untuk bina contact kerja. Disuruhnya saya buat anak-anak faham. Akhirnya saya malas nak cakap apa-apa lagi.
Sanggup
Kesabaran saya runtuh dua bulan lepas. Saya menghadiri kursus kerja di luar daerah. Saya memang ada pembantu rumah yang dah lima tahun bersama saya.
Tiba-tiba saya dapat panggilan telefon daripada bibik mengatakan anak kedua demam panas dan bila saya minta dia beritahu suami agar bawa ke hospital, katanya suami saya memang dah tahu. Yang buat saya marah bila bibik beritahu dia disuruh suami untuk bawa anak ke hospital kerana dia perlu ke luar daerah untuk satu kejohanan golf! Puan, sakitnya hati saya. Sanggup dia pentingkan golf daripada anak sendiri? Saya pula memang jauh dan tak dapat balik.
Kawan Tolong
Nasib baik saya ada kawan yang tinggal berhampiran rumah dan minta dia bawakan bibik dan anak ke hospital. Tiga hari anak ditahan dan bibik yang jaga. Dua anak lagi kawan saya bawa ke rumahnya kerana kasihankan mereka tinggal berdua di rumah. Suami? Tetap tak balik dengan alasan belum selesai urusan golf.
Balik kursus, saya mengamuk dengan suami tapi dia macam tak bersalah. Katanya, dia tahu saya akan cari jalan untuk selesaikan apa saja masalah tentang anak-anak. Puan, apa tanggungjawab dia sebagai ayah kalau semua nak diharapkan pada saya? Apa akan jadi pada anak-anak saya kalau saya tak ada? Kalau macam ni baik saya jadi ibu tunggal, lagi tak sakit hati. Apakah salah saya yang terlalu berdikari?
Isteri Makin Hilang Sabar
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi.
Dalam kehidupan seorang wanita banyak dugaan atau ujian yang kita alami dan perlu dihadapi. Dan ujian itu memang berat, tetapi percayalah bahawa setiap ujian atau dugaan itu ada hikmahnya.
Daripada apa yang puan paparkan, memang betul puan seorang yang berdikari dan punya ketahanan mental, emosi dan fizikal. Tidak semua wanita yang bergelar ibu punya daya ketahanan dan ciri berdikari yang puan miliki. Tahukah puan inilah kelebihan yang puan ada.
Ambil Kesempatan
Tidak dinafikan bahawa sifat berdikari dan ketahanan puan itu diambil kesempatan oleh suami. Apatah lagi jika dia punya hobi seperti golf. Sukar juga untuk ditinggalkan, apatah lagi kejayaan demi kejayaan dicipta dan mendapat penghargaan daripada kalangan profesional.
Lazimnya sesiapa sahaja yang terlibat dengan mana-mana hobi seperti ini, dia akan mengutamakan hobinya terlebih dahulu. Apatah lagi jika dalam hidupnya ada pasangan atau ahli keluarganya mengambil tanggungjawab dalam menguruskan rumah tangga.
Saya memahami rasa geram di hati puan dengan sikap suami yang mengabaikan anak ketika demam. Ketika dia dalam persediaan menghadapi pertandingan, pastinya tumpuan 99% untuk “event” itu. Baginya hal anak demam adalah biasa. Bagi puan pula ia adalah keutamaan kerana puan sayangkan anak dan seorang yang berdisiplin dan bertanggungjawab. Puan adalah kategori “ real task oriented”. Manakala suami pula “game oriented”. Puan menjaga apa yang ada dan memastikan perjalanan hidup, anak-anak teratur dan terjaga.
Untuk menjawab persoalan yang puan kemukakan, pertama puan perlu lihat dalam ruang mana boleh dibentuk suami agar menjalankan tugasnya.
Didik suami dengan sedikit tanggungjawab. Walaupun puan ada bibik, setiap ahli keluarga perlu ada peranan. Tetapkan peranan masing-masing, kalau tak banyak pun biar ada untuk permulaan.
Buat Suami Faham Tanggungjawab
Beri kefahaman kepada suami tentang tanggungjawabnya. Puan seorang guru, mesti tahu tentang dendaan dan ganjaran. Jika suami terlalu sangat dengan hobinya, cuba tarik keistimewaan yang dia dapat daripada rumah.
Memang benarlah kata puan disebabkan puan lakukan tugas itu maka suami ambil mudah. Maka di sini puan boleh cuba mana-mana tugas yang “dibuat tidak tahu” (make don’t know) agar suami tertanya-tanya kenapa begitu. Bila ada persoalan daripadanya maka telah ada sedikit “insight” (celik akal) yang boleh dikembangkan.
Jangan putus asa dalam nasihati suami, beri tanggungjawab kepadanya, selalu beri peringatan kepadanya kerana puan tidak tahu bila suami akan berubah. Kuasa untuk mengubah perangainya hanya Allah, dan bukan puan. Puan hanya berusaha, yang akan menentukannya hanya Allah. Pastinya doa yang tidak putus-putus adalah senjata paling berkesan.
Akhir sekali mari kita renung bersama. Allah beri kita apa yang kita perlu…Allah tidak beri kita apa yang kita mahu..kerana dibimbangi kita kurang mengingati-Nya. Diberi-Nya suami yang hanya gilakan golf, belum lagi gilakan wanita lain….diberi-Nya suami yang tidak memberi masa dengan isteri dan anak-anak, tetapi masih ada lelaki yang bergelar ayah untuk anak-anak puan… maka Allah beri sedikit ujian dengan perangainya yang sebegitu agar puan mencari kekuatan diri dengan banyak mengingati Allah… Begitulah sayangnya Allah kepada puan..
**Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sering kali kita dengar, kejayaan seorang suami terletak pada isteri yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya. Begitu juga kejayaan hidup isteri, tentulah datangnya daripada suami juga. Sikap yang saling memahami dan menyokong satu sama lain menjadi pemngkin kebahagiaan rumah tangga.
Dalam hal ini, kejayaan hidup isteri pun adalah atas redha dan sokongan suami. Kalau tanpa restu suami, isteri belum tentu akan mendapat apa yang diimpikan. Ingat, ia bukan hanya dengan kerjaya isteri yang ada tapi secara keseluruhannya, lebih-lebih lagi dalam menjaga rumah tangga.
Lumrah kehidupan, ada suami yang hanya merasakan tanggungjawab memberi nafkah pada isteri dan keluarga semata-mata, sedangkan langsung tidak menghiraukan tentang apa yang telah isteri lakukan.
Baik kerja rumah atau urusan dalam menjaga anak-anak. Kadang-kadang, kepenatan isteri ini ingin sekali dikongsi dengan suami, setakat ‘membuka mata’ dan ‘tadah telinga’ mendengar celoteh isteri pun sudah memadai baginya.
Namun, berapa ramai suami yang mampu memahami. Jika dibiarkan, inilah yang membuatkan jiwa isteri kosong kerana orang yang paling rapat dengannya tidak seperti yang diharapkan.
Bila keadaan ini berlaku, bimbang isteri akan luahkan pada tempat yang tak sepatutnya. Mungkin menganggap itulah cara terbaik untuk dirinya. Inilah yang dikongsikan oleh bu Hurairah Asifa tentang apa yang dikatakan tentang kejayaan hidup isteri dalam rumah tangga.
Kejayaan hidup seorang isteri itu adalah hasil dari suami yang memahami dan menyokong isterinya.
Memahami isteri itu tak mudah. Ia perlukan perhatian dan pengorbanan yang cukup tinggi.
Sokongan juga begitu. Ia memerlukan sedikit perhatian yang membuahkan pemahaman terhadap apa yang isteri mahu lakukan.
Kalau sebagai suami, kita tidak memahami malah tidak langsung menyokong isteri, maka isteri itu akan mencuri sayapnya dari kita.
Mereka akan menyusahkan hidup suaminya dengan sikap dan perangainya.
Isteri akan terbang sesuka hati, malah di ruangan fb ini tempat mereka meluah dan membuta tuli memburukkan hidup mereka sendiri.
Mula Tarik Perhatian Orang Lain
Apa yang paling parah, apabila mereka sunyi, maka golongan isteri inilah yang akan diganggu dan dirosakkan oleh lelaki yang hanya mengucapkan selamat pagi dan mengirimkan kata cinta yang merosakkan rumah tangga.
Sebab itu, sekalipun saya ada kerja dan banyak kerja, apa saja permintaan isteri, selagi itu tidak salah dan boleh di susun kira, saya buka mata dan beri telinga untuk meraikannya.
Apa yang dia suka dan tak suka, saya pertimbangkannya.
Malah, dalam soal membeli baju atau barang rumah pun, sedaya mungkin saya cuba memahami dan berbincang soal itu bersama.
Milik Kita
Isteri kita adalah milik kita.
Tapi, kalau kita tidak mahu sedar, dia tetap isteri kita, tetapi milik orang lain yang tiada kaitan pun dengan kita.
Isteri hanya hidup dengan ‘lelaki’ lain tapi mati hati dan jiwa ketika bersama dengan kita.
Sebagai suami, sedar kah kita tentang hal ini?
Kita sibuk dengan kerja, futsal, mamak, malah kita mungkin ustaz yang memberi ceramah hari-hari, tapi kita tidak kenal malah makin jauh dengan isteri sendiri!
Bermulalah dengan mengutamakan hubungan dengan Tuhan, turunkan ego, Insya Allah sebagai suami kita akan faham.
Kenapa Tuhan cipta kita jadi lelaki dan memberikan tanggungjawab seorang suami.
#sweeterapi
MW: Isteri tidaklah mengharapkan harta dan wang yang melimpah ruah. Sebab dia tahu setakat mana kemampuan suami. Cukup dapat perhatian daripada suami untuk dengar celoteh dan luahan pun dah cukup.
Bila tengok dan dengar pasangan bercakap dan bergurau secara kasar, timbul anggapan tak hormat baik isteri atau suami. Kononnya, jawapan yang diberi sebab sudah terbiasa sejak dari zaman berkawan lagi. Jadi, cara bercakap itu terbawa-bawa hingga sah jadi suami isteri dan beranak pinak.
Jika pasangan tidak kisah, tak mengapa tetapi kalau sudah terlalu kerap, ia boleh menimbulkan rasa tidak senang dan mungkin lama kelamaan hilang rasa hormat pada pasangan.
Menurut Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga, ciri keunggulan komunikasi adalah berasaskan cara bercakap, intonasi suara, ekspresi muka, penggunaan perkataan dan gerak bahasa badan. Melaluinya, akan memberi kesan kepada pihak lain yang menjadi lawan bicara kita. Justeru, jika seorang isteri atau suami menggunakan perkataan yang lucah, kasar dan menyakitkan hati pasangannya, boleh menimbulkan pertengkaran dan pergaduhan.
Banyak kes perceraian dan krisis rumah tangga berpunca daripada ketidakmampuan pasangan suami isteri berkomunikasi dengan positif terhadap pasangan masing-masing.
Dalam hal ini, hubungan antara suami isteri mahupun anak, amat penting dalam menghasilkan komunikasi positif atau mahmudah (terbaik) dan bukan negatif atau mazmumah (tercela). Beberapa komunikasi positif adalah bercirikan:
Penghormatan
Penghargaan
Prihatin
Asertif
Kasih sayang
Empati
Menolong
Menghibur
Memimpin
Jangan sesekali ada elemen negatif dalam komunikasi keluarga. Contohnya dengan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung pasangan. Contohnya:
Suka melakukan pelabelan – “Awak memang suami yang lahanat……..otak udang dan memang tak boleh dipercayai!”. Seorang isteri melabel suaminya kerana dilihat melakukan perbuatan negatif.
Suka menghina – “Awak memang betina sundal………hampas dan tak boleh diharap!”. Seorang suami menghina isterinya.
Suka mengugut – “Saya dah tolong awak jaga anak dengan baik, masak makanan untuk awak, layan awak dengan bagus. Jadi, kalau awak tak belikan saya beg tangan “Coach” tu, saya akan menjerit setiap pagi!”. Seorang isteri mengugut suaminya.
Suka merendah-rendahkan anak-anak – “Kau tu dah lah muka buruk. Janganlah pulak perangai pun kau burukkan dan pelajaran pun kau tak mantapkan. Nanti, kau bukan sahaja buruk, malah hina!”. Seorang ibu merendahkan nilai diri anaknya.
Suka mencabar-cabar dengan perkataan yang melukakan hati – “Kau ingat badan kau besar, aku takut ke? Boleh jalanlah. Kalau kau berani, kau kawinlah lain…….!!” Cabaran seorang isteri terhadap suaminya.
Cuba pasangan dan ahli keluarga gunakan cara komunikasi positif. Memang nampak terlalu formal dan tidak biasa, tetapi sekurang-kurangnya ia memupuk kasih sayang antara keluarga.
Melakukan refleksi dengan bahasa yang santun – “Abang suami yang baik sebenarnya, namun abang bukan maksum. Sebab itu abang pun tidak lepas melakukan kesilapan. Ayang maafkan abang dan ayang yakin abang akan tidak akan melakukannya lagi”. Seorang isteri memberi refleksi perasaan dan pengalaman suaminya setelah melakukan satu kesilapan. Si isteri lebih meletakkan nilai keibuan, kemaafan dan pengharapan positif buat suaminya yang dikasihinya.
Menghargai pasangannya – “Sayang seorang isteri yang mulia. Sayang dah banyak berkorban untuk abang dan anak-anak. Jadi, abang percaya sayang memang boleh terus cemerlang selepas ini. Jika ada apa-apa masalah, sayang cakaplah dengan abang. Berterus-teranglah dengan abang. Insya Allah, abang boleh bantu”. Si suami memberi penghargaan kepada isterinya dengan ucapan pujian yang membina emosi diri isterinya”.
Motivasi pasangannya – “Sayang seorang yang bijak dan kuat semangat. Abang yakin sayang boleh selesaikan tugasan tu dengan cemerlang. Seorang suami memotivasikan isterinya yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana.
Beri keyakinan dan harapan buat anak-anaknya – “Ibu sangat yakin semua anak ibu mempunyai potensi yang hebat untuk menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. Apa yang penting, anak ibu semua mesti jaga solat dan rajin belajar. Jauhkan diri daripada sikap malas dan bertangguh kerja”. Seorang ibu membina keyakinan diri kepada anak-anak agar mengamalkan gaya hidup sebagai pelajar yang rajin dan mengikut syariat.
Nilai Mahmudah
Apabila sebuah keluarga baik suami isteri atau anak berkomunikasi dengan bercirikan nilai mahmudah (terbaik), sudah tentu setiap ahli keluarga akan terasa dihargai, dimuliakan, dikasihi, diambil peduli, diperlukan dan diyakini.
Dengan adanya niat dan hati nurani yang bersih, akan menjadikan seseorang suami atau isteri itu sangat istimewa, tempat bermanja dan sentiasa rasa selamat dengannya. Kalau boleh, setiap saat ingin bersama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!