
Ayam direndam air panas hingga mati sebelum disembelih, dipercayai diedar ke kedai makan & pasar raya di Lembah Klang.
Pendedahan mengenai ayam yang dipercayai direndam dalam air panas sehingga mati sebelum disembelih serta rampasan lebih 6.5 tan ayam mentah di sebuah gudang di Puchong menimbulkan persoalan serius mengenai jaminan halal bekalan makanan khususnya risiko umat Islam termakan bangkai tanpa disedari.
Lebih membimbangkan, ayam yang diproses di premis berkenaan dipercayai diedarkan kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan pasar raya sekitar Lembah Klang.
Keadaan ini bukan sekadar membangkitkan isu pematuhan prosedur penyembelihan malah menyentuh soal kepercayaan pengguna yang selama ini bergantung kepada pembekal dan peniaga untuk memastikan makanan yang dibeli benar-benar memenuhi tuntutan agama.
Dalam serbuan Ops Taring Chiller pada jam 12.40 tengah malam tadi, seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian, Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, premis terbabit disyaki menjalankan kegiatan penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.
Menurutnya, pemeriksaan awal menemukan kaedah pengendalian ayam yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak.
“Pemeriksaan mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rampasan 6.5 Tan Ayam Bernilai RM85,400
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, sebanyak 6.5 tan ayam mentah dalam 468 bungkus plastik dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM85,400.
Bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang di sekitar Sepang sebelum diproses di premis terbabit.
Operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pejabat Kesihatan Petaling.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Kesemua warga asing yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Jika Mati Sebelum Disembelih, Ayam Dikategorikan Sebagai Bangkai
Dari sudut hukum Islam, persoalan utama bukan semata-mata sama ada ayam itu melalui proses sembelihan tetapi sama ada haiwan berkenaan masih hidup ketika disembelih.
Anda mungkin berminat dengan
Sekiranya ayam sudah mati akibat rendaman air panas sebelum sembelihan dilakukan, perbuatan menyembelih selepas kematiannya tidak menjadikan daging tersebut halal dimakan.
Hal ini kerana haiwan yang mati tanpa penyembelihan sah dikategorikan sebagai bangkai sebagaimana larangan yang dinyatakan dalam Surah al-Ma’idah, ayat 3.
Persoalan lebih besar timbul apabila ayam yang diproses dipercayai telah memasuki rangkaian pengedaran makanan di Lembah Klang.
Bagi pengguna biasa, sukar untuk mengenal pasti kaedah penyembelihan hanya berdasarkan rupa ayam mentah yang dijual apatah lagi apabila daging berkenaan sudah dimasak dan dihidangkan di premis makanan.
Sebab itu, integriti halal tidak seharusnya terhenti pada dakwaan sesuatu produk itu halal sebaliknya perlu dipastikan sepanjang proses penyembelihan, pengendalian, pemprosesan dan pengedaran. Kredit BERNAMA. Huraian hukum dan isu pengguna merupakan konteks editorial.

download sekarang!
