Anak adalah anugerah daripada Allah SWT untuk mak, ayah. Didiklah dengan cara yang betul kerana didikan sejak mereka kecil akan membentuk akhlak mereka dewasa kelak.

Usah membezakan antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebenarnya anak lelaki juga manusia dan mereka ada fitrah untuk beremosi. Jadi beri ruang pada mereka untuk luahkan perasaan sebenar mereka.

Ikuti perkongsian Puan Nur Farhana Fizal dan ketahuilah bahawa anak lelaki juga ingin disayangi serta dilayan dengan baik seperti anak perempuan:

Anak Lelaki Tetap Perlukan Perhatian

Baik anak lelaki mahupun anak perempuan, tetaplah mereka ini memerlukan perhatian.

Kita ni, daripada kecil dimomokkan dengan, “Anak lelaki, mana boleh nangis, malulah!” “Eh, abang boy. Mana ada boy lembik!”

Anak lelaki diajar untuk tidak meluahkan perasaan. Anak lelaki seolah “tidak dibenarkan” express apa yang mereka rasa.

Pendam saja. Kena diam saja dan telan saja. Sebab daripada kecil, nak nangis, dengar ibu ayah cakap jangan nangis. Malulah lelaki nangis.

Selain daripada itu, anak lelaki dirasakan tak perlukan sentuhan. Tak perlukan pelukan. Tak payah dicium dan disapa mesra.

Anak lelaki sering diberikan kata-kata yang kasar, kata-kata yang kononnya kelelakian. Kata-kata sinis dan sarkastik nak bagi “kental” kononnya.

Saya tak ada anak lelaki. Tapi saya ramai “anak” lelaki sebagai klien dekat tempat kerja. Umur remaja. Seawal 9 tahun hingga 20 tahun.
Bila saya dekati mereka, Allahu.

Anak Lelaki Sangat Halus Rasa Hatinya

Halus sebenarnya rasa hati mereka ni. Datang dengan masalah depression, low self-esteem, takde keyakinan diri dan banyak juga kurang kawalan anger/kemarahan.

Saya nak mereka selesa, jadi mereka boleh panggil saya dengan apa juga panggilan yang mereka nak gunakan pada saya. Makcik ke, aunty, or even kakak. Tapi awak tu tak lah. Hahaha.

Kalau yang sebaya-sebaya anak saya, saya bahasakan diri aunty saja terus. Yang remaja, umur 18 hingga 21 tahun tu, kebanyakan terus panggil kakak. Sebab kalau berpuan-puan, dia rasa dia cakap dengan cikgu. Jadi dia less likely nak “bebas” meluahkan.

IKLAN

Luahan Anak Lelaki

“Saya daripada kecil abah suka tengking saya bila saya buat salah. Salah tu tak besar pun. Gaduh dengan adik, berlari dalam rumah. Abah tengking macam saya berdosa besar sangat. Tapi dengan adik, elok je dia cakap slow-slow.”

“Last saya menangis masa umur tadika kot kak. Bila dah masuk sekolah, saya tak menangis dah. Kalau sedih, kalau geram, dekat rumah saya masuk bilik, tekup muka dengan bantal, saya jerit. Kalau kat sekolah, saya masuk bilik air, saya tumbuk dinding.”

“Tapi kalau kadang-kadang tak tahan sangat, itu yang saya tersepak terajang adik-adik. Kat sekolah saya pukul kawan-kawan.”

“Saya tak boleh marah ke kak? Saya ni manusia! Ada perasaan kot. Lainlah saya ni anak kucing, anak anjing!”

“Pujuk? Tak payah mimpi lah kak. Memang tak akan kena pujuk punya. Anak lelaki ini, mama kata tak payah lembik sangat. Mengada saja nak peluk-peluk.”

“Saya rindu baba dengan ummi sebenarnya. Dah lama tak
peluk, tak duduk dekat-dekat. Last masa sekolah rendah. Itu pun kalau saya dekat, baba kata, “Apa ni abang. Dok jauh sikit. Lelaki tak gesel-gesel lah!”

“Saya tengok cerita mat salleh, ayah dia boleh kawan dengan anak lelaki dia. Tapi ayah saya tak macam tu pun. Bila saya beritahu nak macam tu, ayah kata, tak payah terpengaruh dengan tv. Nanti jadi anak tak hormat mak bapak!”

Ini antara luahan-luahan anak lelaki remaja yang saya terima bila bersesi bersama mereka.

IKLAN

Anak Lelaki Juga Manusia Ada Fitrah Beremosi

Kawan-kawan, tak kira anak kita lelaki atau perempuan, mereka tetap manusia yang Allah jadikan ada fitrah beremosi. Ingin dikasihi, disayangi, disantuni dan dihargai dengan baik.

Seperti anak perempuan, anak lelaki juga mesti dididik dengan kelembutan. Dengan budi bicara. Dengan cinta dan dengan halus kasih sayangnya.

Berlembut dengan anak lelaki, takkan menjadikan mereka lelaki lembut. Malah kita akan menjadikan dan membesarkan seorang lelaki yang punya hikmah dan santun yang baik dalam diri mereka.

Peluklah anak lelaki kita. Setiap hari tunjukkan sayang kita pada dia. Sambil peluk, sambil pesan. “Abang, jadi anak lelaki ni tanggungjawab abang besar ya. Adik perempuan dan even kakak pun, bawah tanggungjawab abang.”

Beri Ruang Anak Lelaki Luahkan Perasaan

Disamping kita zahirkan sayang dan hargai dia, kita kongsikan juga tanggungjawab dia. Supaya dia ada rasa, “empunya” pada ahli keluarga. Bukan bila dah besar, buat hal masing-masing.

Anak lelaki juga perlukan kata-kata yang baik. Kata-kata yang mereka dengar, mereka ini dipuji, dihargai, diiktiraf sebagai anak yang punya emosi, dan sebagai individu yang juga mesti dihormati.

Santuni anak-anak lelaki kita, bagaimana kita nak seorang lelaki menyantuni seorang perempuan bernama isteri.

IKLAN

Anak lelaki, cara marah mereka biasanya dengan menggunakan kekuatan fizikal. Kalau anak kecil, saya selalu cadangkan pada parents untuk adakan “anger corner”.

Letak pasir mainan, punching pillow atau air. Bila mereka marah, ajar anak untuk luahkan dan lepaskan marah pada corner tersebut. Bukan pada orang atau merosakkan barang.

Kenali & Dekati Anak Lelaki

Kenalilah anak-anak lelaki kita. Dekati mereka. Berbuallah juga seperti mana kita berbual dengan anak perempuan. Pelajarilah hobi mereka, santuni minat mereka. Sokonglah apa yang sedang mereka kongsikan, andai ada silap, tegurlah dengan hikmah.

Besarkan anak lelaki, kita sedang membesarkan seorang ketua keluarga, seorang ketua masyarakat, malah seorang ketua negara. Semuanya bermula daripada rumah.

Daripada susuk seorang ibu dan ayah lah, anak lelaki belajar menjadi siapa diri mereka bila dewasa nanti.

Tanamkan tauhid yang kuat dalam diri mereka. Selepas itu, tanamkan pegangan agama yang ampuh dalam diri mereka. Dan tanamkan hebatnya mereka bila dalam hati mereka ada cinta Allah dan Rasulullah.

Beritahu mereka, menjadi lelaki, kekuatan mereka, bila mereka menjadi paling lembut hatinya dengan Allah. Insyallah, terpandu setiap langkah anak lelaki kita.

Semoga kita menjadi ibu dan ayah, yang anak-anak lelaki kita akan banggakan, bila mereka bergelar KETUA juga, suatu hari yang indah nanti. Aaminnn insyaAllah dengan berkat.

Nur Farhana Fizal
,
Salam kasih sayang dari ummi yang punya ramai anak lelaki yang Allah bagi di tempat kerja. Anak Lelaki Juga Manusia Ada Fitrah Beremosi, Beri Ruang Mereka Luahkan PerasaanAnak Lelaki Juga Manusia Ada Fitrah Beremosi, Beri Ruang Mereka Luahkan Perasaan

P/s: Ini lah sorang anak lelaki ummi, Asyraaf Zafran, ye bu
Nurhidayah Aman

MW: Harapnya mak,ayah dapat menjadi contoh terbaik buat anak-anak dan sentiasa berusaha mendidik anak-anak dengan cara yang betul. Memang besar tanggungjawab mak ayah dalam mendidik anak-anak, namun kita hanya mampu berusaha selebihnya serahkan pada Yang Maha Kuasa.

Sumber: Puan Nur Farhana Fizal

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI