
Lambaian terakhir buat ibu ayah, dua beradik masih dirawat di hospital sempat kucup jenazah.
Belum sempat memahami erti kehilangan, dua beradik terpaksa menerima hakikat bahawa ibu dan ayah yang selama ini menjadi tempat bermanja sudah pergi buat selama-lamanya.
Lebih meruntun hati, Muhammad Adam, 8 dan kakaknya, Hasya Fahira Zulkifli, 11, yang masih menerima rawatan di hospital akibat kecederaan dalam nahas tersebut dibawa menggunakan kerusi roda dengan bantuan dua jururawat ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mengucup jenazah ibu bapa mereka, Mohd Hardi Mohd Husin dan Tengku Syafirana Tengku Abdullah buat kali terakhir malam tadi.

Dua Beradik Masih Dirawat Di Hospital Sempat Kucup Jenazah
Dengan linangan air mata, Hasya Fahira dilihat berkali-kali mengucup jenazah ibu dan ayahnya, seolah-olah berat untuk menerima perpisahan buat selama-lamanya. Adiknya, Muhammad Adam turut melakukan perkara sama memberikan ciuman terakhir kepada kedua-dua insan tersayang yang kini tidak mungkin kembali lagi.
Detik paling menyayat hati apabila kedua-duanya melambaikan tangan sambil menangis ketika van jenazah yang membawa jasad ibu bapa mereka mula bergerak meninggalkan kawasan hospital. Dua jururawat yang menemani mereka turut gagal menahan sebak menyaksikan detik perpisahan tersebut.
Jenazah suami isteri ini telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Parit Maimon, Parit Sulong, kira-kira jam 11.45 malam Ahad.

Sebelum pengebumian, kedua-dua jenazah dibawa ke rumah keluarga di kampung berkenaan untuk disolatkan dengan kehadiran lebih 200 ahli keluarga, kenalan dan penduduk kampung.
Dua beradik akan dijaga bapa saudara
Di sebalik ujian yang berlaku, dua beradik ini akan menumpang kasih sayang bersama bapa saudara selepas keluar dari hospital kelak.
Keduanya akan dijaga oleh Muhammad Ihsan, 30 iaitu adik kepada Allahyarham Mohd Hardi. Dirinya akan mengambil tanggungjawab membesarkan dua beradik ini.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Muhammad Ihsan memaklumkan abang dan kakak iparnya dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan dapur di Yong Peng sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.

Dalam tragedi semalam di Kilometer 8.5, Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Kampung Sri Wangi, Parit Yaani, Batu Pahat, Johor, Mohd Hardi Mohd Husin dan isteri, Tengku Syafirana Tengku Abdullah meninggal dunia di lokasi kejadian selepas lori 10 tan membawa muatan tar hilang kawalan akibat tayar pecah, memasuki laluan bertentangan sebelum menghempap Perodua Alza dinaiki empat beranak ini.
Seorang saksi kejadian yang menggunakan nama @syahmisukatukang di Threads berkongsi detik cemas ketika orang awam berusaha membantu mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan tersebut sebelum ketibaan pasukan bomba.
Anda mungkin berminat dengan
Jelasnya, kedengaran tangisan dua kanak-kanak dari dalam kenderaan yang remuk selain suara seorang wanita dipercayai ibu mereka merayu meminta pertolongan.

Saksi berkenaan mendakwa kedua-dua kanak-kanak berada di tempat duduk belakang dan mengalami kecederaan melecur manakala barangan keperluan dapur yang dibeli keluarga itu turut bertaburan di dalam kenderaan

download sekarang!
