
Pernah tak anda tertanya-tanya bagaimana rutin pagi Deepavali dan sambutan bermula sebelum tetamu datang berkunjung?
Menerusi perkongsian di Threads, seorang lelaki menggunakan akaun @vemal_10 berkongsi rutin pagi Deepavali bersama keluarganya, daripada mandi minyak sehinggalah menikmati sarapan dengan pelbagai hidangan.
Apa yang menarik, setiap langkah yang dikongsikan turut membawa makna tersendiri buat mereka dalam menyambut perayaan tersebut.
Menurut lelaki itu, rutin paginya bermula dengan bangun awal untuk mandi minyak, yang turut disebut sebagai Ganga Snanam.
Rutin Pagi Deepavali

“Kita bangun awal-awal pagi mandi minyak dulu. Kita orang guna minyak bijan,” katanya.
Dalam video tersebut, dia menjelaskan bahawa selepas menyapu minyak, mereka berjemur selama kira-kira setengah jam sebelum mandi.
Selesai membersihkan diri, tibalah masa untuk bersiap dan mengenakan pakaian Deepavali bagi menyambut hari istimewa itu.
Lelaki tersebut kemudian menceritakan bahawa mereka akan pergi ke kuil untuk bersembahyang, mengucapkan rasa syukur serta berdoa memohon rezeki, kesihatan dan keberkatan.
“Okey, lepas tu kita orang pergi kuil, sembahyang, ucap syukur, doa rezeki dan kesihatan dan minta berkat untuk kami,” jelasnya.
Antara tradisi yang turut dikongsikan ialah menundukkan badan dan menyentuh kaki ibu bapa serta orang tua ketika memohon restu.

Menurutnya, amalan itu merupakan tanda penghormatan kepada mereka, di samping mengharapkan doa yang baik.
“Masa Deepavali kita orang tunduk dan salam kaki ibu bapa dan orang tua untuk minta restu dan berkat. Ini tanda hormat, doa kebaikan dari mereka,” katanya.
Dalam momen yang sama, dia turut berkongsi bahawa mereka menerima ‘angpau’ daripada orang tua dalam sambutan itu.
Lelaki Ini Kongsi Suasana Pesta Cahaya Penganut Hindu

Selepas pulang dari kuil, mereka menikmati sarapan dengan pelbagai juadah yang disediakan sempena Deepavali.
Menurutnya, lazimnya juadah-juadah yang dihidangkan antaranya ialah idli, tose, kari kambing dan ayam kurma.
Selain itu, beberapa jenis kudapan serta manisan seperti muruku, gula-gula kelapa, pal kova dan laddu. Ada juga teh masala untuk dinikmati bersama hidangan pagi itu.
Kongsi lelaki tersebut menjelaskan bahawa tradisi pagi Deepavali membawa makna penyucian diri, permulaan baharu dan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan.
Anda mungkin berminat dengan
“Inilah tradisi pagi Deepavali yang penuh dengan makna. Bermula dengan mandi minyak (Ganga Snanam), memakai pakaian baharu, melakukan pooja dan meluangkan masa bersama keluarga,” tulisnya.
Seronok apabila dapat mengenali sambutan perayaan kaum melalui perkongsian sebegini. Inilah kelebihan Malaysia berbanding negara luar, kita dapat melihat pelbagai perayaan kaum.
Betapa bermaknanya masa bersama keluarga dalam sambutan Deepavali lelaki ini. Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu!
Semoga pesta cahaya ini membawa kebahagiaan, kedamaian dan keceriaan buat anda sekeluarga. Terus kita eratkan persahabatan dan saling menghormati agar kemesraan kekal terjalin dalam pelbagai budaya dan agama.

download sekarang!
