Suami isteri nak bulan madu ke Paris kena tangkap basah, kena pedajal dengan makcik restoran. Ternyata tindakan membabi buta akhirnya membawa malu kepada diri sendiri. Inilah nasib seorang makcik yang hanya kerana tidak berpuas hati pelanggan meninggalkan meja selepas menunggu makanan dipesan lebih sejam, membawa kepada malu yang lebih besar apabila ramai netizen “ingin mengenalinya” dengan lebih lanjut.
Suami Isteri Nak Bulan Madu Di Paris Kena Tangkap Basah
Ini kerana dirinya telah membuat aduan salah dengan menyangka pasangan yang datang makan ke kedainya adalah “couple” sedangkan mereka baru diijab kabul dalam satu majlis mewah di KLCC dan dalam perjalanan untuk berbulan madu ke Paris.
Menurut Zed Rodzuan di Tik Tiknya, hotel murah disewa mereka telah diketuk oleh pihak berkuasa agama pada jam 4 pagi kerana disyaki berkhalwat tetapi nasib dia ada membawa sama kad nikahnya dan kes itu selesai begitu saja. Bahkan dirinya turut membuat penjelasan hingga terjadinya insiden dengan makcik puaka tersebut.Katanya lagi, kalau hati tak kental jangan sesekali menginap di hotel murah.
“Kalau jiwa tak kental jangan sekali2 check in oyo. Sekali kena tangkap basah tidur tak lena weh,” katanya.
Menjelaskan insiden ini terjadi, jelas Zed,
“Alkisahnya kami makan kat kedai makcik tu, lepas tu dia sidai kami sejam tak dapat makan so kami letak duit atas meja dan blah terus dari situ sebab kebulur dari siang tak makan and gerak kedai mamak sebelah. So bermulalah segala tragedi.
Kerana tidak berpuas hati pasangan pergi begitu saja, makcik ini telah mengekori mereka ke kedai sebelah, mengambil gambar curi-curi selain berkata ayat “manis-manis” sebelum suaminya turut mengekori mereka yang masuk menginap di hotel Oyo berdekatan sementara menunggu flight awal pagi.
Ternyata tanggapan itu membawa malu lebih besar kerana mereka adalah suami isteri dan bukan pasangan kekasih seperti disangkakan makcik tersebut.
Agak marah dengan situasi dialaminya, jelas Zed mereka akan membuat laporan polis di atas tindakan melulu makcik restoren tersebut kerana ia jelas menyusahkan dirinya dan pasangan atas insiden ini.
Malah dirinya turut menunjukkan kad akaun nikahnya sebagai bukti mereka pasangan suami isteri. Inilah padahnya buruk sangka dan buat tindakan melulu hingga memalukan diri sendiri.
Sebelum ini tersebar rakaman CCTV seorang budak lelaki 4 tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik di sebuah taska. Ia merupakan tindakan kejam yang dilakukan oleh pengasuh wanita terhadap seorang kanak-kanak di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang.
Terkini dilaporkan, Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda ke atas pengasuh taska atas kesalahan memukul kanak-kanak lelaki baru-baru ini.
Tertuduh, Melona Eva Ezwa Musah, 27, yang mengaku bersalah atas perbuatannya itu turut dikenakan denda RM10,000 atau penjara tambahan selama 12 bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun ke atas tertuduh.
Hakim Amir Syah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas mengambil kira pengakuan tertuduh selain hujahan mitigasi peguam Hairul Vaiyron Othman yang mewakili wanita itu.
Peguam Hairul Vaiyron Othman yang mewakili tertuduh sebelum itu memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan, dengan mengambil kira anak guamnya sudah ‘dihukum’ apabila berada dalam kemurungan dan menghadapi penghinaan selepas video perbuatannya tersebar di media sosial.
“Dengan mengaku bersalah juga, tertuduh telah menyelesaikan kes itu seterusnya boleh menjaga kedua ibu bapanya dan jika hukuman lebih berat dikenakan, ini telah ‘mengalahkan’ tujuan itu.
“Mitigasi ini bukan bermaksud yang tertuduh tidak bertanggungjawab atas kesalahannya, tetapi hanyalah untuk dia diberi peluang kedua,” katanya yang memberitahu kes itu juga sebagai pengajaran kepada semua pihak.
Berdasarkan fakta kes, Melona dituduh menganiayai kanak-kanak lelaki berumur empat tahun sehingga mengakibatkan mangsa cedera di sebuah taska di Penampang antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi, 8 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 31 (2) akta yang sama.
Terdahulu, sebelum ini seorang bapa tidak sanggup melihat video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memperlihatkan anak lelakinya ditendang, ditampar dan ditarik rambut didakwa dilakukan pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Penampang.
Malahan lebih memilukan apabila kanak-kanak berusia empat tahun itu ditampar dan dipukul guna pembaris di muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.
Kejadian tersebut juga tular di media sosial apabila video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang.
Mingguan Wanita: Semoga menjadi pengajaran buat pengasuh taska yang lain supaya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara. Kerja mengasuh anak orang adalah satu amanah, jangan mudah khianati amanah tersebut.
Haram sebar video & gambar aib mangsa kemalangan, menyakiti hati keluarga waris. Hari ini media sosial begitu terbuka di mana orang ramai sering berkongsi apa saja yang berlaku.
Tragedi pesawat terhempas di Elmina semalam sememangnya menggemparkan di mana 10 mangsa meninggal dunia. Namun penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan melibatkan identiti penghantar makanan food panda, yang pada awalnya identitinya tidak dikenal pasti yang meninggal akibat terbakar sememangnya amat menyedihkan. Arwah dikenali sebagai Apit atau nama sebenarnya Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 tahun.
Di sebalik penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan, ada sesuatu yang harus kita pelajari di mana HARAM HUKUMNYA SEBARKAN GAMBAR ATAU VIDEO AIB MANGSA KEMALANGAN. Bukan saja mendedahkan aibnya tapi juga menyakiti hati keluarga waris.
Assalamualaikum W.B.T. Sesetengah masyarakat kita yang gemar mengambil dan menyebarkan gambar mangsa kemalangan atau kes tertentu di media sosial, apakah hukum perbuatan ini dari perspektif agama?
Ringkasan Jawapan:
Perbuatan menyebarkan gambar mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris. Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan ia boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam. Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya:“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.
Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa seorang muslim hendaklah menyukai segala kebaikan yang diperoleh oleh saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyukai kebaikan itu untuk dirinya, dan membenci segala keburukan yang menimpa saudara muslim yang lain sebagaimana dia membenci keburukan itu menimpa dirinya.
Oleh itu hendaklah seseorang muslim berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara semuslim-nya yang lain, menutup segala keaibannya serta menjaga hak-hak ke atas mereka (sesama muslim). (Rujuk: ‘Umdah al-Qori Syarh Sahih al-Bukhari, 1/141).
Justeru, pada asasnya perbuatan menyebarkan gambar mayat si mati adalah haram dan bercanggah dengan moral dan akhlak Islam kerana hal tersebut boleh membuka aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”.
Riwayat Muslim (2564)
Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain maka haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli, dan hendaklah menjaga kehormatan dirinya iaitu tidak boleh menghina sifatnya atau rupa paras atau keturunannya kerana hal itu boleh menjatuhkan kehormatannya dan hendaklah memelihara kemuliaan dirinya. (Rujuk: Al-Adab al-Nabawi, 1/137).
Firman Allah S.W.T:
….ولقد كرمنا بني آدم
Maksudnya:“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam…..”.
( Surah al-Isra’ : 70)
Ayat dia atas menunjukkan Allah S.W.T. memuliakan manusia samada semasa hidup atau matinya. Dan tidak syak lagi apa yang diharamkan oleh seseorang muslim ke atas saudaranya ketika hidup sama seperti pengharamannya setelah meninggal dunia. Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:
إن كسر عظم المؤمن ميتا مثل كسره حيا
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani “dapat diambil iktibar daripada hadis ini bahawasanya pengharaman seseorang muslim ke atas saudaranya ketika meninggal dunia sama seperti halnya ketika hidup”. (Rujuk: Fath al-Bari, 9/142).
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain samada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia. Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.
Selain itu, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang kurang elok atau tidak menutup aurat adalah suatu bentuk pendedahan aib dan ia merupakan suatu perkara yang ditegah dalam agama. Malah tiada khilaf dalam kalangan para ulama’ bahawa wajib menutup aurat jenazah. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/408). Sehinggakan para ulama menitikberatkan hendaklah dijaga aurat dan aib si mati sekalipun ketika urusan memandikan jenazah.
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan disunatkan agar ditutup mayat (ketika memandikan jenazah) daripada orang lain, kerana berkemungkinan terdapat pada badannya itu suatu aib yang beliau menutupinya dahulu (ketika dia hidup), dan boleh jadi terdapat badannya itu suatu tompokan darah, lalu disangka oleh orang yang melihatnya itu sebagai suatu hukuman baginya (mayat itu).” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/154).
Sabda Nabi S.A.W yang mengisyaratkan hal ini:
لا تبرز فخذك ولا تنظر إلى فخذ حي ولا ميت
Maksudnya: “Jangan membuka paha kamu dan janganlah melihat kepada paha orang yang hidup atau meninggal dunia”.
Riwayat Abu Daud (3140), Ibnu Majah (1460)
Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut mengaibkan seperti tertanggal anggota dari badan, terburai jasad dan sebagainya maka itu boleh membuka aib si mayat tersebut. Jelaslah bahawa perbuatan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan dilarang tegas oleh agama.
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas jelaslah bahawa wajib ke atas kita menutup aurat dan aib seseorang sekalipun orang tersebut telah meninggal dunia. Malah wajib hukumnya bagi seorang muslim menutup apa jua yang tidak disukai oleh seseorang ketika hidupnya. Barangsiapa yang melakukan sebarang perbuatan yang mendedahkan aurat dan aib si mati maka dia telah tergolong dalam golongan yang mencerobohi maruah saudara muslimnya yang lain dan ianya termasuk dalam perkara yang dibenci oleh Allah dan rasulnya.
Kesimpulan
Tunstasnya, perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Tambahan pula, sekiranya keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan maka haram menyebarkan gambar tersebut kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan hal tersebut boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam.
Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Ajal maut dah jodoh semuanya ketentuan tuhan. Rumahtangga pengarah Aziz M Osman dengan isteri, Puteri Lily Lokman yang dibina 13 tahun lalu akhirnya terlerai.
Pendedahan itu dibuat Puteri Lily menerusi Instagram Stories (IGs). Puteri Lily berkata, dia perlu membuat pendedahan bagi mengelak timbulnya fitnah.
“Sejak kebelakangan ini, ramai yang bertanya status hubungan saya dan Aziz.
“Demi mengelakkan fitnah pada masa hadapan, saya dengan rasa rendah diri ingin menyampaikan berita saya dan Aziz sudah berpisah,” tulisnya.
Sungguhpun begitu, Puteri Lily berkata, dia dan Aziz berpisah secara baik, awal bulan lalu.
“Secara rasminya, saya dan Aziz berpisah dengan cara baik awal bulan lalu dan tiada kaitan orang ketiga.
“Ditakdirkan jodoh kami sampai di sini, tetapi kami masih mempunyai hubungan baik demi anak-anak,” katanya.
Tambah Lily, anak sulung hasil perkongsian hidup dengan Aziz iaitu Puteri Nur Azzahra, 11, menerima keputusan perpisahan dengan tenang.
“Doakan anak-anak saya kuat emosi dan mental. Doakan urusan kami dipermudahkan. ‘I’m trying my best’ (Saya akan cuba yang terbaik),” luahnya.
Puteri Lily dan Aziz mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Puteri Nur Azzahra, 11, dan Putera Muhamad Aryan, 5.
Ini adalah perkahwinan yang ketiga buat Aziz. Sebelum ini, pengarah filem XX Ray itu mendirikan rumah tangga dengan penerbit dan pelakon, Nor Aliah Lee dan memiliki enam cahaya mata.
Selepas berpisah dengan Nor Aliah, Aziz berkahwin dengan Nor Radhiah pada 16 Ogos 2008, namun dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu kerana wanita itu masih dalam tempoh edah ketika majlis pernikahan.
Aziz kemudian berkahwin dengan Puteri Lily pada 6 Jun 2010.