Malam Lailatulqadar adalah malam yang dinanti-nanti kehadiran sepanjanf Bbulan Ramadan.

Bulan Ramadan merupakan satu bulan yang penuh keberkatan apabila Allah SWT meluaskan rahmat-Nya agar menaungi seluruh hamba-hamba-Nya yang tekun beribadah dan taat kepada-Nya dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Sabda Rasulullah s.a.w : “Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, Kitab al-Shiyam, hadis No: 1079.

Lebih Mulia Daripada 1000 Malam!

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu Lailatulqadar. Padanyalah diturunkan al-Quran yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam.

Firman Allah SWT:”Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” – Surah al-Qadr: 1-5.

Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Apakah Itu Lailatulqadar?

Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan Allah serta Allah akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu.

Malam Lailatulqadar, Rebut Peluang Raih Pahala Umpama Ibadah 1000 Bulan!

Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?

Sabda Rasulullah s.a.w: “Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2017.

IKLAN

Sabda Rasulullah s.a.w : “Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1165.

Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29.

Gandakan Amalan 

Namun demikian Rasulullah s.a.w. apabila tiba sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan, baginda akan menggandakan ibadah baginda maka amalan sebeginilah yang afdal untuk diamalkan kita semua. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang untuk melakukan ibadah sambil beriktikaf di masjid.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h: “Dari segi bahasa, iktikaf bermaksud membatasi diri pada sesuatu. Sedangkan menurut pengertian syarak, ia bermaskud individu tertentu menetap di dalam masjid dengan cara khusus (menepati sunnah).” – Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jil. 11, ms. 538.

IKLAN

Amalan Sunat

Ketika beriktikaf, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain amalan yang soleh.

Aisyah r.a berkata: “Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.

“Sesungguhnya Nabi s.a.w biasa melakukan iktikaf pada sepuluh yang terakhir di bulan Ramadan sehingga Allah mewafatkan baginda.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih nya, no: 2026.

Ibadah Melebihi Malam Lain

Aisyah r.a berkata: “Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.

Selain dari itu, dianjurkan kan juga untuk berdoa sebagaimana dikhabarkan daripada Aishah r.a berkata: Ya Rasulullah, apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan. Rasulullah menjawab: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku. – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, no: 3840.

IKLAN

Isi Ruang Dengan Beribadah

Semoga Ramadan pada tahun ini kita semua dapat mendapat malam Lailatuqadar dan kita dapat mengisi sepanjang bulan ini dengan amal-amal ibadah yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. serta mengerjakan amal-amal soleh.

Lantaran dari itu semoga kita semua dapat menikmati segalan ganjaran pahala seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat kepada perintah-Nya. Ada golongan yang menyatakan bahawa puasa bagi golongan yang tinggi makamnya adalah mereka yang berpuasa semata-mata ikhlas kerana Allah SWT tanpa menginginkan ganjaran pahala tersebut.

Lakukan Ibadah Dengan Ikhlas

Ternyata pemikiran sebegini tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Sememangnya amal ibadah kita perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan pada masa yang sama bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mencita-citakan ganjaran pahala serta syurga daripada Allah SWT.

Buktinya Allah sendiri telah berfirman: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa – ‘Aali Imraan (3) : 133.

Tambahan pula Rasulullah s.a.w. juga menganjurkan kita untuk mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT sebagaimana sabdanya: “Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.

Perkongsian Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus, Pendakwah bebas. https://www.facebook.com/yaakub73

https://www.mingguanwanita.my/6-perkataan-ini-merupakan-doa-istimewa-ulanglah-sebanyak-mungkin-pada-10-hari-terakhir-ramadan-1/