Pada 16 April 2019 ini, genap sebelas tahun Rosnalizawati Hamzah berkhidmat sebagai jururawat. Selama itu jugalah banyak pengalaman pahit mahu pun manis telah dialaminya. Kerjayanya memang memerlukan komitmen yang tinggi. Namun tidak pernah terdetik sedikit pun dalam hati yang dia menyesal dengan kerjaya yang dipilih.
Bersama Mingguan Wanita, Rosnalizawati yang berusia 34 tahun ini bercerita kisah sebenar di sebalik mengapa dia memilih menjadi jururawat.
“Pada asalnya, jururawat bukanlah pekerjaan pilihan saya. Bagi saya, memilih pekerjaan yang saya tidak suka adalah ibarat dipaksa berkahwin dengan orang tua. Tetapi kerana tidak mahu menghampakan harapan ayah, yang bersungguh-sungguh mendesak, maka saya pun mengisi borang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya mengimbau kisah sebelum ini.
Tak Lengkap
Bagaimanapun menurutnya, borang permohonannya telah ditolak kerana dia terlupa untuk mengisi jawatan yang dipohon.
“Kemudian, saya telah mengisi semula borang SPA buat kali kedua dan ketika itu saya menjadikan pekerjaan pengawal lalu lintas udara sebagai pilihan utama manakala jururawat sebagai pilihan yang terakhir.
“Tetapi, takdir telah menjodohkan saya dengan kerja jururawat. Saya dipanggil menghadiri temu duga. Dalam masa yang sama saya merasa hairan kerana ayah sangat yakin yang saya akan lulus temu duga tersebut dan menjadi seorang jururawat dan keyakinan itu memang menjadi kenyataan,” katanya.
Bercerita lanjut, menurutnya, pada 7 April 2004, ayahnya telah dijemput Ilahi tanpa sempat melihat dia menyarungkan uniform jururawatnya.
Rosnalizawati diterima mengikuti pengajian Diploma Kejururawatan di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Sungai Buloh, Selangor sebelum meneruskan pengajian Diploma Lanjutan Kebidanan di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Ulu Kinta, Perak.
“Selepas tamat pengajian, saya berkhidmat di wad perubatan lelaki P2/SW26 Hospital Kuala Lumpur selama lima tahun dan kemudian saya telah berpindah ke Hospital Ampang, Selangor.
“Pekerjaan terakhir saya dengan Kementerian Kesihatan berakhir pada 11 April lalu dan bermula 15 April saya memulakan pekerjaan baru di Arab Saudi.
Ads
“Walaupun saya akan menamatkan perkhidmatan saya di sini, ia tidak bermakna saya akan berhenti merawat dan berhenti menjadi bidan. Saya masih seorang jururawat, seorang bidan, dan saya harap saya akan berterusan menjadi seorang perawat,” katanya penuh keikhlasan.
Penulis Sambilan
Rosnalizawati mengakui, sebelum bergelar jururawat, dia memandang pekerjaan ini sebagai suatu pekerjaan yang biasa. Tiada yang istimewa. Itulah yang sering terdetik dalam hatinya.
“Tetapi selepas kejadian ayah saya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital disebabkan oleh serangan jantung, ia telah membuka mata saya. Saya fikir, betapa perlunya kita mengetahui tentang perawatan dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.
“Saya selalu terfikir, di samping kita membantu ahli keluarga, kita juga boleh membantu orang lain. Sejak dari hari pertama saya menjadi jururawat, saya mula mengubah persepsi saya dan melihat pekerjaan saya sebagai suatu profesion yang luar biasa,” katanya.
Ujar penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) untuk tahun 2017 dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ini, selain menjadi jururawat, dia juga menjadi penulis sambilan.
“Saya menyumbang karya di dalam beberapa buku yang berkonsepkan hospital dan kesihatan seperti Buku Pink 1.0, Buku Pink 2.0, dan Gargle. Saya juga membuat ilustrasi untuk sebuah buku tentang vaksin.
Ads
“Selain itu, saya juga menjadi ahli persatuan Delegasi Jururawat (DON) sebuah persatuan NGO. Di samping menyertai beberapa aktiviti sukarelawan bersama Team Kembara Kitchen termasuk aktiviti sukarelawan di Sandakan, Sabah,” katanya.
Belajar Sabar Dan Kawal Emosi
Sepanjang menjadi jururawat banyak perkara yang telah dipelajari Rosnalizawati. Namun baginya, perkara yang paling utama ialah jika mahu menjadi jururawat, seseorang itu perlu ada sikap empati dan sabar.
“Dua sikap ini perlu ada di dalam diri setiap jururawat. Saya sedar, bukan mudah untuk menjadi seorang yang penyabar. Bukan mudah untuk meletakkan diri di tempat pesakit. Saya pernah menjadi pesakit. Saya pernah merasa sakitnya pembedahan. Saya pernah merasa betapa ngilunya apabila benang pembedahan dibuka. Dan kerana pengalaman pernah menjadi pesakit itu, membuatkan saya sedar dan memahami betapa sukarnya menjadi seorang pesakit.
“Malah, saya juga pernah ditendang oleh ibu mengandung semasa saya sedang mengendalikan proses kelahiran anaknya. Boleh bayangkan bagaimana perasaan saya pada saat itu? Hanya Allah saja yang tahu. Sejak saya mula bekerja di dewan bersalin, saya mula belajar untuk bersabar dan mengawal emosi,” ujarnya menceritakan sedikit pengalaman berharganya.
Menurutnya, dia akan mengajar pesakitnya supaya mempraktikkan senaman pernafasan. Dan bagi pesakit yang beragama Islam, dia akan menggalakkan pesakit berzikir dan berdoa. Secara tidak langsung, dia juga akan turut sama melakukannya.
Bagi Rosnalizawati, keseronokan kerjaya yang berkhidmat untuk masyarakat itu sangat luar biasa. Kepuasan yang dirasakan memang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Ads
“Antara kepuasan yang saya dapat rasakan adalah ketika menjahit dan menyambut kelahiran bayi. Walaupun agak aneh bunyinya, tetapi menjadi bidan di hospital kerajaan telah memberikan saya peluang untuk menyambut kelahiran dan menjahit luka bersalin. Apabila satu hari saya tidak menyambut bayi atau menjahit luka, saya akan merasa rindu dan seperti ‘gatal tangan’.
“Pada saya, melihat kelahiran baru setiap hari, seolah-olah memberi kepuasan kepada saya. Apabila si ibu berjaya bersalin tanpa komplikasi, dan mereka mengucapkan terima kasih kepada kita, itu pun sudah mampu membuatkan saya rasa bahagia dan ia membuatkan hari saya menjadi lebih bermakna,” jelasnya.
Kisah Sambut Bayi Kali Pertama
Bercerita mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, jururawat yang juga bidan ini tidak pernah dapat melupakan pengalaman menyambut bayi pertamanya.
“Pada hari kejadian, merupakan hari pertama saya bertugas di dewan bersalin. Tanpa pengawasan senior mahupun sister, saya telah diberikan tugasan untuk menjaga seorang pesakit Myanmar yang mengandung tidak cukup bulan. Saya telah diberitahu yang bukaan pintu rahimnya baru empat sentimeter. Di dalam hati saya, saya berdoa supaya dia tidak bersalin sepanjang saya menjaganya.
“Malangnya, doa saya tidak dimakbulkan. Pesakit saya yang dari tadi hanya mendiamkan diri, tiba-tiba menjerit. Saya menjadi panik dan saya tanya dia kenapa. Dia tidak menjawab tetapi hanya menjerit. Saya terus menyelak kain sarungnya. Saya sangat terkejut apabila terlihat kepala bayi sudah terjulur keluar. Kini giliran saya pula menjerit meminta tolong.
“Sister dan staf lain bergegas datang ke bilik yang saya jaga. Tanpa membuang masa, berlapikkan kain sarung berwarna merah hati, saya terus menyambut bayi tersebut yang beratnya hanya anggaran 500-600 gram. Saya sangat panik. Terasa seperti hendak menangis. Tangan saya menggeletar. Dalam bilik penghawa dingin yang sejuk itu, saya berpeluh.
“Masa hendak sain surat beranak, sister saya bertanya. “Haaa..macam mana? Seronok tak sambut bayi?” ceritanya sambil ketawa kecil.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tiba-tiba, boleh timbul rasa cemburu lihat orang kaya yang banyak dikongsikan dalam media massa. Mulalah hati kecil tertanya-tanya bagaimana mereka peroleh kekayaan sedemikian.
Jauh di sudut hati cemburu lihat orang kaya dan kejayaan mereka dengan mempunyai kereta mewah, rumah besar dan pakaian yang cantik. Tapi kita tak tahu kehidupan sebenar yang ada pada mereka.
Sebab itu, tak perlu nak ukur orang yang kaya dan berjaya melalui gambaran di media sosial. Kita tak tahu. Cara mereka menunjuk ini, sebenarnya jiwa dan hatinya kosong.
Jadilah kita sebagai orang yang berjaya, kaya dan bahagia dunia akhirat. Seperti yang dikongsikan oleh Amalina Nudin ini. Tak perlu pun nak cemburu lihat orang kaya, tayang kemewahan, seksi dan sebagainya. Sebab mereka ini belum lagi berjaya sebenarnya.
Cemburu Lihat Orang Kaya, Hakikatnya Jiwa Mereka Kosong
Sayang, apabila orang melihat definisi berjaya baginya adalah HANYA dengan…
Naik kereta besar, kereta mewah. Pakai baju cantik-cantik.
Boleh pergi melancong dan pergi jalan-jalan ke luar negara sentiasa.
Ada duit berkepuk-kepuk dalam bank.
Bagi saya, berjaya itu simple.
Apabila kita menjadi manusia bermanfaat pada orang lain.
Mempunyai keluarga yang di dalamnya ada sakinah mawaddah di sana.
Hidup tenang dan tak bergaduh sini sana.
Tak apa tak mewah, asalkan sudah merasa cukup dan menikmati apa yang Allah beri.
Dan yakin akan sentiasa ada rezeki nanti dan nanti, selagi mana kita taat perintah Allah, jauhi larangannya.
Tak Semua Nikmat Orang Dapat
Kaya = Bukan ada segalanya yang kita nak, namun, kita syukuri segala yang kita dah ada. Itu nikmat tak semua orang dapat.
Entah, selalu didik diri agar tidak cemburu melihat kelebihan orang lain dari segi material dan keduniaan, kerana itu belum tentu berjaya sebenar. Kita hidup pun di dunia tipu-tipu. Boleh lah untuk sebagai motivasi sekali sekala.
Latih untuk ‘cemburu’ apabila melihat orang lain berjaya dan bahagia, apabila urusan akhiratnya terjaga dan hidup penuh tenang, walau hartanya taklah banyak mana untuk ditayangkan. Cukup-cukup makan sahaja.
Kadang, orang tunjuk ini dan itu, hanya untuk menutup kekosongan hati dan jiwa.
Ada yang, terpaksa tunjuk dia berjaya, sebagai marketing semata. Kita pula, tercemburu dengan marketing dia.
Kita tanya pada diri, seberapa banyak terujanya kita, apabila melihat orang lain berpakaian serba mahal dan berfesyen, berkereta baru dan berjenama, berumah cantik ala moden…
Adakah sama teruja dan terinspirasi,
Apabila melihat ‘kaya’nya sebuah keluarga, dengan tenang dan soleh solehahnya ibu bapa, dengan anak anak menghormati dan berhibur sesama mereka, di sini sekolah agama, yang sana tahfiz, menantu pula elok soleh solehah ya amat…
Atau, ‘berjaya’ yang sebegini, kita hanya nampak sebelah mata?
Tenang & Bahagia
Sebenarnya, jika kita ada tenang, kita dah ada segalanya. Itulah kunci untuk bahagia.
Bagi saya, seseorang yang dapat puluhan A SPM, kemudian ke luar negara, sangat cerdik dan pandai dalam bidangnya, genius pula, akhirnya menjadi seksi dan tak jaga pergaulan, membuka tudung, itu bukanlah sosok tubuh yang saya terinspirasi dan saya yakin nak katakan, yang dia sudah ‘berjaya’. Dia belum berjaya bagi saya.
Nampak dia pakai Vellfire, Alphard, Merc, Audi, terus kita rasa dia sudah berjaya. Pakai beg Gucci, Coach, terus mata teruja kita lihat dia.
Definisi berjaya atau bahagia seseorang itu, kita boleh ‘tukar’ dengan menukar cara mata kita melihatnya. Kita yang DECIDE siapa yang kita rasa, dialah berjaya di mata kita.
Of course, berjaya sebenar adalah, apabila kita dapat mencapai mati husnul khotimah, masuk Syurga Allah, melihat wajah Allah, menggapai Redha Allah. Ini adalah ULTIMATE
GOAL untuk kita kata kita dah cukup berjaya, apabila sudah dapat ia.
Keterangan Gambar :
Ini keluarga kakak ipar saya, ini antara keluarga yang saya suka dan terinspirasi dengannya.
10 Tahun lepas mengenali keluarga ini, saya kata, ini keluarga yang saya perlu contohi. Adik beradik kakak ipar, semuanya bekerjaya, kemudian soleh solehah semuanya. Baik hati.
Kesemua masuk universiti, ada yang 3 sampai Mesir sana. Kini jadi pensyarah, ustazah, Audit, Pegawai Bank dan cikgu. Dan semuanya menjaga solat dan aurat.
Kemudian dapat menantu yang baik-baik. Kerana selalu ada pesanan agama di dalamnya. Selalu tumpang solat berjemaah kalau ke rumah mereka. Disantuni sebagai tetamu sentiasa.
Mingguan Wanita : Tak perlu nak tunjuk sekadar untuk marketing atau nak bagi orang cemburu atau kagum. Kayalah cara kita.
“Abang halalkan makan minum, ampunkan dosa dan reda ayang pergi.”
Demikian kata-kata terakhir yang dibisikkan Muhammad Saiful Sudin, 35, kepada isteri, Nor Fadillah Che Par, 34, yang menghembuskan nafas di sisinya setelah tujuh tahun terlantar sakit akibat lumpuh seluruh badan selepas melahirkan anak sulung mereka, Mohd Syahmi yang kini berusia tujuh tahun.
“Tujuh tahun jaga isteri sakit rasa sekejap sahaja masa, namun hari ini saya reda apabila dia pergi buat selama-lamanya,” kata Mohd Saiful Sudin, 35, yang kehilangan isteri tercinta, Nor Fadila Che Par, 34, di Hospital Bachok pada jam 9.20 pagi tadi.
Menurut Mohd Saiful, malam sebelum pemergian isterinya itu, arwah mengalami sesak nafas dan segera dikejarkan ke hospital sekitar jam 10.20 malam.
Kisah Pengorbanan Mohd Saiful Jaga Isteri Sakit
“Sebelum itu, doktor ada minta kebenaran untuk tidurkan arwah isteri tapi selepas menunggu, doktor maklumkan keadaan isteri sudah tenat dengan mengalami kerosakan buah pinggang tahap tiga, hati sudah rosak, paru-paru kering dan kuman terlalu banyak dalam darah.
“Doktor minta ahli keluarga bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan keesokannya (pagi tadi) isteri pergi meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Kok Lintang, Gunong, hari ini.
Jelasnya lagi, arwah hanya mengalami demam ringan beberapa hari sebelum itu dan tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit serius sehinggalah diserang lelah pada malam kejadian.
“Dia tak tunjuk tanda sakit berat pun, tapi saya perasan dia banyak kali pandang wajah saya lama-lama. Dia hanya pandang sahaja wajah saya, saya suruh dia tidur pun dia tak mahu, keadaan ini berlarutan sehinggalah dia meninggal dunia,” katanya sebak.
Nor Fadila Koma Lepas Lahirkan Anak Tunggal
Untuk rekod, Nor Fadila atau lebih dikenali sebagai Mokla pernah menjadi perhatian umum selepas koma selama empat bulan akibat komplikasi ketika melahirkan anak tunggal mereka, Muhamad Syahmi Mohd Saiful, pada November 2018.
Selepas tersedar daripada koma, arwah terlantar sepenuhnya dan bergantung kepada susu khas yang disalurkan melalui tiub di leher dan perut. Beliau juga perlu memakai lampin pakai buang serta dijaga sepenuh masa kerana tidak lagi mampu bercakap, sebaliknya hanya menggunakan pergerakan mata sebagai bahasa isyarat.
Kini, anak mereka yang berusia tujuh tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara dijaga oleh kakak arwah, Nur Hasirah Che Par, 36.
Jenazah Nor Fadila Disemadikan Dengan Kehadiran Ramai
Jenazah Nor Fadila selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, Jelawat kira-kira jam 6 petang, dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga, penduduk kampung serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang.
Kisah pengorbanan Mohd Saiful menjaga isterinya yang sakit selama tujuh tahun menjadi inspirasi ramai tentang erti kesetiaan, kasih sejati dan ketabahan seorang suami terhadap isteri tercinta.
Sakitnya hati bila mana suami gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga dengan baik. Semakin lama memendam rasa, semakin derita hati isteri.
Lebih parah lagi, jika anak-anak menjadi mangsa dek kerana perasaan tak terbendung dengan penganiayaan yang suami lakukan.
Hadamkan pesan Nadia Hazmi, kaunselor di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik – Puspen Kuching ini. Beliau terkesan dengan video ibu yang mencederakan tiga orang anak kerana tidak mahu melihat anak-anaknya susah.
Jangan Meletakkan Pergantungan 100% Pada Lelaki Bernama Suami
Luluh rasa hati bila tertengok video ni.. nak tukar nama baru katanya ‘Muthmainnah’.. yang bermaksud “ketenangan”.. cuba membunuh ketiga-tiga anaknya kerana tak mahu melihat mereka bersedih lagi dan anak yang kedua telahpun meninggal dunia di tangan ibu sendiri. Mengatakan diri nya telah lama memendam rasa, dan dia tidak gila.
Itulah pentingnya seorang wanita & ibu itu JANGAN meletakkan 100% pergantungan kepada seorang lelaki bernama suami.
Tidak mencari jalan keluar dari kehidupan TOKSIK yang dilalui bertahun-tahun akan menjadikan seseorang itu hilang kewarasan dan pertimbangan dan akhirnya begini.
Ada jenis lelaki yang kau boleh tunduk kepadanya kerana agama, tapi ada sebilangan darinya tidak layak untuk dihormati walaupun yang dijaja adalah syurga di bawah tapak kakinya.
Sungguh tiada siapa yang mahu dan tiada siapapun dapat merasai totally sakitnya apa yang dilalui wanita ini selama ini.
Jadi, ibu-ibu di luar sana yang terkandas dalam tekanan hidup dan luka perasaan, please la tolong la cari jalan keluar dengan apa cara sekalipun dan jangan terlalu lama membiarkan diri stay dalam DEPRESI yang akhirnya memakan diri dan anak-anak.
Jangan malu untuk dapatkan rawatan pakar. Jangan pedulikan apa orang kata kerana hidup kita untuk diri kita bukannya orang lain.
Wanita zaman ni dikira wajib persiapkan diri dari segi mental dan bina perancangan kerjaya sebelum membuat keputusan untuk menikah dan membiak serta sentiasa bersedia untuk mula berdiri di atas kaki dan titik peluh sendiri. Bukan masanya lagi untuk menggodek produk-produk di FB untuk “mengikat suami supaya tak lari”.
Biarkan saja buah yang busuk itu gugur dengan sendiri.
Kita hidup hanya sekali. Mati juga sekali. Menjadi seorang berilmu dan akal waras itu penentu masa depan diri dan anak-anak harta kita dunia akhirat.
Jangan sia-siakan anak-anak yang memerlukan kita hanya kerana seorang ‘KETUA KELUARGA YANG GAGAL’ memimpin keluarganya ke syurga.
Tapi sekali-kali jangan dilupa solat dan senjata utama iaitu DOA
اِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي ِﷲِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam..
Begitulah.
Mingguan Wanita :Wahai isteri, jangan pernah takut untuk meminta bantuan pakar sekiranya anda berdepan tekanan emosi yang keterlaluan. Cuma anda yang dapat membantu diri sendiri.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.