Dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin merupakan impian bagi setiap pasangan suami isteri bagi melengkapkan lagi kebahagiaan rumahtangga. Namun demikian, ada pasangan yang cepat dikurniakan anak dan ada juga sebaliknya, meskipun telah berusaha dengan pelbagai cara. Segalanya merupakan ketentuan rezeki daripada tuhan. Paling penting tidak pernah berputus asa.
Pernah dituduh mandul oleh orang sekeliling, namun siapa sangka pada usia 41 tahun wanita ini disahkan hamil dan dikurniakan cahaya mata hanya selepas 23 tahun berkahwin.
Pernah Dituduh Mandul
Setelah sekian lama berdepan tohmahan orang sekeliling dan dituduh mandul, kini seorang peniaga makanan, Norehan Sulaiman, 42, bersyukur apabila dikurniakan zuriat pertama selepas 23 tahun mendirikan rumah tangga.
“Saya dan suami tidak mandul kerana lepas dua tahun kahwin, kami berjumpa pakar dan pemeriksaan lanjut menunjukkan kami tidak mempunyai sebarang masalah pada sistem pembiakan.
“Namun pada masa itu kami belum ada rezeki nak timang anak sendiri. Macam-macam orang cakap tuduh kami mandul.
“Tak sangka umur dah 41 tahun baru hamil dan sekarang umur anak baharu masuk empat bulan selepas saya bersalin 8 April lalu secara pembedahan,” katanya.
Ads
Buat Ujian Kehamilan
Tambah Norehan, pada mulanya dia hanya mengalami simptom seperti lesu, kurang selera makan dan kitaran haid tidak teratur.
Rentetan daripada itu, dia tergerak hati untuk membuat pemeriksaan air kencing menggunakan kit ujian kehamilan dan akhirnya keputusan menunjukkan ‘dua garis’.
Norehan dan suami pergi ke klinik bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut sebelum disahkan hamil dengan usia kandungan enam minggu empat hari.
“Dahulu saya tidak mampu untuk memahami cerita yang dikongsi rakan berkaitan kehamilan, tetapi kini saya dapat merasai pengalaman ‘mabuk’, lesu dan tidak ada selera makan,” katanya.
Ujar Norehan, sebelum ini ketika perkahwinan mereka menganjak 10 tahun ini, dia dan suami mengambil dua anak angkat lelaki serta perempuan sebagai penyeri hidup yang kini berusia 13 dan 14 tahun.
Ads
“Saya dan suami sangat gembira kerana kedua-dua anak angkat sangat akrab dengan adik mereka, Aisy Mateen Mikhael Sohimy,” katanya.
Mingguan Wanita: Tumpang gembira dengan kebahagiaan pasangan ini yang dikurniakan anak sendiri selepas 23 tahun berumahtangga. Semuanya hasil kesabaran, kesetiaan dan tidak pernah berputus asa dengan takdirnya.
Haram sebar video & gambar aib mangsa kemalangan, menyakiti hati keluarga waris. Hari ini media sosial begitu terbuka di mana orang ramai sering berkongsi apa saja yang berlaku.
Tragedi pesawat terhempas di Elmina semalam sememangnya menggemparkan di mana 10 mangsa meninggal dunia. Namun penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan melibatkan identiti penghantar makanan food panda, yang pada awalnya identitinya tidak dikenal pasti yang meninggal akibat terbakar sememangnya amat menyedihkan. Arwah dikenali sebagai Apit atau nama sebenarnya Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 tahun.
Di sebalik penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan, ada sesuatu yang harus kita pelajari di mana HARAM HUKUMNYA SEBARKAN GAMBAR ATAU VIDEO AIB MANGSA KEMALANGAN. Bukan saja mendedahkan aibnya tapi juga menyakiti hati keluarga waris.
Assalamualaikum W.B.T. Sesetengah masyarakat kita yang gemar mengambil dan menyebarkan gambar mangsa kemalangan atau kes tertentu di media sosial, apakah hukum perbuatan ini dari perspektif agama?
Ringkasan Jawapan:
Perbuatan menyebarkan gambar mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris. Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan ia boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam. Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya:“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.
Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa seorang muslim hendaklah menyukai segala kebaikan yang diperoleh oleh saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyukai kebaikan itu untuk dirinya, dan membenci segala keburukan yang menimpa saudara muslim yang lain sebagaimana dia membenci keburukan itu menimpa dirinya.
Oleh itu hendaklah seseorang muslim berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara semuslim-nya yang lain, menutup segala keaibannya serta menjaga hak-hak ke atas mereka (sesama muslim). (Rujuk: ‘Umdah al-Qori Syarh Sahih al-Bukhari, 1/141).
Justeru, pada asasnya perbuatan menyebarkan gambar mayat si mati adalah haram dan bercanggah dengan moral dan akhlak Islam kerana hal tersebut boleh membuka aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”.
Riwayat Muslim (2564)
Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain maka haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli, dan hendaklah menjaga kehormatan dirinya iaitu tidak boleh menghina sifatnya atau rupa paras atau keturunannya kerana hal itu boleh menjatuhkan kehormatannya dan hendaklah memelihara kemuliaan dirinya. (Rujuk: Al-Adab al-Nabawi, 1/137).
Firman Allah S.W.T:
….ولقد كرمنا بني آدم
Maksudnya:“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam…..”.
( Surah al-Isra’ : 70)
Ayat dia atas menunjukkan Allah S.W.T. memuliakan manusia samada semasa hidup atau matinya. Dan tidak syak lagi apa yang diharamkan oleh seseorang muslim ke atas saudaranya ketika hidup sama seperti pengharamannya setelah meninggal dunia. Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:
إن كسر عظم المؤمن ميتا مثل كسره حيا
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani “dapat diambil iktibar daripada hadis ini bahawasanya pengharaman seseorang muslim ke atas saudaranya ketika meninggal dunia sama seperti halnya ketika hidup”. (Rujuk: Fath al-Bari, 9/142).
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain samada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia. Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.
Selain itu, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang kurang elok atau tidak menutup aurat adalah suatu bentuk pendedahan aib dan ia merupakan suatu perkara yang ditegah dalam agama. Malah tiada khilaf dalam kalangan para ulama’ bahawa wajib menutup aurat jenazah. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/408). Sehinggakan para ulama menitikberatkan hendaklah dijaga aurat dan aib si mati sekalipun ketika urusan memandikan jenazah.
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan disunatkan agar ditutup mayat (ketika memandikan jenazah) daripada orang lain, kerana berkemungkinan terdapat pada badannya itu suatu aib yang beliau menutupinya dahulu (ketika dia hidup), dan boleh jadi terdapat badannya itu suatu tompokan darah, lalu disangka oleh orang yang melihatnya itu sebagai suatu hukuman baginya (mayat itu).” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/154).
Sabda Nabi S.A.W yang mengisyaratkan hal ini:
لا تبرز فخذك ولا تنظر إلى فخذ حي ولا ميت
Maksudnya: “Jangan membuka paha kamu dan janganlah melihat kepada paha orang yang hidup atau meninggal dunia”.
Riwayat Abu Daud (3140), Ibnu Majah (1460)
Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut mengaibkan seperti tertanggal anggota dari badan, terburai jasad dan sebagainya maka itu boleh membuka aib si mayat tersebut. Jelaslah bahawa perbuatan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan dilarang tegas oleh agama.
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas jelaslah bahawa wajib ke atas kita menutup aurat dan aib seseorang sekalipun orang tersebut telah meninggal dunia. Malah wajib hukumnya bagi seorang muslim menutup apa jua yang tidak disukai oleh seseorang ketika hidupnya. Barangsiapa yang melakukan sebarang perbuatan yang mendedahkan aurat dan aib si mati maka dia telah tergolong dalam golongan yang mencerobohi maruah saudara muslimnya yang lain dan ianya termasuk dalam perkara yang dibenci oleh Allah dan rasulnya.
Kesimpulan
Tunstasnya, perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Tambahan pula, sekiranya keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan maka haram menyebarkan gambar tersebut kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan hal tersebut boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam.
Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Qari Oku Malaysia dinobat juara tilawah Al-Quran antarabangsa, pecah rekod 47 tahun sejak mula diperkenalkan 1947. Matanya tertutup namun hatinya sangat terang. Inilah kelebihan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, yang malam tadi dinobatkan sebagai johan tilawah kategori masing-masing pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63, semalam dengan markah 94.96 peratus.
Johan qariah disandang oleh peserta dari Maghribi iaitu Sara Belmamoun yang memperoleh 93.05 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai, hadiah iringan serta sijil.
Menariknya tentang johan qari antarabangsa ini, sejak kecil ibu dan ayahnya sering memperdengarkan kepadanya cakera padat alunan ayat al-Quran hingga hatinya menjadi terang dengan kalimah ini.
”Sejak kecil, Muhammad Qayyim Nizar memiliki minat yang sangat mendalam terhadap Al-Quran sejak kecil bermula dengan mendengar kaset dan cakera padat (CD) yang dibelikan oleh ibunya, Rozan Mohamed dan ayahnya, Sarimi Yusoff.
Bahkan dirinya merupakan Johan Qari Peringkat Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan pada tahun 2017, 2019 dan 2020 tiga tahun lamanya.
Lebih menarik, Qayyim turut memiliki anugerah luar biasa apabila menguasai 7 jenis tarannum iaitu Bayati, Soba, Hijjaz, Nahawand, Rast, Sikah dan Jiharkah.
Memiliki ijazah Sarjana Muda Tahfiz dengan Pengurusan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa sultan Ismail Petra (KIAS), anak muda berusia 25 tahun berasal dari Ketereh Kelantan ini menjadikan beliau OKU pertama yang dinobatkan Johan sejak Majlis Tilawah diperkenalkan pada tahun 1947.
Majlis tilawah yang berakhir malam tadi disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan hadiah kategori qari, manakala Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, bagi kategori qariah.
turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
MTHQA Ke-63 yang bertema ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, membariskan seramai 20 hakim dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Indonesia.
Sementara bagi kategori hafazan, ia dimenangi oleh Omar Toure yang mewakili Guinea menjuarai kategori hafazan lelaki dengan markah 98.63 peratus, dan Tebani Cheyma Enfal mewakili Algeria pula memenangi kategori hafazan wanita dengan markah 96.32 peratus. Mereka turut menerima hadiah wang tunai, hadiah iringan dan sijil.
Cukup memilukan hati seorang ibu apabila kehilangan anak tersayang. Apatah lagi anak yang selama ini cukup rapat dan manja dengannya terlebih dahulu meninggal dunia.
“Adik sayang mama sangat-sangat”. Itulah antara perbualan terakhir Mahanom Ismail bersama anak bongsunya, Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, 42.
Shahrul Kamal adalah juruterbang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie, petang semalam.
Mahanom, 67 tahun yang ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kelihatan sugul dan menahan sebak.
Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu kali terakhir menghubunginya sebelum dia menjalani pembedahan di Hospital Angkatan Tentera (ATM) Tuanku Mizan di ibu negara pada 24 Julai lalu.
“Sehari sebelum menjalani pembedahan usus dan hempedu, dia (anak) ada menghubungi saya untuk bertanya khabar.
“Sebelum meletakkan telefon, dia berkata ‘adik sayang mama sangat’,” katanya.
Menurutnya, Shahrul Kamal amat rapat dengannya dan seorang yang sangat manja.
“Arwah rapat dan manja dengan saya, kalau balik rumah saya..dari jauh lagi, ‘mama..mama, buka pintu’.
“Saya akan merindui segalanya mengenai arwah, suara dia memanggil saya,” katanya menahan sebak.
Berkongsi mengenai kerjaya anaknya, Mahanom berkata, sebelum menerbangkan jet persendirian, beliau juga pernah bekerja dengan syarikat penerbangan MAS dan Etihad.
Katanya, dia sekeluarga akan berbincang mengenai urusan pengebumian jenazah arwah dengan keluarga besannya.
“Saya akan bincang dengan keluarga besan, sama ada pengebumian akan dilakukan sama ada di Taman Melawati, Kuala Lumpur atau Bukit Jelutong, Shah Alam,” katanya.
Katanya, Shahrul Kamal meninggalkan seorang balu dan empat anak lelaki berusia antara tiga hingga 12 tahun.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas ini. Memang bukan mudah untuk menerima kehilangan orang tersayang, namun hati harus redha dengan setiap ketentuan ujian dariNya.